Seringkali bila travel ke New Zealand, motorhome menjadi pilihan ramai sebagai kenderaan untuk menjelajah negara ini. Ditambah dengan kemudahan prasarana yang disediakan oleh Tourism New Zealand untuk kemudahan parking dan menyelia motorhome menjadikan pengembaraan di negara ini sesuatu yang unik.

Tapi berbeza dengan seorang gadis yang lebih gemar dikenali sebagai Violet Biru. Beliau lebih gemar berbasikal secara solo sewaktu mengembara hampir 3 bulan di negara Kiwi ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum bercerita lebih lanjut tentang misi berbasikal gadis ini, saya ingin bawa anda untuk mengenali serba sedikit latar belakang beliau.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini telah meninggalkan pekerjaan terakhir beliau sebagai engineer di syarikat pemprosesan minyak kelapa sawit sejak beberapa bulan lepas. Kini Violet terlibat sebagai volunteer di sebuah kedai basikal di Bangsar.

Melihat status update di Instagram dan akaun Facebook gadis ini, pada mulanya saya menyangka beliau telah lama terlibat dalam aktiviti berbasikal. Tapi nampaknya tekaan saya silap.

Saya mula berbasikal pada awal tahun 2016 selepas memiliki basikal gear pertama pada Dec 2015 sewaktu menjadi volunteer di kedai The Basikal di Bangsar. Basikal 2nd hand yang diubahsuai oleh owner The Basikal saya gunakan untuk touring pertama saya dari Tanjung Piai, Johor ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah pengalaman pertama sangat berjaya dan saya bertemu dengan ramai cyclist yang banyak membantu sewaktu touring pertama saya itu. Dari situ saya jadi lebih yakin yang saya mampu untuk berbasikal pada jarak jauh. Itulah pengalaman pertama saya dengan aktiviti berbasikal.

Pengembaraan Di New Zealand Bermula

Dengan berbekalkan pengalaman pertama kali berbasikal dari Johor ke Kuala Lumpur, Violet mengorak langkah memulakan pengembaraan beliau menjelajah New Zealand pada 5 Mach 2016. Pengembaraan berbasikal secara solo gadis ini adalah di sekitar Pulau Selatan (South Island).

Ditanya dari mana datangnya idea untuk berbasikal di New Zealand, jawab Violet;

“Saya sukakan alam semulajadi. Dan saya tahu NZ mempunyai lanskap yang sangat menakjubkan dan saya ingin alami sepenuhnya keunikan alam di New Zealand.

Jadi saya rasakan dengan cara berbasikal saya dapat penuhi apa yang saya ingin lihat. Saya juga sangat meminati fotografi. Dengan basikal perjalanan saya jadi lebih fleksible dan memudahkan saya untuk penuhi minat saya iaitu mengambil gambar pemandangan yang cantik di sepanjang laluan saya”.

Diwaktu yang sama NZ juga merupakan negara yang sangat cyclist friendly menjadikan saya rasa lebih selamat berbasikal di NZ.  Selain itu, dengan berbasikal lebih mudah untuk saya bersosial dan mendekati orang sekeliling terutamanya rakyat tempatan – Violet.

Berkenaan basikal yang ditunggang oleh gadis ini, terang Violet basikal tersebut dibawa dari Malaysia. Ia merupakan basikal dari gabungan 2nd hand part dari basikal lain. Ada beberapa part yang telah beliau tambah agar lebih selesa dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

“Yup ia memang touring bike. Saya invest pada hub gear dan saddle kerana sebelum ini sewaktu berbasikal di Malaysia saya menghadapi masalah dengan saddle dan gear.

