Nota Editor: Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro Online pada 5 September 2010. Kami menyiarkan semula di Vocket di atas inspirasi dan ilmu yang dapat diserap daripada penulisan ini. Anda boleh mengikuti penulisan bisnes di Facebook Puan Ainon Mohd di sini.

“PALING penting, buku Melayu mesti menyebabkan orang Melayu bangga memegangnya. Buku menjadi aksesori, mesti cantik dan mesti mahal. Dulu orang malu hendak kepit buku Bahasa Melayu dalam bas atau kapal terbang, tetapi keadaan berubah apabila buku Bahasa Melayu semakin menarik dan berkualiti,” kata Pengerusi Kumpulan PTS (PTS), Ainon Mohd, 60, selepas menyedari kelemahan buku Melayu dan berusaha mengatasinya.

Kecintaannya pada Bahasa Melayu dan perjuangannya memartabatkan bahasa kebangsaan menyebabkan pakar Bahasa Melayu itu melepaskan jawatan di DBP selepas 14 tahun berkhidmat bagi membangunkan syarikat penerbitan sendiri, kira-kira 10 tahun lalu.

Bermodalkan RM100,000, Ainon dan dua saudara kandung, Ariffin, 58, dan Abdul Aziz, 63, membangunkan syarikat penerbitan, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. Pada awal penubuhan syarikat, beliau hanya menerbitkan bukunya sendiri sebelum menerbitkan karya orang lain.

“Dulu buku dalam Bahasa Melayu tidak cantik, menyebabkan kurang minat pembaca memilikinya. Waktu itu, orang tidak percaya buku Bahasa Melayu boleh diketengahkan.”

“Kalau lihat di kedai buku elit dan yang dimiliki bukan Bumiputera, sukar mencari buku Bahasa Melayu kerana mereka lebih suka menjual buku Bahasa Inggeris.”

“Bagaimanapun, perkembangan sekarang membanggakan. Buku Bahasa Melayu duduk di depan kedai. Jualan buku Bahasa Melayu menyumbang perolehan besar kepada kedai buku.”

“Mengapa dulu buku Bahasa Melayu tak masuk kedai buku? Sebab buku Bahasa Melayu tak cantik. Kedai buku hendak buku yang cantik untuk dijual. Penerbit Melayu tidak perlu takut bayar untuk mendapatkan pelukis berbakat yang melakar ilustrasi cantik dalam buku dihasilkan,” katanya.

Ainon berkata, orang Melayu mempunyai wang untuk membeli buku yang mahal harganya dan ia dibeli keluarga berpendidikan yang mahu menggalakkan anak membaca.

“Saya cuba memenuhi dan mengenal pasti kehendak pembaca. Misalnya, untuk budak lelaki, kami mengeluarkan komik yang ada maklumat dan motivasi selain buku sejarah dan fiksyen menarik.”

“Kanak-kanak lelaki yang membaca komik, lama kelamaan akan memegang teks. Ini adalah kebiasaan kerana ia membantu memupuk minat membaca,” katanya.

PTS menerbitkan 3,000 karya dalam masa enam bulan. Kemudian penerbit buku Bahasa Melayu itu semakin rancak dengan menerbitkan antara 6,000 hingga 8,000 buku dalam tempoh dua bulan, dan enam bulan selepas itu buku berkenaan diulang cetak.

Menurut Ainon, syarikatnya mengamalkan perniagaan yang bersih daripada rasuah dan riba, manakala semua kemudahan perbankan diperoleh daripada perbankan Islam.

“Semua produk dihasilkan juga mematuhi syariah iaitu dalam novel cinta tiada babak berpegang tangan atau pasangan kekasih mengadakan temu janji. Malah, kisah dua lelaki berebut seorang wanita atau sebaliknya juga tidak ada dalam buku diterbitkan PTS.”

