Sebuah gambar konvokesyen tergantung di dinding. Sesekali merenung foto penerimaan ijazah itu menyuntik rasa positif dalam diri. Menggapai segulung diploma, ijazah atau pun master sambil bekerja merupakan impian sesetengah orang.

Apa yang dititipkan di sini merupakan pengalaman saya ketika diberi peluang oleh Allah SWT bagi mengikuti Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di bawah Universiti Sains Malaysia (USM).

1. Kembali Membiasakan Diri Dengan Dunia Akademik

Memang tidak dapat dinafikan apabila kita telah lama meninggalkan dunia kampus, otak kita ‘berkarat’. Kita semakin malas membaca, setidak-tidaknya pada bacaan yang berbentuk ilmiah. Tambahan lagi ledakan media sosial makin menjauhkan diri daripada buku-buku yang bersifat intelektual.

Jika ada menulis pun, hanya berkisar hal tugasan rasmi kita sahaja. Maka, tidak dapat tidak apabila kembali dalam akademik, diri dipaksa untuk rajin menelaah dan berfikir secara kritis secara analitikal. Kita juga perlu kuasai kemahiran menulis secara gramatis dan berakademik.

2. Perlunya Jalinan Sosial Yang Erat

Untuk berjaya dalam PJJ ini kita kena pandai berkawan kerana banyak tugasan yang perlu dilunaskan secara berkumpulan terutama pada tahun pertama dan kedua. Maka, saya perlu ringankan mulut untuk bersembang dan berkenalan dengan rakan-rakan baru. Dengan demikian tugasan dapat diselesaikan lebih mudah.

Kenalan baru ini bukan sahaja dijumpai dalam kelas, tetapi dihubungkan melalui portal pembelajaran yang disediakan oleh pihak universiti (e-learning). Apabila bekerja berkumpulan pula, perlulah banyak bertolak ansur dan saling faham-memahami. Maklumlah ada kerja perlu dibahagi-bahagikan.

3. Berkolaborasi Dengan Warga Emas

Dalam pengajian ini juga, saya berpeluang bercampur gaul dengan mereka yang bergelar warga emas. Antara mereka ialah En. Bustaman (Pegawai di JKR) dan En. Taib (Guru Besar). Mereka berdua sebenarnya akan bersara dalam beberapa tahun lagi.

Namun semangat dan tenaga mereka umpama orang muda. Kadang kala tampak mereka lebih aktif berbanding pelajar-pelajar lain. Saya juga banyak belajar daripada otai-otai ini.

Mereka tidak seperti kita yang cenderung terburu-buru dan banyak membuang masa. Mereka juga tidak berkira sangat untuk menolong dan mudah mesra.

Salah seorang daripada pelajar warga emas ini mengeluarkan kenyataan yang sangat tip-top, “Aku belajar begini untuk cabar diri sendiri.”

4. Diberi Sistem Sokongan Yang Baik

Untuk kami di PJJ USM, sistem sokongan mereka sangat bagus. Antaranya kami juga disediakan portal rasmi yang memuatkan segala yang diperlukan dalam pengajian ini.

Antaranya ialah perancangan akademik, jadual kelas, pengumuman terkini, video kuliah, senarai rakan sekursus, modul dalam format pdf, rakan yang ambil subjek sama dan sebagainya.

Segala kemudahan kepada pelajar sepenuh masa dapat kami nikmati ketika berada dalam kursus intensif. Harga makanan dalam kampus USM itu pula begitu murah.

5. Cabaran Melepasi Tahun Pertama

Berdasarkan pengalaman dan taklimat yang diberi oleh pihak pentadbiran, isu tahun pertama adalah agak kritikal. Menjelang tahun kedua, ramai yang terkandas disebabkan mereka gagal dalam peperiksaan atau berhenti secara sukarela.

Untuk sesi kemasukan saya sendiri tidak kurang 30% daripada rakan-rakan sekemasukan ‘hilang dari radar’. Dikatakan ada beberapa teori tentang senario ini (berdasarkan perbincangan dengan rakan-rakan dan pensyarah):

i. Tidak ada desakan dalaman yang kuat iaitu matlamat dan objektif melanjutkan pelajaran.
ii. Tidak sanggup bersusah payah kerana memang melakukan dua perkara besar dalam satu masa itu banyak kepayahannya.
iii. Sekadar ingin mencuba dan menduga di tahun pertama. Maksudnya, sekadar mahu mencuba pada peringkat awal dan apabila didapati perjalanannya tidak seperti yang dihajati, mereka berhenti.
iv. Masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Misalnya isu kewangan, masalah kesihatan, masalah keluarga, majikan tidak benarkan dan sebagainya.

6. Belajar Ikut Keselesaan Diri Sendiri

Setiap tahun, kami dicadangkan mendaftar tidak kurang 6 mata pelajaran untuk bergraduasi mengikut tempoh dicadangkan. Saya cuba mengikut trek itu. Alhamdulillah sasaran saya tidak tersasar jauh. Saya tamatkan pengajian dalam masa 5 tahun (lewat setahun sahaja berbanding tempoh disyorkan).

Untuk menghadapi tugasan-tugasan yang tersenarai panjang itu, saya ambil satu langkah pencegahan awalan. Matlamat yang ditetapkan ialah saya tidak gagal atau bertangguh menyiapkannya. Apa yang saya lakukan adalah menyalin kembali tugasan setiap subjek (yang berasingan) ke dalam satu senarai.

