Kesinambungan menulis artikel tentang bagaimana membeli basikal di Jepun tempoh hari, akhirnya membawa saya (Ahmad Ali Mahfuz Othman) dan sahabat saya (Ahmad Zakwan Muhammad) berkelana dengan basikal di bumi Jepun dari Osaka ke Tokyo.

Jumlah hari kami berada di Jepun adalah 37 hari, jumlah hari berbasikal sekitar Jepun pula adalah selama 2 minggu. Jumlah jarak kayuhan kami sekitar 300KM.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak lah sejauh mana jika dibandingkan dengan para sahabat yang pernah merentas benua dengan berbasikal. Artikel ini ditulis dengan niat untuk berkongsi bahawa pengembaraan berbasikal di Jepun adalah sangat mudah dan digalakkan.

Sebenarnya dari awal kami tidak merancang untuk berkayuh basikal di negara ini. Niat kami di permulaan kembara ke Jepun adalah untuk melihat Jepun dari sudut dunia fesyen, teknologi, permotoran, teknologi pembinaan mereka yang gah dan maju hingga boleh mengatasi bencana alam serta berbagai perkara lagi yang sering diperkatakan tentang Jepun. Tetapi, adakah sekadar itu saja?

Disebabkan mahu melihat lebih dekat lagi apa yang ada di Jepun, maka terdetiklah idea untuk berbasikal dari Osaka ke Tokyo. Dengan menaiki basikal nenek atau lebih dikenali “Mamachari” di kalangan rakyat Jepun, kami memulakan ekspedisi kami.

Kenapa tidak gunakan basikal yang lebih sesuai seperti touring bike? Ini antara soalan agak subjektif yang sering diajukan kepada kami. Dan sehingga sekarang saya masih belum dapat berikan jawapan yang sesuai.

Di hari pertama berbasikal, setelah melihat beberapa perkara di bandar Osaka walaupun tidak seluruhnya, kami meninggalkan bandar ini dengan kayuhan pendek sekitar 10km.

Pertama kali dalam hidup kami berdua berkayuh sejauh itu. Kami bukan ahli basikal yang tegar dan bukan juga ahli sukan yang aktif, tetapi kami nekad mengambil peluang untuk melihat bumi Jepun dengan cara ini.

Daripada 10km meningkat kepada 15km pada hari berikutnya, dan seterusnya kepada perancangan yang ditetapkan iaitu sebanyak 20km satu hari.

Hakikatnya berbasikal di Jepun tidaklah sukar. Dengan bantuan aplikasi Google Map kami tentukan laluan yang sesuai. Kami juga cuba meminimumkan laluan berbukit dan lebih gemar memilih jalan yang melintasi kampung dan pekan kecil.

Banyak kemudahan di bumi Jepun ini yang mejadikan pengembaraan kami lebih mudah. Antaranya:

1. Sistem keselamatan adalah yang paling dirasai. Tidak perlu gusar untuk tinggalkan barang dan basikal kerana sikap warga Jepun yang tidak akan mengambil barang yang bukan milik mereka.

2. Kemudahan berbasikal yang sangat efisyen. Lorong berbasikal yang selesa turut disediakan.Ā  Kenderaan di Jepun juga yang sentiasa mengutamakan pengguna basikal.

Sewaktu di jalan raya, kenderaan yang lebih besar lebih bertanggungjawab terhadap kenderaan lebih kecil. Jadinya kami sebagai penunggang basikal sangatlah diberi perhatian sewaktu berada di atas jalan lebih-lebih lagi sewaktu melalui jalan yang tidak punya lorong basikal.

Jarak yang diambil leh kenderaan lain untuk memotong kami sangatlah jauh dan dengan cara yang berhati hati sehinggakan selama kami berkayuh tidak kedengaran satu hon pun terhadap kami.

3. Cuaca nyaman di musim luruh dengan suhu sekitar sekitar 17ā„ƒĀ  keĀ  20ā„ƒĀ  di siang hari, amat membantu dalam kayuhan kami.

4. Rangkaian kedai serbaneka yang banyak seperti 7 Eleven, Family Mart, Circle K, Mini Shop, dan banyak lagi boleh dijadikan pit stop untuk berehat, solat, menggunakan tandas, mendapatkan air panas, cas bateri dan pelbagai aktiviti untuk memulihkan tenaga sebelum menyambung kayuhan.

5. Taman rekreasi umum di sini yang lengkap dengan tandas boleh dijadikan portĀ  berkhemah di malam hari.

6. Masjid merupakan pusat informasi yang sangat terbaik. Rata-rata masjid di negara ini dibangunkan oleh komuniti Indonesia, Pakistan dan Bangladesh yag bermastautin di sini. Jika anda jumpa masjid, anda berpeluang untuk mendapatkan maklumat tentang daerah tersebut.