“Apabila berniaga cara yang bersih, Allah akan tolong. PTS tidak pernah mendapat bantuan kerajaan tetapi didukung dua bank milik bukan Bumiputera. Peniaga lain perlu ada keyakinan kita orang Melayu boleh berniaga dengan bangsa lain.”

“Ini kerana, PTS berurusniaga dengan pembekal, bank, pencetak dan kedai buku milik orang Cina. Pelanggan terbesar buku keluaran PTS juga syarikat Cina iaitu Popular dan MPH.”

“Tanggapan orang Cina tidak menolong usahawan Melayu harus dikikis kerana ia tidak benar. PTS mencetak buku bernilai beratus ribu ringgit dan yang memberi kredit tanpa cagaran ialah bank Cina,” katanya. Menurutnya, orang Cina sanggup memberi kredit kepadanya kerana PTS tidak mempunyai rekod lari daripada hutang.

“Orang berniaga tidak harus lari daripada hutang. Jika tidak menjelaskan hutang, pembekal tidak berani membekalkan barangan kepada kita. Siapa hendak bekalkan barangan kalau tidak bayar.”

“Satu prinsip yang saya amalkan ialah dahulukan pembayaran hutang. Biar berlapar tetapi hutang mesti dibayar. Ini bagi menjaga kepercayaan pembekal dan penulis buku,” katanya.

PTS sentiasa berhutang RM3 juta kepada pencetak yang memberi tempoh kemudahan kredit tiga bulan manakala PTS pula memberi kemudahan kredit kepada kedai buku selama tiga bulan. Di samping itu, syarikat itu mengagihkan RM1.9 juta bayaran royalti kepada penulis.

“PTS mempunyai pasukan bagus sebagai pengutip hutang dan pengarang. Alhamdulillah dengan bantuan Allah, kami membayar zakat setiap bulan daripada kutipan hutang kedai buku sebelum membayar gaji pekerja,” katanya.

Ainon berkata, mendukung semangat 1 Malaysia, pegawai tinggi PTS juga menjadikan penerbit buku Cina yang lebih berjaya sebagai mentor.

Penerbit buku Cina tidak lokek memberi nasihat mengenai pembelian kertas bagi membolehkan kos menghasilkan buku lebih murah.

Sebagai penerbit buku Melayu paling aktif di pasaran iaitu menghasilkan 40 judul buku sebulan, PTS mensasarkan menerbitkan 1,000 buku setahun.

Lebih membanggakan, PTS turut mengeksport judul bukunya ke Indonesia. Sebanyak 100 judul buku kanak-kanak, sastera berat, perniagaan dan motivasi disunting dengan dialih ke dalam Bahasa Indonesia, manakala muka depan buku dihasilkan semula.

Syarikat itu mempunyai lebih 100 pekerja dengan 70 daripadanya di bahagian editorial.

“Saya melatih penulis sendiri menggunakan Bahasa Melayu tinggi dan bahasa yang dianggap ‘skema’. Malah, komik pun menggunakan bahasa tinggi. PTS menjaga Bahasa Melayu seperti DBP menjaganya.”

“Mereka yang membaca buku keluaran PTS dapat menguasai tatabahasa dan ejaan betul kerana tujuan kita memang mahu menjadikan buku PTS sebagai alat bantu mengajar Bahasa Melayu dan memudahkan guru,” katanya.

Beliau berkata, jika remaja kurang minat membaca buku agama, tetapi buku agama keluaran PTS sangat laris di pasaran.

Cerita hadis dan al-Quran ditulis semula, dicetak dengan cantik dengan muka depan buku yang ranggi menyebabkan remaja tertarik untuk membaca dan berkongsi maklumat daripada pembacaan dengan rakan sebaya.

BACA: Perkara Penting Usahawan Melayu Perlu Ambil Berat Ketika Berhutang

BACA Lagi: Nasihat Usahawan Ini Tentang Berhenti Belajar Untuk Berniaga Sangat Jujur Dan Menarik Perhatian

Sumber: Harian Metro, PTS, Cerita Usahawan

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram