Seperti lagu-lagu Malique yang sebelum ini, pertama kali aku terdengar lagu Pejamkan Mata nyanyian bersama Dayang Nurfaizah di corong radio, aku terpesona dengan bait-bait liriknya. Lekas-lekas aku cari senikata lagu itu.

Malique adalah salah seorang penulis yang aku kagumi. Aku jatuh cinta dengan bidang penulisan dan sastera kerana pemuzik ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kerana beliau, perbendaharaan kata aku pesat berkembang. Kerana beliau aku berjinak-jinak menulis. Kerana beliau kini aku seorang penulis.

Puitis lirik lagu Malique memang sudah terkenal seninya. Namun seni beliau lebih daripada itu. Aku berpendapat beliau adalah sasterawan lirik rap paling agung dalam sejarah muzik Malaysia.

Izinkan aku kupas lagu terbaru beliau — Pejamkan Mata, untuk membuktikan betapa hebatnya lirik nukilan Tuan Jeneral.

Lirik lagu ini sarat dengan elemen sastera, tapi aku akan fokus hanya kepada elemen rima(rhyme), kerana dalam lagu rap, rima adalah antara ramuan utama rap flow.

Malique gunakan teknik rima yang kompleks, dan setanding dengan kompleksnya lirik lagu-lagu Eminem:

1. Skima Rima
2. Rima Akhiran Gandaan Sempurna
3. Rima Dalaman
4. Rima Mirip
5. Asonans
6. Aliterasi

Tak pernah dengar istilah-istilah rima ini?

Kau dengar dulu lagunya:

Lirik penuh, glosari dan penerangan rima ada di bawah.

Lirik Pejamkan Mata

Malique ft Dayang Nurfaizah

(Malique)
Sebermula maka dipaksa diam,
Dengar, patuh dan terpaku tunduk,
Selesakan di bawah, sujudnya rujuk telunjuk,
Tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai,
Kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai,
Berontak, dongak, lembayung ku ternampakkan,
Si hering menyorak, ngoyak awan canggung dan berantakan,
Dah diragut total, cinta resiprokal,
Bila dipersoal kekal equivokal.

Katanya tanggal tali leher itu,
Cukuplah seharian digembala,
Lupuskan logarithma yang menghantui kepala,
Dalam tafakur, akur, sadur mimpi yang dikabur,
Karektor kartun kantor dan karikatur diktator,
Dikabur takbur shabab yang bermusim,
Tak punya tempat di benak jiwaku jemaah mereka bermukim,
Al-Malik, Al-Kudus, As-Salam, Al-Mukmin,
Ubat gementar senja suara ngekor roh ke kasur,
Masyghul, runsing… jah.

[Korus: Dayang Nurfaizah]
Pejamkan mata,
Mata yang lesu itu,
Dan mimpikan yang indah,
Mimpikan aku,
Biarkan gelita,
Menghapus derita,
Pejamkanlah matamu.

(Malique)
Aku terdengar suara itu lagi,
Dari tenggara namaku diseru,
Disuruh hembusnya lilin di setiap empat penjuru,
Katanya mata penamu tak mencoret solusi,
Kata magismu takkan mampu cetus revolusi,
Manusia kan sentiasa menyakiti,
Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi,
Masa untuk koktel Lorazepam, Ambien, Risperdal,
Semoga afdal bertemu di astral,
Selamat tiba kita ke republik cinta,
Lagenda dimensi ruang dan waktu tak bersempadan,
Halaman terbentang suci, dicuci noda dan nista,
Terhapus dogma dan stigma, kepincangan dan kehilangan,
Arasy yang tiada penghuni mengugut buli,
Tak perlukan runut bunyi, sembunyi, bersunyi sakan,
Di hati dan pituitari menarinya tanpa bumi,
Menyanyinya tanpa bunyi, keghaibannya kita raikan.

[Korus: Dayang Nurfaizah]

(Malique)
Hakikatnya nirvana di sana,
Di sini masih lagi samsara,
Cuba tak diperhambanya dunya,
Sukar tapi aku cuba,
Sukar tapi aku cuba ya.

(Dayang Nurfaizah)
Kembalikan senyuman,
Serimu yang dulu,
Kembali ke dakapan,
Ku perlindunganmu,
Walaupun gerhananya,
Seakan tak berakhir,
Selagi ku di sisi,
Tak usah khuatir.

[Korus]

