“I don’t think (Requiem for a Dream) is for children. But i think if you went home and looked at at your kids video games are playing, you’d be much more shocked.” Jared Leto.

Aku amat sayangkan satu babak di dalam filem Requiem for a Dream. Menerusi babak itu, Jared Leto dan Jennifer Connely berpakaian hitam, saling berbaringan dan saling meluahkan ‘rasa hati’. Antaranya dialognya ialah:

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“You make me feel like a person.”

Ia ungkapan biasa jika ia diungkap oleh manusia biasa bukan? Bagaimana jika ia diucap oleh mereka yang berada di dalam jerat halusinasi dadah? Ia jujur? Atau berpura-pura untuk jujur?

PEK4K (Pekak), Filem 2016

Ringkasan sinopsis, Uda (Zahiril Adzim) merupakan seorang pengedar dadah pekak yang jatuh cinta pada Dara (Sharifah Amani), seorang pelajar sekolah bermasalah.

Sebelum aku memanjangkan nota ini, aku punya satu soalan yang aku sendiri sukar untuk menjawab. Siapa sebenarnya yang WAJIB tonton filem ini? Penggiat seni tempatan? Peminat filem? Ahli politik? Para agamawan? Presiden NGO? Ahli ISIS?

Ada tiga perkara yang aku rasakan amat penting di dalam naskah ini.

Pertama: Wakil

Filem ini ialah filem yang bagi aku bergerak secara seragam. Ia tidak dibuat untuk seorang OKU pekak bergerak sebagai one man show dan kemudian muncul watak lain berpaut untuk menjadikan ia sebuah cerita lengkap.

Ia dibuat mewakili satu kelompok kehidupan. Kerana itu setiap watak diberikan moment untuk kita faham siapa mereka walaupun ia sekadar watak sampingan.

Di sinilah bagi aku ia amat menarik bilamana kita diheret pada garis kritikal pengenalan watak Uda dahulu. Ia kritikal kerana apabila Uda yang pekak diperkenalkan dengan babak menikmati ‘indah’ bising keretapi melalui landasan.

Itu merupakan penanda aras signifikan sama ada kita akan terjun ke alam pekak atau kita sekadar melihat insan pekak. Sama ada melihat Uda sebagai watak utama atau melihat Uda mewakili satu cerita.

Kerana itu melihat pada kronologi sesi orientasi watak Uda seterusnya (dan automatik akan terimbau babak mula filem ini), Uda dibiarkan dilihat ‘pandai’ berdikari, dan pandai meluah rasanya pada dinding.

Malah Uda juga diberikan shot ala bird eye view yang memaparkan hidup seorang Uda di dalam sebuah bilik (sambil diiringi bising lagu Othman Hamzah) setelah kita mengetahu misi dan impiannya.

Ia seolah mahukan kita membuat keputusan sama ada mahu melihat filem ini dari sudut pandang yang kita akan tentukan sendiri.

Dan itu membawa kepada elemen kedua iaitu Bising.

Kedua: Bising

Filem ini filem perihal orang muda. Atas sebab itu ia perlukan kebisingan. Bukan bermaksud filem ini bising sepanjang masa tetapi ia memerlukan bising.

Bising keretapi melalui landasan, bising Azman Picasso melayani mabuk dadah dengan bising mulutnya, bising rumah Kamil dengan dentuman muzik kelab untuk melayani tuntutan ‘high’ dan juga bising bilik Uda dengan alun lagu Othman Hamzah.

Namun ini ialah bising yang di mahukan orang muda yang terkadang gagal difahami. Seperti mana kita bingit mendengar bingit bunyi ekzos mat rempit tanpa memahami mengapa mereka membisingkan bunyi motor mereka, begitulah filem ini cuba diberikan.

Ketiga: Bagaimana

Dan ketiganya, Bagaimana. Aku rasakan filem ini di dalam jajar bahasa dan paparan yang masih amat sopan untuk seorang gadis bermasalah, lelaki gersang dan penagih dadah moden.

Kerana untuk mereka yang membesar atau pernah tinggal di kediaman yang dinding koridor dan lifnya penuh contengan gambar alat sulit dan nombor telefon itu dan ini, maka filem ini cuma mewakili mungkin sekadar 25% dari realiti sebenar.

Kita perlu faham, ini ialah filem dan filem perlu mematuhi syarat ‘sopan’ tayangan. Tetapi, filem ini berjaya memberikan banyak ‘Bagaimana’.

1. Bagaimana Melor mempergunakan Al Quran
2. Bagaimana watak lakonan Joe Flizzow mempergunakan OKU
3. Bagaimana Uda mempergunakan status OKUnya
4. Bagaimana Azman Picasso mempergunakan dadah sebagai alasan seninya
5. Bagaimana Kamil si kaya begitu mudah liar dan bebas dengan rumahnya
6. Bagaimana ada anak gadis yang masih bersekolah seronok kehilangan dara

Semua bagaimana ini amat memerlukan jawapan dan solusi. Kerana itu melalui soalan aku seperti di atas tadi, siapa yang SEWAJIBNYA menonton filem ini?

Kerana aku amat yakin yang jawapan dan solusi pada ‘bagaimana’ itu akan terjawab sebaik kita memahami filem ini meWAKILi siapa setelah memahami keBISINGan mereka.

Aku akui, filem ini bukan sebuah naskah amat sempurna. Malah akan ada momen-momen yang aku rasakan bakal sukar dihadam penonton filem non-art.

Tetapi filem ini bertunjang atas kekuatan setiap gaya lakon setiap wataknya (selain dari sulaman rasa muzik latar yang melahirkan melakolia rasa).

Atas sebab itu pujian atas effort setiap pelakonnya yang ‘tidak peduli’ perihal kelihatan cantik atau hensem dan hanya fokus pada sebuah lakonan berkualiti.

Malah tidak keterlaluan aku katakan, ini merupakan filem tempatan yang paling banyak close up kuning gigi dan kelabu hitam bibir.

Aku tak akan sesekali mengatakan yang filem ini cukup ‘halal’ untuk menjadi rujukan muda-mudi. Ya, papar realiti terlalu risiko untuk ditonton mereka.

Tetapi ini merupakan sebuah filem yang patut wujud dalam industri filem, patut di bahaskan di dewan rakyat malah mungkin patut di selit di dalam tazkirah pak ustaz.

Kerana yang terpapar itu tak akan terlihat di cantik solekan sang artis, di setiap neck-tie yang dipakai ahli dewan dan di setiap kopiah yang dipakai oleh ahli masjid.

Filem ini ialah rungkaian perihal realiti pahit yang mungkin ada sebaik kita menutup pintu bilik anak kita untuk membiarkan mereka tidur.

Ada banyak Uda, Dara, Kamil, Melor dan Azman Picasso di luar sana. Mereka mungkin tak perlukan pertolongan, tetapi mereka mahukan apa yang mereka tak ada. Mungkin kasih sayang, mungkin perhatian atau mungkin sekadar satu senyuman.

Tontonlah. Mungkin ada sesuatu yang perlu kita tahu ada di dalam filem ini.

Oh ya. Jika pernah muda, maka mungkin kita faham mengapa ada Raver di KLCC. Cuma mungkin mereka tak pernah mendengar nasihat Razif di dalam filem Azura (1984) pada budak-budak breakdance.

Skor reviu: 7.5/10

Nota Editor: Penulis telah menonton filem Pekak ini semasa sesi pre screening. Tarikh tayangan rasmi ialah pada 1 September 2016 ini.