Di dalam grup Whatsapp Info Strok & Lumpuh, selain penjaga pesakit, ada juga pesakit sendiri yang aktif berkongsi maklumat dan pengalaman peribadi.

Saya ingin kongsikan satu perbualan yang saya fikir cukup penting, antara pesakit dan penjaga.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Iaitu bagaimana penjaga pesakit terlantar yang masih tidak mampu respon atau bercakap, mendapatkan maklumat mengenai pesakit jagaan mereka, melalui pesakit lain yang boleh menjawab ‘persoalan-persoalan terpendam’ mereka selama ini.

Pesakit yang dimaksudkan di sini ialah Tuan Nazsafaréen Hasan Safaréen Hasan yang mesra dipanggil Naz di kalangan kami.

Tuan Naz berusia 30 tahun, seorang mangsa kemalangan langgar lari pada tahun 2014. Tuan Naz mengalami Spinal Cord Injury (SCI) yang mengakibatkan beliau terlantar dan tubuhnya lumpuh dari paras dada ke bawah.

Penjaga pesakit yang dimaksudkan pula, adalah Puan Nurul Yune Aris yang tinggal di Machang, Kelantan.

Puan Nurul, 34 tahun, menjaga suaminya yang diserang strok pendarahan sejak 4 tahun lalu.

Suaminya Tuan Najmi, sebelum ini merupakan seorang Majistret di Sabah. Selepas serangan strok kali kedua, 2 tahun lalu akibat sawan yang teruk, Tuan Najmi kini terlantar dan tidak boleh bercakap dengan respon yang sangat minima.

Puan Abizan Umi Izan pula baru beberapa bulan menjaga suami yang juga mengalami strok pendarahan.

Manakala Puan Amirah pula menjaga ayahnya yang baru-baru ini diserang strok ketika sampai di Lapangan Terbang di London.

Tuan Naz dan kesemua pesakit masih memakai tiub tracheostomy.

Untuk pengetahuan, tiub tracheostomy (trachy) yang dipasang di leher pesakit adalah bertujuan untuk membantu dan memudahkan pernafasan pesakit.

Tetapi ia mengakibatkan pesakit mudah mengalami batuk-batuk dan berkahak. Apabila pesakit mengalami kahak yang banyak, ia perlu disedut keluar menggunakan mesin khas.

Oleh kerana Tuan Najmi dan pesakit lain tidak mampu respon, jadi penjaga-penjaga ini tidak tahu sama ada pesakit merasa sakit, atau tidak selesa apabila sedutan kahak dibuat.

Ikuti perbualan Tuan Naz (pesakit), Puan Nurul, Puan Abizan dan Puan Amirah dalam usaha untuk memahami situasi pesakit yang memakai tiub tracheostomy.

Puan Nurul: Naz, awak masih bertracky kan?

Tuan Naz: A’ah masih lagi bertracky.

Puan Nurul: Siapa suction (sedut) kahak? Ke dah tak ada kahak?

Tuan Naz: Mak.. Kejap banyak kahak kejap tak ada. Kadang-kadang tu seminggu tak suction.

Puan Nurul: Suami akak masih bertracky. Dan ramai geng-geng tracky dalam ni. Nak tanya Naz tak kuat ke nak telan air liur? Kadang-kadang batuk tu adakah sebab kedudukan leher yang bertracky tak kena pada tempatnya?

Tuan Naz: Saya air liur tak sangat menelan. Kalau telan air liur selalu memang banyak kahak. Memang kadang-kadang kedudukan trachy di leher boleh batuk. Kalau faktor hisap rokok memang banyak kahak. Nak kurang kahak, saya amalkan air suam awal pagi . Air tu ditelan campur madu (ditelan). Saya dulu masa mula-mula pakai memang banyak kahak dan asyik batuk terutamanya bila nak mengiring.

Puan Nurul: Sangat betul Naz. Asal mengiring batuk. Huhu. Satu lagi Naz, apa rasa pakai tracky ni? Betul ke hujung tracky yabg muncung tu boleh rasa di dinding tekak?

Tuan Naz: Tak rasa tapi bila tekan di luar akan dapat rasa.

Puan Abizan: Naz, kak nak tanya. Sakit ke masa cuci kahak tu. Sebab masa suami dok pakai trachy tu masa kak cuci kahak, bila masuk dalam sikit mesti mata sampai naik ke atas dan muka jadi merah. Huhuuuu tak tahan tengok.

Tuan Naz: Bila sedut memang rasa sakit sampai keluar air mata. Nak kurang rasa sakit jangan terus sedut ke dalam. Sedut hujung-hujung bahagian luar, lepas tu sikit-sikit masuk dalam.

Puan Amirah: Pernah berdarah tak? Tadi Mira bersihkan trachy ayah, kahak ada darah. Nangis tengok.

Tuan Naz: Kalau selalu suction akan ada darah. Kalau selalu sangat, jadi penat, lepas tu sesak nafas.

Puan Amirah: Sorry, soalan pelik. Selamat ke (lubang trachy) dari semut atau serangga yang comel-comel ni.

Tuan Naz: Setakat ni okay, Alhamdulillah. Tak ada apa yang masuk.

Jika rakan-rakan perasan, saya ada maklumkan sebelum ini, Tuan Naz merupakan pesakit SCI yang lumpuh dari paras dada ke bawah. Bermaksud beliau juga lumpuh tangan.

Jadi bagaimana beliau menaip untuk menjawab semua persoalan dari para penjaga pesakit ini?

Lihat foto yang saya sertakan di sini.

Tuan Naz menggunakan mouth stick.
Tuan Naz menggunakan mouth stick.

Inilah Tuan Naz. Beliau menaip menggunakan mouth stick yang penggunaannya khusus bagi individu yang lumpuh sepertinya. MasyaAllah.

Pertama kali saya melihat foto ini, sungguh saya kagum dengan semangatnya. Orang muda yang hebat diuji.

Adakah kita mahu lagi merungut dengan sekalian kesibukan yang Allah beri pada kita? Sedang tangan dan kaki kita cukup sempurna untuk melunaskan semua pekerjaan.

Terima kasih Naz dan semua sahabat di dalam grup ISL. Saya percaya, kita semua banyak belajar antara satu sama lain. Alhamdulillah.

Moga Allah permudahkan tanggungjawab yang tergalas di bahu kita semua.

Raudzah Arippin.

Suami Sudah ‘Off Trachy’.