Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Dulu saya tinggal di Jerman hampir 4 tahun. Adalah sedikit sebanyak pengalaman. Jom saya ceritakan mengapa orang yang tinggal di Malaysia lebih untung dari orang di Jerman. Saya akan senaraikan 10 perkara penting yang dinikmati oleh rakyat Malaysia dan memang orang Jerman tidak boleh lawan.

1. Membeli Belah

Orang di Jerman boleh membeli belah hanya enam hari seminggu dan cuma setakat jam 8 malam sahaja. Lepas 8 malam kedai dan shopping complex semua sudah tutup. Malah, 7-Eleven pun tidak ada di tempat saya, jadi kalau emergency mahu beli apa-apa pada waktu tengah malam, simpan sahajalah niat itu.

Tunggulah kedai buka esok pagi. Itu pun kalau pagi esoknya hari Sabtu, kalau hari Ahad maka kena redhalah dan tunggu hari Isnin sebab hari Ahad semua kedai dan shopping complex tutup. Jadi terpaksalah orang Jerman menghabiskan cuti hari Ahad bersama keluarga dan anak-anak dengan pergi berkelah atau bermain di taman. Kesiankan mereka tidak boleh pergi shopping.

2

Kalau di Malaysia, boleh shopping 7 hari seminggu sampai jam 10 malam, kadang-kadang ada shopping complex atau supermarket buka sampai jam 11 malam. Kalau tidak mahu membeli-belah pun boleh habiskan masa yang banyak itu dengan berjalan-jalan atau lepak layan Facebook guna wifi percuma.

Kalau mahu beli barang jam 2 pagi pun boleh pergi 7-eleven atau banyak lagi kedai yang buka 24jam atau pergi uptown kalau teringat nak beli kasut jam 3 pagi. Jadi dengan membeli belah 7 hari seminggu maka kita rakyat Malaysia merancakkan ekonomi negara.

Jadi, untunglah orang Malaysia boleh shopping 24 jam dan negara bertambah maju. Orang Jerman pula peluk anak dan bini dan tidur memendam rasalah jawabnya. Malaysia skor 1-0 kat sini.

2. Makan Minum

download

Sumber: No Destinations

Di Malaysia nak makan apa semua ada. Restoran buka 24 jam, kalau lapar jam 3.48 pagi pun boleh start kereta atau motor dan menderum ke mamak. Kalau malas mahu keluar boleh telefon dan order sahaja. Boleh makan 5-7 kali sehari bermula selepas subuh sehinggalah ke subuh keesokan harinya.

Kalau tidak mahu masak di rumah pun tidak apa sebab 365 hari setahun 24 jam sehari kita boleh dapat makan di mana-mana sahaja. Restoran makanan segera pun banyak, boleh beli fries dan coke kemudian duduk 6 jam sambil guna wifi percuma. Lepas sudah habis boleh terus pergi sahaja. Balik rumah terus boleh tidur sebab perut sudah kenyang. Alhamdulillah, kita semua sihat dan cukup makan.

Di Jerman pula, kalau sudah makan fries itu sudah habis kena lap meja sendiri, kena susun kerusi sendiri dan kena buang sampah dan tray ke tempat yang disediakan. Sudahlah bayar duit, kena kemas sendiri pula. Restoran pula biasanya tutup pukul 10 malam. Kafe dan bar tutup sekitar 12 malam dan kalau malam minggu mereka lajak sampai pukul 1 atau 2 pagi. Itu pun tiada makanan dah, setakat nak minum kopi bolehlah.

Hari Ahad semua shopping complex tutup, restoran dan kafe pun separuh sahaja yang buka, kadang-kadang sudah muak makan di tempat yang sama, akhirnya balik rumah makan salad dan roti sahaja. Nak tidur pun awal lagi maka masing-masing pergi ke gym ataupun berjogging sekitar taman. Itu sebab lah orang Jerman kurus-kurus gamaknya. Tidak berapa cukup makan. Untunglah orang Malaysia, makan mewah. Malaysia mendahului dengan 2-0.

