Pada 5 bulan lepas kedai saya dikunjungi oleh 2 lelaki Cina. Dia perkenalkan diri sebagai Mr David dan seorang lagi ialah Uncle Wong. Mereka berhajat untuk order 50 bungkus nasi untuk lunch dan 50 bungkus lagi untuk dinner setiap hari selama sebulan.

Bila dikira jumlahnya lebih kurang RM18,000. Mereka juga minta harga setiap bungkusan dinaikkan 50 sen. Ia dikira sebagai komisyen sebab mereka sendiri yang akan ambil bungkusan nasi tu dan akan hantar ke tapak projek di Taman Connaught Cheras.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya bersetuju.

Mr David kata harga kami memang OK dan rasa pun sedap sebab dia sudah test sendiri makan nasi di sini sebelum ni. Tapi katanya dia akan beritahu bos dia (pengurus projek) tentang hal ni dan akan inform saya secepat mungkin. Kalau semua OK dia akan cuba minta bos dia bagi deposit untuk saya sambil mohon untuk mintak diri dulu.

“Berapa RM kopi dan teh ni bos?” tanya Mr David.

“Tak apa lah Mr David, saya belanja minum. Lagipun kita sama-sama bisnes maa. You pun kasi projek kat saya. You tolong saya. Saya tolong you balik maa,” jawab saya.

Dalam hati tuhan saja yang tahu betapa gembiranya dapat close deal yang bagus macam ni. Manalah tahu ada rezeki nanti dia nak sambung sampai setahun.

Sebelah petang pula Mr David call saya. Katanya Manager dia dah setuju dan dia nak jumpa saya dan wife untuk bincang pasal deposit tu. Dia nak jumpa esok pukul 11 pagi di Aeon Cheras Selatan (Jusco Balakong). Jumpa di kopitiam sebelah dalam.

Saya pun bersetuju dan beritahu saya akan sampai sana tepat 11 pagi esok. Wife pun gembira. Tak sabar rasanya menunggu hari esok pula.

Bincang Deposit Katering Di Secret Recipe

Hari kedua. Lokasi Jusco Balakong.

Hari Khamis tepat jam 11 pagi saya dan wife (Mona Mat Zain) pun tiba di Aeon Cheras Selatan. Saya terus call Mr David nak jumpa di mana. Dia kata dia dan Uncle Wong dah sampai dan sedang tunggu kami di Secret Recipe.

Bila kami sampai nampaklah kerusi dah disiapkan untuk 6 orang. Mungkin mereka siapkan untuk bos-bos mereka kot. Selang 5 minit manager pun sampai. Dia perkenalkan diri sebagai Mr Lee.

Mr Lee agak berumur orangnya, berjanggut putih dan sempoi orangnya hanya berpakaian santai dan bertopi Nike kaler coklat cair. Gaya pertuturannya memang nampak teratur dan fasih walaupun adakalanya ada sikit pelat.

So, bermulalah perbincangan kami mengenai katering bungkusan tersebut sama seperti yang dibincangkan semalamnya. Harga mark up 50sen pun dipersetujui oleh Mr Lee. Rupanya Mr Lee pun ada share komisyen tu.

Dan dia beritahu sebentar lagi bos besar Datuk Kong akan sampai juga untuk berjumpa kami dan seorang lagi untuk urusan jual beli tanah.

Mr Lee kata dia akan tolong kami dengan beritahu bos suruh bagi deposit RM18,000 terus hari esok. Kira sudah lock deal untuk 1 bulan. Kalau 1 bulan OK boleh sambung setahun. Dalam hati tak berhenti ucap alhamdulillah. Syukur ya Allah kau bantu kami dengan rezeki yang tak disangka ini.

Bila semuanya sudah OK, Mr Lee suruh kami tunggu sekejap sebab ada seorang kawan dia sudah sampai. Katanya urusan jual beli tanah. Mr Lee pun suruh David call segera kawannya suruh jumpa di Secret Recipe ni.

Tanah Nak Dijual Segera

Selang 2 minit, kawan Mr Lee yang disebut-sebut pun tiba.

Mr Lee perkenalkan dia kepada kami. Nama kawannya Mr Chong. Tanpa berlengah-lengah Mr Chong terus keluarkan geran tanah dan 2 buku agreement jual beli dan ditunjukkan kepada Mr Lee.

Mr Chong: Ini tanah saya punya adik mau jual cepat. Sekarang dia di hospital Singapore mau operation cepat. Dia sudah agree suruh saya jual RM600,000. Tapi mau cash.

