Seperti mana yang diketahui, pengembara bukan pelancong. Jadi, pengembara biasanya akan membuat jalan ikhtiar hidup sendiri mencari jalan menuju ke destinasi dan membawa pulang apa saja pengalaman yang dikutip di sepanjang perjalanan.

Mengembara dan bercuti adalah dua skop yang berbeza. Mengembara ini adalah gaya hidup yang bukan untuk kebiasaan orang dimana anda perlu banyak berkorban di dalam jalan yang telah pilih.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Gaya hidup ini sekali imbas seperti mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang tetapi hakikatnya langkah pertama terasa sangat sukar.

Telah ramai yang menceritakan tentang keindahan perjalanan atau bercuti jadi saya tidak mahu menyentuh tentang tersebut. Saya hanya ingin menceritakan tentang realiti sebenar terhadap pengembaraan jangka masa panjang yang saya telah alami dan lalui.

Tidak kisah anda suka atau tidak, tetapi inilah realiti sebenar yang telah saya tempuhi apabila membuat keputusan untuk meninggalkan segalanya dan memilih hidup di jalanan selama setahun.

Musee Du Louvre, Paris

1. Perasaan ketidak-pastian dan serba salah

Perasaan ini datang menjenguk ketika sudah separuh perjalanan dan pengembaraan saya berlalu. Ia hadir sewaktu saya mengambil langkah yang paling besar di dalam pengembaraan saya iaitu dari Asia menuju ke Eropah menggunakan keretapi. Ketika berada di dalam keretapi di Russia tiba-tiba terdetik dihati seketika, “Aaakah benar jalan yang aku lakukan sekarang?”

Perasaan ketidakpastian ini menjadikan saya keliru dan mula tertanya-tanya kepada diri sendiri samada jalan yang saya pilih ini betul atau tidak? Samada keluarga dan rakan-rakan menyokong atau tidak? Dan mampukah saya mencari wang untuk menampung perbelanjaan nanti.

2. Tiada sokongan moral dari yang terdekat

Saya membuat perancangan hanya akan habiskan selama 45 hari saja untuk perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke London pada pertengahan 2014. Saya turut membuat perincian mendalam tentang perjalanan ini. Dan saya juga ada war-warkan kepada sahabat-sahabat tentang perancangan saya ini.

Namun kerana pemikiran dan pemahanan yang berbeza, ramai yang mencaci dan mengeji keputusan saya ini. Tambahan lagi apabila saya terpaksa menangguhkan perjalanan yang asalnya dijadualkan pada Nov 2014.

Banjir besar yang melanda Kelantan memaksa saya menangguhkan perancangan kembara ini setahun lamanya. Hanya pada Oct 2015 pengembaraan ini dapat saya laksanakan.

Sepanjang setahun saya dicaci dan dikeji tentang perancangan saya yang tertunda. Tetapi ianya tidak pernah mematahkan semangat malah menjadikan saya lebih nekad untuk melakukannya.

Baca tips yang pernah saya kongsikan: 13 Tip Dan Persediaan Sebelum Travel Ke Gurun Gobi Di Mongolia

Warsaw, Poland

3. Been There Done Syndrome

Pernah anda terdengar tentang kenalan yang melancong dan bercerita tentang pengalaman dan juga tentang tempat-tempat yang menarik yang dipaparkan di TV dan internet?

Entah mengapa bagi pengembara jangka masa panjang seperti saya, tiada lagi perasaan wow  hadir di dalam hati seperti mana pertama kali saya melihat tempat tersebut.

Perasaan ini pertama kali saya rasai sewaktu berada di St Petersburg, Russia. Pertama kali melihat bangunan menarik di Eropah, ia  amat menggamitkan perasaan saya. Segalanya di sekeliling menjadi wow kepada saya.

Namun setelah beberapa negara saya lewati, perasaan itu mulai beransur hilang walaupun saya pergi ke tempat lain dan berbeza seperti Old Town di Vilnius, Lithuania.

Entah mengapa segalanya tampak sama bagi saya. Tiada lagi wow dan keterujaan walaupun itu sebenarnya merupakan pertama kali saya tiba di Lithuania itu sendiri.

Setiap tempat baru mula kelihatan sama tanpa keunikan. Perasaan ini mungkin disebabkan oleh kegairahan dalam mencari perasaan seperti pengalaman pertama kali melihat perkara yang dikatakan menarik di lokasi yang saya tuju.

Ok saya nyatakan contoh yang lebih ringkas. Katakan kita pergi melancong di Malaysia iaitu melawat masjid Kristal di Terengganu. Ia mungkin akan mendatangkan wow pada pertama kali. Tetapi selepas melawat beberapa masjid termasuk masjid Putrajaya, kemungkinan besar perasaan itu sudah hilang.

4. Rutin seharian pengembara

Percaya atau tidak bagi pengembara jangka panjang, kami mempunyai rutin seperti anda yang bekerja juga dan ianya lebih kompleks dari anda yang bekerja makan gaji. Kami tiada masa untuk lepak di kedai makan berbual kosong dengan kawan-kawan.

Rutin saya dahulu adalah seperti berikut:

Pergi ke tempat baru – berjalan di kawasan sekitar dengan bagpack yang berat sambil mencari tempat untuk bermalam – jumpa tempat bermalam tetapi ianya melebihi bajet – angkut bagpack dan berjalan lagi – jumpa tempat menginap yang sesuai dengan bajet – letak barang-barang – buat kajian apakah yang boleh dilawati dan dilakukan ditempat baru – lakukan perkara yang telah dirancang – berkenalan dengan kenalan baru – ucap selamat tinggal kepada kenalan baru – kemas beg – cari jalan untuk ke destinasi seterusnya – dan ulang kembali perkara yang sama seperti di atas.