3. Anak-anak

1

Kanak-kanak di Malaysia sangat beruntung sebab boleh tidur lambat. Pukul 9-10 malam boleh ikut mak bapak pergi shopping lagi. Boleh lepak-lepak kedai mamak atau pergi tengok midnight filem Transformers. Balik rumah jam 12 malam atau 1 pagi dan tidur kemudian esok bangun lambat tiada masalah. Setiap anak-anak sekarang ada gajet masing-masing. Semua pakat ada smartphone,iPad atau apa sahaja yang canggih.

Maka anak-anak boleh main iPad sambil breakfast di kedai mamak dan ibu bapa boleh layan Facebook tanpa gangguan. Kalau ada orang nak salam, anak tadi ada skill hulur tangan sebelah saja sambil mata dan tangan sebelah lagi main ipad itu. Itu merupakan skill koordinasi yang bagus.

Kanak-kanak di Jerman pula malang sekali. Jam 8-9 malam semua sudah kena tidur. Tidak ada peluang nak tengok midnight filem Transformers. Kalau nak juga, maka kena tunggu pagi Sabtu maka barulah mak bapa bawa pergi tengok. Itu pun kalau cerita itu di label 12PG. Kalau tidak memang melepaslah.

Kalau bawa anak-anak pergi makan atau minum di restoran jam 9 malam memang kena jelinglah sebab memang tiada budak-budak lain dalam itu, awak seorang sahaja. Silap-silap mahu kena tegur dengan makcik-makcik yang bermulut becok marahkan anda sebab bawa budak jalan malam-malam.

Lepas itu jangan haraplah nak berkepit dengan iPad atau smartphone sambil lepak di kafe atau restoran atau di mana-mana kawasan awam terutama ketika di meja makan. Biadap katanya kalau main benda alah tu kat meja makan, kena bersembang atau kena jawab soalan pasal sekolah dan sebagainya. Memang tiada peluang nak main iPad bagai. Ada sesetengah itu umur sudah 6-7 tahun, iPad pun tidak pernah pegang. Kesian. Untunglah kanak-kanak di Malaysia. Malaysia terus mendahului dengan 3-0.

4. Pra-Persekolahan

Setiap-Anak-di-Jerman

Kanak-kanak di Malaysia sudah bijak pandai sekitar usia 4-6 tahun sebelum masuk sekolah lagi. Semua sudah pandai membaca, mengira, menyelesaikan permasalahan matematik, menjawab pelbagai persoalan sains dan macam-macam lagi. Bila masuk darjah satu semua sudah pandai. Ibu bapa di rumah sudah kurang beban mengajar sebab kat tadika semuanya sudah diajar. Untunglah mak bapa semua sebab anak sudah pandai, dan ada yang boleh speaking dah.

Di Jerman jangan kata speaking, dengar perkataan English pun belum tentu. Sudahlah rancangan tv semua dalam bahasa Jerman, kartun Spongebob pun dalam bahasa Jerman, macammana nak dengar perkataan English nyer kan? Mak bapak sudah sah-sah berbahasa Jerman walaupun diorang tahu bahasa Inggeris.

Lepas itu di tadika belajar mengenal huruf, membaca dan mengira itu pun sikit-sikit sahaja. Kalau yang boleh membaca dan mengira itu memang kira pandailah. Pergi tadika hari-hari main sahaja.

Dah penat main, belajar hormat orang, belajar mendengar, belajar bercakap, belajar berdiam bila orang bercakap, belajar hormat orang yang lebih tua, belajar melintas jalan, belajar buang sampah, belajar kemas meja dan basuh pinggan mangkuk selepas makan dan pelbagai pelajaran sivik lain yang sungguh membosankan. Patutlah sampai sudah besar panjang tidak reti speaking English lagi. Nampak tidak? Betapa untungnya kanak-kanak di Malaysia. Kita tambah skor lagi menjadi 4-0.