Mr Lee: Saya kena bincang dulu sama bos, apa macam nanti saya kasi tau sama you la.

Mr Chong: Apa macam hari ni boleh kasi tau ka? Saya mau pakai hari ini juga woo.

Mr Lee terus membelek dokumen-dokumen tersebut dan kemudian serahkan kepada saya untuk semak balik dokumen original dengan salinan dokumen geran tanah yang dipegang oleh Mr Lee sebelum ini.

Saya pun terpinga-pingalah juga kenapa saya yang disuruh semak dokumen tu padahal staf dia Mr David dan Uncle Wong ada di sebelah. Saya dah mula syak sesuatu.

Tapi hati bersangka baik lah jugak mungkin disebabkan geran tu dalam bahasa Melayu. Bila dokumen dah disahkan sahih, Mr Lee beritahu Mr Chong dia akan cuba bincang dengan big boss Datuk Kong kasi payment cepat.

Mr Chong pula beritahu mesti cepat sebab wife dia pun ada nak jumpa buyer lain sekejap lagi. Mr Chong pun segera minta diri mau cari barang sekejap dalam Jusco, nanti apa-apa hal telepon dia segera.

Tawaran Komisyen Yang Mengiurkan

Selepas dia beransur, Mr Lee pun mula bincang dengan kami. Katanya harga yang ditawarkan Mr Chong tu amat murah.

Harga asal tanah tu RM1 juta lebih sebelum ni. Sebenarnya tanah tu tak sampai pun 1 ekar tapi disebabkan kedudukan tanah tu terletak di hadapan kilang bos (Datuk Kong) dia menyebabkan harga semakin mahal. Setiap hari lori-lori milik bos dia akan lalu kawasan tu dan dikenakan caj RM30 setiap lori. Sebulan lebih kurang hampir RM12000 bos dia terpaksa bayar kepada tuan tanah.

“Dulu bos dia nak beli RM1 juta pun dia tak mau jual. Sekarang sudah sakit baru sibuk mau jual,” kata Mr Lee.

“Sekarang arr… Ini tanah itu orang mau jual murah. RM600 ribu sahaja. Kita boleh kasi up RM900,000 jual sama saya punya bos,” jelas dia lagi.

“Tapi saya mau minta you kasi tolong jadi broker ini tanah. Kita tak boleh jual sendiri sama bos maa nanti dia bising sama kita. Nanti ada untung RM300,000 kita kongsi dua lah. Kita ambil RM150,000, you ambil juga RM150,000 lorr. Amacam?” soal Mr Lee kepada saya.

RM150,000.00 cash. Fuhh.. Siapa tak nak?

Saya ingatkan perbincangan mengenai pembahagian untung sebanyak RM300,000 tu dah selesai. Rupanya Mr Lee ada nak tambah sesuatu lagi.

“Nanti itu Datuk sampai you cakap sama Datuk ini tanah mahu jual RM950,000. Kalau itu Datuk minta kurang, you kira RM900,000 lorr,” tambah beliau sambil mengajar saya teknik closing power.

Saya bertambah risau sebenarnya. Dah la tak ada pengalaman langsung jadi broker tanah ni. Dengar komisyen RM150,000 tu memang sedap bunyinya tapi kena fikir juga apa risiko yang bakal menanti. Sempat juga saya bertanya bagaimana perihal urusan dokumen dan pembayaran dari pihak kilang kepada penjual.

Mr Lee mengatakan semua urusan akan dibuat secara cash. Kemungkinan besar Datuk Kong akan beli atas akaun personal dan akan dijual semula kepada syarikat dengan margin lebih tinggi.

Oh macam ni rupanya. Untung atas angin. Senangnya diorang ni buat duit. Kaya bertambah kaya. Tapi hati saya dah mula rasa semacam. Rasa tak sedap hati. Takkanlah mereka ni senang senang saja nak kasi kami share yang besar. Padahal mereka boleh gunakan kawan-kawan mereka sendiri.

Siri TV Hustle Main Di Fikiran

Tiba-tiba terlintas di fikiran rancangan TV kegemaran saya satu masa dulu iaitu “Hustle”. Siri TV ni mengisahkan 5 orang sahabat yang mempunyai kepakaran berbeza dan berpakat untuk mendapatkan duit secara menipu orang kaya.

Tapi mangsanya terdiri daripada orang-orang kaya yang tamak dan jahat. Cara kerja mereka memang smart dan sangat teratur sehinggakan mangsa tersebut sanggup menyerahkan berjuta dollar tapi tak berani buat report polis selepas sedar ditipu.

Lebih kurang cerita TV “Leverage” dan ada juga persamaan konsep dengan filem “Ocean’s Eleven”.

Bos Besar Sudah Tiba

OK lah berbalik kepada cerita tadi, Datuk Kong akhirnya tiba. Memang rupa macam Datuk orangnya. Dengan berbaju batik biru dan berseluar putih dia memperkenalkan diri.

“Selamat pagi. Sorry saya agak lambat sikit. Banyak urusan tadi. Ini pun saya sekejap saja. Sekejap lagi saya mahu pergi Singapore. Saya mahu tengok office sana. Saya ada meeting petang ni” katanya yang agak fasih berbahasa Melayu berbanding dengan yang lain.

Mr Lee pun terus menerangkan pada Datuk Kong berkenaan perihal katering bungkusan dan juga situasi mengenai tanah yang ingin dijual oleh Mr Chong itu tadi. Datuk Kong bersetuju dengan semua cadangan Mr Lee. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya. Kelihatan sebungkus sampul surat kuning besar yang mengandungi sesuatu. Rasanya macam duit.

Datuk Kong: Mr Lee, saya sudah setuju pasal itu tanah, sekarang saya bagi cash RM30,000. Esok saya bagi balance you ambil di office. You kasi itu orang dulu, kasi lock itu tanah sebelum orang lain ambil, OK. Sekarang saya ada urgent matter dekat kilang Singapore. Saya kena pergi dulu ya. Ada apa hal you boleh bincang dengan Mr Lee. HP saya bateri sudah mau kong. Saya mintak diri dulu ya.

Cash RM600,000, Confirm Close Deal

Selepas Datuk Kong keluar, Mr Lee minta David segera call Mr Chong. Takut lambat-lambat nanti tak sempat nak close deal tanah tersebut.

Dalam 2 minit Mr Chong pun sampai. Agak cepat juga dia sampai. Mungkin dia ada sekitar dalam Jusco Balakong ni. Mr Lee pun terus mulakan bicara tanpa lengah lagi.

Mr Lee: Mr Chong, OK saya punya bos sudah setuju mau beli itu tanah harga RM600,000. Tapi sekarang bos saya mau kasi deposit dulu RM30 ribu janji close deal.

Mr Chong: Haiya.. Ini macam la. Saya sudah cakap tadi. Saya mau cash terus RM600,000. Saya mau pakai urgent. Abang saya sudah mau operation. You kasi tolong la sama saya. Ini harga sudah kasi you murah maa. You kasi I RM600,000 sekarang, saya terus kasi geran original. Nanti kita kasi tukar nama.

Mr Lee: Boleh kasi kurang lagi ka bos?

Mr Chong: Ini sudah paling murah la bos, You kasi tau bos you la, saya mau urgent cash RM600,000 OK? Ada 600k cash, confirm close deal. Saya sekarang tak boleh lama, saya mau pergi. Wife saya sana tengah jumpa olang mau beli ini tanah juga.

Mr Lee: OK la Mr Chong, you pergi dulu, nanti I call balik. I mau tanya bos dulu apa macam.

Duit Tak Cukup, Duit Saya Pula Dimintanya

Mr Chong pun terus beredar segera. Mr Lee segera panggil David dan Uncle Wong untuk bincang. Saya dah mula syak sesuatu. Mr Lee beritahu kat David dan Uncle Wong, mereka mesti close deal tanah ni secepat mungkin.

Mr Lee kata dia sanggup keluar duit simpanan dia sendiri di Bank berjumlah RM200,000. David pula boleh keluarkan sebanyak RM80,000 dan Uncle David pula RM50,000. Tambah Mr Lee lagi beliau boleh dapatkan pinjaman RM100,000 daripada menantu dia. Ditambah dengan cash RM30,000 tadi, maka keseluruhan duit yang ada berjumlah RM460,000. Masih lagi kurang RM140,000.

Jeng jeng jeng. Jangkaan saya dalam hati tadi tepat. Memang selepas berbincang sesama sendiri, mereka bertanya saya pula.

Mr Lee: OK En Khairul, sekarang aa kita sudah kumpul RM460,000, lagi tak cukup RM140,000. Boleh tak En Khairul support lagi RM140,000 hari ni. Kalau tak dapat 140k, 100k pun boleh. Balance nanti tak apa saya kawtim

Saya pun pandang isteri. Dia pun pandang saya. Memang sebenarnya dalam akaun memang tak ada pun angka tu. Kebetulan ada payment dari pihak government berjumlah 5 angka masih belum masuk lagi waktu tu.