Glosari

Kencana – emas.
Gawai – kerja, tugas; pegawai orang yang menjalankan tugas; pegawai.
Kedana – serba kekurangan barang-barang keperluan hidup; miskin sekali; papa.
Sawai – bersawai tidak sedarkan diri (kerana kemasukan orang halus), menurun.
Lembayung – biru bercampur merah; biru kemerah-merahan.
Hering – burung pemakan bangkai.
Canggung – kekok, kaku, janggal.
Resiprokal – bersifat saling berbalasan / timbal balik.
Equivokal – samar-samar / tidak pasti.
Logaritma – istilah angka ganda bagi sesuatu angka dasar yang digunakan untuk mendapat angka tertentu.
Tafakur – perihal merenung memikirkan sesuatu.
Kantor – ibu pejabat.
Diktator – orang yang memerintah dengan kuasa mutlak atau tidak terbatas.
Shabab – dalam arab bermaksud “anak muda.”
Kasur – alas tidur, tilam.
Masyghul – (berasa) sedih atau (berasa) dukacita kerana sesuatu.
Runsing – susah hati kerana tidak sampai maksud.
Solusi – penyelesaian masalah.
Revolusi- perubahan.
Lorazepam – ubat untuk anxiety disorder atau despresi.
Ambien – ubat untuk imsomnia atau penyakit sukar tidur malam.
Risperdal – ubat untuk antipsikotik, merawat skizofrenia, murung atau mudah marah bagi kanak-kanak austistik.
Afdal/af·dal/ – lebih baik; lebih utama.
Astral/as·tral/ – mengenai (terdiri atas, menyerupai) bintang-bintang.
Dogma – ajaran (kepercayaan) yang tidak boleh dibantah atau dipersoalkan melainkan harus diterima saja.
Stigma – yang menjejaskan reputasi / aib.
Pituitari – Kelenjar endokrin utama.
Nirwana – 1 keadaan dan ketenteraman sempurna bagi setiap wujud eksistensi karena berakhirnya kelahiran kembali ke dunia; 2 tempat kebebasan (kesempurnaan); surga.
Samsara – “mengembara” atau “dunia”, dengan konotasi kitaran, perubahan memutar.

Rangkap 1

Rangkap pertama dimula dengan satu baris solitari— X.

Seterusnya, disusuli dengan 4 baris dengan skema rima “AABB”. Baris pertama dan kedua mempunyai rima akhiran tidak sempurna.

Manakala, baris ketiga dan keempat mempunyai rima akhiran sempurna.

Itu basik. Semua orang tahu. Mari pergi lebih dalam.

Di baris kedua, Malique menggunakan rima dalaman. Rima dalaman adalah pengunaan kata yang rima dengan kata lain selain di akhir baris. Di sini, “rujuk” dan “telunjuk” adalah rima dalaman.

Selain itu Malique juga menggunakan teknik asonans dalam baris kedua itu. Asonans adalah pengulangan huruf vokal (a,e,i,o,u) yang sama di dalam baris.

Dalam frasa “sujudnya rujuk telunjuk”, huruf U diulang 6 kali dalam 3 kata. Asonans ini menjadikan aliran rap sangat lancar.

Baris ketiga dan keempat sangat baik, ia mempunyai rima pelbagai sillabus.

Kedua-duanya mempunyai sintaks ayat yang sama.

Jumlah silibus kedua-dua baris yang sama, iaitu 15 sebutan.

Malah jika dibanding baris itu atas dan bawah, boleh lihat ia sepadan secara visual.

Tenagamu/ kencanaku/ kedanamu/ketawaku — pula adalah rima dalaman dengan gandaan sempurna. Rima akhiran baris-baris ini—gawai/ sawai, juga rima sempurna.

Pendek kata, serba sempurna.

4 baris berikutnya juga mengaplikasi semua elemen yang disebutkan.

Bahagian 2, rangkap 1

Bahagian kedua rangkap pertama, Malique menggunakan pula elemen rima yang dinamakan Aliterasi.

Aliterasi adalah penggunaan perkataan yang mempunyai huruf awalan yang sama.

Jika tidak silap ia juga dinamakan Rima Awalan.

Karektor/ kartun/ kantor/ karikatur/ diktator —a dalah contoh aliterasi dan pada masa yang sama ada unsur rima dalaman.

Satu lagi contoh aliterasi adalah — Al-Malik/ Al-Kudus/ As-Salam/ Al-Mukmin.

Jika dilihat, Al-Malik dan As-Salam rima sedikit lari, namun ia boleh diterima pakai dan kadangkala disebut Rima Mirip.

Skema rima untuk kuartet terakhir rangkap pertama adalah “AAAA”, namun akhiran dua baris terakhir — Al-Mukmin/ runsing, menggunakan Rima Mirip.

Rima mirip adalah sesuatu yang digunakan untuk memberi sedikit kebebasan kepada penulis, kerana sesetengah perkataan sukar untuk dipadankan dengan rima yang sempurna. Ia juga dikatakan memberi nilai insani pada sesebuah lagu/ puisi— agar tidak terlalu keras dan rigid.

Rangkap 2

Melompat ke kuartet ke ketiga dan keempat rangkap kedua. Kuartet-kuartet ini menggunakan skema rima ‘“ABAB”. Skema ini agak popular. Pantun 4 kerat lazimnya menggunakan skema rima ini.

Sekarang kau tahu kenapa lirik lagu-lagu Malique berhantu macam taruh candu.

Sebenarnya ada beberapa lagi perkara teknikal dalam penulisan lirik lagu ini, tapi nanti ada yang aku terlebih analisis. Itu belum aku sentuh bab pemilihan perkataan dan topik lagunya. Belum lagi tentang kemahiran Malique dalam mempersembahkan puisi tulisannya dalam butiran rap.

Aku berpendapat Mr. General (Malique) adalah penulis lirik rap paling agung dalam lapangan muzik Malaysia. Mungkin juga di seantero Nusantara. Salut!

Nota ikhtisar:
1. Skima Rima AABB, ABAB
2. Rima Akhiran Gandaan Sempurna
3. Rima Dalaman
4. Rima Mirip
5. Asonans
6. Aliterasi

Ikuti FB Dr Kamarul Ariffin untuk lebih banyak informasi.

BACA: Ini Review Aku “TKO: Pejamkan Mata” Babak Terakhir Trilogi Malique Ibrahim