5. Memandu

Sumber: Catatan Ardi

Di Malaysia, hampir semua pemandu mempunyai deria ke-6 atau 6th sense. Ini kerana pemandu tidak perlu bagi signal ketika membelok kerana kita tahu pemandu lain akan tahu atau kompom tahu yang kita akan membelok. Selain itu kalau nak cepat kita drive ikut laluan kecemasan, kalau tidak masuk situ rugilah laluan itu besar dan membazir kalau tidak digunakan.

Nak potong que pun tidak ada masalah sebab semua pemandu kita bertimbang rasa dan membenarkan kita potong que dimana kita tahu melalui deria ke-6 tadi yang pemandu lain tidak akan marah. Lepas itu lampu merah kita tidak perlu berhenti, cuma perlu tengok-tengok sahaja jikat ada kereta lain, atau dengan gunakan deria ke-6 tadi dan kita pecut sahaja.

Pasal kadar kemalangan maut itu tidak payahlah kita kira kan? Itu kan sudah takdir dan ketentuan, kalau sudah memang ajalnya mati kemalangan, kita nak buat macamana kan? Kalau kita pakai tali pinggang keledar pun tapi kalau takdir nak mati, maka mati jugak kan?

Di Jerman, jangan harap nak jalan kalau lampu merah. Kalau langgar juga maka anda kira alien lah sebab anda sorang sahaja yang buat. Lepas tu orang Jerman takde 6th sense macam orang Malaysia, maka semua orang bagi signal.

Kalau jem maka semua terkedek-kedek sahaja, nak mencilok memang mereka tidak pandai langsung sebab kat sekolah memandu tidak ajar semua itu. Kalau naik motor pun que jugak, apa ke faedahnya naik motor tapi tidak reti cilok dan que kat jem macam kereta? Bangang jugak orang Jerman ni. Diorang tidak tahu nak menggunapakai deria ke 6 tadi sebab tidak pernah berlatih menggunakannya.

Di Jerman pun ada kemalangan maut jugak, tapi tidaklah hari-hari. Jarang sangat dengar pasal mati eksiden ni. Mungkin sebab diorang tidak pandai mencilok dan tiada deria ke-6 itu gamaknya yang buat kurang eksiden. Tak thrill lah orang Jerman ini.

Nampak tidak perbezaan yang ketara tu? Kalau anda duduk di Jerman memang hilanglah segala 6th sense atau deria ke-6 anda tadi. Sungguh saya tidak tipu. Memang rugi duduk Jerman sebab sudah hilang satu deria. Oleh itu, Malaysia menang lagi 5-0

6. Remaja

kerja

Menjadi remaja di Malaysia jauh lebih seronok berbanding Jerman. Kalau tidak mahu belajar boleh berhenti sekolah dan ibu bapa boleh belikan motor sorang satu. Sudah ada motor bolehlah merempit. Merempit ni untung sebab boleh dapat teman wanita.

Malam minggu boleh ramai-ramai berkumpul di tepi highway atau dekat plaza tol Puchong itu. Disebabkan ramai maka kereta tidak berani nak langgar mereka semua. Lepas itu pakat-pakat berlumba, dapat duit, dapat gadis. Kalau yang tidak berani berlumba boleh tunjuk skill buat willy. Nanti ada gadis yang tengok dan pasti berkenan di hati dan terus boleh dapat.

Selain itu, lagi untung jadi remaja ini, kalau malas macamana pun makan tetap ada rumah tetap ada sebab ibu bapa tanggung. Lepas itu boleh pakai telefon pintar mahal-mahal. Boleh tackle gadis kalau handphone canggih lepas itu boleh wechat, tukar-tukar gambar dan pakai bahasa rahsia yang orang lain tidak faham seperti “aq xrse kt kn d2q sme stu smp tth woe x2 kke2 kaüf sjs” yang entah apa orang lain susah nak decrypt.

Remaja di Jerman ni, sejak kalah perang dunia ke-2 memang sudah tidak pakai bahasa atau tulisan rahsia yang nak kena belajar 3 tahun untuk paham. Jadi skill mereka sudah memang lemah sangat dah sejak kalah perang. Nak merempit? Jauh sekali lah. Motor honda cup pun tidak ada, apatah lagi Yamaha LC Demak.