Setelah berbincang dengan owner The Basikal kami ambil keputusan untuk upgrade gear kepada hub gear untuk memudahkan pengendalian dan saddle yang lebih selesa. Part lain semua dari 2nd hand bike” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-1

“Ini first trip saya di mana saya nak belajar ketuk pintu rumah orang. Bukan apa selama ni travel hanya dapat keindahan sahaja. Kali ni nak lebih. Nak prespektif nature dan juga dari mata local. Semoga Allah redha!” – 5 Mach 2016.

berbasikal-di-new-zealand-8

“I don’t know how long its take me, but I am going somewhere beautiful!

Thanks sangat pada #siraptourer Khairin Lennon yang bagi pinjam tools dan bag. Semua tu bag dorang. Nak cakap sini yang penting semangat. Benda lain tu semua kita yang buat dia. Haha nampak tak semangat?!

Dan this maybe last update sebab lepas ni dah limited connection almaklum nak jimat bateri dan tak ada sim card huhu. Nak online fulltime dengam alam. Doakan saya!”

berbasikal-di-new-zealand-9
Morning Malaysia! View saya untuk hari ni. Syukur sangat!

Peluang Hiking

Selain daripada berbasikal, gadis yang sukakan aktiviti mendaki gunung ini juga turut berpeluang hiking di beberapa lokasi di sepanjang laluan pengembaraan beliau.

Yup saya sukakan hiking! Tapi saya hanya buat day trip sahaja kerana kekangan masa dan budget. Trail pertama saya adalah bersama host saya di Christchurch.

Setakat ini Violet telah melakukan pendakian di Christchurch (Taylor Mistake track), Lake Rotoiti (Bushline Hut track), Cable Bay Trek, Wanaka (Roys Peak & Mt Iron), Mt Cook Village (Muller Hut track, Hooker Valley track dan Tasman Glacier track) dan Tekapo (Mt. John track).

berbasikal-di-new-zealand-4

“Hari ni kami buat trekking di Taylors Mistake trail kemudian lepak di Sumner Beach. Taylors Mistake ni trail dia serupa macam trail dekat Pasang Savana ala-ala dari Sembalun ke Pelawangan Sembalun tapi tambah awesome dengan laut kat sebelah tepi.

Angin kuat tok sah cerita la. Selain dari berjalan kaki boleh juga kalau nak ride dengan MTB. Wow hari ni aku memang kagum sangat dengan ciptaan Allah dekat New Zealand ni. Betullah orang kata New Zealand ni awesome sangat!” — at Taylors Mistake”.

berbasikal-di-new-zealand-3

“Hi! Hike dekat Cable Bay bebiri berlambak-lambak. Bila kita jalan dia punya tenung kemain. Bila ajak bermesra laju gila beliau berlari”. — in Cable Bay, New Zealand.

berbasikal-di-new-zealand-5

“View from Paddys Trek! Can see Lake Rotoiti and St Arnaud Range. Awesome! Cuma berawan mendung”.

berbasikal-di-new-zealand-6

Yeah #bucketlist complete! Roys Peak! With view of Lake Wanaka and Mt Aspiring! Dah 3 hari sampai Wanaka. Hari ni merepeut dekat library sebab hujan sini. — at Lake Wanaka.

Berkhemah Untuk Jimatkan Kos

Berkenaan tempat tidur dan berehat pula, menurut Violet di kebanyakan masa beliau berkhemah di campsite (DOC) yang banyak terdapat di NZ. Caj yang dikenakan di campsite bagi tapak khemah juga lebih murah berbanding menginap di dorm / hostel. 

Namun begitu jika hujan lebat, Violet tiada pilihan melainkan menginap di dorm hostel.

“Contohnya sewaktu saya berbasikal dari Haast ke Makarora waktu itu hujan lebat dan ketika saya tiba di Makarora saya totally wet dan hujan masih lebat. Jadi saya pilih untuk tidur di dorm untuk memastikan badan saya sentiasa sihat dan tidak jatuh sakit.

Selain itu jika berada di bandar besar, caj tapak khemah dan dorm yang dikenakan lebih kurang sama harga. Dalam situasi ini saya memilih dorm kerana lebih mudah.”

