Kualiti hidup sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui beberapa aspek penting seperti kemudahan kepada makanan, tempat tinggal, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pekerjaan. Malah ia juga merangkumi perkara-perkara kecil seperti keselamatan pekerjaan, kestabilan politik, kebebasan individu dan kualiti persekitaran.

Para penyelidik dalam bidang sains sosial juga bersetuju bahawa kualiti hidup seseorang bukanlah bergantung kepada kekayaan harta benda namun ia berhubung kait dengan beberapa faktor lain seperti yang disebutkan di atas.

Dipetik dari laman USNews, unit syarikat komunikasi pemasaran VMLY&R, BAV Group dan Wharton School of the University of Pennsylvania mengeluarkan senarai negara dengan kualiti hidup terbaik pada tahun 2021. Senarai tersebut dikeluarkan setelah meninjau lebih 17,000 warga global dari empat wilayah untuk menilai persepsi daripada 78 negara merentas 76 metrik berbeza.

Negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik adalah Kanada yang menduduki tempat pertama. Ini merupakan tahun keenam berturut-turut Kanada berada di tempat teratas. Ia berada di tempat pertama disebabkan pasaran kerja yang baik, politik yang stabil dan kemajuan dalam akses sistem pendidikan awam.

Di tempat kedua pula adalah Denmark, diikuti dengan Sweden, Norway dan Switzerland bagi melengkap lima negara dengan kualiti hidup terbaik. Manakala Australia, Belanda, Finland, Jerman dan New Zealand pula melengkapkan senarai negara dengan 10 kualiti hidup terbaik.

Bagi negara Asia Tenggara pula, Singapura berada di tangga ke-16 dengan mengambil kira keluaran dalam negara kasar per kapita antara yang tertinggi dan kadar pengangguran yang rendah. Manakala Malaysia berada di belakang Singapura di tempat ke-28. Bagi Thailand pula, ia berada di belakang Malaysia pada kedudukan ke-29.

Senarai itu juga menyebut antara negara-negara yang dianggap menyediakan kualiti hidup yang buruk dalam bidang yang berkaitan dengan keselamatan diri dan peluang ekonomi adalah Iraq, Lubnan dan Uzbekistan. Diiikuti oleh El Salvador, Serbia dan Azerbaijan.

Penilaian ini dibuat berdasarkan sembilan kategori yang menyumbang kepada kualiti hidup sesebuah negara iaitu; mampu milik, pasaran pekerjaan yang baik, ekonomi yang stabil, mesra keluarga, kesaksamaan pendapatan, politik yang stabil, selamat, sistem pendidikan awam yang maju dan sistem kesihatan awam yang maju.

Malaysia tersenarai negara kelima paling selamat untuk keselamatan wanita. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Malaysia Tersenarai Negara Kelima Paling Selamat Untuk Keselamatan Wanita

‘Lonely Planet’ Senaraikan Perak, Malaysia Di Antara 10 Destinasi Popular 2017

Nasi Lemak Tersenarai Sebagai Makanan Yang Sihat