Semua orang berhak untuk menikmati kebahagian dalam hidup, dan dalam masa yang sama terdapat pelbagai cara dilakukan oleh setiap individu untuk mendapatkan rasa bahagia. Namun, adalah perkara biasa kadang-kala kita cenderung  ditenggelami rasa tertekan dan kecewa.

Tetapi itu semua bukan lah sesuatu yang merumitkan, apa yang perlu dilakukan hanyalah mengubah segala prasangka negatif menjadi positif. Kekuatan inilah yang akan membentuk rasa bahagia kepada diri sendiri. Secara jujurnya sebagai seorang manusia yang lemah, ada masanya saya sendiri pernah merasa kecewa, patah hati, tertekan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kerenah manusia.

Hasil dari bertanya pendapat dan nasihat orang-orang berjaya, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit tips ringan yang boleh dipraktikan untuk menggenggam rasa bahagia. Kata para cendekiawan, kebahagian itu bukanlah datang secara semulajadi, tetapi sebenarnya hasil dari tindakan diri sendiri.

1. Percaya bahawa bahagia itu adalah pilihan

Kita adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk mencorak kehidupan kita sendiri. Secara mudahnya, kita lah orang yang mengawal setiap apa yang berlaku kepada diri kita setiap hari. Oleh itu, kita mempunyai pilihan untuk memulai hari kita dengan harapan atau sebaliknya. Jadi, kerap lah melatih diri sendiri untuk membentuk kehidupan yang lebih baik. Jika gagal, cuba dan cuba lagi.

2. Berfikiran positif

Ya, ini adalah kunci yang paling utama. Kita sering diajar untuk berfikiran positif. Secara dasarnya, pemikiran positif bermaksud memandang sesuatu dari sudut yang baik untuk dirinya sendiri, orang lain ataupun untuk keadaan disekelilingnya.

Memiliki pemikiran yang positif akan memberikan anda kepercayaan terhadap diri sendiri dan boleh melakukan hampir semua perkara yang telah dirancangkan.

BACA: Bagaimana Saya Berusaha Ubah Diri Untuk Jadi Lebih Positif Melalui 3 Buku Ini

3. Melakukan sesuatu kepada orang lain

Sandaran ini diletakan kepada kata-kata yang sering diungkapkan iaitu ‘memberi itu lebih baik daripada menerima’. Memberi, menolong atau meluangkan waktu untuk melakukan sesuatu kepada orang lain mendorong perasaan bahagia hadir di dalam diri anda.

Melihat dan mengetahui bahawa anda adalah alasan untuk mereka tersenyum akan mendatangkan perasaan memuaskan secara langsung disertakan dengan rasa bahagia. Latihlah diri untuk sentiasa menolong orang lain.

4. Belajar sayang diri sendiri

Belajar sayang diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain. Dalam hidup, mencintai diri sendiri adalah hal yang paling penting. Tidak ada seorang pun di dunia ini sama seperti diri anda.

Anda adalah seorang yang istimewa, unik dan indah! Termasuk ketidaksempurnaan yang anda miliki. Tiada manusia yang 100 peratus sempurna, ketidaksempurnaan itulah yang akan membentuk peribadi anda. Setiap orang itu berbeza.

5. Menghargai perkara kecil yang berlaku

Dapat menikmati hidangan kegemaran, menonton filem atau meluangkan masa bersama kawan. Itu semuanya perkara-perkara kecil yang berlaku dalam hidup. Belajar bersyukur walaupun kadang-kala kita tidak sedar perkara sebeginilah yang menyumbang kepada rasa bahagia.

Tidak semua orang berpeluang menikmati kesempatan seperti yang anda rasa. Jangan membandingkan kehidupan orang yang jauh berada di atas, tetapi cuba bandingkan dengan mereka yang berada di bawah. Ia akan membuatkan anda rasa beruntung dan bahagia dengan kehidupan anda sekarang.

6. Bermimpi besar

Bermimpilah sebesar mana pun yang anda mahu, kerana mimpi itu percuma. Mimpi adalah keinginan yang dibuat oleh hati, sebagai contoh anda impikan untuk memiliki sebuah kereta mewah. Cuba luangkan waktu untuk membayangkan perasaan itu. Bermimpi besar ini juga merupakan teknik yang digunakan untuk mengembirakan hati sendiri secara tidak sedar ia adalah motivasi dan harapan untuk mula mencapai sesuatu.

Untuk tindakan seterusnya, berusahalah untuk mengubah mimpi menjadi kenyataan. Ingat, dengan semagat yang tinggi tiada yang mustahil untuk mencapai impian anda.

7. Nikmati setiap detik dalam hidup

Orang kata apa yang berlaku semalam adalah sejarah, dan apa yang bakal berlaku besok adalah harapan. Apa yang sudah berlaku hanyalah kenangan, tapi besok belum tentu anda diberi kesempatan untuk bernafas. Mati adalah sesuatu yang tidak boleh diduga kedatangannya.

Satu-satunya hal paling bahagia adalah waktu sekarang! Jadi, nikmatilah kehidupan anda yang sekarang ini dengan sepuasnya kerana hidup ini sangat indah apabila anda menghargainya.

Sebenarnya banyak lagi tips atau pilihan yang boleh cuba dipraktikan untuk mendapat rasa bahagia dalam hidup, di atas ini hanyalah sebahagian pilihan kecil yang boleh anda cuba.

Jika anda gembira untuk berkongsikan pendapat, anda boleh menghantar terus ke email saya di [email protected] . Semoga sedikit daripada perkongsian ini mampu memberi semangat dan dorongan kepada diri sendiri dan orang lain dalam memotivasikan diri.

Kata kawan saya, semua orang kena gembira!

BACA: 10 Ciri Ini Tanda Anda Memiliki Mental Yang Kuat