Ibu bapa mereka pun jarang yang ada kereta, apatah lagi nak beli motor kat anak-anak, memang tidaklah. Kalau nak merempit maka kena lah belajar berlumba, jadi professional kemudian barulah boleh tackle gadis. Itu sebab orang macam Michael Schumacher, Sebastian Vettel, Nico Rosberg tu sudah tua baru ada teman wanita.

Bagi yang tak nak jadi pelumba maka kena tunggu dewasa dululah sudah ada duit baru beli motor Ducatti atau BMW itu buat merempit time musim panas. Rugi, sungguh rugi jadi remaja Jerman ni. Memang remaja Malaysia terutama mat rempit menang besar bab ni. Dah 6-0.

7. Pengurusan Sampah

TONG-SAMPAH-DI-JERMAN

Sumber: Jerman manaJerman

Ada tidak rakyat Malaysia yang asingkan 4-5 jenis sampah? Sampah bio (sisa makanan atau mudah reput) sampah plastik, botol plastik, botol kaca, kertas atau kotak dan sampah pembungkusan seperti kotak air, tin sardin dan sebagainya?

Ada? Penat dan leceh tau nak asing semua sampahi tu. Sudahlah kat dapur itu kena ada 3-4 biji tong sampah kalau nak asingkan semua. Kita sumbat jer dalam satu tong sampah besar, nanti pandai-pandai ah abang kerja kutip sampah itu asingkan kalau dia nak recycle. Kalau tidak pun nanti bila sampai pusat pelupusan, ramai orang-orang yang kerjanya cari barang kat longgokan sampah.

Sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka mencari rezeki, betul tidak? Lepas itu kadangkala kita tidak perlu tong sampah pun, sambil pandu kereta makan rambutan boleh terus baling keluar tingkap sahaja kulitnya. Kalau makan kuaci kat hospital sambil tunggu isteri bersalin pun boleh buang atas lantai, nanti ada makcik cleaner tolong sapukan.

Kalau kita tidak buat sampah, nanti ramai orang hilang kerja pulak kan? Kesian makcik cleaner tiada kerja.

Kat Jerman, semuanya nak kena asingkan. Leceh betul, kalau tidak asingkan nanti abang angkut sampah tu tengok dia tak ambil, dia buat bodoh sahaja. Jadi nak tak nak kena lah, kalau tidak busuk pula rumah nanti. Sisa makanan seperti tin sardin, kotak air semua nak kena bilas dulu kemudian baru boleh buang, botol kaca hijau lain tong, botol kaca coklat lain tong, botol kaca putih lain tong.

Naik menyampah lah. Kalau ada sampah kecil, nak buang rasa bersalah pulak sebab orang tidak buang jadi simpan lah dalam poket dan bawak balik rumah. Nampak tak betapa tersiksanya menguruskan sampah harian di Jerman? Nak tengok lipas pun tidak ada, susahlah saya nak tunjuk kat anak macamana rupa lipas yang sebenar.

Kat Malaysia juga yang best. Anak-anak dapat tengok secara live macamana rupa lipas, lalat, tikus mondok, tikus cencorot dan juga burung gagak. Kat Jerman jangan haraplah. Maka kita bagi lagi satu skor untuk Malaysia. Kini sudah 7-0. Tiada balasan nampaknya dari Jerman.

8. Waktu Bekerja

kerja22

Sumber: Shutterstock

Ini bab paling best. Orang Jerman memang tak pandai berhenti atau break time kerja ni. Bukannya tak ada langsung tapi ada lah beberapa orang officemate yang bijak, yang lain tu agak sendu sikit lah. Masuk pejabat sahaja terus kerja dan kerja. Facebook pun mereka tidak berani bukak tau.

Kalau dahaga maka minumlah kopi bekal tu, takpun kalau nasib baik ada pantry kat pejabat boleh buat air percuma. Takda lah nak break minum kopi atau ngeteh jam 10 pagi atau jam 4 petang. Waktu lunch pukul 1 semua pergi lunch dan pukul 2 semua sudah ada depan komputer masing-masing. Kalau yang kaki rokok maka berkejaran turun ke bawah hisap rokok sepantas kilat dan lari balik ke pejabat sambung kerja.

