Ditulis Oleh:
Iszuddin Ismail
CTO
January 7, 2017 9:16 AM

Internet menawarkan kita peluang tanpa sempadan. Sebenarnya ramai di serata dunia menjana pendapatan ataupun wang sampingan tanpa berada di Amerika Syarikat.

Tidak kurang juga kawan-kawan programmer di Malaysia ini yang berbuat perkara yang sama.

Jadi dalam artikel ini, saya akan bongkar bagaimana programmer seperti kita juga boleh menjana pendapatan dalam USD dari pelanggan dan klien di luar negara.

Tetapi sebelum itu, mungkin saya boleh sarankan — hentikan pendapat yang memperlekehkan diri.

Kita selalu merasakan yang kita belum cukup bagus untuk bersaing di persada antarabangsa di Internet. Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak setanding kita dari negara-negara lain tetapi menjana pendapatan USD yang hebat.

Jadi, apa yang menghalang kita?
Jawapan seperti biasa — sikap kurang yakin diri dan kurangnya usaha.

Sekiranya kita mahu menjana pendapat lumayan di Internet dengan kemahiran kita sebagai seorang programmer, kita kena rajin berusaha dalam memberi perkhidmatan dan juga dalam memasarkan diri.

Mungkin usaha untuk mendapatkan pelanggan pertama itu sangat sukar. Kita perlu gigih memasarkan diri secara terus menerus.

Ini yang programmer dari India, Pakistan, Indonesia lakukan. Selain daripada gigih dari aspek itu, kita juga perlu gigih dalam memperbaiki diri dan sentiasa memberi yang terbaik, baik dalam memberi perkhidmatan, mahupun dalam membina produk.

Biar saya perkenalkan beberapa programmer dari negara dunia ketiga yang begitu hebat menjana wang USD.

Muhammad Haris

Muhammad Haris ialah seorang programmer dari Pakistan.

Yakin dengan kemahirannya, pada 2012 dia telah menghubungi Luke Beck dari USA setelah melihat beberapa hasil kerja Luke di GraphicRiver.net dan ThemeForest.net.

Muhammad Haris mencadangkan yang Luke akan membina rekabentuk web manakala Muhammad Haris akan membuat kerja-kerja programming untuk menghasilkan WordPress theme untuk jualan di ThemeForest.net.

Mereka kini bergelar ThemeFusion dan telah menghasil WordPress theme Avada. Avada merupa satu produk di ThemeForest yang menjana hasil jualan tertinggi.

Yuniar Setiawan

Yuniar Setiawan merupakan seorang graduan kejuruteraan elektrikal dari Universiti Brawijaya, Indonesia. Beliau tamat pengajian ijazah sarjana muda pada 2004.

Pada 2006 dia memulakan Mach Form, sebuah skrip PHP yang memudahkan kerja-kerja membina borang online untuk pelbagai kegunaan. Skrip ini membolehkah sesiapa sahaja membina borang online dengan interaksi drag-and-drop, mengumpul data dan membuat analisa.

Kini ianya antara pilihan utama di Internet untuk mereka yang ingin membina borang online. Antara pelanggan beliau ialah Xerox, Kumon, IBM dan ramai lagi, di samping SME, webmaster, web designer dan programmer.

Ada apa untuk kita?

Mereka berjaya. Dan kita juga boleh. Tetapi ianya bermula dengan keyakinan diri kita.

Sebenarnya tak kurang juga rakan-rakan negarawan kita yang berjaya di persada antarabangsa dan menjana USD. Sebelum saya perkenalkan mereka, mari saya cadangkan tujuh cara programmer seperti anda boleh lakukan untuk menjana USD di Internet.

1. Mencari Peluang Di Freelance Marketplace

Ada banyak marketplace yang dikhususkan untuk freelancer dan programmer.

Individu dan bisnes boleh menawarkan kerja-kerja untuk dilakukan. Dan kita boleh cuba mendapatkan kerja ini dengan menawarkan harga dan juga rujukan kepada kerja-kerja lampau.

Bolehlah kita andaikan ini seperti tawaran tender daripada syarikat untuk kerja-kerja khusus. Tetapi kesemuanya berlaku di Internet dan dalam sebuah aplikasi web.

