Malam 3 Ramadhan 1436H. Detik itu tiba tepat jam 11.35 malam. Seorang doktor kecemasan yang bertugas keluar daripada bilik dan terus mendapatkan aku dan isteriku, Ezri.

“Encik Muhaimin, saya harap encik Muhaimin dan isteri dapat bersabar. Kami telah melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan anak encik. Tetapi anak encik telah tiada. I’m so sorry.”, ujar doktor wanita berbangsa India itu kepada kami.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Allahuakbar. Terasa batu yang berat menghempap dada kami.

Ezri terus menangis dan terus ditenangkan emak. Tangisan kami tidak berakhir pada waktu itu.

Kami meminta kebenaran untuk masuk ke dalam bilik bagi melihat sendiri Zarifa. Doktor memohon masa sebentar bagi jururawat membersihkan Zarifa. Kami dibenarkan masuk tidak lama kemudian.

Zarifa terbaring kaku di atas katil. Bantal merah kesayangannya masih setia bersama Zarifa.

Zarifa seolah-olah sedang tidur. Tidur dengan nyenyak sekali dengan mata yang tertutup rapat.

Aku dan Ezri terus mendapatkan Zarifa, aku di sebelah kanannya dan Ezri di sebelah kirinya.

Baju tidur merah jenama Fiffy masih dipakai dengan kemas. Masih berlinangan air mata kami namun dapat kami kawal melihatkan Zarifa yang sedang ‘tidur’ ketenangan.

Doktor Cheah tiba kira-kira jam 12.15 tengah malam di hospital. Beliau sebenarnya sedang menghadiri makan malam di Kuala Lumpur bersama keluarga semasa pihak hospital menghubungi beliau memaklumkan mengenai Zarifa.

Doktor Cheah membantu mengeluarkan drip di tangan Zarifa sambil aku menjadi orang terakhir yang menanggalkan tiub minuman Zarifa.

Aku melakukannya dengan sangat berhati-hati dan hati yang berdebar. Zarifa seolah-olah sedang senyum dalam tidur panjangnya.

Doktor Cheah membantu kami menguruskan urusan laporan kematian di hospital dengan menandatangani beberapa dokumen pelepasan jenazah dengan pantas. Doktor Cheah memberikan jaminan jenazah Zarifa akan dilepaskan dengan segera kepada kami untuk urusan seterusnya.

Kami diarahkan untuk keluar seketika daripada bilik bagi membolehkan tiga orang jururawat menanggalkan pakaian tidur Zarifa dengan kain putih yang membaluti tubuhnya. Ahli keluarga aku yang ada di hospital pada malam itu membantu kami untuk mengangkat barangan kami ke kereta.

Sekitar jam 1 pagi, jenazah Zarifa diberi pelepasan untuk dibawa pulang. Allahuakbar. Sungguh mudah prosesnya. Allah mempermudahkannya buat kami.

Aku mengambil penghormatan itu, penghormatan untuk mendukung dan membawa jenazah Zarifa daripada biliknya di hospital ke kereta yang dipandu adikku dengan melalui laluan biasa dalam hospital lantas terus ke rumah.

Jenazah Zarifa kami baringkan di atas katil beliau sendiri. Pada masa yang sama aku cuba menyusun urusan pengurusan jenazah yang akan dimulakan selepas solat Subuh nanti.

Aku berjaya mendapatkan nombor telefon Ustaz Yusof, iaitu Pengerusi Kariah Masjid al-Bakri untuk membantu.

Setelah disemak, sememangnya namaku ada dalam senarai ahli khairat kematian masjid. Tanah Perkuburan Islam Bukit Naga hanya terletak kira-kira 700 meter daripada rumahku. Sungguh dekat sekali.

Rumahku terus menjadi tumpuan pada pagi itu. Ramai saudara mara dan sahabat handai tiba untuk melawat.

Jenazah Zarifa masih berada di atas katil. Tiada senyum tawa, suara manja dan lambaian tangan Zarifa. Zarifa terbujur kaku dan menjadi tumpuan utama sesiapa sahaja masuk ke dalam rumah.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sempurnanya jenazah Zarifa. Zarifa kelihatan seperti manusia yang normal.

Tiada lagi sakit jantungnya dan tiada lagi sindrom Edward dalam genetik badannya. Zarifa dimandikan dengan penuh hati-hati. Ezri masih sekali-sekali menitiskan air mata.

Zarifa dipersiapkan untuk ke Syurga. Selesai mandi, Zarifa dibersihkan dan diuruskan di dalam rumah. Suasana penuh hiba menyelubungi rumah ketika Zarifa perlahan-lahan dikafankan.

Esakan tangisan perlahan-lahan daripada khalayak yang hadir memecah kesunyian pagi itu.

Kenangan bersama Zarifa.
Kenangan bersama Zarifa.

