Kami sangat tertarik dengan hasil sentuhan pada rumah teres dua tingkat di Subang Jaya ini. Sekali pandang nampak seperti biasa, tapi bila diperhatikan betul-betul memang cantik sungguh.

Idea mengubahsuai rumah ini diilhamkan oleh kumpulan arkitek DCA: Design Collective Architects. Dengan keluasan 22′ ×75′, tema yang digunakan pada rumah putih ini berkonsepkan klasik Inggeris dan moden. Menurut arkitek, hampir 90 peratus daripada keseluruhan rumah ini diubahsuai. Cuma bahagian landskap dan pagar sahaja dikekalkan, hasilnya memang awesome!

Pemilihan warna putih krim dicampur sedikit warna kelabu halus diterapkan pada bahagian hadapan rumah agar kelihatan lebih tenang dan selesa. Bukan sekadar pemilihan warna sahaja, malah penggunaan perabot dan bahan binaan yang digunakan pada rumah ini adalah Gred A. Cantik dan berkualiti.

Untuk kelihatan lebih luas dan lebar, susun atur ruang dalaman pada tingkat atas dan bawah pada rumah ini menggunakan konsep jenis terbuka. Namun terdapat juga sebahagian ruang yang boleh dilaraskan tutup buka menggunakan kaedah pintu kaca sliding door. Antaranya ialah di ruang dapur dan ruang makan, ini adalah mengikut keselesaan pemilik rumah.

Ketinggian di ruang tamu pula dibuka sehingga nampak struktur bumbung yang berwarna putih powder coated supaya menerima pencahayaan dan udara semula jadi lebih banyak ketika bersantai. Setiap permukaan dinding, kabinet dan struktur bumbung ialah 100 peratus berwarna putih demi mencapai konsep yang dimahukan.

Jumlah keseluruhan kos yang digunakan untuk rumah ini dianggarkan mencecah sehigga 650K termasuk perabot.