Pada 17.7.2016 yang lalu apabila suami saya diserang strok, 3 hari suami saya tidak sedar dan bermukim di ICU.

Gerun untuk saya imbas kembali rasa kehilangan orang yang tersayang. Allah swt beri saya peluang beberapa ketika untuk menjengah rasa itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kecewa yang teramat apabila perlahan-lahan jantung suami makin lemah dan lemah dan lemah. Saya sudah mula ajarkan kalimah shahadah kepada beliau di dalam kereta.

Abah Tak Boleh Mati

Suami sudah terbaring di kerusi belakang kereta. Di dalam hati saya berjanji bulan dan bintang pada Allah swt supaya kembalikan suami kepada saya. Walau tidak sempurna saya rela, terdesaknya saya.

“Abah! Abah! Abah! Abah tak boleh mati. Abah! Abah! Abah! Kami ni Isyraf. Bangun abah bangun,” sambil menangis teresak-esak, Isyraf menggoncang tubuh abahnya.

Isyraf masih tidak puas hati lagi, diberinya bantuan CPR pula. Saya tak pernah ajar pun, dari TV agaknya.

Tiba-tiba suami kembali sedar dan bergerak, saya terus masuk ke bahagian pemandu dan memecut laju untuk ke bahagian kecemasan Hospital Machang.

Sambil memandu saya minta anakanda Nur Irdina Mohd Hadzrami hubungi anak saudara saya yang juga seorang doktor. Beliau menyuruh saya meneruskan perjalanan dan beliau akan kejar dari belakang.

Kemudiannya saya berhenti di tepi jalan dan beliau naik kereta saya menguruskan suami di tempat duduk belakang. Saya berasa sedikit lega kerana suami kini di bawah seliaan seorang doktor, suami masih memberi respon.

Sampai sahaja di Bahagian Kecemasan Hospital Machang, suami sudah tidak sedarkan diri dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Krai (Pakar).

Bertawassullah

Orang pertama yang saya hubungi sebaik sampai di hospital ialah kedua ibu bapa dan mertua saya. Mereka memberi nasihat yang sama. Nasihat yang sama sewaktu suami diserang strok kali pertama dan kedua pada tahun 2010 dan 2011 berulang lagi.

“Bertawassullah Zura. Bertawassullah di atas sedikit kebaikan yang pernah Zura dan Mie lakukan selama ini. Mohon alim ulama, anak-anak hafiz, anak-anak yatim dan asnaf-asnaf yang pernah Zura dan Mie sentuh hati mereka untuk doakan Mie. Doakan agar Allah swt beri kesembuhan yang tidak berbekas untuk Mie. Berdoa dan berserahlah sepenuh hati Zura,” kata ayah mertua.

Sebagaimana kejadian dahulu, seperti tayangan semula filem lama.

Ketika aktiviti kemasyarakatan di Mukim Batu Melintang.
Ketika aktiviti kemasyarakatan di Mukim Batu Melintang.

Jari jemari saya pantas dan automatik menghubungi rakan aktivis NGO Wargakilang Kelantan yang bagaikan adik beradik kami suami isteri iaitu Tuan Pehin Seri, Tuan Amran Haji Abu Bakar, Tuan Che Jaafar dan Tuan Bob Burhanuldin Mohammad.

Kemudian saya hantar perkhabaran kepada Tuan Mufahuddin Abd Razak (Pengasas Rumah Anak Yatim & Miskin Ummu Salamah), Ustaz Hilmi Rahman (Rumah Anak Yatim & Miskin Darul Hanan) dan juga Tuan Shukri Ees Biotech Sdn Bhd untuk wakilkan saya kepada Pondok Bandar Hilir, saya mohon bantuan doa dari mereka yang amalan serta ilmu jauh lebih tinggi dari saya, memohon belas kasih Yang Maha Esa untuk kesembuhan suami.

Aktivis kecil menyambung kerja.
Aktivis kecil menyambung kerja.

Saya juga dengan rendah diri dan tanpa segan silu lagi menghubungi asnaf-asnaf yang ada di dalam handphone saya untuk doakan suami. Saya sudah terdesak untuk menagih perhatian Allah swt buat suami saya.

