Pada Isnin lepas, saya ada berkongsi apa Tan Sri Ali Hashim bercerita tentang jihad bisnes.

Rata-rata, ramai memberi maklum balas yang baik dan ada pembaca yang tidak sabar untuk membaca episod seterusnya. Terima kasih kerana sudi membaca, saya doakan Tuan Puan mendapat manfaat daripadanya. Dan andai Tuan Puan baru terjumpa artikel ini, saya sangat sarankan untuk membaca bahagian 1 dahulu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pertemuan saya bersama-sama Tan Sri Ali Hashim, Cik Puan Roziyah, Puan Aliya dan Tuan Hafidz memakan masa selama 3 jam. Perut penuh dengan lontong goreng Johor yang lazat, kepala pula sarat dengan ilmu yang luar biasa.

Tetapi itu tidak menghalang kami untuk terus bersemangat mencungkil pengetahuan yang tersimpan di dada ahli korporat yang penuh pengalaman ini.

BACA: 3 Jam Bersama Tan Sri Ali Hashim, Saya Belajar Benda Penting Ini Tentang Bisnes

Sistem ekonomi

Tan Sri Ali Hashim bersama ahli pasukan Awqaf, Hafidz.

Cik Puan Roziyah membuka mulut, “Tan Sri, orang muda sekarang isunya tiada kerja, menganggur. Adakah ini kerana sistem pendidikan kita sekarang mengharapkan A? Dan kedua, mesti kerja berpangkat?”

“Ya. Itulah dia. Tetapi paling penting, adalah kerana kita kurang apa yang diistilahkan entrepreneur. Istilah ini tiada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris.

Entrepreneur ini adalah istilah Perancis. Perbezaannya dengan usahawan biasa, adalah kita berniaga tetapi dengan kaedah dan cara untuk mengembangkan (bisnes) supaya ramai dapat manfaat.

“Macam McDonald’s semua orang boleh buat burger, tetapi, kena fikir bagaimana hendak francaiskan sampai jadi jenama antarabangsa.

“Apabila jadi jenama antarabangsa, lihat berapa banyak peluang kerja disediakan, berapa ramai francaisi seluruh dunia.

“Maknanya, dia bawa sebanyak-banyak manfaat bisnes. Bukan setakat untuk pelanggan.

“Apabila ada pelanggan, ada bisnesnya. Lihat satu outlet ada berapa pekerja. Berapa keluarga dia boleh tampung.

“Di sini maknanya, apabila ada masalah pengangguran, solusinya bukan ramai-ramai masuk universiti. Apabila masuk universiti, keluar tiada kerja. Diterukkan lagi jika tiada kemahiran.

“Tidak terlintas nak jadi usahawan. Semuaaa menunggu. Selepas itu marah kerajaan.

“Mana tak marah? Dah pinjam duit. Itu belum lagi cerita tentang nak beli rumah, nak kahwin. Esok, tak kahwin, anak pula, dibuang.

“Jadi maksudnya seluruh ekosistem kena diubah?” saya memintas. Terperanjat.

“Kena ubah, kena ubah,” Tan Sri membalas.

“Tetapi, pertamanya, kena ubah pandangan hidup. Satu cara nak ubah, ubah cara kita berniaga. Berniaga dengan berfikir, ikut cara Islam. Kita sendiri kena ke depan.”

Perkara ini membuat saya teringat kepada Ainon Business School (ABS).

“Saya ikut ABS kerana beberapa nilai. Satunya, kerana ianya open market. Kedua, berniaga secara korporat. Ia mengajar tentang bagaimana susun syarikat. Syariah compliant. Dan katanya, jangan mula bisnes dengan duit pinjaman,” tanpa malu, saya menyampuk.

“Pinjaman itu ‘memang’ (bahaya). Belum apa-apa lagi, sudah kena bayar faedah. Mati nanti,” Tan Sri setuju.

“..kata ABS lagi, apabila berkembang, bolehlah ambil (pinjaman),” saya menambah.

“Benar. Apabila sudah ada asas, aset, boleh pinjam,” Tan Sri bersetuju sekali lagi.

“Ini bukan apa, bukan sekadar orang bisnes, orang makan gaji pun, menjadi hamba kepada sistem perbankan,” Tan Sri berkata serius.

“Gaji baru RM2000, beli rumah, pinjam, kurang-kurang kena bayar RM800 sebulan. Berapa peratus tu? Ini belum termasuk hutang kereta, kredit kad dan lain-lain.

“Seumur hidup, bekerja untuk membayar hutang. Itu yang dipanggil rat race.

Teknikal bisnes

“Jadi dari segi teknikal bisnes, ada apa-apa Tan Sri mahu nasihatkan?”

Ini senarai beliau:

1. Pertama, kena betul-betul komited untuk buat bisnes. Kena dedikasikan seluruh jiwa raga untuk berbisnes. Maknanya, andai gagal sekali jangan terus berputus asa.

2. Kena tahu cara berbisnes yang memudahkannya dia berjaya. Belajar dari kejayaan orang lain.

3. Tanam semangat supaya tidak takut gagal. Inilah yang saya kaitkan dengan jihad bisnes tadi. Kalau gagal, boleh naik cepat. Curahkan jiwa raga. Tentukan landasan bisnes itu betul. Tiada konflik dalam jiwa.

4. Mengapa tidak digalakkan pinjam bank? Ini kerana belum apa-apa lagi sudah bergelumang dengan riba’. Apabila dapat wang pinjaman memang seronok, tetapi hendak bayar nanti, akan terasa beratnya.

5. Dalam jihad, kita kena pastikan kita membawa manfaat. Hadis Rasulullah S.A.W, “Sebaik-baik manusia adalah manusia yang membawa sebanyak-banyak manfaat kepada orang lain.”

6. Melalui bisnes, kita boleh bawa banyak manfaat. Contohnya, jual susu kepada mereka yang putus susu di malam hari. Bukan setakat boleh dapat duit, tetapi juga dapat pahala. Jual nasi lemak kepada mereka yang kelaparan, selain duit, boleh mendapat pahala mencurah-curah. Banyak peluang amal soleh melalui bisnes dan Tuhan jadikan pula bisnes 9/10 daripada sumber rezeki.

7. Pada saya, kita kena berebut-rebut atas perkara ini. Menjadi kaya juga adalah ujian. Sama ada mahu menggunakan kekayaan untuk riak, membayar rasuah, atau mahu menggunakannya untuk jalan zakat, sadaqah, waqaf dan infak.

8. Kalau kita sudah jihadkan perniagaan, kita tahu bagaimana hendak memilih. Cara untuk berniaga, menggunakan kekayaan, mendapatkan modal, jenis-jenis ilmu yang mahu dipelajari atau orang kaya mana mahu dijadikan idola, apabila jihad, semuanya akan dipilih dengan baik.

9. Tulus dan ikhlas berjihad, InsyaAllah, pelanggan dan masyarakat akan nampak.

Memilih kawan

“Dalam bisnes, kita kena pandai berkawan-kawan ya Tan Sri?” sengaja saya menduga beliau.

Ini jawapan beliau.

1. Ya betul, tetapi kita kena pilih kawan. Ada kawan yang membawa mudarat. Ada yang tersilap langkah oleh kerana pengaruh kawan. Apabila berjihad pilihlah kawan yang berada atas landasan yang betul.

2. Kedua, ada kawan berniat baik, tetapi secara tidak sedar, ada yang membawa kesan negatif. Contohnya, apabila tiada modal, ada yang memberi nasihat untuk meminjam. Setelah pinjam, malangnya, amat sukar untuk diundur semula. Walaupun berkawan, keputusan dan akibatnya akhirnya jatuh kepada diri kita sendiri.

3. Ketiga, kawan yang betul boleh meningkatkan semangat. Pilihlah kawan yang mempunyai nilai hidup yang sama, iaitu berjihad. Oleh kerana itu kita ada Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Tujuannya nak menggalakkan network, untuk mudah berkawan.

4. Tujuan berkawan, apabila kita tersangkut atau tidak punya pengalaman, kita boleh mendapatkan idea, cadangan dan sokongan.

5. Islam sendiri menganjurkan silaturrahim. Selain orang bisnes, berkawan dengan pelbagai lapisan masyarakat seperti orang masjid atau orang soleh, mereka pasti membantu apabila tahu kita berjihad bisnes. Paling kurang, dia dapat doakan kita.

Jenama

Brand, jenama sangat penting. Ambil satu contoh, KFC. Orang kata rupa saya macam Kolonel Sanders,” Kami semua tergelak besar.

“Saya pernah jadi pengerusi KFC. Kami ambil alih KFC dahulu.”

“Katakan saya buka satu restoran, AFC. Letak gambar saya. Ada dua jenama, KFC dan AFC, yang mana awak akan pilih?” tanya Tan Sri.

Terus sahaja saya menjawab, “KFC,” sambil disambut gelak ketawa rakan-rakan yang lain. “Tak teragak-agak,” kedengaran suara Puan Aliya, anak Tan Sri, sambil beliau tertawa.

“Apa sebab?”

“Sebab familiar.”

“..Ya.. orang pilih jenama tu, sebab orang yakin dengan jenama tu,” Tan Sri menyambung. “Ali ni betulkah? Rasa ayam belum tahu. Gorengnya macam mana? KFC kita yakin kerana ada jenama, konsisten, dia sudah ada imej yang baik.”

“Kalau berniaga kecil-kecilan, dari awal lagi kita kena fikir apa imej yang hendak ditonjolkan. Imej itu maknanya, katakan kita hendak jual nasi lemak. Ramai orang jual nasi lemak. Dari 10 gerai, hanya ada 1 atau 2 yang lebih menarik perhatian pembeli.”

“Kenapa?”

“Biasanya ia adalah gabungan. Rasa lebih baik. Sambal dia, pedas pun pedas tetapi masih kita mahu makan. Layanannya baik. Kualiti, nasi lemak terasa lemak. Ikan bilis segar bugar. Itu maknanya dia sudah ada imej, walapun belum ada jenama.”