Kemudian senarai itu dicetak dan ditampal di dinding ‘bilik perang’ (perang sangatlah) saya. Dengan cara begitu semua tugasan tercatat dalam sehelai nota. Di situ terpapar tajuk, format, dan tarikh tutup setiap tugasan. Alhamdulillah dengan cara itu, saya selesaikan satu persatu tugasan esei sampai siap kesemuanya.

Berkenaan teknik belajar, lain orang lain caranya. Bagi saya itu subjektif. Sememangnya ketika bekerja, tumpuan kepada pelajaran tidak begitu bagus.

Secara jujurnya waktu paling efektif kami menelaah pelajaran adalah ketika kursus intensif (3 minggu). Ketika itu kami perlu tinggal di kampus, beruzlah dan meninggalkan segala kemewahan dunia (haha). Pada waktu itulah diadakan kelas sampai lewat malam, ujian, kuiz, presentation serta pertemuan langsung dengan pensyarah.

7. Perancangan Kewangan Kena Mantap

Soal yuran dan kewangan ini memang fundamental. Kami mungkin beruntung kerana yuran PJJ USM ini paling murah (setakat ini). Ketika mendaftar dalam tahun pertama, yurannya kira-kira RM1500 (bagi kursus saya). Untuk tahun kedua dan seterusnya adalah kira-kira RM1200 setahun.

Cara untuk kita bayar pun cukup fleksibel. Yang penting kena selesaikan yuran tahunan sebelum mendaftar untuk tahun seterusnya. Kalau yuran tahun itu belum selesai pun, kita masih boleh ambil peperiksaan akhir.

Pernah pada tahun kedua pengajian, saya menjual kesemua kelengkapan kamera DSLR untuk menampung kos pengajian. Saya korbankan kamera NIKON D80, flash dan lensa 18-200mm yang sangat disayangi.

Dalam hal duit ini kena selalu beringat untuk menyimpan, berjimat dan berdoa agar rezeki dari Allah itu berkat. Agar kita dapat bayar apa yang sepatutnya dibayar.

8. Memilih Kursus Yang Betul Dan Sesuai Dengan Diri Sendiri

Ramai juga rakan-rakan menukar kursus pada tahun pertama. Misalnya ramai menukar bidang daripada ekonomi dan pengurusan kepada sains sosial.

Ini menyukarkan mereka sendiri dan pihak pentadbiran. Jadi pada peringkat awal perlu dipilih kursus yang paling sesuai dengan jiwa dan kecenderungan diri. Jika tidak, sukar untuk meneruskan perjuangan hingga ke akhirnya.

9. Kewujudan ‘Kapitalis’ Dunia Akademik

Kapitalis akademik? Ini merupakan golongan yang cukup bijak ambil kesempatan atas keterdesakan pelajar. Antara aktiviti mereka adalah tawarkan jawapan tugasan dengan mengenakan bayaran tertentu.

Contohnya satu tugasan esei mereka caj RM300, atau RM500. Bagi mereka yang tidak kisah tentang kejujuran dan keberkatan, ada yang ambil jalan sebegini. Bayar sahaja, tugasan siap dan hantar.

Inilah isu yang lebih menghantui pelajar-pelajar PJJ kerana mereka lebih tercabar dari segi kesibukan antara kerja dan pengajian. Cuma suka diperingatkan, pihak universiti boleh mengesan penipuan sebegini.

10. Tempuhi Kesusahan Itu

Kalau tak berani tempuh kesukaran kita tidak akan berjaya.

Perlu tidur lewat untuk siapkan tugasan.
Perlu kurangkan lepak-lepak untuk membaca dan menulis.
Perlu memandu jauh-jauh untuk pergi kelas dan peperiksaan.
Perlu simpan duit untuk bayar yuran dan kurangkan berbelanja perkara tak penting.
Perlu tinggalkan keluarga untuk kursus intensif.
Perlu meningkatkan tenaga pemikiran (kognitif) lebih daripada biasa.
Perlu pertingkatkan doa dan tawakkal.
Perlu lebih menjaga tugas hakiki agar tak terabai.

Ya memang begitulah cabaran-cabaran yang kena dihadapi apabila belajar sambil bekerja.

Sesi Daftar PJJ

Sebenarnya kita diberi banyak ruang untuk tamatkan pengajian mengikut kemampuan diri. Misalnya dibolehkan menggugurkan subjek, boleh cuti satu sidang akademik, boleh bayar yuran tak ikut jadual, boleh belajar sehingga 10 tahun untuk bergraduasi. Ini semua dibenarkan. Ada yang habiskan ‘on time’, ada yang 8 tahun lamanya menyelesaikan semua subjek. Ia memang menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi.

Setiap hujung sidang akademik, biasanya dalam bulan Januari, kami perlu hadir kursus intensif di USM Pulau Pinang. Tempohnya kira-kira 3 minggu. Ketika ini, ada rakan wanita yang menyewa rumah dan bawa anak kecil kerana masih menyusu. Ada yang tiba-tiba kena balik rumah kerana anak isteri sakit, dan sebagainya. Ada yang tiba-tiba kembali ke pejabat kerana urusan kerja yang tidak dapat dielakkan walaupun dalam cuti tanpa rekod.

Akhirnya pada tahun 2015 saya menamatkan pengajian walaupun tidak dapat anugerah dekan, hihi. Untuk makluman, setiap semester tidak kurang 50 orang pelajar PJJ ini yang tersenarai menerima anugerah dekan.

Bukan senang tau belajar sambil bekerja ni. Jadi, kepada pelajar sepenuh masa, gunakanlah peluang yang Allah beri itu sebaik-baiknya. Anda punya tumpuan yang optimum terhadap pengajian.

Sekian catatan saya. Semoga bermanfaat,