Sejak viral tentang isu basikal di Johor Bahru, sekilas teringat pula saya kisah 2 bulan lepas waktu pulang dari kerja.

Masa dalam perjalanan pulang saya ternampak 3 orang kanak-kanak berusia sekitar 8-11 tahun melambai-lambaikan tangan di tepi jalan, menahan kereta untuk diminta tumpang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kasihan dan waktu pun hampir Maghrib, saya tumpangkan mereka. Masa itu mereka bertiga tengah berebut air kelapa yang baru dibeli di gerai tepi jalan.

Disebabkan mereka berebut-rebut nak minum, saya belanja lagi dua untuk jadikan seorang dapat satu. Itu belum masing-masing berebut nak duduk depan pula. Kanak-kanak, kan. Tak mengapa.

Saya mulakan perbualan. Seperti mana tekaan saya, betul. Yang duduk di sebelah saya darjah 5, yang dua orang lagi di belakang darjah 4 dan 3.

Mereka ini dari pagi lagi sudah keluar dari rumah untuk bermain. Dan rumah mereka agak jauh dari kawasan tempat mereka bermain. Lebih daripada 15km.

Oleh kerana mereka ini kanak-kanak, cara mereka pergi senang.

Mereka akan tahan mana-mana kereta untuk pergi ke satu-satu tempat dengan mengharapkan kepada ihsan pemandu untuk hantar. Begitu juga waktu balik. Dan kalau tiada kereta yang sudi tumpangkan, mereka akan jalan kaki balik ke rumah.

Waktu malam pula, mereka akan bermain basikal sampai ke pagi. Begitulah rutin mereka.

Saya berborak cukup banyak dengan mereka. Budak-budak ini jujur, satu-satu dia cerita. Yang duduk depan, dia beritahu yang maknya sakit kaki, ayahnya pula tak ambil tahu pasal keluarga.

Yang seorang duduk di belakang, dia beritahu walaupun maknya bebel, dia buat tak tahu dan maknya akan diam. Bila ditanya tentang ayah, dia kata yang ayahnya kerja di Singapura dan jarang dapat jumpa.

Saya layankan kerenah satu persatu. Dari membelikan air kelapa, bawa ke kedai makan, sebab salah seorang daripada mereka minta makan sebab maknya tak masak. Mereka bercerita kisah mak ayah bergaduh waktu ambil salah seorang daripada mereka di sekolah, kisah bergaduh dengan pelajar lain di sekolah sehinggalah saya hantar pulang ke rumah.

Sepanjang pertemuan ini, cukup saya simpulkan satu je.

Mereka ini kurang mendapat perhatian dan kasih sayang keluarga. Mak ayah sibuk.

Dibiarkan anak-anak bebas pergi ke mana saja tanpa pengawasan. Masing-masing terlampau sibuk dengan urusan sendiri. Mungkin faktor kesusahan, atau mungkin memang tiada masa.

Cuma dalam syok melayan, satu part yang saya rasa agak sedih. Bila mana salah seorang yang maknya sakit tu berkata.

“Mak sakit, nanti mak dapat insurans, saya nak mintak mak RM300. Nak beli basikal. Dan nak belanja kawan-kawan saya dekat belakang ni.”

Dalam pemikiran dia, mak sakit itu cerita lain. Yang penting kawan-kawan dulu. Sebab apa? Sebab pada dia kawan-kawan itulah yang ada selalu bersama dengan dia.

Siapa kita nak salahkan dalam isu ni? Keluarga sendiri? Jiran? Masyarakat? Atau budak yang baru nak kenal dunia ni? Apa pula peranan kita sebagai masyarakat yang hidup berjiran.

Apa pun, salam takziah untuk keluarga-keluarga mereka yang terlibat dalam nahas basikal ini. Semoga arwah semua ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Wallahualam.