Ditulis Oleh:
Irbid Storage
January 5, 2017 11:49 AM

Hari ini sedang kemas barang-barang Irbid Storage untuk dikargo ke Malaysia, terjumpa satu plastik tin minuman aluminium. Tiba-tiba rasa sayu, sedih. Sekejap sahaja rasa hampir 6 tahun Irbid Storage wujud di bumi Irbid ini.

Tiada siapa tahu apa kaitan tin aluminium ini dengan Irbid Storage kecuali aku, isteri, dan pakcik pengutip sampah di sekitar syari’ (jalan) jami’ah, syari’ idun, duwar qubah dan pakcik guard jami’ah (universiti). Ada juga 2,3 orang pelajar Irbid yang tahu kerana mereka pernah tanya bagaimana permulaan Irbid Storage dan aku bercerita pada mereka. Hanya kami yang tahu tentang ini!

Aku bukan dari keluarga senang. Datang sini tahun pertama perlu guna duit sendiri dahulu sebelum duit dermasiswa diluluskan tahun berikutnya. Hanya mengharap duit baki biasiswa BNM program khas sekolah menengah, dan duit dari mak dan abah.

Setiap bulan aku menelefon mak abah tanya duit bulanan dah masuk atau belum. Adakalanya, mak minta maaf sebab terpaksa tangguh, terutamanya bulan 12 kerana bulan 12 bulan untuk membeli keperluan sekolah adik-adik yang akan masuk sesi persekolahan baru bulan 1.

Aku serba salah. Aku faham. Aku ramai adik-adik di bawahku.

Aku malu mahu meminta lebih atau minta dipercepatkan duit bulanan tersebut. Meminta lebih kerana tidak mencukupi memandangkan duit Jordan tinggi.

Bayangkan masa itu baru tukaran JOD1 = RM4.30 sudah terasa tinggi, apatah lagi sekarang JOD1 = RM6.30. Aku perlu buat sesuatu, aku perlu usaha sendiri.

Memang dari kecil aku diajar untuk berusaha sendiri kalau nak beli sesuatu. Apa yang aku tak pernah buat? Kutip dan jual besi buruk, jual petai dari rumah ke rumah kampung, taman ke taman, panjat rambutan manggis pergi jual, buka payung tepi jalan jual air. Macam-macam.

Jadi setelah berfikir, aku nak mula masak apa-apa makanan dan tausil kepada pelajar Malaysia yang ada di Irbid. Tapi ada satu masalah. MODAL. Nak pinjam kawan, malu. Mereka juga ada yang susah.

Bermulalah langkah aku sebagai pengutip tin minuman aluminium di sekitar Irbid untuk mengumpul modal. Malu jangan cerita, memang malu. Ini negara orang, aku orang luar!

Untuk menyorokkan sikit malu ini, setiap hari aku akan mula kutip tin ini selepas Subuh. Tak ramai orang, yang penting orang Melayu tak nampak aku. Tapi ada juga 4,5 Melayu yang perasan aku, mereka ada yang keluar pagi-pagi pergi kedai falafel, ada yang keluar awal pergi rotation (pelajar perubatan).

Pernah beberapa kali, di mat’am (restoran), di rumah persatuan aku terdengar ada pelajar Melayu bercerita sesama mereka.

Eh, kau ada dengar tak, ada budak Melayu kutip tin kat sini? Selekeh betul!”

“Kau tau tak ada junior kutip sampah kat sini?”

Mereka rupanya tahu perkara ini. Tapi mereka tak kenal aku. Padahal orang yang mereka maksudkan tu duduk sebelah je. Haha. Aku tak kisah kalau ada orang nak perlekeh aku atau pandang hina sekalipun.

Setiap hujung minggu aku pergi jual tin-tin tersebut di balad Irbid. Aku masih ingat, waktu itu, sekilo 60-70 qurush (JOD0.6-0.7) bergantung kepada harga semasa.

Tin paling banyak dikutip adalah pada hari Jumaat pagi dalam jami’ah yarmouk. Pagi Jumaat cuti, pakcik makcik cleaner tak ada! Memang banyak. Mula-mula sorok-sorok dengan pakcik guard, lama-lama dia tahu dan dia kata tak ada masalah. Terima kasih pakcik!

Cukup sebulan aku dapat kumpul modal dan aku mulakan projek masak dan tausil. Tapi kutip tin masih diteruskan. 6 bulan pertama aku memang bersungguh-sungguh kutip tin. Selepas itu, aku mula slow sebab dah capai target kumpul modal.

Lepas kahwin, isteri aku tahu tentang ini. Ada satu hari, lepas Subuh tak ada buat apa-apa, tiba-tiba dia ajak aku pergi kutip tin. Saja sambil jalan Irbid pagi-pagi. Dalam 2, 3 bulan lepas tu, aku dan dia dah berhenti kutip tin.

Sepanjang aku kutip tin, banyak pengalaman aku dapat. Aku dapat kenal pakcik-pakcik tukang kutip sampah, budak belasan tahun pun ada 2, 3 orang! Aku berkawan dengan mereka. Ada yang aku masih berkawan sampai sekarang!

Dapat tahu kehidupan mereka. Dapat tahu jurang kehidupan mereka. Ada juga antara mereka yang kutip sampah, kertas dan tin bukan sebab duit, tapi dijadikan aktiviti harian untuk isi masa, untuk exercise. Ada juga 2, 3 orang yang kurang baik. Bermacam ragam.

Kutip tin kena banyak sabar, adakala kena tolak ansur. Penat jangan cakap. Itu semestinya. Ada ketika, aku sedang ambil tin di tepi koridor, depan aku ada pakcik tua pandang tin yang sama. Aku tak sampai hati, aku ambil dan beri padanya. Dia menolak pemberian aku. Aku cakap tak apa. Aku masukkan dalam guni dia dan pergi.

Banyak aku belajar. Sebab tu kalau perasan, ayat terakhir aku dalam post tamat perkhidmatan adalah,

“Di sini aku jatuh menangis, di sini aku bangkit menangkis, di sini peluhku menitis.”

Aku, Irbid Storage, bermula dari bawah, dari kosong. Ahamdulillah bertahan sehingga tamat perkhidmatan kami di sini.

Ini baru cerita tentang tin, permulaan aku. Aku kira baru secubit pengalaman aku dan Irbid Storage di bumi barakah ini.

Belum lagi tentang bagaimana langkah aku selepas itu, bagaimana aku pernah ditipu, bagaimana aku jatuh dalam bisnes ini, rugi hampir 3 ribu dinar Jordan, bagaimana aku bangkit semula, bagaimana hilangnya fokus aku terhadap kelas dan belajar, bagaimana aku cover semula, bagaimana aku ada kawan yang sanggup pinjamkan duit untuk bisnes selepas itu, bagaimana warga Malaysia dan Asean pernah bantu aku masa aku ditimpa susah dan musibah satu ketika, bagaimana Irbid Storage dapat berkembang sehingga dapat berkhidmat bukan saja pada warga Malaysia, malah termasuk jiran kita Thailand, Singapore dan Brunei.

Ada masa kami cerita pula tentang itu. Aku pasti kalian juga ada pengalaman tersendiri di bumi Jordan ini.

Tidak kira pengalaman itu baik atau buruk, pengalaman itu adalah nikmat yang orang lain tidak merasainya dan pengalaman itulah yang berharga dan akan membuat kau tersenyum satu hari nanti.

Sungguh kalian semua adalah tulang belakang kami. Terima kasih yang tidak terhingga. Jazakumullah.

Artikel Berkaitan