Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Aku terpanggil untuk menulis bila terbaca tentang pengalaman belajar di negara K-pop di laman Facebook, dan aku fikir ada baiknya aku buka pekung di dada berkenaan perasaan aku terhadap orang Korea, dan pengalaman aku semasa hidup di sana sebagai pelajar yang gagal graduasi.

Pelajar yang gagal di Korea? Jika pembaca nukilan ini adalah bekas pelajar di sana yang akrab dengan komuniti dan pihak kedutaan, pasti tahu kes pelajar gagal untuk graduasi sangat sedikit. Bagaimanapun, itu hanyalah separuh daripada kisah aku di sini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisah yang ingin aku tumpukan adalah lebih kepada pengalaman unik yang aku lalui semasa saat-saat akhir pengajian ijazah aku di Universiti Y, Seoul. Pengalaman melihat kes bunuh diri di hadapan mata. Kisah yang sampai sekarang segar dalam ingatan. Wajah pelaku, saksi, pegawai kecemasan dan perubatan, serta polis semuanya masih segar dalam benak fikiranku.

Korea dan bunuh diri. Dan situasi yang lebih ringan sedikit adalah arak. Negara yang rakyatnya hidup serba bersaing. Ditambah saingan dari jiran terdekat yang sangat dipandang dari pelbagai segi; budaya, gaya hidup, dan budaya kerja.

Bagi aku, bangsa Korea sangat bekerja keras dan memupuk hidup berusaha untuk jadi yang terbaik. Dari kecil sehinggalah ke alam pekerjaan, tekanan daripada masyarakat (ibu bapa, guru, komuniti) amatlah ekstrim sehinggakan bunuh diri itu menjadi ‘budaya’, atau langkah akhir terbaik untuk penyelesaian masalah.

Artis-artis yang disanjung tidak kurang ramainya yang menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri. Jadi, tidak hairanlah di jambatan-jambatan melintasi Sungai Han atau Han River (aku tidak pasti jumlah jambatan, tetapi memang banyak) dikhaskan papan-papan iklan dengan kata-kata positif supaya rakyatnya berfikir dahulu sebelum terjun ke dalam sungai.

Gaya hidup dan budaya kerja yang membebankan adalah salah satu punca besar kepada hal ini. Dan aku percaya pegangan agama sangat penting dalam menentukan kompas mentaliti jiwa manusia.

Rakyat Korea? Majoriti tidak beragama. Agama hanya pada kertas, banyak kes begitu. Sebut sahaja. Kristian? Buddha? Profesor aku di Universiti Y (universiti pro Kristian) sendiri mengakui yang dia Katolik, tetapi hanya pada luaran. Cara hidup dan didikan kepada anak? Kosong.

Ruang legar taman di tengah-tengah Universiti Y

Aku tinggal sendirian di saat-saat akhir pengajian. Senior serumah sudah pun tamat pengajian di Universiti Y. Setelah Extend 2 semester, sukar untuk aku sesuaikan diri dengan kehidupan universiti.

Tambahan pula aku Melayu lelaki solo dalam batch masuk universiti itu. Sejujurnya aku amat keliru dalam pelajaran bermula daripada semester 3. Lalai? Mungkin.

Namun, aku sangat-sangat ingin jelaskan yang pelajar yang belajar di luar negara ini bukanlah jenis tidak sedar dek untung. Belajar dapat duit banyak-banyak, kemudian bazirkan. Tidak.

Aku sedar gagal tamatkan pengajian itu petanda aras aku di landasan yang salah, namun banyak kekangan yang aku lalui perlu diambil kira sepanjang hidup di sana.

Sebagai contoh, apabila tinggal seorang, mencari rumah sewa amatlah susah (kawasan universiti adalah hotspot rumah sewa). Melainkan ada geng 4 orang, set sama-sama cari 1 rumah. Kos menjadi kurang.

Elaun sara diri secara kasarnya RM1800 pada masa itu lepas tuker ke RM. Sewa bulanan rumah satu bilik aku? RM1400+-, tak termasuk bil air elektrik. Masuk elaun saja, beras sekampit telur sepapan jadi target aku. Sepapan itulah sebulan menu. Sungguh. Pengalaman dan memori, ada hikmahnya. Aku pasti itulah yang menguatkan jati diri aku.