Otak perlu bekerja 24 jam. Perlu asyik memikirkan bagaimana hendak ke sana, di mana harus saya tidur, kenapa tempat itu begini, bagaimana tentang sejarah, berapa kos seharian dan sebaginya.

Munich, Jerman

5. Sangat-sangat memenatkan

Bayangkan perjalanan seharian dengan bas atau keretapi selama 10 jam, 5 jam, 24 jam dari satu tempat ke satu tempat. Dan apabila tiba di destinasi anda perlu buat research lagi. Jika banyak berehat maka lebih banyak wang belanja akan dikeluarkan.

Kebanyakan masa adalah di dalam bas, keretapi, tempat menunggu bas, dan di lapangan terbang. Disebabkan pengembara bukan pelancong, segalanyanya perlu difikirkan agar dapat kos dan perbelanjaan dapat dijimatkan.

Mungkin jika pengembaraan anda hanya ke 4 ke 5 negara sahaja tidak begitu terasa penatnya, tetapi berbeza sekali cabarannya bila mengembara ke lebih daripada 20 buah negara.

6. Tidak semua tempat sama seperti di dalam gambar dan blog

Anda faham apa yang saya maksudkan? Jikalau mengikut kepada itinerari yang orang bagi atau pergi ke tempat tumpuan pelancong, 90% pengembara baru akan menemukan tempat itu sebenarnya langsung tidak sama seperti di dalam gambar. Jika di dalam gambar ia kelihatan seperti tempat yang tenang, hakikatnya ia adalah tempat yang penuh dengan pelancong lain yang sama seperti anda.

Ada satu pepatah menyebut “For any traveller who has any taste of his own, the only useful guidebook will be the one which he himself has written.”
Pengembara sebenar biasanya tidak menggunakan sebarang buku panduan (guidebook), tetapi merekalah yang mencipta buku panduan agar dapat dijadikan rujukan dan kemudahan orang lain.

Cappadocia, Turki

7. Saya tidak tahu atau NO!

Sepertimana yang anda sedia maklum, pengembara di negara asing mudah terdedah kepada sebarang penipuan. Jadi, langkah yang saya ambil adalah dengan belajar 2 perkataan ini dalam bahasa tempatan iaitu saya “tidak faham / saya tidak mahu” dan juga perkataan “tidak”.

Bila ada sesiapa yang mendekati saya dan menawarkan apa-apa perkhidmatan atau barangan, memberikan jawapan TIDAK dalam bahasa tempatan merupakan cara terbaik untuk mengelak dan menyelamatkan diri.

Dan apabila disapa oleh orang tempatan yang bercakap dalam bahasanya, jawapan “saya tidak mahu / saya tidak faham” merupakan cara terbaik untuk mengelak diri dari anda daripada menjadi mangsa kepada sesetengah individu atau kumpulan yang menjadikan orang luar seperti pengembara sebagai target atau mangsa mereka.

Selain daripada itu, anda perlu belajar beberapa perkataan pembuka bicara seperti “hello, thank you, yes, no” dan juga “I don’t want, I don’t understand” sudah memadai untuk anda hidup sehingga bertemu dengan orang yang betul-betul fasih berbahasa untuk meminta tolong.

8. Homesick

Sangat-sangat dirasai. Perasaan rindu pada keluarga, kepada kenalan rapat, kepada kucing, kepada makanan dan segalanya. Perasaan ini akan mempengaruhi anda di perjalanan.

Boleh dikatakan perasaan ini dirasai oleh semua pengembara jangka masa panjang tidak kiralah apa tujuan mengembara mereka. Ia merupakan satu perasaan yang sangat besar dan anda akan rasainya lebih daripada sekali. Kita tidak mampu mengelak perasaan ini kecuali yang tidak berperasaan.

Tokyo, Jepun

9. Terlepas saat-saat penting yang dilalui oleh orang terdekat

Bayangkan jikalau kawan baik kahwin dan ketika itu kita masih dalam perjalanan dan sedang mencari haluan kita. Bayangkan adik kandung sedang konvo dan meraikan kejayaannya tamat belajar tapi kita pula masih lagi di jalanan dan sedang mengembara. Bayangkan kakak bersalin dan kita dah mendapat anak saudara baru dan kini bergelar pakcik tetapi kita masih di jalanan.

Ramai pengembara yang kalah terhadap perkara ini, sama seperti saya juga. Saya tidak dapat bersama-sama keluarga menyambut hari raya dikala semua ahli keluarga lain berkumpul. Mereka menyambut hari gembira tanpa kehadiran saya di sisi.

Oh, perasaan itu memilukan.

10. Anda perlu bekerja

Apa anda ingat pengembara ni hanya jalan-jalan cuci mata? Mungkin boleh hidup tanpa perlu bekerja selama 2 ke3 bulan tetapi bagaimana pula 6 bulan, setahun, 2 tahun? Ingat duit tak habis?

Ramai orang mempunyai tanggapan yang salah apabila berhenti kerja bagi mengembara seolah tiada lagi perlu kerja. Tanggapan itu salah sama sekali.

Jikalau ingin meneruskan penegmbaraan, kita perlu bekerja bagi menampung kos perjalanan dan juga wang yang akan habis akhirnya.

Sekarang anda sudah tahu realiti sebenar di sebalik pengembaraan jangka masa panjang. Adakah ianya berbaloi? Hanya anda yang mampu menjawabnya. Cubalah.

Baca kisah bagaimana saya mengembara selama 1 tahun dengan bermodalkan RM4K dan apakah yang saya lakukan untuk survive di jalanan.