Terletak sekitar 65 batu dari London, ibu kota daerah Oxfordshire ini amat senang untuk diakses waima kereta atau bas yang disebut Oxford tube.

Oxford adalah bandar ilmu yang merupakan legasi turun-temurun semenjak dari pertengahan Eropah selepas tertubuhnya akademi tertua dalam dunia bahasa Inggeris pada 1168 Masehi, iaitu hampir 900 tahun yang lalu.

Anda ingat tak Kamus Oxford? Oxford Press merupakan penghasil terbesar di dunia dalam bidang perkamusan merangkumi puluhan bahasa yang diterjemah.

Ia adalah usaha cendikiawan linguistik Oxford yang tidak jemu mentelaah dan mengkaji semantik dan fonologi bahasa sehingga diiktiraf di seluruh dunia atas nilai dan kemutuan terjemahan yang dihasilkan.

Dengan keramahan penduduknya sehinggalah kepada budaya ilmu yang melatari setiap tembok kota ini, bagi penulis, Oxford sesuai dikatakan gedung para cendikiawan.

Ya! Graha para cendikiawan. Graha merupakan bahasa klasik merujuk kepada perpustakaan atau gedung ilmu. Nah! Oxford lah yang penulis maksudkan.

Gabungan Kolej-Kolej

Oxford
Oxford

University of Oxford merupakan collegiate research university yang terbentuk bukan atas gabungan fakulti tetapi 38 kolej yang mempunyai autonomi masing-masing.

Setiap kolej mempunyai fellow dibawah sistem fellowship. Pentadbiran kolej adalah secara langsung di bawah college principal dan bernaung di bawah University of Oxford Management Board.

Setiap kolej tidak hanya sebagai residential college, malahan ia juga bertindak sebagai lecturing college.

Fellow tidak hanya bertindak sebagai warden atau erti kata lain, penyelia malahan juga sebagai pensyarah kolej. Jadi, disini 38 kolej utama tadi mempunyai pengurusan, kewangan, akademik masing-masing.

Antara kolej yang terkenal di Oxford adalah Chris Church college, Magdalen College, Queen’s College, serta New College.

New College
New College

Buat pengetahuan anda, Chris Church dan New College ialah set lokasi pengambaran filem Harry Potter. Kolej ini juga boleh dikira yang tertua sebaris dengan wujudnya University of Oxford.

Setiap kolej juga mempunyai chapel atau gereja kecil masing-masing dan diikuti oleh dewan utama, dewan makan, perpustakaan kolej serta badan pelajar. Ini menjelaskan signifikan agama dalam kehidupan setiap pendukung ilmu.

Selain itu, di akademi pengajian Islam dan oriental terdapat seorang cendikiawan ulung dari Malaysia iaitu Dr. Afifi Al Akiti. Ini menunjukkan tokoh-tokoh agung pendukung Islam mula mengangkat akademi ini berbanding dulu yang terdiri di kalangan golongan orientalis islam.

Biasiswa Berprestij

Rhodes House
Rhodes House

Penuntut di Oxford datang daripada ratusan bangsa dan negara. Lantaran itu, tidak hairanlah Oxford memiliki atmosfera antarabangsa yang luas dan bestari.

90% mahasiswa yang belajar di University of Oxford mendapat penajaan daripada pelbagai institusi dan badan. Peratusan ini menunjukan betapa berprestijnya nilai ilmu yang disantun di University of Oxford.

Antara biasiswa yang berprestij dan diburu kerana keunggulannya ialah Rhodes Scholarship yang didanai oleh Yayasan Rhodes. Rhodes Scholar menerima pelbagai kelebihan berbanding penerima biasiswa lain. Rhodes House pula merupakan bangunan persatuan mereka di Oxford.

Perpustakaan Di Oxford

Bodleian Library (Gambar: Flickr David Iliff)
Bodleian Library (Gambar: Flickr David Iliff)

Satu yang tidak boleh dipisahkan dengan University of Oxford adalah kewujudan Bodleian Library atau perpustakaan Bodleian. Nah! Inilah matlamat utama artikel ini ditulis. Apa yang menariknya tentang perpustakaan ini?

Pertama ia merupakan graha ilmu University of Oxford dan kedua, kecemerlangan penuntut Oxford banyak didukung oleh kewujudan perpustakaan ini.

Bodleian Library merupakan legal book depositor . Ini bermakna sebarang buku yang diterbitkan di United Kingdom dan dikatalog oleh British Library mesti disimpan satu salinannya di sini.

Jadi, tidak hairan jika perpustakaan ini menyimpan deposit buku antara yang terbesar di dunia, mungkin selepas Perpustakaan Kongres, Amerika Syarikat yang merupakan perpustakaan terbesar di dunia.

Bercakap tentang kongres Amerika Syarikat, suami Hillary Clinton dan bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton ialah alumni University of Oxford.

Kewujudan perpustakaan dengan akses mudah dan fasiliti yang agak lengkap dan memenuhi keperluan mahasiswa inilah yang mewujudkan masyarakat cintakan ilmu di Oxford.

Dan dari pasar tertutup atau covered market sehinggalah ke taman rekreasi, semuanya disediakan untuk masyarakat mahasiswa yang menjadi pendukung utama terhadap ilmu pengetahuan di sini.

Menjejakkan kaki ke Oxford adalah impian penulis semenjak dari kecil. Jadi, kesempatan mengikuti program penyelidikan bersama supervisor yang merupakan adjunct profesor di University of Oxford ini tak akan pernah dilupakan penulis sampai bila-bila.