Sebelum ini selalu dengar saja rakyat Malaysia kena tipu beribu ringgit dengan orang negara luar, terutama sekali Amerika dan Afrika. Sampai sanggup bergadai bagai.

Apabila berita sebegini keluar di media perkara pertama sekali saya akan cakap; “Kenapa bodoh sangat senang-senang beri mereka duit macam itu saja tanpa fikir risikonya.”

Tapi apabila terkena batang hidung sendiri barulah saya sedar yang mereka sebenarnya tersepit dengan ugutan daripada mereka yang profesional menjalankan aktiviti seperti ini.

Dari pengalaman saya mereka menjalankan aktiviti ini dalam kumpulan besar. Ya besar, sebab apa saya kata kumpulan besar adalah kerana mereka seolah berebut-rebut untuk close mangsa. Ibarat macam close sale, siapa dapat close dia akan dapat ganjarannya.

Saya nak kongsi pengalaman saya bersama scammer ini. Ceritanya macam ini, baru-baru ini saya ada membuat pengiklanan di satu laman sesawang untuk menjual barangan antik. Baru 1 jam saya iklan di situ berdesup-desup WhatsApp masuk.

Sebelum ini banyak juga barang saya jual di situ dan berjaya. Tapi kali ini agak berlainan daripada sebelumnya. Banyak nombor luar negara dari dalam negara yang tertera.

Setelah berbalas WhatsApp saya tertarik dengan tawaran harga yang diberi daripada beberapa nombor luar negara kerana harga yang mereka tawarkan sangat-sangat gila dan boleh membuatkan saya menjadi jutawan segera.

Waktu itu dah tak fikir yang negatif kerana terlalu tamak saya layan semua mesej dari luar negara sahaja. Hampir 3 jam berbalas WhatsApp, saya pun setuju dengan 4 orang kerana mereka menawarkan harga yang sangat tinggi.

Ini belum finally lagi sebab barang yang saya nak let go kni ada 1 saja. Jadi saya perlu memilih satu daripada 4 orang tadi. Maka bermulalah episod perangkap yang hampir menjerut leher saya.

Pertama sekali saya memilih pemilik nombor bernama Miss Isabella Cadel dari USA. Setelah bersetuju dengan harga, dia meminta nama penuh saya, nama bank dan nombor akaun bank saya.

Tanpa fikir panjang saya pun lurus bendul terus saja bagi. Duit kan, memang laju sajalah bagi. Dia cakap tunggu balasan WhatsApp daripada dia dalam setengah jam sebab dia dalam perjalanan ke beneficial Bank of America.

Tak sampai pun setengah jam dia WhatsApp kata dah sampai bank dan dalam proses memasukkan duit ke dalam akaun saya. Apa lagi bebunga-bungalah hati ini sebab dah plan nak buat apa dengan duit yang banyak itu. Haha.

Dalam duk mengelamun tu tetiba Miss Isabella Cadel WhatsApp beritahu yang penghantaran duit ke akaun saya ada masalah. Saya reply tanya masalah apa.

Dia cakap pihak beneficial Bank of America tak boleh transfer duit ke akaun saya sebab saya tidak mengaktifkan akaun antarabangsa. Dia cakap pihak bank minta saya bayar yuran pengaktifan untuk memudahkan urusan transfer duit ke akaun saya.

Masa ini saya masih tak syak apa-apa lagi. Saya tanya berapa saya perlu bayar untuk pengaktifan akaun. Dia cakap RM10,000. Saya reply tak ada duit sebanyak itu sekarang.

Dia reply semula suruh saya pinjam duit dari sesiapa dulu nanti dah dapat duit daripada dia bayarlah semula. Dia yakinkan saya, dia cakap setelah saya membuat pengaktifan akaun antarabangsa saya akan terima duit RM850,000 dalam masa 5 minit.

Memang teruja gila waktu itu. Macam-macam perasaan mula timbul. Ya Allah dengan siapa aku nak pinjam duit sebanyak itu. Saya WhatsApp Miss Isabella minta dia beri saya masa. Dia reply OK tapi jangan terlalu lama sebab transaksi duit ke akaun saya dah separuh jalan dan hampir berjaya.

