Di dalam resume, kita tulis segala maklumat sehingga orang yang membacanya rasa kita adalah calon yang boleh buat kerja. Apabila dapat peluang temuduga, itu tandanya kita layak untuk posisi yang ditawarkan. Disenaraipendek sebagai antara calon terbaik.

Sesi temuduga adalah medan sebenar untuk menunjukkan resume, kelayakan dan diri kita adalah orang yang sepatutnya mengisi kekosongan jawatan tersebut. Itu bermakna, kita perlu bersiap sedia menghadapi sesi ini agar jadi the best actor. Eh! Maksud saya the best candidate berbanding calon temuduga lain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Antaranya ialah mempersiapkan diri dengan apa yang kita patut tahu dan bawa ke sesi tersebut. Di sini saya mahu kongsikan 10 perkara dan benda yang patut disediakan untuk sesi temuduga. Ini penting agar kita tidak kelam-kabut di depan panel temuduga.

1. Ambil Tahu

Kita perlu tahu apakah jawatan yang ditawarkan, apakah latar belakang syarikat tersebut, siapakah yang bakal jadi panel temuduga, dan lain-lain lagi. Sikap ambil tahu ini penting kerana ia menunjukkan kita benar-benar minat dengan peluang pekerjaan ini.

Sebaik-baiknya tahu deskripsi dan tanggunjawab kerjaya yang dipohon dan tahu di manakah sesi temuduga dijalankan. Jika kita meninjau dulu tempat tersebut lebih baik agar kita tahu ke mana mahu dituju pada hari kejadian.

2. Resume

Sediakan salinan resume walaupun sebelum ini telah menghantar resume kepada bakal majikan. Sebaik-baiknya siapkan resume yang khas untuk jawatan dan syarikat tersebut. Ianya bersifat personalized resume, lebih fokus dan jitu.

Berapa banyak salinan resume yang perlu dibawa? Sediakan sekurang-kurangnya 2 salinan sebab kebiasaannya panel penemuduga terdiri dari dua orang. Berikan resume tersebut kepada panel.

Baca: 22 Tip Menulis Dan Menghantar Resume Melalui Email Serta Sewaktu Hadir Temuduga

3. Sijil

Bawa sijil-sijil asal berserta salinan sijil. Sebaik-baiknya susun dengan teratur sijil mengikut keutamaan dan kemudian disusuli dengan sijil-sijil pencapaian.

Contoh, susun ikut turutan: sijil ijazah sarjana muda, sijil transkripsi peperiksaan, sijil anugerah dekan, Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), dan lain-lain.

4. Susun atur

Cara kita mempersembahkan resume dan sijil juga mencerminkan siapa diri kita di mata panel. Jadi, kita perlu tahu memikat mereka melalui susun atur ini. Ia adalah satu cheet sheet yang patut kita buat. Ingat kata kunci ini: organize.

5. Fail/Beg

Bagi nampak penampilan yang lebih kemas, beg plastik atau beg kertas bukanlah satu pilihan yang baik untuk dibimbit bersama ke bilik temuduga. Pilih beg yang sesuai dengan jawatan yang dipohon dan tidak rumit untuk keluarkan resume dan sijil daripada beg tersebut tanpa sebarang masalah.

Baca: Lelaki Ini Pernah Gagal Temuduga Kerja Dengan KFC. Kini Beliau Adalah Jutawan Terkaya Di Negaranya

6. Pen Dan Buku Nota

Pen dan buku nota? Ya, kita perlu ada sekurang-kurangnya satu batang pen warna hitam dan satu buku nota kecil. Kadang-kala ada masa kita dikehendaki menulis di depan panel sama ada untuk mengisi borang atau ada tugasan yang diberikan secara spontan.

Bayangkan kita tiada sebatang pen pun waktu itu. Pasti apa yang kita persiapkan sebelum ini menjadi huru-hara dan serba tak kena. Lagipun, orang yang selalu ada pen dan buku nota kecil dikaitkan dengan orang yang bersiap sedia dan sering berfikir. Apabila ada idea, catat. Haa gitu!

7. Rujukan

Ini bukan sekadar menyenaraikan maklumat rujukan di dalam resume, tapi kita perlu pastikan orang-orang yang disenaraikan itu boleh membantu meyakinkan bakal majikan tentang kita.

Sebab itu untuk dapat pekerjaan yang baik, usaha kita bukan bermula selepas tamat peperiksaan akhir atau majlis konvokesyen. Ia bermula saat kita belajar di universiti. Jaga diri, jaga networking. Tak rugi jadi orang baik dan berbuat baik.

8. Praktis

Kita perlu tahu soalan killer dan popular temuduga supaya tiada detik “errrr…” atau ‘krik krik moments’ di depan panel temuduga kelak.

Senaraikan soalan-soalan tersebut dan jawab secara spontan. Jika tidak boleh jawab spontan, itu bermakna kita perlu tulis satu skrip jawapan untuk soalan tersebut. Kemudian, praktis berulang kali di depan cermin untuk lihat dan kawal riak muka kita ketika menjawabnya.

9. Soalan

Kebiasaannya di akhir sesi temuduga, panel akan tanya kepada kita sama ada soalan atau tidak untuk kita tanya kepada mereka. Soalan berkaitan gaji dan kemudahan syarikat tidak perlu ditanya, melainkan panel menyebut tentang itu.

Soalan yang kita ajukan kepada panel juga memberi gambaran kepada panel tentang siapa kita. Ia bagaikan satu makan malam di sebuah restoran yang diakhiri dengan satu dessert yang sedap dan kita akan ingat sampai ke rumah. Jadi, kita perlu ambil peluang ini.

Mula dengan baik dan tamatkan ia dengan baik, itu maksud saya. Untuk buat dengan baik, kita perlu menyediakan soalan-soalan yang relevan bagi menggambarkan minat dan kefahaman kita tentang jawatan dan syarikat.

Baca: Solusi Masalah Temuduga Kerja Yang Memerlukan Pengalaman Buat Graduan Baru

10. Bau

Selain penampilan kemas dengan pakaian bergosok rapi, rambut sikat tepi, dan beg dibimbit penuh classy, kita perlu ingat bahawa sewaktu melangkah masuk ke bilik panel temuduga itu, kita turut membawa bau.

Ya, bau! Terutama bau badan dan bau mulut. Jadi, pastikan kita persiapkan apa yang patut untuk membawa bau yang wangi-wangi sahaja. Dan bau wangi itu pula tidaklah sampai memeritkan hidung panel temuduga.

Sebelum kita melangkah keluar, nyatakan lagi sekali harapan kita dan kaitkan dengan kejayaan lampau kita dalam usaha untuk bekerjasama memajukan syarikat bakal majikan kita ini.

Tonton: Perkara Yang Tak Perlu Dibuat Semasa Temuduga

Oh ya! Senyum sokmo deh!

Saya harap panduan berdasarkan pengalaman saya ini dapat membantu pembaca dan penyokong The Vocket lulus temuduga. Insha Allah dengan melakukan persiapan rapi sebelum masuk ke medan ‘perang’, peluang lulus temuduga itu lebih tinggi.

Buat pengetahuan anda, panduan ini tidak semestinya betul semua. Ia sesuai untuk saya, tapi belum tentu untuk anda. Apa yang penting cuba dulu, baru tahu.

Tonton: Lelaki Ini Berikan Tips Untuk Hadiri Temuduga. Serius Comel Dan Kelakar!

Selamat berjaya. Berusaha sehabis terbaik!