Kebelakangan ini saya terima banyak email daripada pembaca yang mahu menyumbangkan hasil kreatif rekabentuk dan dekorasi hiasan dalaman rumah mereka. Ini satu perkembangan yang baik bagi mewarnai kategori Vocket Senireka dengan inspirasi dan tip orang lokal.

Salah satunya ialah perkongsian daripada Azeem Razali, 22, yang mengakui telah mendapat inspirasi untuk mengubah biliknya menjadi sebuah bilik tidur dan ruang kerja selepas membaca artikel Vocket seperti 39 Idea Home Office, 30 Idea Bilik Kecil Guna Katil Loft dan IKEA.

Memilih tema orang muda dan optimis, Azeem menggunakan 100% perabot dari IKEA untuk merealisasikan idea bagi ruang bilik seluas 72 kaki persegi ini. Ya, ia satu ruang sempit yang mahu dioptimumkan penggunaannya oleh Azeem dalam kehidupan seharian.

“Bilik ini saya buat untuk sesuai dengan jiwa remaja sekarang, ruang yang kecil (sekarang rumah dah mahal dan kecil), tetapi boleh bawa banyak mood (pelbagai jenis pencahayaan), ruang simpanan yang banyak, ruang yang cukup untuk workout dan solat.”

Dalam masa 3 hari, projek transformasi yang melibatkan pengecatan semula dinding, pemasangan perabot dan pendawaian elektrik dapat diselesaikan dengan sebaiknya walaupun agak sukar memasang katil kaki tinggi.

Pasti ramai tertanya-tanya berapakah kos bagi menghasilkan bilik seperti ini. Azeem telah menyenaraikan kos-kos yang terlibat buat rujukan anda. Dia memilih perabot yang termurah dan sesuai dengan tema bilik ini.

A. Barang Ikea

  • Katil Single kaki tinggi (loft): RM 399
  • Meja sudut: RM 499
  • Rak besi kelabu: RM 69
  • Kotak simpanan zig zag: RM 30 (2 kotak RM 10)
  • Kotak fail putih: RM 6 (2 kotak RM 3)
  • Cermin kerangka putih (160cm*70cm ): RM 199
  • Para putih sekali kaki (bawah cermin): RM 215
  • Jam kelabu: RM 69
  • Kanvas Peta Dunia: RM 69
  • 3 Laci besi: RM 105 (RM 35 setiap satu)
  • Kerusi pejabat: RM 299
  • Lampu Meja: RM 99
  • Lampu diri: RM 39
  • Lampu sorot 3 hala: RM 34
  • Mentol lampu sorot 3 biji: RM 63
  • karpet berbulu 180cm*120cm: RM 99

Jumlah RM 3197

B. Pengecatan

  • Roller Cat Pintar: RM 35
  • Cat Bina Paint: RM 309 (1 tong 5 liter RM 103)

Jumlah RM 344

C. Pendawaian

  • Pendawaian tambah soket: RM60
  • Upah pendawaian: Sendiri

Jumlah RM 60

Dengan kos keseluruhan RM 3601, Azeem dapat mengubah bilik asal seperti di gambar bawah ini menjadi sebuah bilik yang menarik dan kemas. Bagaimana dengan anda?

Oh ya! Anda boleh menghantar hasil kreatif senireka, dekorasi dan rekabentuk yang menarik ke email saya, [email protected]