“Nak bagi tip ke tak eh?”

Bila travel ke negara asing, kadang kita keliru dengan budaya setempat di negara tersebut. Lagi parah bila kita rasa serba salah, tak tahu sama ada apa yang kita buat itu betul atau bertentangan dengan norma dan budaya penduduk tempatan. Antaranya adalah memberi ‘tipping’ atau duit upah kepada pelayan restoran.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jika beri tips, adakah ia betul? Atau bakal dipandang serong dan menyinggung perasaan? Berikut kami bawakan perkongsian bersama oleh Hannah on Earth yang menetap di USA dan Khairul Aiman Hamdan yang kini tinggal di Eropah berkenaan isu tipping. Semoga ia dapat dijadikan rujukan buat anda yang akan melancong ke dua tempat ini.

tipping-di-usa-vs-eropah-1

Isu beri tip ini boleh mengelirukan ramai pengembara dan pelancong Malaysia ke luar negara. Di Malaysia, tipping bukan amalan dan budaya. Berbeza dengan negara luar seperti AS dan beberapa negara di Eropah di mana tipping ialah wajib dan digalakkan. Untuk pemahaman, sila baca artikel yang kami tulis ini.

Amerika Syarikat

1. Restoran, bar, kafe: Tipping ialah WAJIB. Ia TAK SAMA DAN TAK TERMASUK dengan atau dalam CAS SERVIS.

Pekerja dan pelayan restoran banyak bergantung pada tip. Biasanya tip ialah 15-25% ke atas daripada harga adalah norma,l bergantung pada kualiti servis dan juga jumlah orang yang datang dengan kamu. Kalau lebih dari 4 orang digalakkan bagi ekstra pada pelayan.

Kalau servis biasa-biasa, minimum ialah 15%. Kalau baik dan terbaik bagilah 20% ke atas. Kalau teruk, tak perlu bagi atau bagi $1 saja dan boleh tulis atas kertas “the service was bad.”. Biasanya servis di restoran USA baik-baik belaka.

Cara kira tip dalam kepala atau atas kertas, samada guna bayaran tunai atau kad debit / kredit:

Katakanlah jumlah bil $25, untuk tips 15%, mula-mula ambil 10% dari $25 = $2.50. Kemudian untuk baki 5% pula (5% sama dengan separuh dari $2.50), tambah nilai separuh dari $2.50=$1.25.

Jadi total tips ialah 10%($2.50)+5%($1.25)=$3.75. Total tip ini boleh saja digenapkan ke $4.00. Untuk tips 20% dari $25 ini senang saja, gandakan 10% dari $25 iaitu $2.50×2=$5.00.

Bila bayar bil tunai pula, bila tak ada duit tepat, dan bila pelayan tanya “do you need a change (awak nak baki tak)”, cakap ya. Dengan baki tadi, tinggalkan tip 15-25% atas meja.

Sama juga dengan beli makanan di restoran untuk “to go / take away”, tip ialah 15-25%. Kiraan dalam kepala ini bagus untuk kecerdasan minda maka pilihlah untuk cerdaskan minda.

Kalau memang tak tahu juga atau malas mengira, boleh guna ‘tip calculator’ app. Ada juga restoran yang sediakan cadangan tip dan ia tertulis dalam bil. Tinggal pilih saja. Tapi tak salah mahirkan diri mengira sendiri tip. It’s fun!

2. Untuk servis ‘food delivery’, pemandu teksi, kedai gunting rambut/salon, tukang urut, tip ialah sama dengan restoran iaitu 15-20% dari bil. Di kedai kopi seperti Starbucks, saya akan bagi juga.

3. Untuk pemandu pelancong, pemandu ‘shuttle bus, mekanik, ‘housekeeping’ (ya di hotel pun perlu tip!), tip kepada mereka dinamakan GRATUITI. Ini pun TAK SAMA DENGAN CAS SERVIS.

Gratuiti diberi mengikut tempoh atau kesukaran kerja. Biasanya saya akan bagi $3 ke atas. Untuk ‘housekeepers’, letak saja duit atas meja. Biasa saya akan beri $2 hingga $5 untuk housekeepers.

