Kisah ‘fear factor’ budak-budak diuji keberanian dengan dicampakkan ular ke dalam kolam buatan menyebabkan saya membelek semula tesis yang ditulis tahun lepas.

Kebetulan saya pernah membaca, bagaimana teori Albert Bandura digunakan untuk ‘mengawal’ fobia seseorang kepada ular.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ular! Sebut pun dah meremang bulu roma. Bukan semua orang boleh dengan senang hati menyentuh reptilia berkulit sejuk dan mata tajam ini.

Jika tidak kerana takut sekalipun, orang tidak menyentuh makhluk ini kerana ada yang rasa menggelikan.

ular-02

Senang cerita, jika tiada sebab kukuh, kebanyakan kita pasti memilih untuk biarkan saja ular itu dengan ketenangannya menyusur akar.

Bandura memperkenalkan istilah ‘self-efficacy’ (efikasi kendiri) yang lebih mudah difahami sebagai kepercayaan seseorang kepada kebolehan diri mereka untuk melakukan sesuatu.

Mudah faham lagi, Yakin Boleh!

Pengaruh ‘saya boleh’

Bandura merumuskan, empat (4) perkara yang boleh mempengaruhi persepsi seseorang untuk akhirnya berasa, saya boleh!

1. Pengalaman merasai sendiri (Mastery experience)

2. Pengalaman melihat orang lain melakukan (Vicarious experience)

3. Pujukan sosial (Social Persuasion)

4. Keadaan emosi (Emotional State)

Dalam isu ular ini, jika penganjur mahu melatih keberanian dalam diri budak-budak itu, keempat-empat faktor ini sebaiknya diambil kira.

Bayangkan senario begini, apabila dicampakkan ular secara mengejut, mestilah emosi budak-budak itu rasa terganggu. Seolah-olah disuruh berlari sebelah-menyebelah dengan singa di savanah Afrika.

Emosi takut tahap kalut gila babas takkan membolehkan mereka berfikir secara normal. Memang huru-hara jadinya.

Penyudahnya, bukan keberanian yang mereka dapat. Fobia pula yang bertambah, malah bonus dengan trauma sekali.

Cadangan

Penganjur boleh bermula dengan membawa seekor ular yang ‘kelihatan’ tidak ganas atau tergolong dalam golongan ular tidak berbahaya (jika asyik berdesir lepas tu jelir-jelir lidah, seram juga wei!).

Saiz ular digunakan mungkin kecil dan sesuai dipegang oleh kanak-kanak (bawa ular sawa ukur lilit macam batang kelapa, saya pun pengsan!).

Letakkan saja ular itu pada satu tempat dan jurulatih sendiri boleh tunjukkan betapa ‘mesranya’ ular itu melingkar di pergelangan tangan mereka (macam yang di zoo selalu buat. Suka hati ular nak masuk dalam baju keluar ikut bawah seluar ke, terpulang!).

Biarkan kanak-kanak ini memerhati. Inilah dipanggil ‘vicarious experience’ (pengalaman melihat dengan mata sendiri).

Apabila menyaksikan sendiri jurulatih berada dalam keadaan selamat dari dibelit atau dipatuk ular, kepercayaan kanak-kanak ini akan meningkat sedikit dan mula menerima bahawa ular tidaklah sangat membahayakan seperti digambarkan dalam cerita Anaconda atau ‘Snake on Flight’.

Tetapi jika secara tiba-tiba ular mematuk jurulatih dan kemudian pengsan. Memang tamat di situ sahajalah modul itu (yang pasti masa itu, budak-budak dah bertempiaran lari!).

Vicarious experience

Selepas jurulatih berjaya menunjukkan contoh, cari kanak-kanak yang paling berani. Jika boleh, budak yang sukarela mahu pegang ular itu.

Apabila kawan sebaya mereka yang berani ini berjaya mengendalikan ular itu dengan baik, kepercayaan mereka akan naik setahap lagi kepada, “Eh, mamat tu boleh, takkan aku tak boleh.”

Ini juga adalah ‘vicarious experience’, malah impaknya lebih tinggi kerana dilakukan oleh budak yang sebaya dengan mereka. Semasa jurulatih buat tadi, mereka mungkin akan kata, “Eleh, orang dewasa bolehlah!”

Sambil rakannya bermain dengan ular, jurulatih boleh mula memberikan fakta-fakta menarik tentang ular yang mungkin jarang diketahui oleh kanak-kanak.

Contohnya, tidak semua ular berbisa dan membahayakan. Untuk menyokong kata-kata jurulatih, fakta di dalam buku seperti ensiklopedia boleh ditunjukkan.

Social persuasion

Kanak-kanak akan mula menerima logik apa yang diceritakan dengan apa yang disaksikan di hadapan mata. Ketika ini, jurulatih boleh mula meyakinkan mereka (bercakap) bahawa mereka juga boleh menyentuh ular tanpa sebarang risiko. Pengalaman ini dinamakan ‘social persuasion’.

Selepas melihat sendiri, mengetahui fakta, dipujuk pula dengan contoh di depan mata, keadaan emosi kanak-kanak ini akan berkurang dari ketakutan kepada ‘curiosity’ (ingin tahu).

Ketika ini, mereka berada dalam ‘emotional state’ yang stabil dan kemungkinan mula mahu mencuba.

Mastery experience

Apabila mereka membuat keputusan untuk memegang ular dan merasai sendiri pengalaman itu, peristiwa memegang ular tanpa sebarang insiden menakutkan akan menjadi ‘mastery experience’ pertama kanak-kanak ini.

Pengalaman pertama yang berlangsung dengan baik, akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak ke tahap tertinggi dan mereka dengan yakin akan berkata, “Saya dah cuba dah. Memang ok je. Tak jadi apa pun. Sempoi weh!” lebih kurang begitulah kata-kata poyo, budak yang sudah terlebih yakin.

Apa pun, kanak-kanak itu sudah dapat keberanian yang cuba diterapkan dalam diri mereka.

Keperluan emosi takut

Walaupun begitu, tiada yang salah dengan emosi takut. Ketakutan memang diciptakan Tuhan untuk manusia menjaga keselamatan diri. Ia bukan sesuatu yang perlu dihilangkan. Ia adalah sesuatu yang perlu dikawal.

Ketakutan masih diperlukan di tempat tertentu. Jika ular tedung selar warna hitam dengan tengkuk mengembang seperti kuali masuk ke dalam rumah dan anak-anak kita masih duduk selamba siap, “Chut, chut, chut” seperti panggil kucing. Itu sudah pasti sangat membahayakan.

Ketika itu, ketakutan memang perlu ada sebagai mekanisme pertahanan diri.

Saya sebenarnya tidak nampak kaitan antara keberanian berhadapan dengan ular dapat menaikkan motivasi menuju kejayaan (kecuali memang mahu mencipta rekod dunia, tidur bersama ular).

Mungkin ada kajian, kebanyakan orang berjaya hari ini, tidak takut ular!

Entah!