1. Second Child Syndrome atau kadangkala disebut Middle Child Syndrome adalah teori yang dikemukakan oleh seorang pakar psikologi bernama Alfred Adler.

Ia didasari oleh kesalahan persepsi sebuah keluarga yang mana anak kedua digambarkan sebagai memiliki sifat suka bersaing, pemberontak, mudah putus asa, sering mengalah dan cuba bermotivasi tinggi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Keluhan yang sering didengar ialah bahawa anak kedua merasa “tidak didengar” oleh keluarga, rasa tersisih kerana perhatian diberikan kepada si sulung atau si bongsu, yang mana mengakibatkan anak kedua mengalami perasaan rendah diri, sukar untuk menyuarakan kehendak dan terpaksa mengikut keinginan orang lain.

Jarak umur antara anak pertama, kedua dan ketiga juga memainkan peranan untuk mempengaruhi sikap anak-anak. Semakin rapat jarak umur anak-anak, semakin anak-anak tersebut akan merasakan mereka seakan rakan atau sahabat.

Oleh itu si tengah akan sentiasa tersepit dengan layanan istimewa yang diperolehi oleh si sulung dan kemanjaan yang diberikan kepada si bongsu.

2. Diakui bahawa anak-anak akan cuba mendapatkan perhatian ibu bapa.

Dengan kedudukan yang tersepit di antara anak sulung dan anak bongsu menyebabkan anak kedua akan cuba melakukan sesuatu yang berbeza dari adik beradiknya untuk menarik perhatian ibu bapa.

Contohnya jika si abang atau kakak selalu dipuji oleh ibu bapa, maka si tengah akan cuba membuat kebaikan yang lebih lagi agar turut dipuji oleh ibu bapanya.

Jika along mencapai keputusan peperiksaan yang baik, angah pun akan berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik.

Anak kedua cenderung menuntut perhatian lebih dan memiliki prasangka yang mereka sendiri tidak menginginkannya.

Diandaikan juga mereka memiliki dunia sendiri, banyak hal yang mereka simpan sendiri yang acapkali menyebabkan anak kedua menjadi anak yang pendendam.

3. Selain itu, anak kedua digambarkan sebagai seorang yang suka berimaginasi dan bersemangat untuk mengembangkan bakat tersebut.

Pekerjaan yang berkaitan dengan seni amat sesuai di mana mereka gemarkan kebebasan dan fleksibiliti namun mereka tidak boleh bekerja di bawah tekanan.

Oleh kerana anak kedua sering terasa disisihkan, mereka lebih mempercayai orang luar dari keluarga sendiri.

Ikatan persahabatan dengan rakan lebih kukuh jika dibandingkan dengan adik beradik.

Akibat dari kebimbangan akan diasingkan, anak kedua mempunyai masalah untuk membina keluarga sendiri dan seringkali mempunyai masalah dengan pasangan mereka.

Parahnya, anak kedua biasanya akan menyalahkan diri sendiri dalam semua hal.

Syamil ketika graduasi.
Syamil ketika graduasi.

4. Kenyataan di atas mengenai teori Second Child Syndrome dibuat oleh orang Barat yang rata-rata mempunyai keluarga yang kecil, paling ramai 3 orang anak.

Itu ada logiknya jika mereka terima pakai teori ini sepenuhnya.

Tetapi sebagai seorang Islam, kita tidak perlu mengikuti seratus peratus apa yang diketengahkan oleh pakar-pakar dari Barat.

Kita mempunyai panduan terbaik bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah untuk dijadikan rujukan.

Sekiranya ada pernyataan-pernyataan tentang teori tersebut yang benar-benar berlaku kepada anak kedua kita, itu hanyalah secara kebetulan.

Yang penting ialah kita belajar dan mengkaji teori dan falsafah Barat untuk dijadikan perbandingan dengan syariat Islam itu sendiri.

Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

5. Berbalik kepada keluarga PROFAZZ, anak kedua ialah Syamil.

Syamil lahir ketika si sulung berusia setahun dua bulan dan Syamil hanya berusia sebelas bulan setengah ketika si bongsu lahir.

Di saat adiknya lahir Syamil baru berjalan jatuh (mungkin dia tahu dia perlu cepat berjalan kerana sudah mendapat adik).

Jikalau mengikut teori Second Child Syndrome, jelas sekali bahawa Syamil akan mengalami semua gejala seperti yang dinyatakan iaitu pendiam, pendendam, rasa terasing dan rendah keyakinan diri kerana Syamil tersepit di antara si sulung dan si bongsu.

Tidak dinafikan ketika mendapat anak pertama, Ummi memberikan tumpuan istimewa kepada bayi yang baru lahir, kerap mengambil gambar dan membelikan barangan dan permainan yang baru.

Apabila anak kedua lahir, ditambah pula lelaki juga, maka banyak barangan dan peralatan bayi yang diturunkan dari anak pertama kepada anak kedua.

Disebabkan jarak usia yang rapat dan kesibukan tugas harian menyebabkan Ummi tidak lagi kerap mengambil gambar dan merakam video seperti anak pertama.

6. Ditakdirkan Allah SWT anak ketiga lahir tidak sampai setahun kemudian menyebabkan kesibukan Ummi bertambah lagi.

Sekarang tumpuan harus diberikan kepada bayi yang masih kecil yang memerlukan perhatian rapi.

Maka Syamil terpaksa mengalah dan lebih rapat sedikit dengan pembantu rumah.

Ummi dapati kalau menangis memang suara Syamil yang paling kuat, dan kalau masa bermain kecenderungannya adalah si sulung akan mendominasi permainan.

Apa yang Ummi lakukan ialah cuba berlaku adil kepada semua anak-anak dengan melayani mereka sama rata dan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada mereka.

7. Proses pembesaran anak-anak Ummi berlaku secara terancang, tidak kira samada anak sulung, anak tengah atau anak bogsu.

Ummi akan berlembut dalam semua perkara kecuali hal-hal yang membabitkan akidah dan akhlak.

Kalau dinyatakan dalam teori Second Child Syndrome bahawa anak kedua akan sentiasa mencabar diri, Ummi sangat bersetuju.

Syamil telah mencabar keupayaan dirinya secara luar biasa sebanyak 3 kali.

Pertama ketika Syamil berada di Maahad Tahfiz dia telah mencabar dirinya untuk khatam hafazannya dalam masa 5 bulan.

Dia menyusun jadual hafalan harian dengan kemas, beberapa halaman sehari dan menyusun target untuk sebulan.

Alhamdulillah Syamil berjaya menjadi huffaz 30 juz dalam masa 5 bulan sahaja seperti yang disasarkan.

Kali kedua ialah semasa menduduki peperiksaan SPM, dia telah mendaftar untuk mengambil 15 subjek sekaligus.

Ummi tidak menghalang bahkan memberikan sokongan kepadanya kerana Ummi yakin dia boleh menanganinya.

Alhamdulillah Syamil berjaya memperolehi 14A.

Syamil kini seorang doktor.
Syamil kini seorang doktor.

Kali ketiga ialah semasa di Universiti, dia telah menanam azam dan berjaya untuk tidak kandas dalam sebarang peperiksaan perubatan di Jordan Universiti of Science and Technology (JUST) walaupun dia bergiat cergas dalam persatuan pelajar dan melakukan kerja-kerja dakwah.

8. Teori Second Child Syndrome menyatakan bahawa anak kedua lebih rapat dengan orang luar dari keluarga sendiri dan akan cuba mencari pasangan secepat mungkin untuk mengelakkan rasa terasing.

Di satu sudut, Ummi kurang bersetuju dengan pernyataan ini kerana Syamil sebagai anak kedua adalah yang paling rapat dengan Ummi malahan selalu menjadi peneman Ummi sekiranya hendak ke mana-mana.

Di sudut yang lain pula, ada betul juga dengan pernyataan ini kerana Syamil yang paling awal bernikah dan ketika di usia yang sangat muda. Namun dalam kes Syamil, Ummi telah membenarkan dia berkahwin awal kerana Ummi yakin dia sudah matang dan faham peranan yang harus dimainkan dalam keluarga.

Alhamdulillah walaupun telah menjadi seorang suami semasa masih belajar, ditambah kesibukan dengan persatuan dan dakwah, pelajaran tidak diabaikan.

Akhirnya, 5 tahun kemudian Syamil berjaya mengenggam segulung ijazah perubatan dan kini berkhidmat di salah sebuah hospital di Malaysia.

Matang tidak diukur dari angka usia seseorang tetapi dari kefahaman dan kesediaan untuk melakukan sesuatu.

9. Kalau dinyatakan bahawa anak kedua akan kerap bersaing untuk membuktikan mereka lebih hebat, Ummi rasa ini adalah suatu petanda yang bagus sebenarnya.

Malahan bukan sekadar anak kedua yang harus bersaing tetapi setiap anak harus berbuat begitu, bersaing di antara satu sama lain secara sihat.

Fastabiqul Khairat…berlumba-lumbalah dalam melakukan kebajikan.

Peranan ibu bapa ialah memberi perhatian dan memperlihatkan sikap adil kepada semua anak tanpa mengira umur atau jantina.

Ibu bapa juga perlu memastikan pembentukan akhlak anak-anak agar tiada iri hati dan berdendam di antara satu sama lain melainkan penuh kasih sayang, mawaddah wa rahmah.

Begitu juga dengan persekitaran di rumah yang seringkali membudayakan pembelajaran al-Quran dan hafazan.

10. Sebagai rumusan, Ummi mengkaji teori Second Child Syndrome untuk melihat sudut pandang orang Barat terhadap sikap dan perilaku anak berdasarkan urutan dalam keluarga.

Namun Ummi tidak menerimanya bulat-bulat tetapi membandingkan dengan ajaran di dalam syariat Islam itu sendiri.

Walaubagaimanapun perilaku anak kita, walau pandai atau tidak, walau cantik atau hodoh, walau normal atau tidak sempurna, kita sebagai ibu bapa harus berlaku adil terhadap mereka.

Jangan sesekali kita membeza-bezakan anak-anak agar mereka rasa disayangi, dilindungi dan selamat berada dalam keluarga sendiri.

Contohilah Imam Hassan Al-Banna, pengasas Jemaah Ikhwanul Muslimin (IM), di mana dalam kesibukannya beliau mampu menyediakan fail untuk ketujuh-tujuh anaknya yang mana di dalam setiap fail terkandung segala maklumat tentang kesihatan, kewangan, laporan pelajaran dan info-info lain yang diperlukan.

Dengan kata lain, setiap anak merasa istimewa menjadi sebahagian dari keluarga tersebut.

Ummi Profazz pernah berkongsi bagaimana untuk melahirkan 5 orang anak huffaz profesional. Ikuti penulisan beliau di sini.