Dengan marketplace sebegini, mereka akan mengambil sedikit peratusan daripada transaksi antara freelancer dan pemilik projek.

Antara freelance marketplace yang terkemuka dan boleh kita cuba ialah:

Fiverr.com

Fiverr agak unik kerana freelancer hanya boleh menjual perkhidmatan pada harga $5 USD. Tetapi sekiranya kita memenuhi kriteria tertentu selepas beberapa lama, ada ciri-ciri tertentu yang diberikan.

Contohnya, kita boleh menawarkan add-on sebagai tambahan kepada perkhidmatan asas dengan harga yang berbeza.

Fiverr bagus untuk memulakan agenda freelancing kita di Internet. Walaupun bermula dengan menerima upah $5USD, ramai juga yang menjana pendapatan sepenuh masa.

Dilaporkan oleh Business Insider Australia pada 17 Jun 2015, Redd Horrocks kini menjana lebih kurang $9000 USD setiap bulan.

Freelancer.com

Freelancer.com berfungsi secara berbeza dengan Fiverr.

Di Fiverr, freelancer yang menawarkan perkhidmatan. Di Freelancer.com, individu ataupun perniagaan menyatakan apakah perkhidmatan dan dimahukan dengan bajet yang sanggup dibayar.

Freelancer pula boleh membida dan menawarkan harga, dan cuba meyakinkan pemilik projek.

Ini seperti kita bersaing untuk mendapatkan tender daripada syarikat. Tetapi melalui Freelancer.com, mereka memantau segalanya untuk perniagaan dan juga freelancer.

2. Menjual Produk Di Marketplace

Kaedah kedua yang akan saya ketengahkan adalah dengan membina sesebuah produk dan menjualnya di marketplace untuk produk.

Berbeza dengan kaedah pertama tadi, sekarang kita bukan lagi menawarkan perkhidmatan. Namun, kita perlu membina sebuah produk untuk disenaraikan di marketplace.

Antara kebaikan kaedah ini, marketplace memang sudah menjadi tumpuan ramai. Dengan menggunakan marketplace, kita juga tidak perlu untuk membina sebuah web ataupun berbelanja untuk sebuah sistem maklumbalas pelanggan. Semuanya boleh dilakukan melalui marketplace ini.

Sama seperti pilihan pertama tadi, marketplace akan mengambil sedikit jumlah daripada transaksi sebagai yuran.

Sekiranya kita telah bersedia untuk menjual produk, kita boleh menggunakan antara marketplace di bawah.

CreativeMarket.com

CreativeMarket.com lebih fokus kepada rekabentuk dan juga sesuai untuk pereka grafik. Namun terdapat juga template dan theme yang dijual di sini. Maka mereka yang pandai dengan ubahsuai WordPress dan Joomla, boleh juga menjual di sini.

Creative Market lebih liberal dalam menetapkan harga dan menjual. Penjual boleh menetapkan harga sendiri.

Mereka juga tidak kisah sekiranya produk tersebut juga dijual di tempat lain, ataupun menjual sendiri di laman web. Komisyen yang diambil oleh Creative Market pula adalah tetap pada 30%.

Envato, ThemeForest.net dan CodeCanyon.net

Envato lebih dominan sebagai marketplace produk oleh programmer dan pereka web.

Envato mempunyai beberapa marketplace untuk mereka yang terlibat dengan industri kreatif dan programming. Ada marketplace untuk video, gambar, dan juga rekabentuk grafik dan programming.

Dua marketplace yang releven kepada programmer adalah ThemeForest.net dan CodeCanyon.net. ThemeForest.net lebih mengkhususkan kepada HTML, template, dan theme.

CodeCanyon.net pula lebih mengkhususkan kepada produk programming seperti produk berasaskan PHP, ASP.NET, aplikasi lengkap, module dan plugin.

Envato mempunyai kaedah harga mengikut kategori produk. Contohnya sebuah WordPress theme dijual pada harga antara $28 hingga $63 USD, tertakluk kepada ciri dan kegunaan theme itu. Magento theme pula dijual pada harga antara $79 hingga $99.