Sebagai contoh di bandar Dunedin, harga dorm adalah sekitar 25NZD dengan unlimited wifi, hot shower dan sarapan percuma berbanding campsite yang memerlukan kos tambahan untuk hot shower, wifi dan sarapan” – Violet.

Tambah Violet lagi, adakala beliau menginap di hostel sebagai ‘reward’ atas penat lelah beliau terutama apabila perlu berkayuh mendaki bukit.

“Contohnya waktu di Mt Cook saya memilih untuk tinggal di dorm (YHA HOSTEL) berbanding di khemah kerana suhu yang semakin sejuk. Dan saya menganggap berada di YHA hostel sebagai satu reward untuk saya selepas 2 bulan berbasikal” – Violet.

Menginap di hostel juga turut memberi peluang untuk Violet bersosial dan berkenalan dengan pengembara lain serta saling bertukar info dan berkongsi kisah pengembaraan masing- masing.

“Selain itu caj YHA hostel juga lebih murah untuk cyclist. Mereka memberikan potongan diskaun sehingga 25-30%. Jadi saya rasa ia pilihan yang bijak. Hehe” – Violet.

Couchsurfing / Warmshower Membership

Selain daripada itu Violet turut mengambil manfaat daripada courchsurfing / warmshower membership. Terang Violet;

“Saya merupakan antara ahli dalam warmshower yang mana ia merupakan satu website untuk para cyclist saling bertukar info dan memberikan khidmat tempat tinggal kepada ahlinya.

Yup konsepnya sama seperti courchsurfing tetapi lebih kepada cyclist. Tujuan saya tinggal bersama local people selain daripada dapat menjimatkan kos, saya juga dapat berkenalan dan meminta pandangan tentang route cycle di NZ.

Sejujurnya waktu saya datang ke NZ saya tidak mempunya proper cycle route jadi apabila bertemu dengan mereka saya dapat meminta pandangan route apa yang saya patut ambil. Local knows better! Selain itu saya juga dapat belajar dengan mereka tentang masyarakat tempatan di NZ” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-10

“Sekali ada wifi free plak dekat toilet ni. Haha! Belanja satu picture. Rupanya jalan yang lalu nk ke Hanmer Spring ni dipanggil Alpine Pacific Triangle”.

berbasikal-di-new-zealand-18

Semalam tidur mengadap Lake Pukaki hari ni mengadap Lake Tekapo. Thanks YHA hostel sebab ada tent site untuk cyclist with special price. Jimat berbanding duduk holiday park. Dah la wifi unlimited free boleh la layan Sin Chan malam ni dari dalam tent.  Hahaha. Ko hadow? — at Lake Tekapo NZ.

berbasikal-di-new-zealand-14

This 2 days akan duduk rumah host dekat Tuamarina. Hari ni dia ajar buat muffin. Bestnya semua buah ambil dekat laman je! — in Tuamarina, New Zealand.

berbasikal-di-new-zealand-15

“Kini masa balas budi. Pisang goreng la weiii. Padahal kat Malaysia tak pernah pun buat pisang goreng! Esok dah nak start berkayuh. Dah tak ada gunung dah. Start esok kita ke tebing laut plak!” — in Tuamarina, New Zealand.

berbasikal-di-new-zealand-11

“Pemandangan Waiau Ferry Bridge. Kalau nak ke Hanmer Spring memang akan lalu jambatan ni. Waktu ke sini tadi ada kebakaran hutan. Pegawai bomba di bawah kasi saya lalu dulu sebab jalan sempit. Dia akan mengawal trafik di bawah.

Sekali bila lalu mak aihh mendaki. Tak sanggup nak berhenti snap gambar sebab ada yang mengawal trafik untuk saya kan. Kalau berenti alamat berjam lah.

