Dulu semasa zaman sekolah pernah sekali cikgu aku bertanya pada seluruh kelas, apakah jangkaan kami untuk Malaysia pada tahun 2020.

Masa itu, Wawasan 2020 tengah panas sebab baru sahaja diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed. Jadi di mana-mana semua orang bercakap tentang Wawasan 2020, dari sekolah ke kedai kopi tempat orang lelaki melepak tengok gusti membawa ke pangkin bawah pokok tempat orang perempuan bergosip sakan.

Macam biasa bila cikgu bertanya, jawapan yang keluar semuanya diinspirasikan dari rancangan Beyond 2000.

Ada yang jawab nanti ada kereta terbang, atau akan ada robot tolong hayunkan buaian. Aku ni, dalam cubaan nak jadi luar biasa sikit dan nampak geliga bagi jawapan:

“Saya nak tengok sukan Olimpik dianjurkan di Malaysia dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah, cikgu!”

Murid lain semua gelak.

Dalam banyak benda yang boleh diidamkan, seperti kereta terbang atau robot hayun buaian, mamat sorang ni boleh minta Olimpik je?

Tujuh tahun selepas itu, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Selepas itu, kedengaran kerajaan bercakap hendak menjadikan Kuala Lumpur tuan rumah Sukan Asia 2006, dan kalau itu berjaya diikuti pula dengan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008.

Nampaknya belum sempat 2020 negara kita akan khatam semua acara sukan besar dunia.

Tapi Kuala Lumpur kalah pada Doha 13 berbalas 22 dalam undian menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006.

Tunku Imran sampai menangis bila keputusan diumumkan. Awalnya kita sangka boleh menang selepas diberi jaminan undi oleh negara Asia Barat, tapi mereka berpaling tadah. Macam tu je pak-pak Arab khianati kita, itu pun masih sampai ke sudah kita sibuk nak jadi Arab.

Selepas 2006, prospek menjadi tuan rumah Olimpik 2008 tampak suram.

Bila IOC selesai menilai semua calon-calon tuan rumah, Kuala Lumpur antara yang tersingkir awal di pusingan pertama, bersama Bangkok, Havana, Kaherah dan Seville.

Kita mencatat markah rendah dalam kategori kondisi dan impak alam sekitar, konsep keseluruhan dan infrastruktur sukan. Beijing akhirnya terpilih menjadi tuan rumah Olimpik 2008.

Nampaknya memang terpaksa tunggu 2020 barulah Kuala Lumpur menjadi tuan rumah. Molek juga pada pendapat aku, sesuai dengan tercapainya Wawasan 2020 kita.

Tapi hingga Olimpik 2016 di Rio de Janeiro melabuh tirai, kita semua tahu tuan rumah Olimpik 2020 ialah Tokyo. Ini kali kedua Tokyo menjadi tuan rumah.

Kali pertama adalah pada tahun 1964, yang juga merupakan Olimpik pertama untuk sebuah negara bernama Malaysia turut serta (sebelum itu kita turut serta sebagai Malaya).

Apa signifikannya menganjurkan Olimpik 2020 untuk Malaysia? Pada pendapat aku, besar maknanya.

Kalau betul mengikut Wawasan 2020 bahawa Malaysia ini adalah negara maju pada tahun 2020, maka cara terbaik untuk kita membuktikannya dan meraikannya ialah dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah sukan Olimpik.

Itulah yang Jepun buat dengan Tokyo 1964 dulu. Untuk apa? Sebagai membuktikan kemajuan Jepun dan kembalinya negara itu ke pentas dunia.

Sembilan hari sebelum Olimpik Tokyo 1964, Jepun melancarkan Shinkansen pertama mereka yang merupakan sebahagian dari projek pengangkutan awam yang dibangunkan bersempena Olimpik
Sembilan hari sebelum Olimpik Tokyo 1964, Jepun melancarkan Shinkansen pertama mereka yang merupakan sebahagian dari projek pengangkutan awam yang dibangunkan bersempena Olimpik

Kena ingat pada tahun 1945, Jepun telah diledak dengan dua butir bom atom dan negara itu kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Tapi dalam tempoh kurang 20 tahun, Jepun bangkit dari debu perang sebagai sebuah negara industri dan ekonomi yang kuat dan cintakan keamanan, bukan lagi sebuah negara militer dan penjajah seperti sebelumnya.