Allah! Kerdilnya saya. Harta dunia tidak lagi mampu membantu saya di saat ini.

Ketika ini juga anakanda Irsyad masih di Wad Kanak-Kanak Hospital Kuala Krai menjalani rawatan penyakit Nephrotic Syndrome.

Saya tidak beritahu beliau kerana bimbang Irsyad akan stress dan lambat sembuh. Tetapi Irsyad sudah syak dan hairan kenapa ramai kaum keluarga di hospital hingga malam. Akhirnya terbongkar juga.

Menangislah anak kecil ini di sisi abah tersayang yang masih kaku di wad ICU. Irsyad salahkan dirinya. Abah sakit kerana letih menjaganya di wad.

Irsyad membaca buku ketika di hospital.
Ini bukan salah Irsyad.

Tidak anakku. Tidak sama sekali. Allah swt sudah tetapkan semua ini untuk rapatkan saf kita sekeluarga.

Suami Sudah Mula Sedar

19.7.2016 Dr.Aziz mengkhabarkan tahap kesedaran suami sudah 100%, tiub pernafasan sudah dibuka. Sebelah malamnya suami dipindahkan ke wad biasa. Allahu Allah! Hanya airmata gembira mewakili tanda syukur saya.

Alhamdulillah. Setelah seminggu Isyraf Hadzrami  tidak bertemu muka dengan abah.
Alhamdulillah. Setelah seminggu Isyraf Hadzrami tidak bertemu muka dengan abah.

“Lain kali abah jangan buat macam ni lagi. Kami tak suka. Kami susah hati. Abah ingat tu apa kami kata ni abah,” – Isyraf Hazrami.

Sepanjang berada di wad ramai sekali kaum keluarga, rakan taulan dan para asnaf datang mengunjungi suami. Mak saya sendiri yang datang dari Kedah terharu.

Ada yang memandu dari Kedah semata-mata untuk ziarah suami dan kemudiannya pulang. Ada yang mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur juga hanya untuk menziarah suami. Asnaf yang uzur dan susah juga datang…Allahu Allah. Mewahnya kasih sayang Allah kepada kami.

Seminggu, Sudah Boleh Pulang

24.7.2016 Genap 1 minggu suami di Hospital Kuala Krai dan dibenarkan pulang. Keajaiban apakah ini Ya Rahman Ya Rahim. Sangka saya mungkin berminggu-minggu atau berbulan-bulan, tetapi hanya 1 minggu. Allahuakbar. Alhamdulillah.

25.7.2016 Tuan Mohd Monier mesej saya bertanyakan suami. Saya jengah ke bilik dan terlihat suami sedang solat sambil duduk. Allah. Pantasnya ya Allah. Tuan Monier minta saya sampaikan salam pada suami dan doakan mereka juga.

30.7.2016 Suami minta saya uruskan majlis solat hajat dan doa selamat di rumah kami. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan mudah. Penuh rumah dengan kaum keluarga, rakan-rakan jemaah surau, rakan-rakan aktivis, rakan kepada anak-anak serta asnaf. Menangis suami saya melihatnya. Di atas kerusi, beliau turut sama-sama bersolat hajat yang diimamkan oleh Tuan Imam Saiful, Imam Masjid Tok Pulai Chondong, Kampung Surau.

Ketika solat hajat.
Ketika solat hajat.

7.8.2016 Bergenang air mata saya melihat suami sudah mula solat berdiri. Lama beliau bertafakur sendirian. Allahuakbar. Allah Maha Besar. Terima kasih Allah, Ya Rahman Ya Rahim. Hanya padamu tempat kami berserah.

Saya coretkan catatan ini untuk ucapkan jutaan terima kasih sebanyak bintang di langit buat kalian yang tidak jemu beri saya dan suami sokongan. Ianya sungguh bermakna buat kami. Saya mahu kalian tahu betapa mahalnya doa kalian buat kami hingga Allah swt tidak mensia-siakannya serta memberi jalan dalam tempoh yang singkat.

Saya masih perlukan doa kalian buat suami Mohd Hadzrami agar beliau sembuh sepenuhnya.

Terima kasih.