Musim panas di New Zealand ni kebanyakan hutan jadi kering dan mudah terbakar. Semua campsite dilarang mengadakan pembakaran. Jambatan ni juga popular untuk terjun bungy. Boleh la terjun dari jambatan ni!” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-17

Cabaran Dan Halangan

Ditanya tentang halangan dan cabaran yang ditempuh, menurut Violet sehingga ke saat ini tiada halangan besar yang ditempuh. Malahan orang-orang di NZ sangat membantu. Jalan di negara ini juga sangat cyclist friendly.

Kalau di tanya halangan mungkin visa. 3 bulan untuk berbasikal di sini adalah waktu yang sangat singkat hehe.

Faktor cuaca di NZ  yang sentiasa berubah-ubah adakala agak menyukarkan perjalanan beliau terutama ketika hujan dan angin kencang.

Sambung Violet lagi, pernah sewaktu berkhemah di Invercargill dan Tekapo angin sangat kuat sehingga menyebabkan khemah beliau hampir terbang. Bila malam suasana angin kuat kadang-kadang agak menakutkan.

Tetapi dari situ beliau belajar bagaimana mahu survive ketika berhadapan dengan angin kencang terutama dari segi setting khemah dan tapak khemah yang sesuai.

Berbasikal ketika angin kencang yang datang dari hadapan juga antara cabaran yang terpaksa ditempuhi. Bayangkan ketika turun bukit tetapi masih terpaksa berkayuh disebabkan angin kencang yang bertiup dari arah hadapan.

Adakala basikal beliau ditolak ke tepi oleh angin yang menyebabkan sukar untuk beliau mengimbangkan badan. Ini juga menjadikan beliau berada dalam situasi amat berbahaya terutama ketika sedang berbasikal di atas highway.

Trak panjang di NZ juga kadang-kadang merimaskan terutama ketika berbasikal di sekitar west coast. Jalan sempit dan berbukit dengan trak besar lalu lalang antara cabaran yang harus ditempuhi.

berbasikal-di-new-zealand-19

“When I’ve arrived at Riverton there’s a rainbow waiting for me! Totally wet when I’ve arrived Invercargill. Gonna spend more time here. And plan next route! — in Invercargill, New Zealand”.

berbasikal-di-new-zealand-28

“Mendaki lebih 15KM dengan laluan berbatu macam ni memang mencabar. Rasanya 10% je saya mengayuh 90% lagi tolak. Dengan load macam ni memang ada rasa nak humban masuk gaung je. Ini trek dari Hanmer naik ke Jack Pass melakui Clarence road. Bertabah lah kerana view di sebalik gunung adalah sangat menggiurkan!”

berbasikal-di-new-zealand-16

“Kepala lutut buat hal plak. Ni ha ubat dia. Sebab beli air ni sebab nak ais je nak tuam kat lutut huahuahua”.

berbasikal-di-new-zealand-29

Kenderaan Lain Yang Dinaiki Selain Daripada Basikal

Menurut Violet selain daripada basikal, beliau juga turut bergerak ke lokasi lain dengan menaiki  steam ship, steam train dan shuttle bus.

Steam ship diambil oleh gadis ini daripada Queenstown ke Walter Peak station kerana beliau ingin melalui off road (jalan dalam) untuk ke Te Anau. Jalan ini juga dikenali sebagai around the mountain route di mana ia memerlukan Violet mengambil steam ship.  Ia juga merupakan satu pengalaman baru bagi Violet yang pertama kali merasa naik steam ship.

Kaedah lain yang digunakan oleh Violet adalah menaiki steam train daripada Dunedin ke Middlemarch. Beliau mengambil steam train ini untuk merasa dan melihat sendiri keindahan countryside NZ dengan pengalaman berkereta api.

Cara ke 3 adalah dengan menaiki shuttle bus dari Invercargill ke Dunedin. Keputusan untuk menaiki bas ini adalah satu tindakan yang sangat berat untuk dilakukan tetapi setelah mengambil kira banyak faktor beliau teruskan juga dengan kaedah ini.