Itu jugalah yang dibuat oleh Korea Selatan dengan Seoul 1988. Sukan Olimpik kedua di benua Asia ini dijadikan pentas oleh Korea Selatan untuk membawa perhatian dunia terhadapnya dan demi membuktikan kemajuan industri Korea Selatan. Korea Selatan sebelum itu tidak dipandang sesiapa pun dan penganjuran Olimpik menjadi harapan kerajaan negara itu untuk meletakkan Korea Selatan setaraf negara maju dan elit yang lain.

Olimpik Seoul 1988 adalah medan untuk Korea Selatan memperkenalkan diri di mata dunia. Antara yang tidak ketinggalan ialah GoldStar, sebuah jenama elektronik yang orang tak kenal pun masa tu. Sekarang ini, GoldStar dikenali sebagai LG dan siapalah yang tak kenal LG, kan?
Olimpik Seoul 1988 adalah medan untuk Korea Selatan memperkenalkan diri di mata dunia. Antara yang tidak ketinggalan ialah GoldStar, sebuah jenama elektronik yang orang tak kenal pun masa tu. Sekarang ini, GoldStar dikenali sebagai LG dan siapalah yang tak kenal LG, kan?

Formula yang sama akhirnya digunakan oleh China apabila mereka memilih untuk menjadi tuan rumah Olimpik pada tahun 2008. Beijing 2008 adalah testimoni China sebagai kuasa ekonomi dan politik yang baru untuk mencabar hegemoni Amerika Syarikat pasca Perang Dingin. Kemuncaknya dibuktikan dengan China menjadi juara dari segi kutipan pingat, mengatasi Amerika Syarikat yang menguasai setiap edisi Olimpik sejak Atlanta 1996.

Jadi kalau diikutkan pada contoh Jepun, Korea Selatan dan China; sepatutnya Malaysia menganjurkan Olimpik 2020 demi meraikan kemuncak Wawasan 2020 dan membuktikan kita negara maju.

Tapi hari ini kita tahu status negara maju itu mungkin tidak dapat dicapai pada tahun 2020, bukan kerana tidak menganjurkan Olimpik tapi atas faktor-faktor lain. Bukan aku yang cakap, tapi banyak pakar ekonomi berpendapat sedemikian.

Pendek kata, kita gagal.

Ada empat tahun sahaja lagi dan Pensonic kita masih ketinggalan jauh berbanding Panasonic Jepun, Proton dan Perodua kita hanya gah di pasaran tempatan berbanding Hyundai dan KIA Korea Selatan yang dijual di empat penjuru dunia, dan dimana China ada Oppo, Huawei, Xiaomi dan entah apa lagi jenama telefon pintar, kita hanya mampu berbangga sebagai negara ke-10 tertinggi dalam penggunaan telefon pintar. Guna aje lah, buat sendiri payah.

Berbeza untuk China, Beijing 2008 lebih digunakan sebagai pentas untuk mengesahkan kedudukan negara itu sebagai kuasa utama dunia, baik dari segi ekonomi, politik atau ketenteraan. Juga sebagai alternatif kepada Uncle Sam.
Berbeza untuk China, Beijing 2008 lebih digunakan sebagai pentas untuk mengesahkan kedudukan negara itu sebagai kuasa utama dunia, baik dari segi ekonomi, politik atau ketenteraan. Juga sebagai alternatif kepada Uncle Sam.

Menganjurkan Olimpik itu bukanlah penentu kita maju atau tidak.

Tapi itulah, Jepun bangkit dengan Tokyo 1964 sampaikan kita terus mewujudkan Dasar Pandang Ke Timur dan mahu mengikut cara kerja mereka.

Korea Selatan muncul dengan Seoul 1988 hingga kita melaksanakan Wawasan 2020 dengan dasar penswastaan dan industri berat sokongan kerajaan.

China gah dengan Beijing 2008 hingga hari ini kalau kita mahu buat jambatan, pelabuhan atau kereta api laju kita harapkan bantuan China, selain berebut beli telefon pintar mereka kerana tak semua mampu nak pakai Apple atau Samsung.

Jadi kalau bukan kereta terbang, kalau bukan robot hayun buaian dan kalau bukan Oimpik, apa yang kita nak tunjukkan tahun 2020 nanti sebagai bukti kita negara maju?

Atau kita tangguh ke tahun 2030 hal jadi negara maju ini?

Mampukah kita menjadi negara maju?