2 bulan lepas, ramai anggap dunia sudah kiamat apabila rakyat Amerika memilih Donald Trump sebagai presiden baru mereka. Dalam masa kurang 10 hari lagi (20 Januari), Trump akan mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat yang ke-45.

Kalau kita masih menganggap 62 juta rakyat Amerika mengundi Trump (lebih ramai daripada jumlah penduduk Canada campur Australia) kerana mereka rasis, seksis dan xenofobia, kita betul-betul bodoh sombong.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kita tidak dapat menerima Amerika yang ‘sebegini rupanya’ kerana kita telah diasuh dengan imej Amerika yang bebas nilai (tidak terikat dengan tradisi dan agama), boros, hedonis, tiada jati diri seperti yang dijaja oleh Hollywood.

Inilah ‘naratif arus utama’ tentang Amerika. Yang golongan jihadis sibuk memerangi ialah imej Amerika ini, imej Amerika menurut Sayyid Qutb. Sebenarnya, selain naratif arus utama ini, terdapat juga naratif arus pinggir yang jarang kita dengar.

Ramai menyifatkan kebangkitan naratif ini sebagai kebangkitan ‘populisme’, namun istilah ini bermasalah kerana ia merupakan kata lawan kepada ‘elitisme’.

Penggunaan istilah ‘populisme’ seolah-olah melihat penyokong Trump ini sebagai golongan marhaen dan jahil yang memerlukan bimbingan elit, sependapat dengan Clinton yang memanggil mereka sebagai sebakul sampah’ (a basket of deplorables). Akibat daripada sikap takabbur ini, Clinton telah dibakul sampahkan.

Arus pinggir tersebut ialah ‘the Other America’ yang pernah dibincangkan oleh Samuel Huntington, sarjana sains politik yang terkenal dengan teori pertembungan peradaban (clash of civilizations) dalam bukunya Who Are We?: The Challenges to America’s National Identity (2004).

The Other America ini mempunyai definisi tentang jati diri Amerika yang berbeza dengan imej arus utama. Mereka memegang kepada nilai agama dan tradisi, ekonomikal, dan paling penting sekali, mereka melihat Amerika sebagai lambang sebuah nilai, bukan sekadar nama sebuah negara.

Amerika mewakili sebuah usaha murni untuk membentuk sebuah negara yang aman dan makmur yang diredhai Tuhan, menjadi ‘the last best hope of earth‘ atau ‘shining city upon a hill‘. Bagi mereka, Amerika ideal itu pernah wujud, tetapi telah dihancurkan oleh golongan elit sejak 100 tahun yang lepas.

Pada 1870-an, Amerika telah mengatasi Britain sebagai ekonomi terbesar di dunia. Kekuatan Amerika terletak pada ekonomi perindustrian dan dasar luar yang berkecuali.

Berkecuali bukan bermaksud Amerika mencintakan keamanan atau tidak bercampur tangan dalam negara lain kerana Amerika juga berperang dengan Mexico dan menjajah Hawaii dan Filipina ketika itu.

Cuma Amerika tidak melibatkan diri dalam pakatan politik antarabangsa di Eropah. Malah, Amerika sangat memusuhi Britain ketika itu kerana menganggap ia sebagai bekas penjajah yang masih mempunyai niat imperialis.

Sementara negara-negara Eropah sibuk bertelagah pasal tanah dan agama, Amerika berfokus untuk membangunkan industri, berinovasi dan mengumpul kekayaan.

Undang-undang imigran yang ketat ketika itu tidak menghalang Amerika dari menjadi tarikan kepada pendatang dari seluruh pelusuk dunia untuk mencari “Impian Amerika” (American Dream) masing-masing, kerana kekuatan ekonomi yang ada di Amerika itu sendiri.

Pada tahun 1917, Presiden Woodrow Wilson telah melibatkan Amerika dalam Perang Dunia Pertama dan menyertai pakatan Britain. Wilson cuba mengubah Amerika daripada negara berkecuali kepada pemimpin orde dunia baru.