Antara faktornya yang mempengaruhi adalah keadaan cuaca yang hujan di sepanjang minggu tersebut dan juga masa yang semakin suntuk.

Saya perlu memilih sama ada jika berkayuh dari Invercargill ke Dunedin atau berada lama di Mt Cook.

berbasikal-di-new-zealand-24

“Dansey pass (935m) from Naseby to Duntroon! Yeah I take steam train from Dunedin to Middlemarch and then cycling to Ranfury and Naseby then took the Dansey pass to omarama and now at Twizel. Seriusly Dansey Pass is awesome! And now its autumn!” — at Danseys Pass.

berbasikal-di-new-zealand-22

Train or bus? Beza kos banyak tapi beza pengalaman lagi banyak. Jangan berkira sangat hehe”.

berbasikal-di-new-zealand-23

“Hola Dunedin! Haha semalam kat Invercargill hari ni kat Dunedin. Saya ambil bas pagi ni ke Dunedin. First time cheat tak kayuh sebab cuaca tak ok dan dah tak cukup masa wei banyak nak cover. Hehe so be prepared for the next off road here!” — at Dunedin NZ.

Bekalan Makanan

Ditanya tentang bekalan makanan pula, menurut Violet, beliau tidak membawa bekalan makanan yang banyak kerana setiap hari beliau akan pekan kecil. Bekalan makanan akan dibeli di kedai dan pasaraya yang terdapat di bandar tersebut.

Namun apabila beliau perlu melalui jalan dalam (back country) seperti Molesworth Road di mana tiada kedai akan ditemui selama 5 hari, bekalan makanan yang mudah dimasak dan mengenyangkan seperti spageti, lobakm kentang dan telur.

Selalunya bila berbasikal saya menjadi vegetarian. Basikal saya mempunya 4 pannier, satu pannier di bahagian tayar depan memang dikhaskan untuk makanan jadi saya letak apa yang muat sahaja. Itu cara saya kawal muatan dan bekalan makanan. Selain itu saya juga selalu membawa roti dan jem serta biskut dan epal sebagai lunch pack saya.

Ujar Violet lagi, apabila singgah di sesebuah pekan beliau akan berhenti mengayuh basikal untuk satu tempoh selama 2 ke 5 hari. Pada ketika inilah gadis ini akan membeli stok beras, tepung dan makanan lain.

berbasikal-di-new-zealand-30
Bila mood aku datang cenggini ha masak buat minum petang katanya!
berbasikal-di-new-zealand-26
Jemput makan! Dinner hari ni!
berbasikal-di-new-zealand-27
Akhirnya haaa!

Bajet, Kos Pengembaraan Dan Faktor Yang Mempengaruhi

Berkenaan bajet bagi sepanjang pengembaraan ini ujar Violet ianya agak subjektif.

“Saya tak berani nak letak berapa bajett sebab lain orang lain cara. Apa yang saya boleh kongsikan jika saya memilih untuk hanya tinggal di DOC campsite bajet sehari adalah antara 5 – 10NZD.

Jika tinggal di dorm kos untuk sehari adalah antara 25 – 30NZD dan jika ke campsite holiday park bajet sehari adalah antara 15 – 20 NZD.

Bajet makan pula jika masak sendiri untuk seminggu dalam 10-20nzd. Kebanyakan bajet saya banyak tertumpu kepada makanan dan tapak khemah.” – Violet.

Ujar Violet lagi bajet juga dipengaruhi oleh route yang diambil dan masa yang diperuntukkan.

Selain daripada itu, musim juga turut mempengaruhi. Waktu siang lebih panjang pada waktu malam berbanding musim sejuk.

Kebanyakan cyclist datang berbasikal di New Zealand ketika musim panas kerana  suhu lebih selesa. Di musim lain juga masih boleh berbasikal di NZ. Cuma para penunggang basikal perlu  bersedia dengan kelengkapan yang sesuai mengikut musim terutama  jenis khemah, pakaian dan sleeping bag.

