“Tuan, nak beli ini satu.”

“Puan, eh Cikpuan, saya nak jagung satu cawan.”

Tersenyum-senyum penjual di kedai. Mungkin beliau pun kaget mendengar anak kecil seawal 4 tahun memanggil beliau dengan gelaran tuan dan puan.

“Ada yang terkejut!”

Begitulah antara kisah yang diceritakan oleh ibu pelajar Tadika A.B.S.

Perihal Anak

Cikgu Izzah seorang guru yang banyak pengalaman mengajar kanak-kanak tadika. Setiap masalah dan kerenah anak-anak sudah banyak dilalui.

Dia juga tahu apa yang anak-anak mahukan dan bagaimana mengendalikan mereka.

Pada Hari Terbuka tadika untuk pendaftaran baru sesi 2015, ramai ibu bapa dan anak-anak datang ke tadika untuk mendapatkan maklumat berkenaan pembelajaran yang ditawarkan.

“Anak saya ni sangat degil, cikgu. Puas kami melarang dia tapi dia buat juga.”

“Anak saya ada masalah bertutur. Hati saya risau. Bila saya cuba ajarnya di rumah, dia selalu hilang tumpuan.”

Begitulah antara keluhan ibu bapa kepada Cikgu Izzah.

Ibu Canggung

Cikgu Izzah sedia maklum dengan perkara itu.

Situasi yang sentiasa berlaku juga ialah anak-anak ini takut mencuba perkara baru dan sering memberontak sehingga menyebabkan ibu bapa pening kepala dengan mereka.

“Tuan Muda ini apa namanya?”

“Cikpuan Muda makan apa pagi tadi?”

“Mari cikgu bacakan buku cerita ini kepada Tuan Muda dan Cikpuan Muda.”

Begitulah kata beberapa orang guru lain di Tadika A.B.S yang sedang cuba membiarkan dan mendorong anak-anak ini membiasakan diri di tempat baru.

Ibu bapa yang hadir, berasa sedikit canggung dengan panggilan guru-guru kepada anak-anak mereka.

Cikgu Izzah yang menyedari hal itu, menerangkan kepada mereka.

Tuan Muda Dan Cikpuan Muda

“Di tadika ini kami panggil anak-anak dengan panggilan Tuan Muda dan Cikpuan Muda kerana kami mahu memuliakan mereka dengan panggilan yang baik. Panggilan yang baik ini menjadikan diri mereka rasa dihargai.”

Ibu bapa hanya mengangguk tanda faham.

Hari Terbuka berlalu dengan pendaftaran 25 pelajar baru. Sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi.

Perubahan

Beberapa bulan berlalu, Minggu Penilaian pelajar pun tiba.

Ibu bapa yang hadir menemui Cikgu Izzah dan berkongsi pengalaman mereka.

“Cikgu, sekarang ini bila Tuan Muda berjumpa dengan orang yang lebih tua, dia dengan rela hatinya bersalaman dengan mereka tanpa disuruh.”

“Cikpuan Muda selalu bersemangat beri salam selepas pulang dari tadika.”

“Tuan Muda selalu bantu saya di rumah. Saya rasa terharu sangat-sangat, cikgu,”

Cikgu Izzah hanya tersenyum.

Perkara seperti ini sering diberitahu oleh ibu bapa pelajar kepadanya. Bahasa dan Budaya Melayu Tinggi yang diamalkan sangat memberi impak kepada anak-anak di tadikanya.

Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris

Tadika A.B.S menggunakan Bahasa Melayu Tinggi sebagai bahasa ilmu. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa komunikasi dalam subjek Bahasa Inggeris.

Di negara-negara berbahasa pengantar Bahasa Inggeris, anak yang berkomunikasi dalam bahasa ibunda selain Bahasa Inggeris sejak kecil cenderung menguasai lebih banyak bahasa yang mana ini merupakan satu kelebihan kepadanya. Minatnya terhadap penguasaan bahasa lebih bertambah.

Menurut Professor Angelina Kioko dari United States International University, Nairobi, Kenya; di negara-negara yang mana Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua, ibu bapa dan masyarakat cenderung menggalakkan pembelajaran dilakukan di dalam Bahasa Inggeris lantas terus meninggalkan bahasa ibunda. Dengan alasan, mahukan anak-anak yang lebih bijak.

Sedangkan kajian menunjukkan sebaliknya. Ini bersandarkan kepada beberapa faktor:

1. Pembelajaran bukan bermula di sekolah.

Pendidikan anak-anak adalah bermula sejak lahir. Ia termasuklah pembelajaran melalui pengalaman.

Lantas, pendidikan di sekolah adalah kesinambungan yang diatur secara lebih berstruktur.

Apabila masuk ke sekolah, anak berkenalan dengan rakan yang asing baginya, suasana asing, guru yang asing. Malahan, bahasa asing.

Ini cenderung menggalakkan kepada pembelajaran berasaskan ‘Teacher-centred’ yang mana anak cuma menerima arahan dari guru.

2. Anak yang belajar dalam bahasa ibunda lebih minat belajar.

Ini kerana, pembelajaran dalam bahasa yang biasa digunakan anak menjadikan mereka mudah memahami dan menambahkan keyakinan di dalam pelajaran.

Ia menggalakkan pembelajaran berpusatkan anak-anak iaitu ‘Learner-centred’.