Namun cadangan Wilson supaya Amerika menyertai dan memimpin Liga Bangsa (League of Nations) telah ditolak oleh Kongres. Amerika kembali kepada dasar berkecuali dan isolasi.

Malah presiden selepas Wilson iaitu Calvin Coolidge pernah berkata, “the only business of America is business”, maksudnya urusan politik dunia bukanlah urusan Amerika.

Hanya selepas peristiwa Pearl Harbor, barulah rakyat Amerika menerima peranan baru Amerika sebagai pemimpin politik dan ekonomi dunia demi mengukuhkan keselamatan dan kemakmuran Amerika sendiri. Dan Amerika terpaksa ‘membukakan’ diri kepada dunia.

Namun setelah 60 tahun Amerika memimpin dunia, Amerika tidak menjadi semakin selamat dan makmur, malah semakin terancam kerana dasar campur tangan telah mengumpul terlalu ramai musuh.

Bertrillion-trillion dolar dibelanjakan untuk perang-perang yang tiada makna. Rakyat Amerika sendiri yang kena menanggung defisit perbelanjaan yang kronik.

Sementara itu ekonomi Amerika tenat. Rakyat Amerika merempat di negara sendiri. Kekuatan industri tempatan merosot dan ekonomi dikuasai oleh bank-bank dan syarikat-syarikat multinasional yang ‘outsource‘ pekerjaan ke negara-negara Dunia Ketiga untuk memaksimakan keuntungan.

Kesemua ini membuat rakyat Amerika tertanya-tanya adakah sebenarnya globalisasi hanya menguntungkan golongan elit (‘denationalized elites’ menurut Huntington). Mereka mula mempersoalkan tentang peranan dan definisi jati diri Amerika yang telah lama dimonopoli oleh media dan cendekiawan arus utama.

Maka, rakyat Amerika mula bernostalgia kembali tentang Amerika yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Slogan “Make America Great Again”. ‘Again’ di sini mengingati ramai tentang zaman kegemilangan Amerika dari 1870-an hingga 1910-an di mana Amerika merupakan simbol kekuatan industri dan mengungguli dunia dalam pembuatan automotif dan besi keluli.

Hari ini kedua-dua sektor ini telah diambil alih oleh Jepun dan China. Negeri-negeri ‘Rust Belt’ (Indiana, Michigan, Ohio) yang selama ini mengundi Demokrat telah mengundi Trump dengan harapan untuk menghidupkan kembali kedudukan mereka sebagai pusat industri Amerika.

Tindakan Trump memansuh TPP dan TTIP, dan cadangan untuk mengenakan cukai tinggi ke atas syarikat-syarikat yang ‘outsource’ operasi ke luar negara adalah sangat adil bagi mereka.

Pada masa yang sama, rakyat sudah serik dengan geopolitik zaman Bush dan Obama yang paranoid dengan Russia. Rakyat Amerika yang rasional tidak nampak apa yang elit-elit ini anti sangat dengan Russia sampai perlu menimbulkan isu ‘Russia menggodam sistem pilihan raya Amerika’.

Mereka melihat China lebih mengancam kerana China mencabar kekuatan ekonomi Amerika, dan sikap keras Trump terhadap China dilihat wajar.

Inilah asbab utama kenapa ramai telah mengundi Trump, bukan kerana rasis, seksis dan xenofobia. Tidak dinafikan golongan manusia jahil seperti Ku Klux Klan juga menyokong Trump. Tetapi mereka adalah penyokong tegar Republikan yang akan mengundi sesiapa sahaja mewakili Republikan, bukan kerana Trump.

Sama ada Trump mampu mewujudkan kembali ‘Great America’ itu bergantung kepada kebijaksanaan dan juga keikhlasan Trump sendiri. Namun Trump telah membangkitkan nasionalisme dan kehendak mewujudkan kembali ‘ketertutupan’ yang telah lama terpendam dalam hati rakyat Amerika, dan ia sukar dipadamkan lagi.

Adakah dunia pasca Amerika bakal menjelma? Itulah antara persoalan yang paling besar pada zaman kita.

Baca lagi: “Merintih Nasib Di Tanah Sendiri” Luahan Hati Kaum Aztec Di USA Kepada Saya