Envato mengenakan komisyen di antara 30% hingga 50% untuk setiap jualan. Semakin banyak hasil jualan terkumpul, kadar komisyen semakin dikurangkan.

Envato menghargai mereka yang menjual secara eksklusif di marketplace mereka. Maka komisyen yang lebih rendah diberikan.

Namun sekiranya penjual mengedarkan produk tersebut di tempat lain, ataupun di laman web sendiri, Envato mengenakan komisen lebih, iaitu sebanyak 64%.

WooCommerce

WooCommerce adalah sistem shopping cart dan e-dagang kedua pilihan dunia selepas Magento (http://trends.builtwith.com/shop).

WooCommerce, walaupun pada dasarnya adalah sebuah theme untuk WordPress, mereka mempunyai marketplace mereka tersendiri untuk add-ons khusus untuk WooCommerce. Malah, pada May 2015 baru-baru ini, WooThemes menjadi sebahagian daripada Auttomatic, syarikat yang membangunkan WordPress.

Untuk menjual theme dan add-on di WooCommerce, programmer perlu mencadangkan add-on yang ingin dibina.

Dan kemudian sekiranya diterima, perkongsian keuntungan adalah secara 50-50. WooCommerce menetapkan syarat eksklusiviti, bermakna add-on itu tidak boleh dijual di tempat lain, mahupun di laman web sendiri. Akan tetapi, programmer dibenarkan menyediakan pautan agar pelanggan boleh membuat pembelian terus di WooCommerce.com.

Concrete5

Concrete5 adalah sebuah content management system seperti WordPress dan Joomla. Ianya dibina dan disokong oleh Portand Labs di USA.

Saya menyenaraikan juga Concrete5 kerana ianya mempunyai marketplace yang terus terbina di dalamnya. Setiap pengguna Concrete5 pasti akan melihat beberapa maklumat terkini daripada Concrete5 dan marketplace ini apabila login ke dashboard.

Mendaftar sebagai ahli di Concrete5 adalah percuma. Sebagai yuran, Concrete5 mengambil 30% daripada harga jualan sebagai komisen. Harga minima yang ditetapkan untuk add-on atau plugin adalah adalah $15.

Open Cart

Saya menyenaraikan Open Cart atas sebab yang sama dengan Concrete5. Setiap pengguna Open Cart pasti akan ke marketplacenya sendiri untuk mencari add-on, plugin dan themes. Open Cart berdaftar secara rasmi di Hong Kong oleh Open Cart Limited.

3. Menulis e-book Programming atau Panduan Teknikal

Programmer memang orang yang hebat dalam pelbagai cabang ilmu. Di samping membina produk, apa kata mengajar orang lain tentang kemahiran yang kita miliki ini. Satu cara adalah dengan menulis e-book.

Untuk menulis e-book, kita perlu menghasilkannya dalam format ePUB. ePUB lebih diterima sebagai satu format e-book antarabangsa.

Untuk menjana USD, maka kita perlu menulisnya dalam bahasa Inggeris. Mungkin kita kurang mahir menulis dalam bahasa Inggeris.

Tetapi kita boleh bermula dengan mendraf kandungan e-book dan kemudian menulisnya sedikit demi sedikit.

Bekerjasama dengan rakan yang lebih mahir berbahasa Inggeris sebagai editor adalah satu lagi pilihan yang boleh diambil. Selain itu, mungkin kita boleh melayari Fiverr dengan tujuan mencari editor untuk membantu membetulkan ejaan dan struktur ayat.

Untuk mula menjana duit dalam USD, kita boleh menjualnya sendiri di laman web sendiri. Kita kemudian perlu membuat pemasaran sendiri.

Tetapi sekiranya kita kurang berkemahiran, mempunyai modal yang terhad, ataupun kekangan masa, terdapat juga marketplace yang kita boleh gunakan untuk mengedarkan e-book. Saya mencadangkan marketplace berikut yang lebih khusus kepada programmer dan orang-orang IT.

Sedikit panduan dalam menulis e-book untuk pengedaran meluas, kita tak perlu mendaftarkan syarikat. Namun lebih elok dapatkan nombor ISBN (ya, walaupun e-Book), atau lebih tepat lagi e-ISBN. Ini boleh didapati daripada Perpustakaan Negara Malaysia.