Berbalik kepada kes bunuh diri, maka aku ambil keputusan melanggar kontrak rumah sewa dan menyewa di perumahan yang jauh daripada kawasan universiti aku. Sewa rumah dalam 40 minit jauh daripada universiti.

Kejiranan di kawasan ini terdiri daripada orang-orang Korea golongan kelas menengah dan kelas rendah berusia sekitar 40 – 50 an umurnya. Sepanjang semester extend aku menetap di situ. Satu pagi waktu musim luruh, subuh masih pada waktu biasa seperti di Malaysia (musim panas subuh masuk pukul 3 – 4 pagi.

Bulan puasa musim pans sangatlah masak dan pishang bagi student. Sangat menduga. Memandangkan hari itu adalah ahad dan bukan minggu peperiksaan (minggu peperiksaan aku ikut cara Korea, berkampung di perpustakaan universiti tak balik ke rumah 2 ke 3 hari), aku ambil keputusan pergi Family Mart (macam 7E) untuk beli kopi dan roti sebagai sarapan sambil layan movie.

Keluar daripada rumah tiada apa-apa yang menarik dan pelik aku rasakan. Masa dalam perjalanan balik dan ketika hendak masuk bangunan rumah sewa dalam 20 minit kemudian, aku perasan sesuatu yang pelik di pokok terletak pada hujung bangunan. 10 saat juga aku terpinga-pinga cuba untuk hadam apa yang aku nampak. Kusangkakan replika patung manusia tergantung di pokok, rupa-rupanya. Masya-Allah!

Jarak aku daripada tubuh kaku tergantung di pokok itu dalam 80 meter. Aku memekik ajossi (pakcik) 3 kali dari jauh.Tidak berganjak. Aku? Sama. Tidak berganjak ke depan untuk menolong. Situasi ini amat janggal. Mana mungkin aku mampu maju ke depan seolah-olah ini adalah perkara biasa.

Dengan izin Allah, maka datanglah susuk tubuh manusia lain daripada belakang. Jiran muda yg tinggal di tingkat 2. Dia hanya berlalu tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku. Earphone, smartphone. Dunia dan manusia berpisah sementara. Lalu aku menarik tangan mamat Korea ni (Korean A) bila dia mahu naik tangga.

Aku tunjuk pokok bergantung kemas manusia itu. Serta merta merah mata Korean A. Dengan bada yang menggigil, dicapainya smartphone tadi untuk mendail 119. Aku terlalu kaku dan bingung. Tak terfikir langsung akan emergency rescue team.

Dari panggilan kecemasan itu, aku dapat faham yang kami (saksi) hendaklah bertindak dahulu sebelum bantuan smpai. Bibir mamat Korean A menyebut tentang pisau, lalu aku lari masuk ke dalam rumah ambil pisau potong ayam aku.

Bermulalah siri kau buat ini aku buat ini. Rescue guider dalam panggilan minta seorang potong tali gantung, seorang lagi sahut badan mangsa. Di pikiran aku, sudah pastilah potong tali. Kau sanggup peluk badan kaku entahkan hidup entahkan mati? Tidak sama sekali.

Malangnya, Korean A dengan pantas mengambil pisau daripada tangan aku dan berkata, “Ready. Dalam kiraan 3, aku potong kau sambut.” I am like, this guy, really. Lalu aku hanya mengangguk dalam paksa. Sampai kiraan 3, tali yang dipotong tak putus. Oh, pisau tumpul, bisik hatiku. Lalu aku hanya menunggu, dan.

Debuk! Aku tak jangka yang tali itu akan putus dengan cepat. Aku tak sempat sahut badan ajossi tu. Terjelepuk badan kaku itu ke tanah. Darah luka keluar di kepala akibat hentakan kuat dengan batu tanah. Aku pandang Korean A.

Aku tergamam lagi dan rasa bersalah sebab tak sambut badan pak cik itu. Korean A dah berair mata dan berlari ke rumah bertentangan dengan rumah sewa aku. Aku ikut dia lari, seperti lembu dicucuk hidung.

Rupa-rupanya mamat tu dah dapat kenalpasti identiti mangsa. Diketuk pintu rumah tersebut. Keluar seorangg lelaki, linkungan 30-an, tak terurus rambut (pagi hujung minggu, perkara biasa).

Ditanya kepadanya adakah ayah ada di dalam rumah. Dijawab tiada. Lalu Korean A tersebut menangis sambil menunjukkan arah pokok lokasi kejadian yang terlindung daripada pandangan lelaki 30-an itu (aku panggil korean B).

Pantas korean B berlari ke tempat kejadian menjerit-jerit dan memanggil ayahnya. Menangis dan melaungkan ayat berulang-ulang kali, “ayah, kenapa buat macam ni. Kenapa? Kenapa?” sambil mengetuk dada ayahnya.

10 saat kemudian dia mulakan CPR, mungkin sudah terkawal emosi. Isteri mangsa juga keluar melihat dan mengambil pisau pemotong tali milik aku. Dibawa masuk rumahnya dan dibuang. Nampak lebih tenang berbanding anaknya. Aku bingung. Pisau aku kenapa dia yang uruskan dan buang?

Pandangan luar tingkap kawasan bangunan rumah sewa aku di mana berlakunya kejadian bunuh diri tersebut.

15 minit kemudian bantuan kecemasan sampai. 1 ambulan, 2 kereta bomba, 1 kereta polis. Scene yang biasanya hanya dapat ditonton dalam TV dan drama. Kerja prosedur menyelamat pasukan perubatan berjaya mengembalikan nafas mangsa, lalu dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan lanjut.

Aku dan Korean A disoal siasat polis. Melihatkan aku seorang warga asing, aku bagai disisihkan dan banyak soalan lebih kepada Korean B (mungkin dia ingat kena speaking dengan aku. Padahal aku boleh ckp Korea kot).

Maka pagi itu kembali tenang seperti tiada apa-apa yg berlaku. Aku jadi pelik. Jiran lain macam tengok-tengok, kemudian berlalu pergi selepas semua anggota penyelamat bersurai. Like this was normal.

Satu perkara yang aku tahu, ini tidak normal buat aku. Petangnya dikhabarkan oleh anak mangsa yang ayahnya mati dalam perjalanan ke hospital. Jasad masih ampuh, namun jiwa mahu pergi. Sehebat manapun uaha pasukan penyelamat, bila mental lemah apapun tak jadi.

Malam itu, aku mimpi babak-babak bunuh diri tu berulang lagi. Muka pucat, badan kaku ajossi tu bermain lagi di dalam mimpi. Aku bangun mengejut dan terus tak tidur. Esoknya ponteng kelas.

Teruk kan perangai? Aku tak boleh keluar rumah. Mayat tak ada, tetapi pokok tu masih di situ. Maka berlalulah isnin itu tak ke kelas, tak makan, hanya berselubung selimut. Aku trauma dan fobia.

Selasa. Aku perlu buat sesuatu. Kelas kena pergi. Kena bar satu hal pula menjawab di kedutaan (pegawai latihan bertugas yang menjaga pelajar masa tu sangat garang, tegastetapi bagus. Kepimpinan beridentiti).

Bayangkan. Keluar rumah berlari sekuat hati tutup mata. Balik rumah lewat malam supaya tak nampak kelibat pokok tu dalam gelap malam. 3 hari berturut rutin aku begitu.

Kejadian itu ajar aku banyak perkara. Aku masa tu lalai dari segi agama. Solat kadang-kadang penuh, kadang-kadang tinggal. Lepas pada tu aku solat dan banyak baca Al-Quran.

Syukur, 2 minggu lepas tu aku berjaya atasi trauma tu. No more nightmare. Pokok tu pun tak ‘berhantu’ dalam fikiran aku. Mulanya kisah ini dimaklumkan kepada pegawai latihan tu supaya dapat pindah rumah, tetapi kemudiannya aku batalkan rancangan ni.

Namun, itu tak merubah situasi aku yang tak dapat cope dengan kehidupan sebagai pelajar di universiti tu. Imigresen Korea menolak permohonan aku untuk sambung visa, pihak universiti tolak rayuan luluskan 1 subjek yang aku gagal tu (grading tertakluk penuh kepada pensyarah. Jika pensyarah tu kata gagal, universiti tu pun akan sokong sepenuhnya keputusan pensyarah).

Maka mengadaplah aku ke pegawai latihan tu di kedutaan Malaysia. 2 ke 3 sesi aku jumpa dia, maki hamun je aku dapat. Aku jadi lali. Menghadam situasi tak dapat graduasi pun susah, nak hadam kata-kata negatif daripada sekeliling? Hanya 1 ayat yang aku ingat daripada beliau. “Nasib baik ayah kamu mampu. Kalau tak nak jadi apa balik Malaysia? Jual burger?”

Seminggu sebelum balik Malaysia for good, adik aku yang belajar di India pun datang melancong. Mak aku izinkan dan pesan tengok-tengokkan aku. Naluri ibu yang kuat. Anak susah hati jauh-jauh boleh tahu.

Adik aku ikut ke mana sahaja aku pergi. Dia cakap jangan buat benda bukan-bukan. Sebab aku penah cerita kepada mak aku tentang kejadian bunuh diri di kejiranan itu, jadi mak aku risau dan pesan adik aku monitor keadaan aku.

Sesi terakhir jumpa pegawai kedutaan tu aku bawak adik aku sekali. Orang bawak keluarga melancong jalan-jalan, aku bawak adik aku mengadap musibat yang berpunca daripada aku sendiri. Malam tu kami menangis sama-sama mengenang nasib aku dan kata-kata ‘tajam’ di kedutaan.

Penerbangan adik aku balik ke Malaysia lagi awal daripada aku sebab aku dah tunda tarikh penerbangan, hendak urus hal balik for good. Dia hendak tunda tarikh penerbangan dia juga sebab masih risau dan tak yakin dengan keadaan aku.

Aku janji dengan dia, kami jumpa di Malaysia nanti. Maka 3 hari terakhir di sana aku abiskan dengan muhasabah diri dan banyak berjalan menatap bumi Korea yang hampir 6 tahun menjadi kediaman utama aku.

Jujurnya, aku rindukan negara sonata itu bukan kerana banyak kemudahan berbanding negara sendiri, tapi kerana aku rasa negara itu sangat berpotensi jika ‘jiwa-jiwa’ rakyatnya lebih dekat kepada agama.

Mereka dipandang tinggi di mata dunia dari aspek pendidikan, teknologi, sukan, dan sebagainya. Malang, jiwa mereka ‘kosong’. No real purpose of life. Bangun, kerja/belajar, balik, minum arak, tidur. Kemudian ulang. Rasa hidup susah, bunuh diri.

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan tahniah dan berbangga kepada kelompok pelajar Malaysia di Korea yang komited dengan komuniti muslim di sana. Mereka sanggup turut serta dalam program Nuri dan mengadakan dakwah islamiah di masjid-masjid untuk memperkenalkan Islam kepada penduduk tempatan.

Aku rasa khilaf. Sepanjang di sana aku tak sertai benda-benda ini walaupun aku datang daripada keluarga yang mengamalkan pendekatan usrah. Aktiviti yang lebih kepada kekitaan dan keseimbangan dunia akhirat, berbanding hanya aku dan dunia aku.

Kegagalan aku di sana aku jadikan teladan untuk masa kini dan hadapan. Moga-moga kesudahan kita tidak dengan cara bunuh diri seperti ajossi tu, nauzubillah.

Aku doakan komuniti Malaysia di Korea kekal akrab dan harmoni seperti selalu. Nasihat kepada junior di sana, teruskan perjuangan dan jangan terpesong daripada urusan utama kita, belajar dan berbakti kepada mana-mana antara berikut: ibu bapa, keluarga, bangsa, dan agama. Pegang kepada kompas hidup anda. Jika terpesong, tanya kepada yang di atas sana. Di mana jalan kembali.