Pukul 5 semua terus balik sebab kerja dah siap, takde lah overtime dari boss. Balik rumah terus luangkan masa dengan keluarga atau pergi bersukan pula.

Kita untung lah, masuk kerja punch-in lepas tu dapat pergi breakfast dulu. Lepas tu pukul 9.30 ke 10 ke baru masuk pejabat. Duduk depan komputer buka Facebook dulu ye tak, nak update apa yang patut pastu baru mula buat kerja.

Kemudian pergi lunch pukul 1, masuk balik ikut sedaplah, pukul 2.30 masih ok lagi. Nanti pukul 3.30 ke 4.00 ke boleh pergi minum petang pula dan masuk balik sebelum pukul 5 dan duduk update Facebook dulu. Dah pukul 5 atau 5.30 boleh balik dah. Kalau yang nak overtime sebab kerja tidak siap sebab main Facebook bolehlah sambung overtime. Kalau tidak siap jugakkita buat overtime lusa pula. Untunglah hari-hari dapat buat overtime, masyuk.

Jadi, nak kerja di Jerman? Tak payahlah, tak fleksible, tiada overtime. Di Malaysia paling best. Kita skor lagi 8-0.

9. Temujanji Perkhidmatan

hospital corridor_0

Untuk mendapatkan apa jua perkhidmatan di Malaysia, kita boleh terus saja pergi ke tempat yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Nak servis kereta, maka pergilah ke bengkel-bengkel berdekatan dan tunggulah. Kalau nak best sikit nak pergi ke Pusat Servis berjenama maka kena buat temujanji.

Kat Malaysia kalau nak ke klinik maka terjah sahaja mana-mana klinik dan tunggulah. Kalau yang ada appointment kat klinik atau hospital jam 10 pagi, kita ada masa 2 jam untuk berehat sambil menunggu jam 12 tengahari sebelum nama kita dipanggil walaupun appointment jam 10 pagi. Sambil tunggu kita boleh main Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Masa 2 jam menunggu itu sangat berfaedah kan?

Kat Jerman ni merepek sungguh. Nak pergi klinik kena buat temujanji, mereka ingat sakit yang datang tu by appointment juga. Kalau appointment pukul 10.00 pagi maka sampai saja dalam 10.10 pagi terus dapat jumpa doktor, tidak sempat nak rilek-rilek atau main Facebook dulu.

Nak pergi servis kereta kat bengkel-bengkel biasa pun nak kena buat appointment, pun sama tidak sempat nak main Facebook juga. Nak tunggu orang datang pasang internet pun appointment, tapi logik lah yang ini. Yang paling tidak logik nak kena appoinment dan tunggu orang datang baca meter api dan air.

Sudahlah nak datang bagi bil, nak kena appointment juga. Best tak? Sangat tak best kan? sudahlah tidak sempat main Facebook. Jadi Malaysia skor lagi di sini. Sudah 9-0.

10. Kediaman

rumah

Sumber: KakiProperty

Nak beli rumah agak mahal sama ada di Malaysia ataupun Jerman, jadi kita cerita pasal rumah sewa lah. Kat Malaysia, nak sewa sangat mudah kan? Carilah iklan kat mana-mana, kat internet ada, kat tiang letrik ada, kat seven eleven ada. Dah jumpa, telefon tuan rumah, buat appointment pergi tengok rumah. Kalau ok bayar deposit 2+1 dan pindah masuk.

Kadang-kadang tiada perjanjian pun, main cakap mulut sahaja, kadang-kadang perjanjian satu muka surat sahaja. Kalau tidak, cari sendiri boleh suruh ejen carikan, lepas itu tidak perlu bayar ejen, sebab tuan rumah yang akan bayarkan.

Kalau nak untung sewa satu rumah, lepas itu sewakan pula bilik-bilik lain kat orang lain dan naikkan harga sikit. Sewa rumah boleh bayar dan siap dapat untung lagi. Kalau geng Bangla atau Myanmar ke bolehlah kongsi-kongsi sewa satu apartment kecil dan duduk 10 orang. Bayar sorang RM100 sahaja sebulan.