Miss Isabella beritahu transaksi tidak boleh dibatalkan sebab dia sudah serah duit kepada bank. Dalam tempoh berfikir itu saya cuba reply pembida ke-2 dan ke-3 tertinggi iaitu Miss Sabina dari USA juga dan dia menawarkan RM 700,000 dan Mr Hassan dari Afrika Selatan menawarkan RM700,000.

Situasi ke-2 dan ke-3 ini berlaku lebih kurang macam situasi pertama. Miss Sabina dan Mr hassan meminta saya mengaktifkan akaun antarabangsa dengan yuran yang agak rendah dari situasi pertama. Miss Sabina dan Mr Hassan menyatakan saya perlu membayar yuran pengaktifan sebanyak RM5,000 untuk transaksi ini.

Fuh, berpeluh juga memikirkan macam mana cara saya perlu dapatkan wang segera untuk selesaikan transaksi ini. Waktu itu saya hanya fikirkan ah long sahaja dapat selesaikan masalah saya ini.

Dalam duk fikir-fikir itu macam-macam WhatsApp yang Miss Isabella, Miss Sabina dan Mr Hassan hantar seolah-olah mengugut saya. Sekiranya saya tak selesai transaksi ini dalam 2 jam dia akan buat laporan polis di Interpol dan akan minta Interpol keluarkan waran tangkap ke atas saya sebab menipu wang mereka.

Cuak gila waktu itu. Macam-macam perasaan ada; takut, kecewa, berdebar, sedih semua ada. Waktu ini saya cuba tenangkan diri, minum air untuk kurangkan tekanan.

Setelah reda saya ambil wudhu untuk solat zohor dan istikharah. Usai solat saya minta petunjuk supaya Allah beri jalan bagaimana untuk selesaikan masalah ini.

Alhamdulilah, Allah bantu saya. Saya baca semula WhatsApp mereka bertiga satu per satu dan saya perasan gambar transaksi yang mereka bertiga hantar dan tandatangan yang tertera adalah sama. Mana mungkin negara berbeza tapi screenshot transaksi mereka berlatarkan gambar yang sama. Ini bermakna saya dah kena game. Haha.

Mereka ingat senang-senang nak game saya. Setelah terhidu aktiviti scammer ini, saya dengan berani menghantar WhatsApp kepada mereka bertiga.

“Ini adalah scam so anda tak perlu ugut saya dan saya telah pun buat laporan polis.”

Senyap terus mereka bertiga. Dalam duk senyum-senyum semula, gatal pula tangan ini nak cuba lagi satu nombor. Memandangkan harga yang ditawarkan Mrs Linda Sidney dari UK agak tinggi iaitu RM225,000 saya terjebak juga.

Tapi kali ini saya dah bijak sikit saya tak bagi nombor akaun tapi saya cakap nak jual secara face-to-face. Dia reply macam mana nak nak jumpa, “Saya di UK dan awak di Malaysia.”

Saya pun reply; “Tak ada masalah, saya boleh saja terbang ke UK untuk serah barang ini pada awak dengan selamat dan awak boleh beri tunai terus pada saya”.

Dia macam tak puas hati dan dia reply saya sentiasa sibuk dan tiada masa untuk berjumpa awak. Haha. Saya dah jangka perkara ini. Macam nak kena game lagi.

Daripada menghabiskan data ber-WhatsApp dengan scammer ini lebih baik block semua nombor ini. Mungkin belum rezeki nak jadi jutawan. Insyallah ada rezeki lain menanti.

Perkongsian ini sekadar peringatan buat sesiapa yang teruja nak jadi jutawan segera. Ambil sebagai iktibar. Jangan tamak macam saya.

Oh ya! Untuk pengetahuan anda semua perbualan antara saya dan scammer adalah dalam bahasa Inggeris walaupun English saya budak tadika saja yang faham. Saya baca dan reply WhatsApp mereka guna translate. Berterabur macam ayam ngan itik.