Sekali lagi penghujung tahun akan menjelma tidak lama lagi. Tiap kali hujung tahun tiba, tiap kali itu mengingatkan saya 1 kisah yang amat menyayat hati saya ketika tinggal di Jepun dahulu.

2 peristiwa yang benar-benar memberikan kesan yang mendalam tentang persepsi saya terhadap orang Jepun, terhadap betapa pentingnya harga sebuah nyawa, tentang betapa tinggi nilainya sebuah kemaafan itu dan pelbagai rasa yang benar-benar menusuk kalbu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tanggal 31 Disember 2003, ketika semua rakyat Jepun sibuk membuat persiapan untuk Syougatsu atau Tahun Baru, musim sejuk yang agak dingin ketika itu, seorang budak lelaki yang baru berusia 4 tahun telah keluar dari rumah neneknya tanpa pengetahuan sesiapa, kerana ingin mencari ayahnya.

Ayahnya ketika itu sedang pulang ke rumah mereka yang terletak lebih kurang 5 km dari rumah neneknya untuk mengambil barang.

Tanpa siapa pun yang tahu, naluri bagaimanakah yang membawa kanak-kanak itu berani menyusuri dan menyeberangi jalan persekutuan Route 9 yang agak sibuk di tika hampir Maghrib itu. Dikatakan kanak-kanak itu telah berjalan hampir separuh perjalanan ke rumah ayah beliau.

Di petang hari yang sama, isteri saya (isteri saya berketurunan Jepun) dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adik perempuannya dengan suara tangisan panik seolah-olah hilang akal, “Kou Chan ga! Kou Chan ga! Mou inai yo!” (Kou Chan! (nama anak), sudah tiada!) Isteri saya masih termangu-mangu bingung tak tahu apa yang telah terjadi.

Lantas terus menelefon suami adiknya tadi, beliau menjawab, “Kou chan telah dilanggar kereta!” Hati saya tersentak. Ya, kanak-kanak yang berumur 4 tahun tadi adalah anak lelaki kepada adik perempuan isteri saya.

Suasana hening di perkarangan rumah. Suasana sedih pilu menyelubungi seluruh isi rumah. Sudah ramai saudara mara berkumpul di dalam rumah.

Tidak seorang pun berkata apa-apa. Bau colok juga terus menerus menyelubungi ruang rumah. Saya lihat si ibu terus menerus mendakapi sekujur tubuh yang kaku,  dalam kesepian dan kepiluan itu saya melangkah untuk keluar dari rumah untuk mengambil angin.

Pintu utama saya tolak keluar. Tiba-tiba mata saya terbeliak! Terkejut! Melihatkan ada sepasang tubuh manusia dalam keadaan sujud di hadapan pintu utama tadi! Mereka sujud di atas lantai yang kotor dan berdebu, dingin lantai yang menggigit betis, tapak tangan dan dahi, dikelilingi dengan kasut-kasut yang tersusun di luar.

Ditambah dengan cuaca sejuk pada bulan Disember. Sujud sekhusyuknya tanpa bergerak walau seinci pun! Ya Allah! Siapa mereka ini? Mengapa mereka sujud di sini? Apa tujuan mereka ke mari? Soalan demi soalan terus bermain di fikiran.

Tiba-tiba bahu saya di sapa dari belakang. Saya toleh, isteri saya rupanya. Lantas beliau terus merangkul tangan saya masuk semula ke rumah.

Isteri saya ajak duduk bertimpuh lalu berbisik kepada saya, “Papa, 2 orang di luar sana tu, pasangan suami isteri yang telah tidak sengaja melanggar Kou chan.”

Mungkin isteri saya terus menjawab setelah melihat raut wajah saya yang penuh kebingungan tanpa perlu saya bersoal. Sekarang baru saya faham apa yang telah terjadi.

Isteri saya tidak menerangkan dengan lebih lanjut, hanya dengan isyarat mata, saya memahami. Perkara sebegini adalah satu kebiasaan bagi masyarakat Jepun.

Saya beristighfar banyak-banyak. Dan kebingungan saya masih berterusan. Apakah perlu sampai sujud begitu sekali untuk menyatakan “HANSEI” iaitu rasa bersalah?

Bagi masyarakat Jepun, perkara yang melibatkan kehilangan nyawa, bersujud di luar rumah adalah perkara paling ringan bagi pihak mangsa. Hari itu seingat saya mereka bersujud di situ hampir 4 jam. Sehinggalah ayah mertua saya menyuruh mereka pulang. Tetapi mereka enggan berganjak walaupun berkali-kali ahli keluarga lain memujuk mereka pulang.

Mereka kata selagi tuan rumah tidak benarkan mereka pulang, mereka tidak akan pulang. Sehinggalah si suami adik isteri saya membuat isyarat dengan tangan menyuruh mereka balik. Barulah mereka mengalah untuk beredar.

Ibu mana yang tidak remuk hatinya bila kehilangan anak.  Ayah mana pula yang tidak habis-habis menyumpah dirinya bila merasakan dirinya punca kematian anaknya.

Dalam keadaan kedua-dua ibu bapa mangsa yang masih trauma dengan kehilangan anak mereka, saya cuma membayangkan, apa mungkin ada ruang untuk ibubapa mangsa melayani sepasang suami isteri yang melanggar anak mereka di luar sana?

Keesokan harinya pada 1 Januari 2004, upacara perpisahan telah diadakan di dewan besar berdekatan dengan rumah mereka. Kelihatan orang ramai dengan pakaian suit dan one piece serba hitam telah memenuhi ruang dewan, termasuk rombongan satu tadika tempat anaknya belajar.

