Ramai juga kenalan kami yang hairan, bagaimana suami saya boleh mendapat pencen Ilat PERKESO, sedangkan dia sudah pun berhenti makan gaji lebih kurang setahun, ketika jatuh sakit.

Saya juga sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tuntutan kepada PERKESO ini, sehinggalah seorang saudara memberitahu saya ketika suami masih di hospital dulu. Saya fikir, jika sudah tidak bekerja makan gaji, sudah tidak boleh membuat apa-apa tuntutan.

Saudara (sepupu) saya itu langsung tidak ‘mengganggu’ saya ketika saya sibuk berulang ke hospital dan susah hati menghadapi suami yang sakit tiba-tiba.

Saudara itu dengan usaha sendiri mendapatkan nama penuh suami dan dia minta abangnya periksa status kelayakan suami saya di PERKESO.

Setelah mendapat kepastian, barulah dia memaklumkan hal itu pada saya. Tidak berapa lama selepas itu, saudara itu juga mendapatkan borang tuntutan PERKESO untuk saya.

Alhamdulillah. Allah menghadirkan ramai insan yang membantu dan memudahkan urusan saya ketika keadaan yang sangat sukar.

Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.
Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.

Menurut pegawai PERKESO, secara kasar caruman suami saya cukup untuk membuat tuntutan. Rupa-rupanya, sekiranya kita pernah bekerja, dan mencarum dengan PERKESO, kita boleh membuat tuntutan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang digariskan PERKESO.

Hendak dijadikan cerita, setelah permohonan suami saya dalam proses, pegawai terbabit menyatakan caruman suami masih tidak cukup pula. Tetapi dengan inisiatif pegawai terbabit menyemak semula rekod, mereka dapati syarikat tempat suami bekerja sebelum ini tidak melunaskan caruman suami selama beberapa bulan. Pihak PERKESO kemudiannya menghubungi mereka dan minta bayaran tersebut dibuat untuk kebaikan suami.

Alhamdulillah, pihak syarikat itu tidak mengambil masa yang lama untuk menghantar cek pembayaran kepada PERKESO. Jika bayaran tertunggak itu tidak dibuat sebenarnya tindakan boleh diambil oleh PERKESO. Tetapi tentunya ia memakan masa.

Suami saya telah menerima pencen Ilat PERKESO bermula hujung tahun lepas. Oleh kerana keadaan suami yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya, saya juga diberikan elaun oleh PERKESO, yang dipanggil Elaun Layanan Sentiasa (ELS).

Selain itu, suami juga dibekalkan dengan lampin pakai buang setiap bulan dan beberapa peralatan seperti kerusi roda dan tilam angin. Katil hospital yang telah saya beli juga saya tuntut semula belanjanya dengan PERKESO kerana katil itu juga termasuk dalam senarai keperluan yang disenaraikan oleh jemaah doktor PERKESO.

Alhamdulillah.

Cara-cara membuat tuntutan dengan PERKESO:

1. Semak nama dan nombor kad pengenalan anda dengan PERKESO sama ada anda layak membuat tuntutan.

2. Dapatkan borang tuntutan yang berkenaan di mana-mana pejabat PERKESO terdekat. Borang boleh diambilkan oleh orang lain. Sesetengah borang boleh juga dimuat turun di laman web PERKESO.

3. Dapatkan laporan perubatan doktor dari Bahagian Rekod hospital.

4. Borang tuntutan bersama laporan dihantar ke PERKESO.

5. Perkeso akan memberi maklumbalas melalui surat berserta tarikh anda perlu hadir untuk menghadap jemaah doktor panel PERKESO. Pihak yang menuntut akan ditemuduga oleh doktor. Maklumbalas ini diterima dalam tempoh sebulan.

Dalam kes seperti suami saya yang terlantar dan sukar untuk dibawa menghadap jemaah doktor, wakil pihak yang menuntut (saya contohnya) perlu memaklumkan kepada pihak PERKESO.

Wakil PERKESO akan datang membuat penilaian keadaan pesakit di rumah, dan mengambil gambar untuk dilampir sebagai laporan kepada jemaah doktor. Pada hari temuduga, hanya waris terdekat yang perlu menghadiri temuduga tersebut.

6. Jawapan dari pihak PERKESO tentang temuduga (lulus atau tidak diluluskan) akan dihantar melalui surat. Biasanya dalam tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh temuduga.

7. Sekiranya lulus, PERKESO akan meminta anda menghantar salinan buku atau kad bank yang disahkan oleh pegawai bank berkenaan untuk mereka masukkan jumlah tuntutan yang diperolehi terus ke dalam akaun.

Jika anda atau orang terdekat ada ditimpa kemalangan atau sakit yang tidak membolehkan anda bekerja, cuba periksa dengan PERKESO sekiranya layak membuat tuntutan (skim bencana pekerjaan atau Ilat). Sila periksa juga, adakah majikan anda membayar caruman PERKESO anda, supaya tidak ada masalah di kemudian hari.

Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.
Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.

Catatan di atas adalah berdasarkan pengalaman saya selama menguruskan tuntutan PERKESO suami.

Boleh baca lanjut di www.perkeso.gov.my

BACA: Bagaimana Saya Dapatkan Bantuan Kewangan Apabila Suami Tiba-Tiba Sakit Kronik