Seterusnya, anak menikmati pembelajaran yang lebih dekat dengan jiwanya.

Kesimpulannya, penggunaan bahasa ibunda di dalam kelas membantu melancarkan proses peralihan di antara rumah dan sekolah.

Ia bermaksud anak akan lebih banyak terlibat di dalam proses pembelajaran dan pembangunan literasi asas.

Ia juga mendorong kepada kreativiti, inovasi dalam persiapan seorang guru.

Selain mendapat sokongan dari masyarakat yang seterusnya membantu dalam kestabilan emosi.

Secara ringkas, ia menggalakkan hasil pendidikan yang lebih baik.

Budaya Melayu Tinggi

Menyerahkan kurma pada bulan Ramadhan.

Selain elemen bahasa, elemen budaya turut diterapkan kepada anak-anak kecil ini.

Projek Kurma Ventures, adalah satu projek sedekah dari anak-anak kecil, Tuan Muda dan Cikpuan Muda pada bulan puasa.

Tuan Muda dan Cikpuan Muda akan diminta untuk bergotong-royong menyiapkan bungkusan kurma untuk diberikan kepada masyarakat awam setempat.

Ada yang memilih untuk mengetuk pintu kejiranan tadika, ada pula yang memilih untuk bergerak dari satu premis ke satu premis bertemu dengan orang pejabat yang sedang bertugas untuk memberi sedekah dan beramah mesra.

Ada yang melawat balai polis juga, bila lagi dapat peluang keemasan begini!

Melawat balai polis.

Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi ini dipraktikkan oleh Tuan Muda dan Cikpuan Muda apabila bertemu dengan orang awam yang bakal mereka hulurkan bungkusan kurma itu.

Tunduk hormat itu perlu apabila bertemu dengan generasi yang lebih berumur. Ucapan salam dan terima kasih sentiasa menjadi mainan di bibir mereka.

Kebanyakannya, penerima kurma merasa kagum dengan kosopanan dan adab tinggi yang dibawa oleh kanak-kanak bijak ini.

Masakan tidak, tanpa mengira pangkat, kerja atau umur, semua orang digelarkan dengan panggilan mulia itu.

Tidak kira, jika mereka seorang pemandu bas atau tukang sapu sampah sekalipun. Tersenyum simpul dan berbunga hati mereka yang mendengar.

Alhamdulillah, didikan separuh tahun di Tadika A.B.S mula menampakkan hasil positif dalam diri Tuan Muda dan Cikpuan Muda.

Tahun Baru Cina

Pada 4 Februari 2016, Tuan Muda dan Cikpuan Muda mempelajari erti bersedekah. Sempena Tahun Baru Cina, Tuan Muda dan Cikpuan Muda telah memberi buah limau kepada orang awam.

Menggunakan Bahasa dan Budaya Melayu Tinggi mereka memberikan buah limau, “Sudikah tuan/ puan menerima buah limau ini. Selamat Tahun Baru Cina.”

Antara maklum balas daripada seorang warga berbangsa Cina.

Tuan: Kamu dari tadika mana?

Tuan Muda: Kami dari Tadika ABS Generasi Anugerah.

Tuan: Wahhhh.. banyak baguslah ini tadika. Kecil-kecil pun sudah ajar mereka beri pada orang tua. (Sambil bercerita kepada rakannya dan memberi beribu pujian kepada Tuan Muda dan Cikpuan Muda.)

Tersenyum-senyum, Tuan Muda menjawab, “Terima kasih tuan.”

Anak Kecil, Anak Mulia

Tuan Muda dan Cikpuan Muda digelarkan kepada pelajar setiap hari. Panggilan yang sama dikembalikan kepada ibu bapa dan tetamu yang berkunjung ke tadika setiap hari, Tuan, Puan dan Cikpuan.

Ia panggilan yang membuatkan mereka rasa mulia, dihormati serta bahagia.Ia suatu panggilan yang membuatkan anak-anak ini punyai rasa keyakinan diri tersendiri. Malah ada yang kata terasa dipanggil seperti anak raja!

Guru-guru di Tadika A.B.S juga percaya kepada kebolehan Tuan Muda dan Cikpuan Muda sesuai dengan umur mereka.

Ini jelas kelihatan kepada Tuan Muda dan Cikpuan Muda berusia 6 tahun ketika Hari Apresiasi Bakat pada tahun lepas.

Sebelum pelajar-pelajar boleh menghasilkan persembahan begini, self esteem anak-anak ini dinaikkan dahulu. Usaha ini bukan kerja 1 hari atau 1 minggu. Ianya bermula dari awal tahun lagi.

Lihatlah bagaimana yakin dan berani Daie Ashri beraksi (salah satu watak dalam persembahan ini).

Menyertai Tadika A.B.S

Sebagai ibu bapa, melihat anak menjadi aktif, bijak lagi santun adalah sangat membahagiakan.

Anak-anak membesar, belajar perkara baru, pandai menghormati ibu bapa dan orang sekeliling, berkembang fizikalnya, akalnya dan sahsiahnya, sudah cukup buat kita rasa berbangga.

Bak kata pepatah,

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Sertai Tadika ABS yang memiliki 75 cawangan di seluruh negara. Layari laman web Tadika ABS, FB Tadika ABS atau hubungi 011 1323 2239 melalui WhatsApp untuk maklumat lebih lanjut.