Minggu lepas, seharian tekak saya kembang ketika mahu makan. Kepala masih lagi membayangkan menu dahsyat yang tidak pernah terjangkau di fikiran.

“Adoi, kenapa masih teringat-ingat ni..” rungut saya ketika mulut mahu menyuap makanan.

Hebat benar penangan dari penerangan ustaz Baharuddin Ayudin sewaktu kelas tadabbur di ‪Semat Quran‬ minggu yang lalu.

“Bagaimana keadaan nanah pekat yang bercampur darah dan lendir dari badan manusia?”

Masing-masing berkerut muka. Ada yang palingkan muka ke bawah, ke belakang dan seolahnya mahu termuntah.

Ustaz menyambung:

“Itulah ‘dessert’ untuk ahli neraka!”

“Jika, di dunia kita ada menu makanan yang lengkap, begitulah menu kita di dalam neraka. Ada makanan, siap dengan minuman dan ‘dessert’.”

Gulpp! Allahuakbar! Kami terkedu.

“Bagaimana Allah terangkan keadaan ‘dessert’ itu?” tanya ustaz,

  • Ibrahim: 16 – Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur ( nanah bercampur darah yang keluar dari tubuh ahli neraka).
  • Ibrahim: 17 – Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.

“Mari kita lihat makanannya pula,” sambung ustaz,

  • Al-Ghashiyah: 6 – Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri,
  • Al-Ghashiyah: 7 – Yang tidak menggemokkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.
  • As-Saffat: 63 – Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
  • As-Saffat: 64 – Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar (kerak) neraka yang marak menjulang;

Saya membayangkan, secara teorinya buah yang subur dan sedap itu pasti lah terhasil daripada tanah subur. Namun, jika buah buah zaqqum itu terhasil dari kerak neraka, bagaimana keadaan buahnya?

Seperti boleh membaca fikiran saya ketika itu tiba-tiba ustaz kembali bertanya,

“Tahu tak bagaimana keadaan buah zaqqum itu?”

  • As-Saffat: 65 – Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
  • As-Saffat: 66 – Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.

Astaghfirullah. Seperti kepala syaitan!

“Akhir sekali, mari kita lihat apakah minuman yang dihidang untuk mereka pula”

  • Al-Kahf: 29 – ….dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu….
  • Al- Waqiah: 54 – Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
  • Al-Waqiah: 55 – Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.

“Cukup lengkaplah menu makanan, minuman, dan ‘dessert’ yang sangat dahsyat disediakan oleh Allah untuk ahli neraka. Dan lebih menyedihkan, ahli neraka tetap memakan dan meminumnya berulang-ulang selama mana ia disana walau azab untuk menelannya, sehingga tercabut nyawa,” kata ustaz.

Kadangkala ancaman seperti ini perlu di hadam oleh kita, supaya hati-hati yang keras ini dapat dilembutkan semula. Benarlah, cukuplah kematian sebagai peritangan. Namun, kita leka dan tidak sedar. Astaghfirullah.