Keseluruhan proses memandi dan mengkafankan Zarifa selesai jam 10 pagi. Kini jenazah Zarifa telah sedia untuk disembahyangkan. Aku sempat menghubungi Wak, penggali kubur dan dimaklumkan bahawa kubur Zarifa telahpun disiapkan.

Makin ramai rakan-rakan kami dan ahli keluarga serta jiran yang hadir. Kebanyakannya menunggu solat jenazah yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi.

Sekumpulan pelajar tahfiz yang aku agak kira-kira 20 orang turut hadir bersama Ustaz Yusri. Jemaah surau dan pelajar tahfiz membantu aku untuk mengosongkan ruang tamu kami bagi membolehkan solat jenazah dapat disempurnakan.

Aku meletakkan jenazah Zarifa di kedudukan yang sepatutnya dan orang ramai mulai masuk ke dalam rumah, merapatkan saf untuk memulakan solat jenazah. Namun, ayah dan rombongan daripada Halaman Dhuha masih belum tiba dan dikhabarkan mereka telah hampir tiba walhal jam menunjukkan pukul 10.25 pada ketika itu.

Ustaz Iqbal bertanyakan kepadaku adakah boleh dimulakan solat jenazah ketika itu tetapi pantas aku memohon tambahan masa 5 minit lagi. Masa 5 minit yang terluang itu digunakan sebaiknya oleh Ustaz Iqbal untuk memberikan kaifiat solat jenazah.

Aku tidak lupa antara intipati kata-kata yang dilafazkan oleh Ustaz Iqbal ketika itu. Ustaz Iqbal menyatakan oleh kerana yang meninggal dunia adalah seorang kanak-kanak yang telah dijanjikan Syurga oleh Allah dan sudah semestinya terlepas daripada seksaan kubur dan padang mahsyar, maka jemaah boleh menggantikan doa untuk jenazah dengan doa untuk kesejahteraan ibu bapa serta keluarga orang yang meninggal dunia.

Hiba aku mendengar kata-kata Ustaz Iqbal itu. Terasa betapa banyaknya syafaat dan kelebihan yang kami sekeluarga raih daripada Zarifa.

Ayah tiba dan terus mengambil wuduk di luar rumah. Solat jenazah dimulakan tepat jam 10.30 pagi dan selesai semuanya kira-kira 10 minit selepas itu.

Kami mengambil kesempatan untuk mengucup Zarifa buat kali terakhir sebelum emak membantu untuk menutup muka dan mengikat kain kafan Zarifa.

Jenazah Zarifa kini telah bersedia untuk dibawa ke tanah perkuburan. Adikku Halim telah bersedia menunggu di luar rumah dengan kenderaan.

Tidak perlu van jenazah untuk perjalanan singkat 700 meter Zarifa daripada rumah ke tanah perkuburan.

Aku mendukung Zarifa keluar daripada rumah ke kereta untuk memulakan perjalanan Syurga buat Zarifa.

Ramai mata yang memandangku namun sungguh aku tidak mampu untuk memandang wajah-wajah lain kecuali jenazah Zarifa yang erat kupegang. Ezri dan Zahra turut berada dalam kenderaan yang sama dan kami bergerak terus ke tanah perkuburan.

Kenderaan kami yang pertama sekali tiba di tanah perkuburan. Wak dan tiga orang rakannya telah menunggu kami dan terus membawa kami ke tempat persemadian Zarifa.

Benar, destinasi terakhir Zarifa di dunia. Satu destinasi yang juga akan disinggahi oleh semua insan sebelum tiba ke destinasi tetap selama-lamanya di akhirat nanti.

Kebanyakan yang berada di rumah kami sebelum itu mengikut ke tanah perkuburan dan kenderaan diletakkan sehingga ke bahu jalan. Ini termasuklah pelajar-pelajar tahfiz yang tidak putus-putus mendoakan untuk kesejahteraan kami.

Tidak menunggu lama lagi, Wak bertanyakan aku sama ada aku boleh memasukkan jenazah Zarifa ke liang lahad. Sudah tentu boleh.

Aku telah berjanji untuk menguruskan Zarifa sebaik mungkin dan akan aku kotakan janjiku itu. Aku turun ke liang lahad buat kali pertama sepanjang hidupku. Saat itulah kali terakhir aku memegang Zarifa.

863 hari di dunia, selamanya di Syurga…

Al Fatihah buat puteriku Nur Wafiatul Zarifa yang genap setahun (mengikut kalendar Islam) dipanggil menghadap Allah SWT.

nicu

Zarifa adalah anak ketiga pasangan Abdul Muhaimin dan Ezri. Beliau menghidap Sindrom Edward, iaitu satu masalah genetik pada kromosom no. 18. Sindrom Edward adalah masalah genetik yang jarang-jarang berlaku, iaitu 1 dalam 8000 atau 10000 kelahiran. Tuan Abdul Muhaimin mengabadikan kenangan beliau bersama Zarifa dalam sebuah buku bertajuk 28 Hari Di NICU terbitan Must Read Sdn Bhd.