Tahniah kepada rakan-rakan yang berkonvokesyen pada tahun ni! Semoga anda semua menjadi aset buat negara dan permata buat ummah. Bersempena musim konvokesyen yang meriah berlangsung di seluruh negara, berikut ialah 10 tips buat para siswazah yang bakal melangkah keluar dari universiti dan memulakan hidup di alam pekerjaan:

1. Rancang Perjalanan Hidup Sebaik Mungkin

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apabila tamat pengajian ijazah sarjana muda, para siswazah akan berhadapan dengan pelbagai pilihan.

Antara dua pilihan bagi kebanyakan siswazah ialah sama ada mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau terus memasuki alam kerjaya.

Sebelum memuktamadkan pilihan, sebaiknya tanya diri kita; “Siapa aku pada 10 tahun akan datang?” dan pastikan pilihan yang dilakukan membawa kita ke arah matlamat tersebut.

Sekiranya kita tidak mempunyai matlamat dan halatuju yang jelas selepas tamat zaman mahasiswa, maka kita akan cenderung untuk berada dalam fasa ‘blank’ untuk jangka masa yang panjang dan perkara tersebut adalah amat merugikan.

2. Alam Kerjaya Tidak Semudah Zaman Mahasiswa

Sewaktu di universiti dahulu, hampir semua perkara tersusun dan teratur seperti adanya jadual pengajian, sistem semester, tarikh peperiksaan dan sebagainya. Namun kehidupan sebenar tidak semudah dan tersusun seperti di universiti.

Tiada lagi jadual harian yang telahpun disusun dan ditetapkan untuk diri kita, tiada lagi bimbingan dan nasihat khusus daripada para pensyarah, dan paling terasa kehilangan, tiada lagi cuti panjang untuk dua tiga bulan seperti cuti semester.

Bahkan, kitalah yang bertanggungjawab dalam menyusun perkembangan kerjaya, masa dan kehidupan kita sendiri.

Dan kita jugalah yang bertanggungjawab mencari bimbingan dan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman dan bukan lagi mengamalkan mentaliti ‘minta disuap’.

Kata kunci terbesar dalam menghadapi dunia realiti yang penuh dengan cabaran ini ialah kita mesti berdisiplin.

3. Percaya Pada Rezeki Allah SWT

Ketahuilah bahawa persaingan mendapatkan kerjaya dan kadar pengangguran tinggi itu adalah benar. Tetapi ketahuilah juga bahawa rezeki Allah SWT itu lebih luas daripada cabaran-cabaran yang ada.

Jangan pernah sesekali berputus asa pada rahmat-Nya dan sentiasalah berusaha dan bertawakal dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan apa yang kita hajati.

4. Manfaatkan Jaringan Kenalan

Ramai orang mempunyai persepsi negatif terhadap orang yang memanfaatkan jaringan kenalan (networking) atau ‘cable’ dalam mendapatkan kerjaya.

Namun, sekiranya kita sememangnya berkelayakan untuk posisi kerjaya yang diminta, maka tiada kesalahan bagi kita memanfaatkan jaringan kenalan yang kita ada.

Bahkan mempunyai jaringan kenalan yang luas pada hakikatnya adalah sebuah kelebihan yang bukan semua orang ada. Maka, manfaat dan luaskanlah jaringan kenalan anda!

5. Pengalaman Mendewasakan

Kerap kali kita lihat dalam iklan kerja kosong meletakkan ‘pengalaman’ sebagai syarat untuk mendapatkan posisi tersebut. Mengapa pengalaman sangat penting dalam dunia kerjaya?

Pengalaman amat bernilai kerana ia membentuk sikap, peribadi dan kematangan seseorang.

Sekecil-kecil pengalaman seperti menggunakan mesin fotostat, susun fail, kena maki dengan client, sehinggalah ke sebesar-besar pengalaman seperti mendapatkan tender untuk syarikat, menyiapkan ‘business proposal’, dan lain-lain pengalaman semuanya merupakan merit kepada diri kita.

Bab pengalaman ni, tidak dapat tidak, mesti bermula daripada bawah.

graduan-1

6. Waktu Muda Kena Banyak Berkorban

Ramai siswazah memilih untuk berehat-rehat dan bersantai-santai sebaik sahaja tamat zaman universiti.

Berehat dan bersantai buat jangka masa yang singkat seperti 10 ke 15 hari adalah tidak salah, namun sekiranya kita memilih untuk berehat secara tidak produktif; tidak mencari kerja, tidak mengusahakan bisnes, dan tidak menambah nilai kepada diri sendiri; selama lebih daripada sebulan, tiga bulan malah setahun, maka ketahuilah bahawa itu bukan berehat, tetapi sebenarnya anda sedang membuang masa muda anda yang berharga.