Dapatkan e-ISBN/ISBN daripada Perpustakaan Negara di http://www.pnm.gov.my/index.php/pages/view/18

Apabila e-book kita telah siap, kita boleh mula mengedarkannya di marketplace yang relevan kepada programmer dan orang-orang IT. Berikut adalah beberapa pilihan:

Leanpub.com

LeanPUB.com menjadi pilihan untuk menulis dan mengedarkan e-book bagi penulis teknikal dan IT. Malahan, senarai bestseller di Leanpub kesemuanya dimonopoli oleh judul berkaitan Javascript, pengaturcaraan, analisa data, dan lain-lain yang berkaitan. Maka ini menjadikannya sebuah marketplace yang begitu serasi dengan programmer.

Selain daripada itu, yang menjadikannya lebih menarik untuk programmer adalah apabila kita boleh menulis dan menghantarkan e-book kepada Leanpub dengan Git dan Markdown.

Selain daripada menulis sendiri dan upload ePUB siap ke Leanpub, Leanpub mempunyai cara agar kita boleh mengunakan repo di Github, Dropbox atau Bitbucket. Kita juga boleh menggunakan format Markdown apabila sedang menulis e-book kita.

Namun, sekiranya kita kurang biasa dengan Git dan Markdown, eloklah juga mengguna cara biasa dan kemudian upload ePUB siap ke Leanpub.

Yuran yang dikenakan oleh Leanpub.com juga rendah. Tiada bayaran dikena untuk pendaftaran.

Dan apabila e-book telah siap ditulis dan mula dijual, Leanpub mengambil 10% daripada hasil jualan ditambah dengan $0.50. Sebagai contoh, sekiranya e-book dijual pada harga $10, maka yuran yang dikenakan adalah $1 (10%) dan $0.50 (transaksi), dan kita akan mendapat $8.50 bersih.

Sebagai perbandingan Amazon Kindle mengenakan yuran sebanyak 30% hingga 65%, dan itu kemudian ditambah dengan pelbagai yuran penghantaran dan lain-lain.

Tetapi sebagai penulis bebas, tiada halangan untuk kita juga menghantar e-book kita ke Amazon, Kobo, Google Books dan lain-lain untuk pengedaran yang meluas.

Namun, sebagai programmer, eloklah kita bermula di Leanpub. Apabila e-book kita telah siap, ePUB yang dihasilkan juga boleh dihantar ke marketplace lain sekiranya mahu.

e-Sentral.com


Baiklah, ini tidak menjana USD. Namun, elok juga saya maklumkan tentang produk hasil tempatan ini.

Ianya sebuah marketplace seperti Amazon Kindle, Kobo dan Google Books. E-Sentral mengkhususkan kepada pemasaran di serantau Asia Tenggara.

Penulis perlu menyiapkan e-book dalam format ePUB dan dapatkan e-ISBN daripada Perpustakaan Negara Malaysia.

Dan kemudian ianya boleh dihantarkan ke e-Sentral.com melalui Publisher Panel mereka.

Harga perkongsian pada dasarnya adalah 70% untuk penulis dan 30% untuk mereka, dan ianya daripada harga jualan. Penulis bebas untuk menetapkan harga sendiri.

4. Mengajar Programming di Udemy

Udemy.com. Ilmu juga boleh disampaikan secara video. Banyak perihal programming, sekiranya diberi tunjuk ajar, si pengajar perlulah menunjukkannya secara langkah dengan langkah. Programmer boleh merakam paparan skrin sambil memberi tunjuk ajar, dan juga merakam suara.

Tapi pastinya kebolehan berbahasa Inggeris juga penting. Namun si pengajar tidak boleh berupaya untuk bertutur dengan sangat lancar. Banyak kursus video di Udemy di mana pengajarnya bukanlah daripada mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

Apa yang diperlukan adalah

Perisian merakam skrin dan suara.