Bertemu Orang Malaysia Di New Zealand

Walau sejauh mana kaki melangkah pasti terselit rindu kepada keluarga di tanah air.

Menurut Violet banyak kali juga beliau terserempak dengan orang Malaysia sepanjang mengembara di sana. Pertemuan pertama beliau adalah dengan satu keluarga Cina dari Seremban yang teruja melihat Violet berbasikal di NZ. Biskut beras turut diberikan sebagai bekalan oleh keluarga ini.

“Saya juga berjumpa dengan keluarga Pak Ali yang merupakan owner Jeruk Pak Ali Pulau Pinang. Mereka mengajak saya makan tengahari bersama. Masa tu saya rasa sangat terharu sebab dapat makan nasi putih dan kari ayam setelah lebih 2 minggu jadi vegetarian.

Selain itu saya juga telah bertemu dengan keluarga Yazid Zulme yang menumpangkan saya dari Te Anau ke Milford Sound dan malamnya kami masak asam pedas ikan salmon bersama-sama.

Ujar Violet lagi beliau juga telah bertemu beberapa kawan di kalangan rakan Facebook beliau. Yang kelakarnya mereka menegur gadis ini dengan nama Violet dan bukannya nama sebenar beliau.

Insiden lain yang turut menjadi kenangan manis bagi gadis ini apabila disapa oleh kapten Southern Journey Cruise di supermarket di Te Anau.

Dia cakap dia nampak saya berbasikal di Mt Nicholas. Kemudian dia suruh saya datang ke Milford Sound. Bila tiba di sana dia belanja saya naik cruise dan lunch atas cruise. Itu juga telah jadi satu kenangan manis buat saya sebab bila orang mula ingat tentang saya. Rasa macam keluarga sangat” – Violet.

Kenangan bertemu dengan ramai cyclist lain dan saling bertukar cerita turut menjadi satu kenangan manis dan lucu apabila mereka bersama-sama mengenang kembali jalan yang dilalui dengan berbasikal dan pernah melalui penyiksaan yang sama.

Violet juga rasa seronok apabila disapa oleh pengembara lain yang seolah tidak percaya apabila melihat beliau berbasikal. Mereka banyak memberi galakan dan sokongan walaupun baru sahaja bertemu.

Mereka percaya saya mampu menyudahkannya – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-33
Kenangan dengan keluarga Yazid Zulme di Miford Sound.
berbasikal-di-new-zealand-35
With the captain of Southern Journey Cruise. Thanks for the ride and lunch.

berbasikal-di-new-zealand-12

Hujan emas di negeri orang. Hujan batu di negeri sendiri. Indah lagi negeri sendiri. Miss you Malaysia tapi bumi tuhan ni luas dan harus dijelajah.

Pengalaman Lucu

Pengalaman lucu bagi Violet ialah apabila bertemu dengan orang yang sama berulang kali.

“Saya takkan melupakan pasangan dari Perancis bernama Justine dan Fro. Pertama kali kami bertemu adalah di Hanmer Spring. Waktu itu mereka baru sahaja selesai melakukan Rainbow Track manakala saya baru hendak memulakan Molesworth Station Track. Mereka banyak berkongsi tips berbasikal di NZ.

Kemudian saya bertemu kembali mereka di Wanaka. Sangat terkejut sebab mereka mengejar saya waktu itu. Dari situ kami mula menyakat antara satu sama lain dan mengatakan siapa yang ikut siapa.

Kemudian kami berjumpa lagi di Queenstown. Waktu itu kami sama-sama naik steam ship untuk ke Walter Peak. Berkayuh 2 hari dari Walter peak ke Mavora Lakes bersama mereka adalah pengalaman yang sangat manis dan lucu. Kami berkhemah bersama di dalam hutan dan Flo sentiasa berkongsi idea-idea ‘how to survive’ beliau. Dia pernah cuba menyalakan api menggunakan kayu tetapi tidak berhasil.