Waktu muda dan bertenaga inilah perlu kita manfaatkan untuk kemudahan masa hadapan kita.

Sekiranya kita memilih untuk bekerja, maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, dan sekiranya kita memilih untuk menyambung pengajian, maka belajarlah dengan bersungguh-sungguh.

7. Hidupkan Minat Dan Hobi

Kawan-kawan, kita bukan hidup semata-mata untuk kerja, bayar cukai dan menikmati duit pencen pada hari persaraan kelak.

Pastikan kehidupan kerjaya kita seimbang dengan kehidupan kita berkeluarga, bersosial dan mempunyai masa untuk diri sendiri.

Jangan sesekali tinggalkan minat dan hobi yang bermanfaat dengan alasan ‘tiada masa’ atau ‘sibuk dengan kerjaya’.

Sebaiknya, manfaatkan waktu lapang yang ada untuk melakukan aktiviti dan hobi yang kita minati kerana hobi yang baik memberi kesan positif kepada diri.
Siapa tahu, esok lusa hobi dan minat tersebut boleh berkembang menjadi kerjaya?

8. Berfikir Gaya ‘Bekerja Sendiri’

Ramai dalam kalangan generasi-Y atau generasi milenium berimpian untuk mempunyai perniagaan sendiri ataupun bekerja secara ‘self-employed’ di mana mereka merupakan majikan kepada diri sendiri dan mereka berkuasa penuh terhadap masa yang mereka miliki.

Tetapi bekerja sendiri tidaklah semudah yang disangka, bahkan sekiranya tersilap langkah, maka kita akan memiliki ramai bos lain yang terdiri daripada klien-klien dan waktu keemasan kita dikawal pula oleh mereka.

Pada satu sisi lain, pengalaman memiliki bos atau majikan merupakan sebuah pengalaman yang amat berharga untuk membentuk disiplin diri ke arah bekerja sendiri dan membangunkan bisnes sendiri.

Setidak-tidaknya kita mengetahui selok-belok serta cabaran menjadi seorang bos dan dapat mengambil pengajaran serta menimba pengalaman daripada majikan sekiranya kita bekerja dengan syarikat orang lain.

Menariknya, apabila kita berfikir gaya ‘bekerja sendiri’ walaupun bekerja dengan orang lain serta memiliki majikan, maka kita akan lebih produktif kerana kita sedar bahawa pada akhirnya setiap usaha yang kita lakukan bukan sahaja memberi manfaat kepada majikan dan syarikat tersebut, bahkan memberi manfaat yang besar juga terhadap perkembangan kerjaya kita sendiri.

9. Tingkatkan Ilmu Kewangan

Apabila tamat zaman mahasiswa, kita akan berhadapan dengan cabaran-cabaran berbentuk ekonomi dan kewangan.

Bagaimana nak uruskan pendapatan bulanan, nak langsaikan hutang PTPTN, nak beli rumah, nak beli kereta, nak simpan duit untuk pernikahan dan melangkah ke alam perkahwinan, nak menjana keuntungan dalam pelaburan apa; semua ini memerlukan ilmu kewangan atau ‘financial literacy’.

Ilmu-ilmu kewangan boleh ditingkatkan melalui pembacaan buku-buku pengurusan kewangan mahupun menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh penasihat kewangan yang bertauliah.

Siswazah yang memandang enteng terhadap ilmu kewangan cenderung untuk hidup dengan hutang jahat (bad debts) dan melakukan keputusan-keputusan yang merugikan masa hadapan ekonomi mereka.

10. Jangan Berhenti Belajar

Tamatnya zaman mahasiswa dan zaman universiti bukanlah bermakna tamatnya zaman belajar, kerana pada hakikatnya pembelajaran itu adalah proses sepanjang hayat.

Pastikan kita memiliki cara fikir berkembang (growth mindset) dan terus belajar sepanjang masa.

Belajar ‘coding’ dan ‘programming’, belajar memasak, tingkatkan kemahiran menggunakan ‘photoshop’, belajar menjana pendapatan dari rumah, belajar bahasa ketiga dan lain-lain ilmu dan bentuk pembelajaran adalah merupakan sebuah nilai tambah buat diri kita.

Manfaatkan juga internet dan teknologi sebagai sebuah platform untuk kita belajar setiap hari, di mana sahaja, pada bila-bila masa.

InsyaAllah sekiranya 10 tips ini diaplikasi dan diamalkan, maka kehidupan kita sebagai siswazah akan lebih bermakna serta menarik untuk diterokai.

Selamat menempuh masa hadapan yang lebih mencabar dan tahniah atas konvokesyen anda semua!