Saya cadangkan Screencast-O-Matic.com sebab harga dan ciri yang ditawarkan agak berpatutan. Kita boleh bermula dengan percuma tetapi video kita akan diletakkan jenama Screencast-o-matic, dan ianya juga terhad kepada 15 minit sahaja. Dengan hanya $15 USD setahun, semua kekangan ini ditarik semula. Ianya juga hadir dengan perisian untuk mengedit video yang telah dirakam.

Mikrofon yang baik untuk merakam suara.

Dalam membuat video panduan, suara yang dirakam adalah sangat penting. Mikrofon yang terbaik pernah saya guna untuk membina video seperti ini adalah berjenama Plantronic, dengan ciri yang membuang suara latar seperti bunyi kipas atau penyaman udara.

Dalam tahun 2015, Business Insider telah memaparkan kisah Rob Percival, ketika itu berusia 34 tahun yang telah menjana lebih $1 juta USD dengan kursus yang ditawarkannya di Udemy.

5. Membina Aplikasi Mobil

Bagi mereka yang mengetahui cara membina aplikasi mobil, baik untuk iOS mahupun Android, ini juga boleh menjana pendapatan USD. Tetapi, bagi seorang programmer yang baik, tidak susah untuk mempelajari cara untuk membina aplikas mobil, tambah-tambah lagi dengan pelbagai kaedah dan pendekatan hari ini yang banyak memudahkan.

Cordova, Ionic, Titanium, Appcelerator, App Inventor, Codiqa dan lain-lain adalah antara perisian yang memudahkan lagi pembangunan aplikasi mobil.

Sebenarnya, aplikasi mobil ini boleh menjana pendapatan USD dengan tiga cara:

Menjual aplikasi

Apabila menyenaraikan aplikasi di Google Playstore untuk Android ataupun Appstore untuk iOS, kita boleh menetapkan harga untuk aplikasi ini.

Mungkin kita boleh membina satu versi dengan ciri-ciri yang terhad yang diedarkan secara percuma. Dan kemudian kita bangunkan versi kedua, Pro, yang lebih lengkap tetapi yang ini berbayar.

Versi yang percuma boleh dipasarkan secara meluas dan di dalamnya kita suntikkan elemen yang mencadangkan pengguna untuk mendapatkan versi Pro. Bayaran akan diterima oleh Google Playstore atau Appstore, dan pembangun akan dibayar sebanyak 70% daripada harga jualan.

Pengiklanan

Syarikat seperti Admob (milik Google) and iAd (milik Apple) adalah antara syarikat yang menawarkan integrasi iklan ke dalam aplikasi mobil anda.

Seperti mana Adsense, di mana kita boleh meletakkan iklan di dalam website, syarikat seperti Admob dan iAd mempunyai pelanggan yang berminat untuk beriklan di dalam aplikasi mobil.

Dengan integrasi ringkas, iklan boleh mula dipaparkan dalam aplikasi kita. Semakin ramai yang mengguna aplikasi mobil, semakin banyak paparan iklan diterima, semakin banyak USD yang akan dibayar.

In-App Purchase

Satu pendekatan lain adalah di mana kita boleh membina aplikasi dan meminta pengguna untuk membayar bagi mendapatkan ciri-ciri tertentu. Contoh yang biasa adalah seperti di dalam permainan, di mana kita perlu membayar untuk mendapatkan kuasa-kuasa hebat.

Di dalam aplikasi perniagaan, mungkin versi percuma boleh menyimpan 10 maklumat, dengan membeli in-app purchase, kita akan dapat menyimpan 100 maklumat.



Congkak Game

Congkak Game pula adalah sebuah aplikasi oleh programmer Malaysia, Shamsul Baharin, yang popular di kalangan pengguna Android di Indonesia.

Apo Bondo eh ni?

Mungkin “Apo Bondo eh ni?” adalah antara aplikasi mobil dari Malaysia yang mendapat perhatian dan menjana pendapatan dengan in-app purchase.

Pastinya cabarannya bukanlah dalam pembangunan aplikasi mobil itu, tetapi lebih kepada pemasaran, memilih topik yang sesuai dan mendapatkan jumlah pengguna yang lebih ramai.