Untuk ‘hotel room service’ termasuk pengangkat beg pula(beza dari housekeeping), biasanya sudah termasuk dalam bil. Kalau tak ada, bagilah $3 hingga $5 mengikut jumlah beg. Tak salah bagi lebih tapi kalau boleh bagilah walau sedikit. Tak bagi langsung itu bagi saya namanya tak berbudi.

4. Yang tak ada tip ialah di stesen minyak kerana hampir semua layan diri KECUALI di negeri Oregon, negeri New Jersey, dan bandar Huntington di negeri New York. Jadi bila kamu tuang minyak di negeri-negeri ini, bagilah gratuiti pada ‘pump attendant’.

tipping-di-usa-vs-eropah-3

Eropah

5. Kalau terbang ke Eropah, biasanya di negara Kesatuan Eropah (EU), memberi tips (tipping) ini bukan satu amalan wajib TETAPI DISARAN. Ia merupakan salah satu cara untuk mengucapkan terima kasih dan tanda memahami juga menghormati budaya setempat.

Berbeza di Amerika Syarikat (AS), pelayan bergantung kepada tipping, di Eropah ia merupakan satu tambahan. Kebanyakan tempat terutama restoran di Eropah mengamalkan sistem tipping pukal, di mana kesemua tip dikumpul dan diagihkan samarata kepada semua pelayan, dan sesetengahnya diagih bersama kru dapur.

6. Kenapa ada beza di Amerika dan Eropah? Lain tempat, lain budaya. Pelayan di Eropah diberi bayaran yang baik dan mampu menampung hidup mereka. Jadi kenapa disaran? Seperti saya tulis sebelum ini, ia umpama ucapan TERIMA KASIH, tidak wajib disebut oleh sesiapa akan tetapi salah satu cara menghargai dan menghormati.

7. Kalau nak beri juga? Hampir sama di Amerika, tipping diberi pada hampir semua restoran yang mempunyai pelayan. Kebanyakan restoran yang sudah mempunyai cas servis akan ditulis pada menu juga harga, malah di restoran seperti ini, tipping merupakan perkara ‘sunat’.

Bagi restoran yang mengalukan tips, mereka akan tulis pada resit bayaran, mahupun kotak tipping di kaunter bayaran. Bayaran pula bergantung dari 5% hingga ke 20%.

8. Bagi pembayaran tanpa tunai (cashless), kebanyakan sistem mesin ini akan meletakkan harga asal, kemudiannya harga tipping tambahan untuk dibayar. Setelah kita persetujui berapa, kita sendiri akan tekan pada mesin kad terbabit untuk jumlah akhir bayaran.

9. Bagaimana dengan bukan restoran? Ia sama seperti gratuiti. Tidak wajib, tetapi budaya di hotel, kebanyakan pelanggan akan tinggalkan syiling 1 hingga 5 Euro sebagai ucapan terima kasih kepada tukang cuci yang ada.

Harga, saya rasa bergantung kepada kebersihan bilik hotel anda dan kebersihan anda, anda fikirkan. Cuma, kalau tinggalkan bilik dengan bau sambal belacan, lantai basah dan sampah bersepah, anda rasa kalau anda tukang cuci; anda akan membebel balik atau tidak?

Tak apa, nanti kiita sentuh bab kebersihan, terutamanya tandas. Kalau di AirBnB, tidak wajib juga, tapi rumah wajib kemas. Nanti, nanti kami tulis lagi pasal kebersihan ya.

10. Berbeza dengan Asia, kitalah yang selalu menerima diskaun malah ‘free gift’ daripada kedai. Saya sarankan, kita belajar dan fahami budaya di luar. Apa yang kita biasa mungkin ganjil bagi orang luar, dan apa yang mereka biasa mungkin ganjil bagi kita.

Cuma ingat, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Hormat adat dan etika tempat orang, sebagaimana kita mahu orang hormati kita. Saya juga dulu, tak lari dari buat silap, dan kita sama sama belajar.

Baca lagi: 10 Adab Yang Wajar Kita Ambil Tahu Ketika Melancong Di Luar Negara