Walaupun berat di hati untuk meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak, demi sesuap nasi, saya nekad untuk mencuba sesuatu yang baru di bumi Amerika.

Mungkin dengan penghijrahan ini dapat membantu saya untuk terus maju serta mencapai impian mengembara ke seluruh pelusuk dunia satu hari nanti.

Baca kisah saya yang Rugi Dalam Perniagaan Dan Tekad Mengembara Ke USA Untuk Cari Peluang Baru

Perjalanan saya menuju ke Amerika tidak semudah yang disangka. Pelbagai persediaan perlu dibuat terutamanya melibatkan keperluan keluarga sehinggakan saya terpaksa menjual sebuah kereta lama kesayangan kerana mahu membeli tiket penerbangan ke Amerika.

Tiket yang mampu dibeli hanya tiket sehala sahaja, bermakna tidak dapat tidak saya wajib ikhtiar bagaimana untuk teruskan hidup di bumi asing nanti.

Sebaik mendarat di lapangan terbang JFK New York city, saya bersujud syukur. Terasa bagai ada satu semangat yang baru dalam diri untuk meneroka rezeki di bumi Amerika. Alhamdulillah syukur pada Allah.

Sebelum melangkah keluar daripada lapangan terbang, saya terpaku dan berfikir ke mana harus dituju? Di mana mahu bermalam? Kerana saya tiada apa-apa.

Datang seorang diri, tiada saudara mahupun kenalan. Hanya berbekalkan 300 dolar di tangan hasil pemberian keluarga.

zaid-traveler-2

Jangan mengeluh bila tengok dalam akaun hanya tinggal RM10, kerana ada orang lain lebih susah yang tidak punya tempat tinggal dan wang walau untuk sesuap nasi. Bayangkan jika nafas terhenti, nikmat apa lagi yang kita inginkan? sentiasa bersyukur. Alhamdulillah.

Pada mulanya saya ingin mencuba nasib di kota metropolitan New York. Disebabkan kos sara hidup yang sangat tinggi, ditambah pula duit saku di tangan yang semakin menyusut saya mengubah haluan ke beberapa kawasan pedalaman di negeri New York dengan harapan dapat mencari apa-apa peluang pekerjaan.

Panggilan temuduga pertama sebagai pembantu pejabat di pedalaman Wilsboro tiada jawapan. Walaupun terpaksa mengusung beg dalam cuaca yang sangat sejuk, saya redha. Mungkin tiada rezeki saya di sana.

Kemudian saya terima temuduga ke 2 di sebuah syarikat swasta di Syracuse. Alhamdulillah temuduga Berjaya. Saya diterima kerja.

Oleh kerana syarikat tersebut agak jauh dari kemudahan pengangkutan awam serta lokasinya yang jauh dari tempat tinggal, saya terpaksa menolak tawaran tersebut. Saya redha, mungkin tiada rezeki saya di sana.

Sehinggalah pada satu petang sedang saya berjalan di kawasan universiti Syracuse, saya ternampak satu notis “pekerja diperlukan” di sebuah restoran masakan Jepun dan Korea.

Mungkin rezeki saya petang itu, sekali temuduga saya terus diterima kerja, alhamdulillah. Betapa gembiranya rasa, maklumlah duit tunai dalam tangan hanya tinggal 13 dolar sahaja pada masa itu.

Walaupun kerja yang ditawarkan hanya sebagai tukang cuci pinggan dan bukannya di pejabat berhawa dingin yang diidamkan, biarpun terpaksa berdiri hampir 14 jam satu hari di dapur, saya tetap bersyukur dan ingat kembali tujuan utama saya ke bumi amerika ialah untuk mencari rezeki. Saya tidak boleh mengalah. Saya kena kuatkan diri.

imej-01
Tukang cuci pinggan
imej-02
Pembantu chef
imej-03
Sushi pertama, bentuknya sangat tak menarik.
imej-04
Hasil masakan. Nasi goreng pattaya tu saya yang tambah sendiri untuk makan malam. Rupa sudah ada, rasa belum tentu.

Dua minggu pertama merupakan satu ujian yang sangat berat bagi saya kerana itulah pengalaman pertama saya bekerja sebagai tukang cuci pinggan sepenuh masa.

Rasa seperti mahu sahaja cari kerja lain, penatnya hanya Allah yang tahu. Jika sebelum ini hampir 10 tahun saya berkecimpung dalam dunia perniagaan sebelum mengalami kerugian, tidak pernah terbayang yang saya akan bekerja sebagai tukang cuci pinggan. Hebat percaturan Allah, saya redha dengan ketentuan Ilahi.

Belum sempat saya membuat keputusan terburu-buru untuk berhenti kerja, saya dinaikkan pangkat kepada pembantu chef. Allahu Akbar.

Walaupun saya bukanlah mahir dalam bidang memasak, tetapi dengan pengalaman yang ada ketika membuka restoran sebelum ini, sedikit sebanyak dapat membantu saya menggunakan kemahiran dapur.

Chef sangat suka dengan hasil kerja saya. Apalah agaknya reaksi orang kampung jika melihat saya yang berkelulusan ijazah luar negeri bekerja di dapur! Mungkin kata-kata sinis yang akan saya terima barangkali.

Alhamdulillah, bermula sebagai tukang cuci pinggan, saya dapat pengalaman sebagai pembantu chef, sambil itu saya diajar bagaimana untuk membuat sushi.

Kami semua seperti sebuah keluarga. Jika pada awalnya saya hampir berputus asa, kini saya sangat seronok dapat bekerja dengan mereka.

