Gelombang hallyu bermula sejak dari akhir tahun 1990 lagi. Istilah tersebut merangkumi kesemua aspek industri hiburan Korea seperti nyanyian, lakonan dan juga pop culture negara tersebut.

Kira-kira lebih sedekad yang lalu iaitu pada tahun 2010, gelombang hallyu mula melanda seluruh dunia oleh kerana kewujudan media sosial. Bermula pada tahun itu, lagu-lagu K-pop dan juga drama Korea secara tidak langsung telah berjaya menarik peminat dari pelbagai negara menjadikan ia terkenal hampir di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan yang ditulis oleh Koreaboo pada tahun lepas, Malaysia terletak di tangga ke-10 dalam senarai peminat K-pop paling ramai. Walaupun negara kita tersenarai dalam top 10, pastinya tak semua rakyat Malaysia minat akan genre ini.

Minat atau tidak, memandangkan gelombang hallyu telah melanda dunia sejak dari tahun 2010 lagi, pastinya ada banyak lagu K-Pop yang anda pernah dengari di corong-corong radio. Hari ini, kami akan kongsikan 10 lagu ikonik K-Pop yang anda pasti pernah dengar dan tahu meskipun anda bukanlah peminat K-pop tegar.

1. PSY – Oppa Gangnam Style

Tipulah kalau anda kata anda tidak pernah dengar lagu yang pernah tular dan menjadi sensasi di seluruh dunia ini. Sebut sahaja tajuk lagu tersebut, sudah pasti melodinya akan kedengaran dalam kepala. Sejak dari muzik video lagu ini dikeluarkan, ianya telah pun mencecah 3.9 bilion views.

2. 2NE1 – I am The Best

Kumpulan ini merupakan diantara legenda dalam industri hiburan Korea. Terdapat banyak lagu dari kumpulan ini yang terkenal di seluruh dunia selain dari lagu I am The Best ini contohnya seperti Lonely, dan Come Back Home. Peminat K-pop atau tidak, kami yakin anda pasti pernah dengar sekurang-kurangnya satu lagu dari mereka.

3. Bigbang – Fantastic Baby

Anda tipu kalau anda kata anda tidak kenal akan kumpulan ini. Sebelum kumpulan seperti BTS menjadi gilaan ramai, Bigbang telah mula mencuri hati peminat di seluruh dunia dengan lagu-lagu dan konsepnya yang menarik. Lagu Fantastic Baby ini adalah diantara contoh lagu mereka yang paling dikenali.

4. Super Junior – Sorry Sorry

Satu lagi legenda industri hiburan Korea. Siapa yang masih ingat koreografi ikonik lagu ini? Sama seperti Bigbang dan 2NE1, Super Junior merupakan diantara kumpulan terawal yang berjaya menarik peminat dari luar negara. Lagu Sorry-sorry ini adalah diantara lagu yang cukup dikenali di seluruh dunia.

5. Girls’ Generation (SNSD) – Gee

Cantik, tinggi lampai dan berbakat, siapa sahaja yang tidak tahu tentang kewujudan 9 gadis yang sering  menjadi gilaan para jejaka ini? Muzik video lagu ini adalah diantara klip video yang popular dan seluar jeans berwarna-warni yang dipakai mereka dalam muzik video ini juga pernah sempat menjadi ikutan pada masa itu!

6. Wonder Girls – Nobody

Kumpulan Wonder Girls boleh dikatakan kumpulan yang terawal yang pernah membuat lagu versi bahasa inggeris. Lagu Nobody versi inggeris merupakan lagu mereka yang cukup ikonik dan pernah sering dimainkan di radio pada satu ketika dahulu.

7. Taeyang – Eyes, Nose, Lips

Kepada yang tidak tahu, Taeyang adalah ahli dari kumpulan Bigbang dan beliau juga mempunyai karier solo sebagai penyanyi di bawah naungan syarikat yang sama. Selain lagu ini, lagunya yang berjudul Wedding Dress juga merupakan lagu yang cukup terkenal. Lagu Eyes, Nose, Lips ini merupakan karyanya yang paling popular dan mempunyai pelbagai cover dari artis Korea yang lain.

8. BlackPink – How You Like That

Peminat K-pop atau tidak, anda pasti kenal dengan kumpulan ini kerana BlackPink adalah kumpulan K-pop yang sedang menaik. Lagu How You Like That merupakan lagu yang dikeluarkan pada tahun ini dan merupakan lagu mereka yang paling popular dan sering dimainkan di radio sampai boleh penat mendengarnya!

9. BEAST – Fiction

Walaupun kumpulan ini sudah tidak terkenal seperti dahulu selepas mereka keluar dari agensi dan menukar nama kumpulan menjadi Highlight, tidak dinafikan lagu ini pernah sempat menjadi sensasi. Siapa sahaja yang tidak ingat dengan foot work ikonik lagu ini? Koreografi lagu ini merupakan diantara yang paling popular sehinggakan agensinya pernah memuat naik tutorial untuk bahagian korus.

10. BTS – DNA

Tak akan lengkaplah senarai ini kalau tak ada kumpulan BTS di dalamnya. Siapa sangka, kumpulan yang banyak kali hampir bubar ini kini menjadi kumpulan yang cukup terkenal bukan sahaja di Korea, malah di Amerika! Lagu DNA ini merupakan lagu dari BTS yang paling popular. Setakat artikel ini ditulis, muzik video lagu tersebut berjaya meraih 1.1 bilion views!

Kalau hendak senaraikan kesemua lagu K-Pop yang pernah popular, pastinya 10 sahaja tidak cukup. Apa kata anda kongsikan pula kepada kami lagu popular K-Pop yang anda pernah dengari?

Ingin tahu lagu apa yang telah selamatkan BTS dari bubar? Klik pada pautan di bawah!

6 Lagu K-pop Yang Menjadi ‘Talian Hayat’ Kumpulan Daripada Dibubarkan

Terkenal Dan Miliki Aura Tersendiri, Barangan ‘Dipegang’ 10 Idol K-Pop Ini Pasti Laris Terjual

Anda Mungkin Suka