Di hari terakhir kami berpisah. Mereka kata mahu terus ke Invercargill tanpa singgah ke Te Anau  iaitutempat yang saya akan tuju tetapi 2 hari selepas itu saya berjumpa mereka di Te Anau” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-34
Me with Justine and Fro.

Pengalaman Ngeri

Dari segi pengalaman ngeri pula berikut adalah perkongsian gadis ini.

“Sewaktu berkayuh di Molesworth Station. Waktu itu sudah masuk 4 hari berkayuh dari Cob Cottage hendak keluar ke Camden. Perjalanan disekeliling adalah gunung-ganang dan ladang ternakan lembu dan kambing.

Untuk jumpa kereta yang disepanjang laluan ini sangat sukar hingga ke satu saat saya tiba-tiba rasa lost dan mula hilang keyakinan diri. Saya mula rasa takut apabila melihat didepan juram yang besar dan jalan yang tidak ada penghujung.

Waktu itu rasa nak jerit minta arah jalan tapi tiada siapa yang boleh dengar. Saya duduk seketika dan mula mengumpul kembali rasa percaya bahawa saya tidak akan tersesat.

Alhamdulilallah selepas sejam meneruskan perjalanan terjumpa sebuah kereta yang lalu dan beliau memberitahu bahawa jalan yang saya lalu adalah betul. Cuma malam itu saya terpaksa ‘wild camping’ di sebelah anak sungai sebab perjalanan untuk keluar masih lagi jauh” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-13

“Naik gunung tu tak mudah, bila heret basikal dengan beban yang 10 kali ganda aku tanya diri aku apesal aku bawa banyak sangat benda lagi susah. Tapi susah macam mana kena harung jugak sebab bukan ada siapa kau boleh call atau kereta kau boleh tahan sambil senyum sengih nak tumpang boleh?

Masa tu lah mulut akan cakap Allahumma yassir wala tu’assir. Permudahkanlah ya Allah jangan Kau sulitkan.

Masa naik gunung ni aku rasa nak give up. Menyumpah sikit dalam hati tapi tetap pedal. Sampai dekat top aku jadi ragu-ragu wajar ke aku turun ni kalau lah salah jalan mau pengsan nak panjat naik balik. Masa tu lah GPS tak tunjuk sebarang pergerakan. Statik. Dalam hati tawakal jelah.

Kau bayangkan takut masa tu? Sapa kata aku tak takut. Aku tak berani cuma aku yakin je route tu selamat dan doa Allah jaga aku. Alhamdulillah keluar gak dari belantara debu. Waktu turun downhill ni banyak aku belajar. Bersusah-susah dahulu, ha kan senang turun pecut melompat-lompat baq hang!”

berbasikal-di-new-zealand-21

“Actually kejadian rack patah dah 2 hari lepas. 2 hari jalan dengan rack sebelah. Alhamdulillah sampai Twizel dah keluarkan dah screw tu, habis di grinder. Untuk tambah safety segala cable tight kasi ikat. Oklah moh la kita cycle ke Mt Cook. Jumpa lagi next…. Entah.”

berbasikal-di-new-zealand-20

“I knew that if I allowed fear to overtake me, my journey was doomed. Fear, to a great extent, is born of a story we tell ourselves, and so I chose to tell myself a different story from the one women are told. I decided I was safe. I was strong. I was brave. Nothing could vanquish me” – Cheryl Strayed, Wild: From Lost to Found on the Pacific Crest Trail. VB on tour South Island New Zealand!

Kesan Positif Kepada Diri Dari Pengembaraan Solo Di New Zealand

Menurut Violet berada berseorangan dengan basikal di negara yang asing merupakan satu pengalaman yang agak mencabar. Tetapi gadis ini sentiasa belajar untuk mempositifkan diri dan memberi galakan pada diri sendiri bahawa beliau boleh lakukannya selagi beliau mahu dan tidak mudah berputus asa.