“Kita ini berniaga, kalau mahu senang berjaya, imej itu kita kena jaga. Kerana imej itu mencerminkan nilai kita. Kalau kita berniaga untuk menipu, orang akan tahu akhirnya. Ikan bilis apa ni, mana entah dapat. Akhirnya yang betul-betul mudah menjayakan kita, peribadi kita, nilai hidup kita yang dicerminkan dari produk atau khidmat yang ditawarkan.”

“Contohnya di Terengganu, ada nasi kandar di Bukit Tok Beng. Dia ada beberapa kedai yang berjaya. Kerana orang dah yakin, dalam minda, pelanggan sudah tahu what to expect. Masuk bilik air, bersih, tak macam kedai lain.”

Brand ini datang, apabila janji dikota. Kalau Ali pun, Alilah. Buka sahaja di mana-mana, orang akan pergi. Dan apa sahaja disediakan, orang akan terima.”

“Apabila sudah ada jenama, bagaimana hendak lindungi hak kita? Kena lindungi dengan intellectual property (IP / harta intelek), kena ada trademark. Kalau tidak, orang lain guna nama sama, you tak boleh ambil tindakan.”

“Contohnya, Ali Fried Chicken. Ali lain, kampung lain. Dia buat rasa lain, cara lain. Tanpa IP, you tak boleh lindungi jenama sendiri.

Harta intelek

Puan Aliya bercerita logo halal JAKIM pernah di-IP-kan oleh pihak lain di Jerman. Akibatnya, mereka menyalah gunakan logo ini dengan meletakkan logo halal pada makanan bukan halal di Jerman. Logo itu bukan sahaja menulis Ha-Lam-Alif-Lam, tetapi turut diletakkan tulisan ‘Malaysia’.

“Orang Islam seperti orang Turki, apabila nampak halal Malaysia, mereka beli tanpa soal.”

“Jadi susahlah. Apabila Malaysia hendak ambil tindakan, makan masa. Nak bawa ke mahkamah dan sebagainya. Kerana dia tidak daftar hak milik intelek di sana. Kalau didaftarkan, dia boleh ambil tindakan (dengan lebih mudah),” Tan Sri mengulas.

“Kadang-kadang kita lupa itu. Apabila kita sudah ada jenama yang baik, kena ingat perkara ini.”

“Macam kami di Vocket pun, kami sudah IP-kan jenama kami,” saya merancakkan perbualan.

“Bagus. Kenapa you buat begitu?” Tan Sri sengaja mencabar minda. “Macam jenama Upin Ipin. Di Indonesia, ada yang menciplak jenama ini. Jadi syarikat Les’ Copaque kena ambil tindakan.”

“Pada mulanya untuk ambil tindakan di Indonesia, susah. Kerana dahulu, harta intelek ini tidak didaftarkan di sana. Di Malaysia sudah daftar,” Tan Sri berkongsi.

“Maknanya, kena mendaftar di setiap negara?” Cik Puan Roziyah ingin tahu.

“Ya, kena daftar di setiap negara.”

“Ambil contoh, katakan, Nasi Lemak Timah. Andai dia buat kecil-kecilan, bisnes keluarga sahaja, tidak mengapa. Tetapi apabila bisnes mula dibesarkan, harta intelek mula menjadi penting.

“Apabila jenama Nasi Lemak Timah tidak di-IP-kan, katakan ada orang lain di negeri lain, bina bisnes menggunakan nama yang sama dan di-IP-kan, lama-lama jenama Nasi Lemak Timah yang asli pun boleh jadi dia punya. Kita tak boleh buat apa-apa.

“Harta intelek relevan untuk bisnes yang sedang membesar.

“Tetapi semua bisnes, kalau kita amalkan jihad bisnes, mestilah mempunyai cita-cita untuk bisnes sampai ke peringkat paling tinggi. Kita mahu galakkan usahawan Melayu mesti ada cita-cita tinggi.

“Tan Sri Lim Goh Tong adalah rakyat Malaysia yang paling kaya. Anak beliau lagi kaya. Beliau datang dari China, tidak pergi ke sekolah. Menulis tidak tahu, tandatangan pun tidak tahu, gunakan cap jari sahaja. Beliau boleh berjaya dalam bisnes.”

“Awak fikirkan. Kalau orang yang tiada pelajaran, tidak sekolah, boleh berjaya dalam bisnes, maknanya kita boleh. Sepatutnya pencapaian kita lebih hebat daripada Lim Goh Tong.”

Puan Aliya menambah, “Pendaftaran harta intelek ini ada yang terasa seperti beban, kenapa nak ambil, kan mahal? Tapi ianya adalah satu pelaburan. Kalau tak buat, nanti akan menyesal apabila ada orang ambil alih jenama tersebut. Sayanglah.”

(Artikel ini akan bersambung pada hari Isnin minggu hadapan. Ikuti perkongsian Tan Sri Ali Hashim yang lebih menarik tentang waqaf korporat.)

BACA: 2 Tahun Berhenti Kerja, Saya Belajar 13 Perkara Ini Tentang Bisnes