Tentang Pulut Kuning sebagai alat berkasih-sayang dalam keraian orang Melayu, kenapa Pulut Kuning dijadikan juadah istimewa dalam keraian (istiadat gembira) perkahwinan, kelahiran, berkhatan, khatam Quran dan kenduri kesyukuran?

1. Beras (makanan ruji) melalui sejarah yang sangat panjang di alam Melayu (dikatakan 10,000 – 14,000 tahun dulu di Asia). Sebagai sumber makanan utama, beras dipandang sebagai tanda syukur-nikmat masyarakat, petanda kecukupan rezeki – kemewahan penduduk dan kegembiraan-kemakmuran.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

2. Dalam banyak-banyak jenis beras, beras untuk membuat pulut antara yang termahal. Nak menyajikannya juga memerlukan beras direndam bersama kunyit semalaman, dan menanaknya juga bukan semudah nasi biasa. Maka dijadikan ia sebagai juadah istimewa yang menjadi kegemaran semua peringkat umur dan taraf sosioekonomi.

Perumpamaannya adalah seperti masa kecil dulu (hujung 80-an dan awal 90-an), ayam goreng KFC merupakan satu juadah yang jarang-jarang dapat dinikmati. Dalam majlis sambutan hari jadi, selalunya baharulah kita budak-budak dapat menikmatinya.

3. Pulut Kuning, sifatnya yang melekit itu (sticky rice) digambarkan sebagai hubungan akrab persaudaraan (dan kemasyarakatan). Sudah tentulah sebagai alat, ia mempunyai fungsi mengakrab:

i. Sebagai hadiah penghargaan (token of appreciation) tuan rumah kepada jiran tetangga. Dalam keraian, jiran-jiran menghulurkan juadah kepada tuan rumah (hari ini kita sebut pot luck). Tuan rumah akan membalasnya dengan Pulut Kuning (dikepal dalam daun pisang).

ii. Dalam temuramah bersama orang-orang lama (Shuhirdy et. al.), mereka berkongsi pengalaman waktu kecil dahulu tentang betapa seronoknya bersama rakan-rakan berkongsi makan Pulut Kuning. Dikatakan awal-awal Pulut Kuning itu juadah orang-orang besar, di istana atau rumah orang kaya sahaja.

β€œI remembered during childhood, my siblings and I enjoyed the Pulut Kuning during our circumcision. We shared this special food with other kids who encouraged and console us during the ceremony. Well, we become close to each other…that’s the best moment and Pulut Kuning to me signifies the heartfelt blessings.”

iii. Dalam istiadat Makan Berhadap (perkahwinan), Pulut Kuning menjadi pendahulu makanan – mempelai saling suap-menyuap sebagai tanda ‘pemula’ ikatan kasih sayang.

Kenapa warna kuning (menggunakan kunyit atau safron)?

Beberapa pendapat mengatakan Pulut Kuning bermula di istana, yang demikian mengatakan kuning itu simbol bagi raja. Manakala keraian itu ialah satu ‘izin’ untuk rakyat jelata menikmati kebesaran istana (baca: rai kemakmuran-kenegaraan).

Untuk mengupas tentang warna-warna di alam Melayu, tentulah satu lembar kupasan baharu perlu dibuka. Pertama, ia berkait soal kosmologi. Kedua, ia berkait dengan pemberian makna ontologikal. Ketiga, ia menyentuh aspek metafizik yg barangkali disambut tidak selesa oleh kebanyakan orang.

Misalnya, warna kuning itu, pada pandangan orang Melayu terdahulu ialah lambang kesempurnaan alam (makrokosmos) dan lambang kesempurnaan bayi yang dilahirkan di alam nyata (mikrokosmos).

Rujukan:
1. Aidil Wijaya. 2011. The meanings of pulut kuning for Melayu Society in Hamparan Perak. Medan: Universitas Sumatera.
2. Aishah@Eshah Haji Mohamed, Sulong Mohamad & Haziyah Hussain. 2010. Makanan Hantaran dalam Perkahwinan Melayu Kelantan: Adat dan Interpretasi. Jurnal e-Bangi: Volume 5, Number 1, 103-115. Bangi: UKM.
3. Azhari Ichlas Siregar, 2015. Pulut Kuning: Studi Etnofood Tentang Kuliner Pada Masyarakat Melayu Deli Kecamatan Hamparan Perak, Kabupaten Deli Serdang. Medan: Universitas Sumatera Utara.
4. Shuhirdy Mat Noor, Nurul Aisyah Zakaria, Nik Mohd Shahril, Hamizad Abd Hadi & Mohd Salehuddin Mohd Zahari. 2013. Pulut Kuning in Malay Society: The Beliefs and Practices Then and Now. Asian Social Science; Vol. 9, No. 7. Canadian Center of Science and Education.