“OK macam ni Mr Lee, saya bukan tak mau bantu you all, tapi sekarang saya punya payment katering dari government ada 50k masih banyak belum masuk lagi. Kalau ada pun saya boleh support 10k saja dulu. Ada balance lagi untuk standby duit gaji staf dan modal untuk katering next projek. Saya tak boleh keluar semua.” kata saya dengan confident.

Padahal dalam hati Allah saja yang tau. Rasanya wife saya masa tu pun masih belum dapat tangkap permainan mereka ni. Mungkin masih dibuai untung segera 150k tu tadi.

David: En Khairul, you kena bantu lagi maa. 10k tak cukup. Kalau boleh you cari 30k la. Boleh try pinjam sama kawan atau sedara la. Modal 30k, untung 150k maa. You manyak untung maa.

Mr Lee: Tak apa En Khairul, you keluar itu 10k, lagi tambah 20k you pinjam siapa siapa. Lagi balance tak cukup saya cari kawan. Janji close deal itu tanah.

Saya: OK Mr Lee, sekarang saya dan wife mau pegi bank sekejap keluar duit dan pinjam duit kawan. Dah dapat nanti saya call Mr David”.

Lantas saya dan wife pun segera beredar sambil ditemani David yang beriya-iya mau hantar kami ke bank dengan kereta dia tapi saya terpaksa menolak sebab lepas pergi bank, saya kena ambil anak balik dari sekolah.

Scam Dan Lakonan Semata-Mata

Sewaktu perjalanan menuju ke kereta saya beritahu wife yang semua itu tadi hanyalah scam dan lakonan mereka berlima semata-mata.

Wife saya pada mulanya macam tak percaya. Tapi bila saya beritahu semua aksi-aksi mereka yang mencurigakan barulah dia percaya.

Astagfirullah. Macam tak percaya saja kita hampir kena tipu dengan mereka.

Scammer Desperate, RM1000 Pun Nak

Lebih kurang pukul 2 lebih, David pun call saya beberapa kali. Mulanya malas nak jawab, tapi selepas 10 kali missed call akhirnya saya jawab juga.

“David, saya sudah cari itu 20k tapi tak dapat la. Duit akaun pun saya boleh keluar 1k saja sebab tak cukup nak cover duit gaji staff. Sorry la David, saya tak boleh join you beli tanah tu,” kata saya yang sebenarnya memang nak mengelak bila cakap 1k tu.

David: Takpelah En Khairul, you datang je bawak 1ribu tu, nanti kita bincang la apa macam nanti boleh kawtim sama Mr Lee.

“Ok David. Nanti saya datang sana sekejap lagi,” balas saya.

Fuyoo… Desperate nyer sampai RM1 ribu pun kau nak sailang juga. Ingatkan dah tak nak tadi. Tapi rupanya dia kejar jugak. Sorry lah Mr David, you salah orang kali ni.

Sepanjang petang tu saya terima hampir 20 call dari David. Tapi langsung saya tak jawab. Selepas tu terus senyap. Mungkin dia dah boleh agak ‘game’ mereka tak menjadi hari ni.

Sebenarnya kami agak risau jugak kalau-kalau diorang akan datang ke Belimbing Corner. Boleh jadi kacau nanti. Tapi kami tetap tawakal juga, yang penting kami tak kena tipu berpuluh ribu dengan scammer profesional macam mereka tu.

Ambil Iktibar Dan Pengajaran Dari Kisah Ini

Maaf kalau kisah ni agak panjang tapi saya perlu huraikan dengan lebih mendalam bagi mengelakkan orang lain menjadi mangsa penipuan scammers ni di masa akan datang.

Diharap anda semua lebih berhati-hati bila mendapat peluang bisnes sebegini. Mereka ni amat bijak. Segala perancangan telah diatur dengan baik.

Mula-mula meraka akan pancing dengan projek yang berkaitan dengan bisnes kita. Lepas tu mereka akan mula keluarkan umpan emas yang lebih lumayan dan menggiurkan.

Dan sebaiknya bila berjumpa untuk sebarang projek kita ada berteman dan bukan berseorangan. Kena ada check dan balance. Kalau sorang silap-silap mudah hanyut.

Maaf tak ada gambar diambil sewaktu perbincangan.
Silakan share pada sahabat anda.