Natijahnya, anda hidup harmoni dengan pelbagai bangsa dan budaya, ada bau kari, ada bau kucing panggang. Tompokan merah hasil ludahan air sirih pinang juga dapat menghiasi dinding koridor apartment kita. Seni tu.

Kalau rasa sudah bosan atau nak pindah maka bagitahu tuan rumah dan pindahlah keluar. Tidak mahu bagitahu pun tidak apa, boleh lari sahaja keluar. Tuan rumah bukan boleh buat apa pun. Kalau sakit hati dengan tuan rumah, boleh longgokkan sahaja sampah sarap yang ada itu kat ruang tamu.

Orang Jerman ini seksa sikit lah nak sewa rumah. Ada law atau undang-undang penyewaan yang nak kena ikut. Nak jimat kena lah cari sendiri sebab kalau pakai ejen, penyewa yang nak kena bayar kat ejen. Mahal nak mampus pula itu.

Dah tu kalau berkenan kat rumah itu belum tentu boleh dapat lagi, kena ikut rules ditetapkan, kalau rumah itu ada 2 bilik dan muat untuk 3 orang sahaja maka hanya 3 orang dibenarkan duduk di dalam rumah tersebut. Kalau awak 4 orang, memang jangan haraplah.

Jerman menetapkan yang setiap orang haruslah mempuyai ruang sekitar 500 kaki persegi untuk tinggal di dalam sesebuah rumah. Kalau dalam agreement kata 2 orang saja tinggal di situ maka kena 2 orang sajalah. Kalau dalam agreement kata pukul 12 tengahari sampai 3 petang tidak boleh bising maka kena duduk diam-diam. Kalau bising jugak nanti polis ketuk pintu. Amboi polis Jerman ini tidak ada kerja lain?

Kalaulah apartment kecil 650 kaki persegi, makanya seorang sahajalah boleh duduk di situ. Nak duduk 2 orang kena cari yang sekitar 900 kaki persegi. Sesetengah apartment kena interview dulu baru boleh masuk seperti yang saya kena. Macam-macam ditanyanya dan kalau tuan rumah puas hati maka baru diberikan agreement 8-10 muka surat untuk sign.

Kalau dalam agreement kata tidak boleh ada budak, maka tidak bolehlah, kalau tidak boleh ada binatang peliharaan maka tidak bolehlah. Natijahnya, sunyi sepi dan aman damailah kediaman anda. Tiada jiran bangla atau myanmar, tiada bau kari maupun bau kucing panggang serta tompok seni hasil air ludahan sirih pinang.

Kalau nak keluar dari rumah, maka anda kena pastikan rumah tersebut kembali kepada keadaan asal pada hari pertama anda masuk. Kalau rumah itu kosong maka kena kosonglah, dia tak nak tengok ada perabot tinggal, ada lampu ada kipas dan sebagainya.

Biasanya anda kena cat balik rumah tersebut seperti yang termaktub dalam agreement. Kalau gagal maka saman, saman dan saman. Kuat betul orang Jerman ni saman orang. Susahkan? Maka kita beri mata kemenangan besar kepada Malaysia 10-0.

59211542_437317293670075_5481957658019758080_n (1)

Jadi cukuplah setakat 10 tu kan? Nanti apa pula kata orang kan, juara dunia kena belasah 10-0. Marilah kita sama-sama raikan kemenangan kita ini. Disamping itu saya juga menyeru kepada semua pembaca agar merenung juga di mana kelemahan pihak lawan kita sehingga boleh dibelasah sehingga begitu teruk sekali.

Moga kita dapat jadikan iktibar kekalahan mereka tersebut agar kita terus dapat memperkuatkan dan menambah lagi kemenangan di masa yang akan datang. Adakah anda betul-betul faham apa yang saya cuba sampaikan ini?

Artikel di atas disumbangkan oleh Khairul Abdullah. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka