Jika anda ikut trip melancong ke Korea, biasanya anda akan pergi ke Seoul. Di sana, jika anda pergi Itaewon, banyak restoran halal yang boleh diterjah. Jadi tak ada masalah makan sangat. Sediakan duit sajalah.

Macam mana pula kalau tercampak ke luar Seoul atau tempat-tempat lain yang susah cari makanan halal? Takkan nak makan roti dengan ramyun (mi segera) saja kan?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Syukurlah saya ada pengalaman duduk di Ochang, Korea yang memang jauh dari Seoul. Maka sepanjang di sana, saya belajar dengan kawan-kawan Korea macam mana nak cari makanan halal.

Saya kongsikan di sini, manalah tau kalau anda nak pergi Korea tak ikut travel guide, bolehlah anda aplikasikan tips yang saya nak bagi ni.

1. Tengok gambar di papan tanda restoran

Ini general rule.

Secara umumnya, kalau restoran tu speciality dia ikan, di papan tanda dia ada gambar atau ikon ikan. Kalau speciality dia sotong kurita, ada gambar sotong kurita. Restoran jenis macam ni hampir keseluruhan makanan dia berasaskan gambar tu.

Ya, restoran yang papan tanda dia gambar khinzir pun ada. Kalau jumpa ni, baik anda cari restoran lainlah takut kau tak lalu nak order pula nanti.

Selain dari papan tanda, di menu dia pun ada gambar atau ikon ikan atau sotong atau binatang-binatang lain. Maka pilihlah yang halal dimakan.

Insya-Allah selamat. Jangan pula tanya periuk dia ada guna untuk masak daging ke tak, pisau dia, chopping board dia, chopstick semua nak selidik. Kalau jenis was-was macam ni, saya cadang anda simpanlah duit tu tak payah beli tiket pergi Korea. Baik guna duit tu pergi kelas belajar fiqh luar negara.

2. Lotteria

Lotteria ni kira restoran fast food yang terkenal di Korea, lebih kurang macam McD dan KFC. Jenama Lotte ni anda akan jumpa merata-rata. Buat makananlah, buat theme parklah. Macam-macam benda si pakcik Lotte ni buat.

Kalau berkunjung ke Lotteria, order Shrimp Burger atau burger udang. Rasa dia memang sedap, macam makan Filet O Fish di McD.

Kalau di UK dulu, saya makan Filet O Fish (McD) dan Bean Burger (Burger King) untuk cari yang halal. Di Korea pun samalah. Ada pilihan burger udang ni untuk orang yang tak makan daging.

3. Chamchi (참치)

Chamchi kimbap.
Chamchi dopbab. Dalam mangkuk hitam tu sup miso. Kemudian ada kimchi dan ais kosong.

Chamchi ni dalam bahasa Korea. Dalam Bahasa Melayu maksudnya Ikan Tongkol atau Tuna.

Jadi kalau nak selamat, order makanan berasaskan Chamchi.

Contoh makanan chamchi yang saya suka:

a) Chamchi Kimbab (참치김밥) – Nasi gulung seaweed berinti tuna. Kira macam sushi tuna lah. Segulung tu panjang dia 30cm lebih kurang. Lepas tu nanti dia potong-potong macam sushi. Diameter Chamchi Kimbab ni lebih kurang 2 inci. Besar tu. Kalau makan satu gulung ni saya rasa memang terbongkang terus atas katil.

Dulu saya tak tau macam mana nak cakap tak nak daging ikut tatabahasa yang betul, jadi saya cakap je “Gogi andeyo” – maksudnya lebih kurang jangan letak daging dalam tu.

Harga dalam 2,500 Won.

b) Chamchi Dopbab (참치 덮밥) – Nasi berlauk masak asam kimchi tuna. Yang ini kegemaran saya. Dulu masa saya puasa di sana pun, saya order 2 pinggan nasi ni setiap malam. Satu saya guna untuk buka puasa, satu untuk sahur.

Lauk tuna dia tu macam anda makan masak asam pedas, cuma yang ini lebih asam dari pedas sebab dia guna kuah kimchi tu (melainkan kau tergigit cili dia).

Harga dalam 4,000 Won

4. Nakji (낙지)

Nakji dopbab yang dijual di kedai Misoya. Amat lazat!
Beginilah rupa nakji dopbab selepas digaul dan sedia untuk dimakan.

Nakji ni pun dalam bahasa Korea. Dalam Bahasa Melayu maksudnya sotong kurita atau octopus.

Restoran yang aku paling suka pergi waktu di Ochang ialah Misoya. Di sini ada jual Nakji Doebbab. Nasi dengan sambal sotong kurita. Fuh, memang terangkat beb! Dia hidang dalam claypot panas-panas. Anda gaul rata-rata, dah jadi nasi goreng berlauk sotong.

Anda boleh makan di situ atau bungkus bawa balik. Dia punya packing pun terbaik, bukan masuk plastik ikat tepi. Siap tray dengan mangkuk untuk sup miso dan kimchi sekali.

5. Chukumi Gui (쭈꾸미 구이)

Menu bergambar sotong. Kedai ni memang speciality dia Chukumi.
Chukumi.

