Baru-baru ini kami di Vocket Makan telah diundang ke Retoran Cina Muslim Amber yang terletak di Nexus Bangsar South oleh Amber Media Team. Restoran ini baru 3 bulan beroperasi, dimiliki oleh Amber China Resources Sdn Bhd, anak syarikat Amber Group Holding yang berpengkalan di Lanzhou, China.

Berkonsepkan Cina Muslim klasik, restoran ini menggunakan perabot dan dekorasi berasaskan kayu yang dikatakan dibawa dari Tanah Besar China. Nampak begitu mewah tatariasnya.

Ruang makan yang luas juga memberi keselesaan kepada pelanggan, selain mampu memuatkan kapasiti seramai 130 pelanggan dalam satu-satu masa. Bagi menambah keselesaan, bilik VIP turut disediakan untuk majlis persendirian.

Kita cerita makan.

Untuk permulaan kami dihidangkan dengan air teh herba Cina. Bukan teh herba biasa, ia adalah campuran lapan herba iaitu buah goji, kurma merah, bunga chrysanthemum, buah mata kucing, teh hijau, bijan dan kacang walnut. Penyediaan dan cara meminumnya juga ada tekniknya.

Ya, kami merasa segar selepas minum teh herba itu. Kini sedia untuk yang lebih berat.

Restoran ini menawarkan 40 menu makanan bertaraf 5 bintang yang dibahagikan kepada 4 segmen iaitu hidangan sejuk sebagai pembuka selera, hidangan panas, masakan panggang dan pelbagai Mi Tarik.

Membawa pengaruh gaya masakan dari wilayah utara China, daging kambing dan lembu dijadikan bahan asas bagi kebanyakkan hidangannya, selain penggunaan cili yang banyak di dalam masakan.

Bagi hidangan masakan panas ala carte, antara menu disediakan termasuk Kambing Rebus Bersama Sos Kuning, Satay Mini Kambing (Toothpick), Daging Masak Cili Berkuah, Ayam Big Plate Bersama Cili, Ayam Kung Pao, Ikan Bakar, Ikan Masak Cili Berkuah, Kepala Ikan Kukus Bersama Sos Berlada, Tofu Sizzlin, Telur Daging Pedas dan Udang Goreng Pedas Bersama Kentang.

Lebih menarik lagi, pihak Restoran Cina Muslim Amber menggunakan rempah-ratus yang dibawa khas dari China bagi mengekalkan rasa tradisional, selain kerana bahan masakan digunakan tidak terdapat di pasaran tempatan seperti lada liar Sichuan (wild pepper) atau dikenali sebagai ketumbar Cina .

Kesemua hidangannya sangat lazat. Masakannya berbeza dengan restoran-restoran Cina muslim yang sedia ada di Lembah Klang yang pernah kami cuba sebelum ini.

Masakan panggang yang pastinya menggugat selera adalah Kambing Panggang, Kaki Kambing Panggang, Sotong Bakar, Kebab Ayam, Kebab Daging, Kebab Kambing dan Kepak Ayam Panggang.

Kami semua sepakat, hidangan kambing panggang dan kebab-kebab mini semuanya sangatlah ‘terbaik’.

Masakan di sini kebanyakannya adalah dari masakan yang diasaskan oleh bangsa Hui iaitu etnik Cina Muslim di China. Oleh kerana mereka berasal dari utara, maka masakan mereka banyak dipengaruhi dengan penggunaan cili.

Diceritakan lagi, penduduk bangsa Hui dahulunya banyak menghuni kawasan berbukit-bukau dengan suhu yang sejuk. Bagi melawan cuaca dingin, mereka mengambil banyak makanan pedas dan daging terutamanya kambing untuk menaikkan suhu badan.

Walaubagaimanapun, masakan di restoran ini diubah suai sedikit dari segi bahan masakan supaya menepati selera tempatan. Namun, cara  penyediaannya tidak banyak bezanya dan disediakan sendiri oleh tukang masak yang dibawa khas dari China.

Pilihan minuman pula lebih tertumpu kepada teh cina campuran pelbagai herba seperti bunga mawar, limau gedang dan madu, selain daripada teh herba yang dihidangkan kepada kami tadi.

Ngeri bunyinya? Jangan risau, minuman berjus seperti jus jagung, epal, oren, nenas dan tembikai juga ada.

Sebagai pencuci mulut, kami dihidangkan pula dengan ‘Pisang, Kincam & Cendawan Berkuah’. Sedap dimakan sejuk, terasa akan kemanisan gula batunya.

Ia juga memberi ketenangan kepada kami yang teramat kenyang dengan segala lauk hidangan.

Oh ya, kami juga disajikan Mi Tarik atau ‘La Mien’ yang merupakan hidangan popular dari Lazhou, wilayah Gansu. Hidangan ringkas Mi Tarik Daging Cincang disediakan bersama sup panas dan minyak cili serta hirisan daging menjadikan sajian ini terasa sungguh menyelerakan.

Selain ‘La Mien’, terdapat juga Mi Tarik lain seperti Mi Tarik Daging Tomato, Mi Tarik Sayur Campur, Mi Tarik Goreng Daging Cincang dan Mi Tarik Istimewa Ala Xinjiang.

Keistimewaanya, mi yang dibuat menggunakan teknik ‘uli dan tarik’ ini hanya akan disediakan apabila pesanan diterima sebelum disajikan kepada pelanggan. Kami juga diberi peluang untuk menyaksikan sendiri proses ‘tarik’ mi tersebut.

Dikatakan setiap penarik mi harus melalui proses pembelajaran khas yang mengambil masa selama 3 tahun. Ya, 3 tahun! Mereka dianggap gagal sekiranya mi terputus semasa ujian menarik mi.

Bagaimana pula dengan harganya yang kononnya tidak terduga itu?

Ya, percaya atau tidak, harga makanan dan minuman di Restoran Cina Muslim Amber ini adalah serendah RM2 hingga RM48. Segelas jus buah hanya dari RM4.80 segelas.

Mi Tarik tadi pula hanyalah RM8 semangkuk. Hidangan bersaiz besar pula sesuai untuk hidangan sehingga 8 orang.

Berpatutankan? Ditambah lagi dengan suasana eksklusif restoran ini, menjadikan ia sememangnya sangat berbaloi untuk dikunjungi.

Apa ditunggu lagi? Asyik makan tomyam saja, apa kata ubah selera dengan merasa masakan Cina Utara pula!

Nama Restoran : Restoran Cina Muslim Amber
Lokasi : Unit 1-14, Level 1, Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur (waze)
Layari laman Facebook dan Instagram.
Waktu beroperasi : 10:30am – 10:30pm,

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram