One pot meal atau hidangan satu periuk sesuai untuk anda yang sibuk tetapi tetap mahu memasak sendiri di rumah. Ia merupakan makanan yang mengandungi pelbagai bahan dan nutrien di dalam satu periuk atau kuali sahaja.

Pendek kata, ia juga memenuhi konten piramid makanan dalam satu hidangan. Maka, memasak dengan cara ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa memasak dan mengemas dapur, tetapi memenuhi keperluan kesihatan. Justeru itu, ia praktikal diamalkan oleh anda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikut 10 contoh one pot meals yang ringkas dan mudah disediakan.

1. Tom Yam

Gambar: Tomyam UK

Tom Yam, hidangan yang berasal dari Thailand ini, ringkas dan senang disediakan. Rasa masam dan pedas yang ada pada tomyam boleh bangkitkan selera bila dimakan panas-panas.

Hanya rebus air bersama lengkuas, bawang besar Holland, buah tomato, daun limau purut, cili padi, jus limau nipis dan serai, dan kemudian ditambah protein kesukaan seperti ayam, daging atau sebarang makanan laut, dalam 20 minit sudah siap.

Tambahkan juga sayuran seperti lobak merah, kobis bunga, putik jagung, batang saderi untuk lebih aroma dan berkhasiat.

2. Sup

Gambar: YouTube

Berkonsep hampir sama seperti tomyam, menu sup juga mudah disediakan. Tumiskan bawang putih dan halia racik, masukkan air kemudian bahan protein dan sayur. Jangan lupa bunjut sup atau rempah sup untuk rasa dan aroma yang lebih enak.

Menu sup bersifat lebih universal dengan pelbagai bahan boleh dimasukkan. Ayam, daging, ikan, telur, kentang, lobak antara bahan yang sering digunakan.

3. Bubur Nasi

Gambar: Jesse Lane Wellness

Mudahnya masak bubur, basuh beras dan tanak di atas api kecil. Masukkan sumber protein yang dicincang (ayam/daging/udang) serta sayur campur beku ke dalam bubur.

Boleh juga ditabur ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, bawang goreng dan daun bawang sebagai hiasan dan pelengkap hidangan.

4. Paprik

Gambar: Ang Sarap

Merupakan menu yang lazat dan boleh divariasikan dengan pelbagai bahan. Menu paprik boleh menggunakan ayam, daging atau makanan laut dengan tambahan sayur seperti kacang panjang, kobis bunga dan lobak merah.

Ditumis dengan bawang putih dan cili kisar, masukkan bahan protein dan sedikit air serta sos tiram/sos ikan, lalu ditambah daun limau purut. Siap!

5. Dalca Daging

Gambar: Juicy Cafe

Kuah dalca dimasak menggunakan rempah kari dan kacang dhal. Pelbagai sayur dimasukkan seperti kentang atau keledek, lobak merah atau lobak putih, terung, kacang panjang serta daging. Enak dimakan begitu sahaja atau dinikmati bersama nasi atau roti.

6. Pilaf

Gambar: Sobeys

Merupakan hidangan nasi yang dimasak dengan air rebusan bersama protein seperti ayam, daging lembu atau kambing. Boleh tambahkan sayur campur beku atau lobak merah untuk lebih khasiat dan variasi.

Satu contoh pilaf adalah nasi arab maqlubah, yang mana nasinya dimasak bersama terung dan kobis bunga dan dimakan bersama ayam berempah maqlubah.

7. Stew

Gambar: Get It Ballito Umhlanga

Adalah menu yang mana sumber protein (ayam, daging lembu, kambing atau makanan laut) direneh bersama sayur di dalam periuk bertutup. Jika menggunakan slow cooker atau periuk tekanan, lebih mudah. Stew boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama roti.

8. Nasi Goreng

Gambar: Nasi Goreng Mafia

Tambahkan khasiat ke dalam nasi goreng dengan memasukkan lebih sayur seperti sawi, kailan atau kangkung, jagung, brokoli atau kobis bunga. Pasti enak dimakan bersama ayam, daging atau makanan laut yang dicincang serta telur.

9. Kuah Lodeh

Gambar: Resep Masakan dan Kue

Menu berasaskan santan yang dimasukkan tempe, kacang buncis, tauhu, kepingan fucuk, suhun ini lazimnya dimakan bersama nasi impit. Tambahkan udang untuk rasa yang lebih manis dan sumber protein. Boleh dihidangkan bersama telur rebus juga.

10. Pasta kuah tomato

Gambar: Jilly…Inspired

Menu pasta memang ringkas namun masih kaya nutrisi. Kuah tomato yang dimasak bersama ayam atau daging cincang, lobak merah dan batang saderi amat lazat dihidang dengan spagheti atau sebarang pasta pilihan anda.

Mudah, kan? Selamat memasak!