Chukumi ni maksudnya Baby Octopus. Anda cari restoran yang ada gambar sotong, biasanya ada makanan ni. Dia akan masak sambal sotong ni dalam kuali di meja anda.

Cara makan dia, anda ambil satu sotong lepas tu balut dengan daun salad dia. Lepas tu sumbat masuk dalam mulut. Lebih kurang teknik dia macam orang tua-tua makan sirih.

Bila anda dah makan sotong tu semua sampai tinggal sikit dalam kuali, makcik restoran akan datang bawa nasi. Kemudian nasi tu akan digaul dan digoreng sekali dengan sambal sotong tadi. Kiranya anda makan lauk dulu, lepas tu baru makan nasi goreng.

Chukumi gui ni pedas yang teramat tapi sedap. Kalau anda ada masalah sembelit, insya-Allah sembuh lepas makan chukumi ni.

6. Haemul (해물)

Anda sebut ‘hae’ tu macam nak sebut ‘hair’ dalam bahasa Inggeris. Haemul maksudnya seafood atau makanan laut. Jadi disebabkan makanan laut ni semuanya halal, maka anda tak perlu risau.

Anda masuk kedai, kalau tak tau nak order apa, cari yang ada perkataan haemul ni. Insya-Allah selamat.

7. Kalguksu (칼국수)

Kalguksu ni lebih kurang macam mi sup. Yang buat dia sedap tu ialah tekstur mi dia dan juga kuah. Simple, tak banyak sayur dan segala macam mak nenek barang dalam tu, tapi sedap.

Kalau nak order, anda order dua jenis ni:

a) Bajirak kalguksu – mi sup kepah. Kepah dia banyak, segar dan kuahnya memang buat anda nak tonggengkan mangkuk tu hirup sampai habis.

b) Haemul kalguksu – mi sup seafood. Sama juga, cuma ada tambahan binatang lain contohnya sotong.

Baca: Mencari Makanan Halal Di Korea Kini Lebih Mudah Dengan Aplikasi Halal Korea

Bajirak Kalguksu – mi sup kepah.

Menu yang ada gambar sotong. Bajirak Kalguksu harganya 5000 won. Chukumi harganya 12000 won untuk saiz kecil.

8. Pajeon (파전)

Jeon ni cara sebut dia macam anda sebut John. Pajeon ni lebih kurang macam telur dadar campur tepung berinti daun bawang dan bahan-bahan lain.

Kalau nak rasa telur dadar ni, ada dua jenis yang kau boleh order

a) Haemul pajeon – telur dadar campur seafood (udang, sotong, kepah)

b) Kimchi pajeon – telur dadar campur kimchi.

9. Goguma pizza

Goguma maksudnya sweet potato atau keledek. Jadi kalau pergi kedai pizza, kalau tak nak order ‘cheese and tomato pizza’, anda boleh order pizza keledek ni.

Jangan gelak. Bunyi macam pelik, tapi rasa dia sedap. Macam anda makan pizza pisang campur kaya di Domino’s Pizza tulah.

10. Makanan ringan

Untuk senarai makanan ringan, saya cadangkan anda pergi ke page Halal Korea. Anda boleh tengok apa yang selamat untuk dimakan dan apa yang anda kena elak. Makanan ringan ini senang dibeli di kedai serbaneka GS25 (macam 7-Eleven) atau pasaraya yang lain.

Antara makanan dan minuman yang saya suka:
1. Milkis – air berkarbonat susu + yogurt tapi rasa vanilla. Sedap lemak berkrim.
2. Pepero – yang ini biasa kau jumpa di Malaysia.
3. 새우깡 – keropok udang jenama Nongshim
4. Nacho Rich Cheese jenama Orion

11. Lain-lain

a. Ais kosong (atau dalam bahasa korea dipanggil ‘mul’) percuma di semua restoran yang kecil-kecil ni. Boleh free refill lagi. Kalau kau nak air berperisa, kena bayarlah.

b. Kimchi pun diberikan percuma. Mula-mula dulu aku tak suka juga. Lepas sebulan, memang jadi ulam. Kalau makan tak ada kimchi ibarat lagu tanpa irama.

c. Bibimbap pun halal juga. Minta yang tak ada daging. Cuma bibimbap ni biasa sangat, nasi dengan telur dan sayur. Bosannya. Baik kau makan benda-benda yang aku cadangkan tadi lagi sedap.

Pelbagai jenis kimchi dan hidangan sampingan.

Saya harap sedikit sebanyak ada gunalah juga tips yang saya beri ni. Jangan nanti anda jalan-jalan ke Korea tapi makan tak puas.

Kalau ada apa-apa yang saya silap, sila betulkan. Ini saya cakap berdasarkan pengalaman saya duduk dalam 2 bulan lebih di sana. Rasanya cukuplah ni untuk survive. Kalau ada saudara mara yang belajar atau menetap di Korea, mungkin boleh tambah tips lagi. Nak travel ke Korea tak lama lagi? Survey hotel dan hostel di sini.

Baca lagi: 35 Tip Travel Ke Korea Selatan Tanpa ‘Tour Guide’