Hampir 2 bulan saya bekerja di situ, restoran tersebut terpaksa ditutup atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pun begitu, banyak perkara baru yang sempat saya belajar di restoran ini. Bbermula dari cara membasuh pekakas dapur dengan betul hinggalah kepada proses penyediaan makanan.

Rupa-rupanya cara saya pegang pisau selama ini juga tidak betul. Patutlah sayur yang saya potong semuanya condong ke tepi.

Bila dikenangkan kembali, saya juga mengalami nasib yang sama ketika membuka restoran masakan Arab sebelum ini.

Walaupun pada mata kasar nampak seperti maju dan ramai pelanggan, akhirnya saya terpaksa menutup restoran tersebut kerana tidak mampu untuk menampung kos operasi yang tinggi.

Perjalanan saya tidak terhenti di situ. Dari Syracuse saya kembali ke New York city dengan penuh keyakinan dan azam yang tinggi.

Di sini saya membuat kerja sambilan sebagai pembantu chef sushi. Kebetulan saya sempat belajar teknik asas membuat sushi ketika di restoran sebelum ni, jadi sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk menceburi kemahiran baru.

Nampak seakan sangat mudah untuk buat sushi tapi sebenarnya ianya sangat susah dan memerlukan ketelitian serta kemahiran yang tinggi.

Saya diajar bermula dari cara memotong sayur, masak nasi, penyediaan bahan mentah. Kemudian beralih kepada cara memotong sushi.

Selepas hampir sebulan setengah menuntut ilmu sushi, barulah saya berpeluang untuk membuat sushi dari A to Z. Ya Allah gembiranya rasa bila diberi peluang untuk membuat sushi. Terasa pengorbanan selama ini sangat berbaloi.

imej-05
Hasil kerja setelah sebulan praktis. Makin cantik tak? Hehe.

imej-06

imej-07

imej-08

imej-09

Alhamdulillah, dipendekkan cerita, saya dan sahabat saya yang merupakan warga Korea berjaya mendapatkan kiosk sushi di sebuah hypermarket di New Jersey. Kami berdua mejadi rakan kongsi bisnes, kini telah mempunyai 2 orang pekerja sepenuh masa.

Walaupun masih belum boleh mengira untung saya sangat bersyukur pada tuhan yang esa. Bila dikenangkan ketika saya mula mendarat di bumi Amerika, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya untuk saya meneruskan kehidupan di sini.

Hidup seperti di jalanan, berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Saya mula membina kenalan baru.

Besar tanggungjawab yang dipikul, bukan hanya diri sendiri perlu difikirkan bagaimana mahu terus hidup di sini, di tempat baru yang saya sendiri tidak tahu apa-apa.

Tetapi keluarga, isteri dan anak-anak lebih lagi perlu difikirkan. Mereka lah yang membuatkan jiwa saya seperti ada satu aura luar biasa untuk terus cekal meneroka rezeki di bumi Amerika.

Daripada tiada kenalan, kini saya sudah mengenali ramai warga tempatan. Ada yang rapat seperti keluarga sendiri.

Daripada hidup di jalanan, berpindah randah sana sini, kini sudah ada tempat untuk berteduh.

Daripada tidak tahu apa-apa dan ke mana harus dituju, kini sudah mahir dengan selok belok kota metropolitan New York.

Daripada hanya beberapa helai duit dolar di tangan, kini sudah mula menjana sedikit rezeki. Alhamdulillah. Sudah boleh untuk makan sedikit mewah.

Rezeki Allah itu sangat luas. Kini saya sedang dalam proses menambah cawangan kedua serta dalam masa yang sama saya membuka sebuah syarikat trading yang memberi fokus kepada export dan import barang ke luar negeri. Alhamdulillah.

imej-10
Kiosk sushi sendiri, boleh letak hingga 300 paket dalam satu-satu masa.
imej-11
Bergambar di depan kiosk sushi. Alhamdulillah daripada seorang tukang cuci pinggan, kini bergelar bos.

Imam shafie ada menjelaskan, setiap orang bermusafir itu akan mendapat 5 kebaikan iaitu:

1. Jika dia memerhatikan ciptaan Allah di tempat itu dengan iman, dia akan memperoleh iman.
2. Jika dia berhajat untuk mencari ilmu, dia akan mendapat ilmu.
3. Jika dia berjalan untuk menimba pengalaman, dia akan mendapat pengalaman. Melalui pengalaman, dia mendapat asas hikmah.
4. Jika dia bermusafir untuk mencari kenalan, dia akan mendapat kawan.
5. Jika dia mencari peluang untuk berniaga, dia akan mendapat rezeki.

Sungguh mendalam maksudnya jika dihayati.

Nasihat saya kepada rakan-rakan di luar sana, untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi bukalah pintu hati untuk menerima kritikan kerana hidup tanpa kritikan tidak akan membantu diri untuk lebih berjaya.

Sekiranya ditakdirkan anda terpaksa bermula dari bawah, usah malu dengan kata sinis orang sekeliling

Buat yang terbaik dan jalan terus, kerana mereka bukan penentu kepada kejayaan, tetapi sebaliknya diri kita sendiri yang menentukan hala tuju kehidupan.

Akhir kata, terima kasih saya ucapkan terutamanya buat keluarga, isteri dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan, nasihat serta kata-kata semangat untuk saya bangkit kembali. Sesungguhnya doa daripada kalian semua sangat saya hargai.

Semoga sedikit perkongsian di atas dapat memberi inspirasi kepada anda untuk lebih berjaya di masa hadapan inshaAllah. Daripada seorang tukang cuci pinggan, kini sudah memiliki perniagaan. Alhamdulillah. Itulah kisah saya.