Seorang demi seorang berbaris memberikan ucapan terakhir di hadapan keranda. Seketika, mata saya memerhati upacara ini. Sekali lagi mata saya tertangkap dengan sepasang tubuh yang sama malam tadi.

Mereka masih lagi bersujud di atas lantai di hujung belakang dewan. Saya tak mampu berkata apa-apa. Mata saya berair seketika melihatkan situasi itu. Hati saya cuma terdetik berkata, betapa mereka begitu menghargai erti nilai sebuah nyawa.

Setelah tamat upacara perpisahan, mereka terus membawa anak kecil tadi ke kawasan “perkuburan” pada sangkaan saya. Saya mengikuti mereka. Tetapi tempat yang kami sampai bukanlah kawasan perkuburan. Rupanya rumah pembakaran mayat.

Saya agak tersentak dengan keadaan begitu kerana inilah pertama kali saya melihat peristiwa upacara membakar mayat. Saya berdiri dari jauh melihat budaya orang Jepun menguruskan kematian.

Selesai sudah, kami pulang ke rumah adik isteri saya tadi. Setibanya di sana, sekali lagi saya dikejutkan dengan pasangan suami isteri yang sama. Terus menerus bersujud di hadapan rumah adik isteri saya.

Saya lihat pasangan suami isteri adik isteri saya, seperti lemah gemalai langsung tidak menoleh kepada mereka berdua masuk ke rumah.

Cuma mak mertua saya sahaja mendekati mereka dan berkata dengan nada yang sopan menyuruh mereka pulang.  Saya masih tergamam sehingga saat itu.

Hari berganti minggu. Setelah beberapa minggu berlalu saya diberitahu oleh isteri saya, bahawa, setelah peristiwa itu, pasangan suami isteri yang melanggar anak adik isteri saya tadi, setiap hari sebelum pergi kerja akan duduk bersujud menyembah di hadapan pintu rumah adik isteri saya. SETIAP HARI!

Astaghfirullah. Mereka terus-menerus mengharapkan agar dosa mereka diampunkan oleh si ibu anak kecil tadi. Ya, benar. Si ibu masih belum ada ruang dan masa di hati untuk memaafkan kedua suami isteri tadi.

Bukan tidak mahu memaafkan tetapi, hati si ibu telah hancur luluh masih tidak dapat menerima hakikat yang anaknya sudah tiada.

Untuk makluman tuan puan, perkara sujud di hadapan rumah ini berterusan sehingga hampir 4 bulan. Apabila si ayah telah memaklumkan untuk diserahkan kepada mahkamah untuk menentukannya, barulah pasangan suami isteri itu menerima hakikat, yang mereka tidak akan dimaafkan oleh si ibu tadi.

Setelah selesai kes mahkamah saya diberitahu bahawa, akhirnya si ibu juga telah dapat menerima hakikat bahawa anaknya sudah tiada lagi.

Dan bertitik dari situ lah si ibu memanggil pasangan suami isteri tadi ke rumah adik isteri saya dan si ibu telah memaafkan mereka dengan hati yang terbuka. Kemaafan ini hanya terjadi selepas setahun dari tarikh peristiwa itu.

Menurut laporan polis, pasangan suami isteri tadi tidaklah melanggar apa-apa peraturan jalanraya, dan kelajuan juga mematuhi had laju iaitu 60km/j.

Cumanya, mereka tidak sedar dalam keadaan waktu Maghrib itu ada tubuh kecil yang sedang menyusuri bahu jalan. Anda juga boleh bayangkan, apa perasaan anak kecil 4 tahun yang tidak tahu apa-apa itu berjalan seorang diri di tepi jalanraya. Sudah ditakdirkan ajal anak kecil itu di situ.

Anda lihatlah, walaupun dalam konteks peraturan jalanraya pasangan suami isteri itu tidak bersalah, namun rasa bersalah mereka saya tak boleh nak imiginasikan apakah yang membawa mereka sehingga bersujud begitu rupa.

Minta maaf sekiranya cerita di atas terlalu panjang. Cuma saya berharap daripada cerita di atas, ramai yang boleh mengambil iktibar untuk menghargai sebuah nyawa. Saya tidaklah mengajak semua untuk lakukan ‘bersujud’ seperti pasangan suami isteri tadi, cumanya, di Malaysia ini, mungkin kita rasa terlalu ringan bila ada kes-kes kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa.

Jadinya, marilah kita sentiasa bersama-sama mematuhi peraturan jalanraya dan tidak berlumba-lumba di jalanraya.

Untuk makluman, undang-undang di Jepun, apa jua kes kemalangan jalanraya yang melibatkan kehilangan nyawa pejalan kaki, si pemandu kereta masih lagi perlu menanggung 100% kesalahan.

Lesen perlu diperbaharui. Perlu menghadiri kursus memandu di balai polis. Bila masuk kes mahkamah, ada kemungkinan anda boleh dikenakan denda maksima sebanyak 10 juta yen (RM4 juta).

Begitulah beratnya hukuman untuk mereka-mereka yang melanggar pejalan kaki sehingga mati. Saya selalu diingatkan oleh bapa mertua saya, “Ingat semasa anda memandu kenderaan sebenarnya anda sedang membawa mesin pembunuh!”

Jadi bagi mereka yang ingin memandu di Jepun, diharap ikutlah peraturan jalanraya di sana dan sila berhenti sebelum garisan zebra, sila berhenti juga di garisan berhenti di setiap simpang.

Jangan memandu melebihi had laju. Jaga manner kita, jaga adab kita.