“Saya rasa perkara yang sangat memberi kesan pada diri ialah apabila saya mula percaya pada diri yang saya mampu lakukan sesuatu yang pada orang sangat mustahil. Selain itu rasa percaya pada diri itu juga membuat saya menjadi percaya bahawa adanya pertolongan dari Allah dalam setiap situasi mencabar yang saya tempuhi”.

Selain daripada itu menurut gadis ini juga beliau terpaksa menjadi lebih kreatif terutama apabila berhadapan dengan masalah seperti stove rosak dan rak basikal patah.

“Saya jadi lebih tenang menghadapi masalah dan belajar untuk selesaikan satu-satu masalah tanpa perlu merasa gelabah” – Violet.

berbasikal-di-new-zealand-32

“Biru air tasik sebiru sabun Fab. Entah kenapa bila aku tengok Lake Pukaki yang warna biru ni mengingatkan aku pada air sabun”. — at Mount Cook.

berbasikal-di-new-zealand-31

“Gemilang sungguh cuaca hari ini. Kat NZ ni pagi tadi hujan lebat tengah hari kemain sampai kering baju. Sebab tu orang cakap kat NZ dalam satu hari boleh ada 4 musim. You’ll never expect! “— at Lake Rotoiti – St Arnaud.

berbasikal-di-new-zealand-7

Stove rosak. Terjadi kejadian drama Tamil tadi. Pernah tengok filem Wild tak? Masa perempuan tu tak dapat guna stove dia. Begitulah keadaan aku sekarang grrr. Nasib baik dah standby emergency ration. Huhu.

Kat sinilah kau nak rosakkan? Bertabahlah. Kata nak ‘wild’ sangat! — at Balmoral Recreation Reserve Campground, Hurunui.

Reaksi Keluarga

Berbasikal seorang diri di negara asing pastinya menimbulkan kegusaran di hati keluarga gadis ini. Sambil ketawa Violet berkata;

“Saya rasa mak saya dah imune dengan minat saya cuma mesti ada rasa risau. Saya janji keep calling dan update perkembangan semasa dan yang penting sekali sentiasa jaga diri. Alhamdulillah cuba terima tapi kadang-kadang dia pun rasa pelik kenapa anak dia yang sorang ni suka sangat benda-benda macam ni”.

Pesanan Buat Yang Ingin Berbasikal Di NZ

“Jika ada keinginan lakukan sahaja. NZ sangat cyclist friendly dan sangat mudah untuk berbasikal di sini. Selain itu terdapat banyak cycle route dengan pemandangan yang sangat menakjubkan. Anda tak kan menyesal.

Rakyat NZ juga sangat aktif berbasikal. Boleh dikatakan setiap rumah mesti ada basikal malah pada kereta mereka juga ada rak untuk menyangkut basikal. Kalau datang ke NZ dan punya waktu terluang saya sarankan anda menyewa basikal dan cuba berbasikal paling kurang setengah hari. Perasaan dan nikmatnya lebih lain daripada travel biasa” – Violet.

Untuk pengetahuan, pengembaraan Violet di NZ akan berakhir pada 28 Mei ini. Destinasi beliau yang seterusnya adalah ke Melbourne, Australia selama 5 hari sebelum kembali ke tanah air.

Violet akan berehat dari aktiviti berbasikal di sepanjang Jun dan Julai. Namun menurut gadis ini beliau akan kembali di atas jalan dan meneruskan kembara ke satu lagi destinasi yang masih dirahsiakan.

Terima kasih Violet Biru sudi berkongsi kisah anda di Vocket. Semoga ia turut memberi inspirasi kepada traveller lain untuk keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran mengembara seterusnya menjadi insan yang lebih positif.

Baca lagi: Inilah 20 Tip Cara Saya Berjimat Sewaktu Travel Di New Zealand