Maklumat yang dikongsikan bukan hanya berkisar tentang jumlah penganutĀ  Islam situ, tapi juga tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di sekitar daerah tersebut, barang keperluan harian yang halal dan murah serta aktiviti penduduk tempatan.

Anda juga dapat mengetahui bagaimana aktiviti kegiatan dakwah penyebaran Islam dijalankan di Jepun. Ini merupakan satu perkara yang sangat menarik untuk dipelajari di sini.

Perkara penting yang perlu diambil berat setiap waktu pula adalah:

1. Keselamatan

Sentiasa pastikan dokumen penting berada bersama anda. Disamping itu maklumkan kepada pihak berkuasa apabila anda akan ke tempat yang jauh dari pekan atau kampung.

2. Kesihatan

Pastikan mengambil jumlah air yang cukup. Makan makanan yang sihat dan memberi tenaga. Rehat secukupnya. Sediakan ubat-ubatan sebagai langkah berjaga-jaga. Jika perlu ambil ubat, ubat-ubatan dari Jepun adalah digalakkan. Perubahan suhu dan cuaca adalah perkara yang tidak boleh diramal dan boleh menyebabkan kita jatuh sakit.

3. Rancang perjalanan

Walaupun hanya sekadar garis panduan yang dirancang, ianya boleh menjadi perkara penting kerana di Jepun ianya menjadi bahan bukti yang kita sememangnya pengembara dan memudahkan urusan sewaktu di tanya oleh pihak penguasa. Perancangan juga menjadi sangat penting jika anda bercadang untuk berkayuh di waktu malam.

Peristiwa kurang menyenangkan pernah kami lalui

Sewaktu berkhemah di private park di Osaka, kami tidak menyangka yang kami tidak boleh berkhemah di situ. Selesai solat isya di masjid berhampiran, kami terus memasang khemah.

Setelah 1 jam berlalu dan kami baru saja dibuai mimpi tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kasut menghampiri dengan keadaan tergesa-gesa dengan diikuti suluhan lampu.

Pada masa yang sama kelipan samar lampu siren juga kelihatan. Betul tekaan saya. POLIS. Sebelum ini hanya baca cerita sahaja tentang polis di negara orang. Kini, berdiri di hadapan kami 2 orang polis lengkap beruniform sambil menyuluh muka sambil meminta passport kami. Diikuti dengan isyarat mengatakan disini tidak dibenarkan berkhemah.

Agak kelam kabut juga kami pada mulanya menghadapi situasi berkenaan. Ditambah dengan penat berkayuh, suhu sejuk dan mamai baru terjaga dari tidur. Segalanya harus diproses oleh otak kami dalam masa yang singkat. Apatah lagi dengan soalan yang bertubi-tubi dalam bahasa Jepun oleh polis tersebut.

Kami cuba menenangkan perasaan, dan menghulurkan passport dan memberitahu nama dan berasal dari Malaysia serta tujuan datang ke Jepun.

Setelah selesai dengan passport dan tujuan datang ke Jepun, mereka bertanya tentang ‘Rancangan Perjalanan’ kami. Oleh kerana kami telah menanda setiap laluan kami di dalam aplikasi Google Map, ia tidak menjadi masalah. Namun bila melihat telefon kami mampu membuat capaian internet ditanya lagi berkaitan sim kad. Bagaimana kami memperolehi capaian internet.

Kemudian mereka beralih pula kepada basikal. Seperti saya nyatakan didalam tips membeli basikal di Jepun pada bahagian dokumen pembelian. Kini kami menghadapinya sendiri.

Mereka bertanya adakah basikal kami disewa atau dibeli dan mereka meminta dokumen berkaitan. Ibu pejabatĀ  mereka juga turut dihubungi dengan berpandukan nompor plat pada basikal bagi mengesahkan adakah basikal tersebut memang milik kami.

Akhirnya kami berasa sangat lega bila polis tersebut menyerahkan passport kepada kami. Mereka juga mula memanggil dengan nama kami dan mula berinteraksi dalam Bahasa Inggeris melalui Google Translate.

Setelah mereka berpuas hati dengan segala maklumat, mereka meminta maaf dan memaklumkan di taman tersebut tidak dibenarkan tidur dan berkhemah. Kemudian mereka membuka peta di google map dan menunjukkan taman atau public park berdekatan yang dibenarkan berkhemah.

Barulah kami faham taman yang bagaimana sebenarnya dibenarkan berkhemah dan tidur. Mereka juga menunggu hingga kami selesai berkemas dan mengiringi kami dengan ucapan arigato dan gambate sewaktu berlalu dari taman tersebut. Bulat buntang biji mata kami pada malam tersebut mengenangkan peristiwa yang baru saja dilalui.

Baca: Pelajar Malaysia Gigih Bawa Misi Bina Masjid Dan Perkenalkan Islam Di Jepun

Berhijrah demi mahu amalkan Islam

Antara yang tiak akan saya lupa adalah sewaktu di Tokyo. Saya berjumpa seorang warga Uyghur yang berasal dari China. Beliau berhijrah ke Jepun kerana ingin mengamalkan agama Islam sambil mencari peluang pekerjaan.

Bila ditanya kenapa ingin berhijrah ke Jepun jawapan nya adalah untuk mengamalkan agama Islam yang kini mula sukar untuk diamalkan di China. Banyak halangan yang perlu dilalui di negara asal beliau sehingga terasakan seperti nikmat mengamalkan Ilsma telah ditarik ditanahair sendiri.

Bbetapa mereka berusaha untuk mengamalkan agama Islam hingga sanggup meninggalkan tanah air. Ini membuat saya mengenang betapa makmurnya agama Islam diamalkan di Malaysia meskipun dan diwaktu yang sama rakyat yang beragama lain juga bebas mengamalkan agama mereka.

Sewaktu bertemu warga Bangladesh yang bekerja sebagai jurutera pula, beliau berkongsi perasaan berbeza. Gaji lumayan yang dinikmati di Jepun tetap tidak dapat menepis perasaan sunyi dan rindu kepada keluarga di kampung halaman. Banyak faktor yang mempengaruhiperasaan beliau termasuk faktor sosial dan budaya yang tersangat berbeza.

Kesan dan perubahan dirasai selepas berbasikal di Jepun

Sistem kehidupan disiplin di Jepun sedikit sebanyak mempengaruhi saya seperti beratur dalam urusan melibatkan orang ramai dan mengutamakan pejalan kaki.
Menghormati komuniti dan kejiranan juga menjadi faktor penting kerana ianya akan mempengaruhi kita dalam mengadaptasi budaya setempat dan menjadikan kita seorang yang fleksibel dari segi fizikal dan mental.

Dari segi fizikal pula, paling terasa perubahan dalam diri adalah berat saya berkurangan sebanyak 7 kg dan saya berasa lebih cergas berbanding dulu.

Alhamdulillah, apa yang dihajatkan untuk melihat bumi Jepun dengan lebih dekat akhirnya tercapai. Kami merentasi bukit, terowong, hutan, pekan, kampung, sawah padi, kebun hatta lautan.

Memang sangat tidak dijangka laluan yang telah dipilih membawa kami bukan hanya mengenali rakyat Jepun dengan lebih dekat tetapi juga komuniti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Dari segi penerimaan mereka secara amnya ada penduduk tempatan yang meraikan kami dengan baik, namun ada juga yang melihat kami dengan pandangan pelik. Jelas terpancar keinginan mereka untuk bertanya berbagai perkara tentang kami tetapi masalah bahasa menjadi penghalang.

Impian kami berbasikal hingga ke Tokyo tidak kesampaian disebabkan suhu di malam hari yang kian sejuk dan wang perbelanjaan yang semakin susut. Perjalanan kami hanya separuh jalan sahaja.

Dan di penghujung kayuhan, kami mengambil keputusan untuk mewakafkan basikal di perhentian terakhir iaitu di Masjid Hamamatsu di daerah Shizouka.

Keputusan ini diambil selepas kami mempertimbangkan beberapa cara lainĀ  seperti menjual kembali basikal, mengepos basikal ke Tokyo, dan membawa basikal dengan kereta api.

Namun nampaknya kesemua ini tidak berapa relevan dan sesuai. Lagipun, apa salahnya meninggalkan basikal dengan cara ini. Sekurang-kurangnya ia dapat digunakan oleh komuniti muslim di sini pula.

Secara keseluruhannya, kembara berbasikal di bumi Jepun sangat menyeronokkan bagi kami. Untuk pengetahuan, kerajaan Jepun bukan hanya menyediakan perkhidmatan kereta api yang sangat meluas, tetapi juga kemudahan untuk aktiviti berbasikal.

Dengan berbasikal juga anda berpeluang untuk melihat banyak perkara dengan lebih dekat. Dihari terakhir juga, kami sempat merasai pengalaman gempa bumi berskala 6.3 ritcher. Goyangan yang membuat saya berfikir panjang dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Baca lagi: Kurang Duit Semasa Travel, Ini Mungkin Penginapan Alternatif Ketika Di Jepun