Nak lakukan kebaikan ini sebenarnya tak susah pun dan ada banyak cara lakukan kebaikan tanpa guna wang ringgit. Sempena dengan Hari Kebaikan Sedunia (World Kindness Day) hari ini, saya kongsikan 10 cara baik punya buat kebaikan.

Gambar: Royalty-Free/Corbis
Gambar: Royalty-Free/Corbis

1. Beri Laluan Semasa Memandu

Kita semua tahu di Malaysia kebanyakan pemandu suka memandu seperti pemandu F1. Kali ini kita cuba pula beri laluan kepada pemandu lain yang ingin memotong dan orang melintas jalan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bila kita tidak bersaing untuk beri laluan, sebenarnya kita dah kurangkan stress semasa memandu. Nyalakan lampu isyarat bila mahu ubah haluan juga.

2. Like dan Komen di Media Sosial

Kita ada ramai kawan dalam media sosial terutama sekali Facebook. Apa kata setiap kali kita ternampak satu posting yang berunsur positif, kita like. Satu sumbangan like ini akan membuatkan kawan kita gembira secara tidak sedar.

Jika lebih rajin, boleh komen tanda sokongan. Bila sokongan seperti ini berterusan, barulah lebih ramai kawan-kawan kita post sesuatu yang positif. Dan jika posting itu memberi inspirasi, kita share sekali di wall kita supaya lebih ramai dapat inspirasi tersebut.

3. Latih Diri Berterima Kasih

Nampak mudah, tapi tidak semudah itu bagi sesetengah orang. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling, kita ucapkan terima kasih.

Bila kita beli sesuatu di gerai, kita ucap terima kasih kepada makcik yang berniaga. Bila orang tahankan lift untuk kita, kita ucapkan terima kasih.

Ucapan terima kasih ini mampu membuatkan orang tersenyum. Oh ya! Senyumlah dengan waiter, nanti dia akan sediakan makanan yang terbaik untuk kita.

4. Layan Waiter Dengan Baik

Selalunya bila kita berada di restoran, waiter atau waitress akan datang untuk ambil tempahan makanan. Saya teringat kata-kata rakan saya, jika kita kurang adab dengan waiter, maknanya kita bukanlah seorang yang baik.

Cakap elok-elok, senyum dan layannya seperti mana kita mahu dilayan. Tak kiralah waiter itu orang tempatan atau orang asing. Lagi-lagi apabila di kedai mamak.

5. Mata Bertentang Mata

Ini dilakukan apabila kita dengan anak-anak kecil. Bila kita bercakap dengannya, kita boleh rendahkan badan kita dengan bercangkung dan bercakap dengannya supaya mendapat same level eye contact.

Perbuatan ini akan buatkan kita lebih mesra dengan mereka, lagi-lagi jika bercakap dengan anak sendiri.

6. Tanda Gerai Kegemaran Dalam Peta Waze atau Google Map

Ini antara kegemaran saya apabila tahu lokasi gerai roti canai paling sedap di sekitar rumah atau tahu makcik yang jual nasi lemak seringgit yang sedap.

Dengan cara ini kita boleh bantu perniagaan mereka dengan menanda perniagaan mereka dalam Waze atau Google Map. Lagi bagus jika kita letak sekali waktu operasi dan gambarnya. Moga perniagaan mereka juga boleh berkembang.

7. Kejutan Untuk Pasangan

Lakukan kejutan untuk pasangan anda. Sekali sekala lakukanlah kejutan dengan mereka. Masak untuk isteri, buat home made card dengan ayat-ayat manis. Melakukan sesuatu di luar rutin ini akan buatkan kasih sayang itu bertambah erat.

8. Pujian Dari Seorang Bos

Jika anda merupakan seorang bos dalam syarikat, ambil masa untuk hantar mesej memuji kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja anda. Ini cuma perlu kurang dari 5 minit.

Guna aplikasi Whatsapp atau messenger yang lain. Berikan pujian yang mudah seperti ” Saya suka cara awak uruskan projek semalam”, atau “Terima kasih kerana bantu saya minggu lepas”.

Memang nampak macam kena turunkan ego, tapi ini akan buatkan pekerja kita lebih bersemangat untuk bekerja.

9. Bertegur Sapa

Sudah pasti kita pernah berada dalam situasi dalam lift, tiba-tiba semua orang senyap. Seolah-olah semua ada kerja sendiri. Ini selalu berlaku dalam lift di kawasan perumahan.

Ambil peluang untuk bertegur sapa, terutama yang telah lama menjadi jiran kita. “Cuti ke hari ini?”, contoh ayat yang boleh digunakan di hujung minggu. Atau boleh guna ayat-ayat ice breaking yang lain yang boleh memulakan perbualan.

10. Hubungi Ibu Bapa

Tip terakhir sekali ialah hubungi ibu bapa anda melalui telefon untuk tanya khabar, bersembang dan boleh imbas kisah-kisah dahulu yang mencuit hati.

Tak semua ibu bapa yang tahu guna aplikasi messenger. Oleh itu hubungi mereka dan dengar suara itu adakala beri impak yang lebih besar buat mereka.

Mudahkan untuk lakukan kebaikan. Tidak perlukan duit, cuma perlu dilakukan sahaja. Saya tahu ada banyak lagi kebaikan yang boleh dilakukan tanpa menggunakan duit. Kongsikan idea anda di sini.