6. Membina Aplikasi Web SaaS

Bagi mereka yang lebih berkemahiran membina aplikas web, mereka boleh mempertimbangkan untuk membina sebuah SaaS (software as a service). Ini di mana kita membina aplikasi dan pengguna membayar yuran bulan untuk menggunakannya.

Dengan teknologi cloud sekarang ini, walaupun seorang diri, programmer boleh membina dan melancarkan sebuah SaaS. Dahulu, kos menjadi isu kerana kita perlu mendapatkan hosting dengan kontrak yang panjang, membeli server dan ini semua memerlukan modal yang besar.

Dengan syarikat cloud hosting seperti Digital Ocean, Amazon Web Service, Linode dan lain-lain, kita boleh mula menyewa “server” dan menggunakannya untuk membangunkan sebuah SaaS. Dan server boleh dinaiktaraf dengan mudah mengikut perkembangan bisnes kita.

MusicTeacherHelper.com

Saya suka mengambil contoh MusicTeacherHelper.com oleh Brandon Pierce, yang kisahnya banyak dipaparkan di Internet.

Cikgu-cikgu dan akademi muzik menggunakan aplikasi ini untuk menguruskan pelajar-pelajar mereka, yuran dan lain-lain. Bagi menggunakan aplikasi ini, mereka perlu membayar yuran langganan bermula dari $10 sebulan hinggalah ke $50 sebulan.

Kini Brandon mempunyai ribuan pengguna dan menjana jutaan USD.

PetSitClick.com

Antara contoh lain yang saya suka ketengahkan adalah PetSitClick.com.

Scott Moore telah membangunkan sebuah SaaS khusus untuk pemilik perniagaan seperti “dog-walking” dan “pet-sitting”, di mana perniagaan seperti ini membantu menjaga haiwan peliharaan apabila tuan mereka tiada.

Sesuatu yang menari tentang PetSitClick.com, Scott Moore adalah seorang programmer yang biasa. Beliau menggunakan perisian Alpha Anywhere untuk membangunkan SaaS ini.

7. Menjual Perisian, Plugin, Aplikasi Terus di Internet

Dan paling ketara, programmer di Malaysia sentiasa boleh membina produk dengan kemahiran programming untuk dijual terus kepada pelanggan.

Tetapi, sedikit pesanan, menyiapkan produk belum lagi sebuah kejayaan bagi mereka yang memilih jalan ini.

Perlu diingat, walaupun produk sudah siap dibina, masih terdapat empat perkara yang perlu diambil berat:

1. Mempersiapkan maklumat yang lengkap untuk pengguna seperti manual, video panduan dan lain-lain.

2. Memberikan khidmat lepas jualan, biasanya bermula dengan membuka saluran komunikasi untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

3. Berusaha memasarkan produk dengan pelbagai kaedah dan medium, seperti blog, menulis artikel, beriklan dan lain-lain.

4. Terus berusaha memperbaiki produk hasil daripada maklum balas pelanggan.

Neptune Scripts

Neptune Scripts adalah usaha pemuda dari Bandar Baru Bangi, Zharfan Mazli.

Produk terlaris beliau adalah Booking System yang digunakan oleh kedai salon kecantikan, kedai fesyen dan lain-lain dari seluruh dunia.

Graphene Theme

Graphene Theme adalah satu lagi contoh kejayaan anak tempatan yang menawarkan WordPress Theme kepada umum.

Setakat ini, produk utama mereka telah mendapat lebih 1 juta download daripada serata dunia.

Diterajui oleh Syahir Hakim di Terengganu, Graphene Themes mempunyai ahli pasukan dari luar Malaysia juga.

Pastinya tujuh kaedah yang disenaraikan di sini bukanlah ini sahaja caranya. Pastinya ada lagi kaedah lain programmer Malaysia boleh menjana pendapatan dengan USD.

Saya alu-alukan pandangan dan maklumbalas kalian. Kongsikan kaedah lain yang ada tahu boleh menjana USD bagi seorang programmer tanpa perlu ke Amerika Syarikat.

Juga kongsikan juga sekiranya ada syarikat atau individu dari Malaysia yang menjana USD dan boleh kita banggakan bersama.

Artikel ini asalnya diterbitkan di Otakit.my.

Artikel Berkaitan