Bila berbicara mengenai usahawan atau perniagaan, mesti ramai dalam kalangan kita yang memikirkan atau terbayangkan perkara-perkara yang indah seperti memiliki kehidupan yang selesa dan juga perjalanan perniagaan yang baik.

Namun tidak ramai dalam kalangan kita yang mengetahui atau setidaknya menyedari sebenarnya terdapat begitu banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi  untuk sampai ke tahap yang mereka berada ketika ini.

Terutamanya para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang hampir semuanya boleh dikatakan bermula dari bawah dan memanjat satu demi satu tangga kejayaan untuk meletakkan diri mereka dan juga perniagaan yang diusahakan berada satu aras dengan pencabar atau rakan-rakan dalam bidang perniagaan.

Memandangkan ramai (terutamanya dikala pandemik) ini yang mula untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, kami baru-baru ini sempat bertanya kepada sepuluh usahawan terpilih mengenai cabaran yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasinya sepanjang berkecimpung dalam perniagaan yang diceburi.

1. Khalid Awaludin (Carleed)

IMG_0766

Memulakan senarai kami kali ini adalah pengasas kepada jenama makanan Carleed, Khalid Awaludin yang terkenal dengan biskut premium mereka terutamanya Carleed Tat Nanas.

Walaupun kini jenama biskutnya dikenali ramai dan menjadi pilihan VVIP seperti Datuk Siti Nurhaliza, namun beliau menjelaskan ianya tidak bermula dengan mudah buat mereka terutamanya dari segi modal dan proses untuk mengukuhkan jenama.

Namun kini, setelah beberapa tahun dan mengamalkan persaingan yang sihat untuk membezakan jenama yang dibangunkannya dengan pesaing, Carleed kini boleh berbangga dengan pencapaian mereka menjadi antara pembekal pilihan bagi produk berasaskan biskut terutamanya Tat Nenas dan Carleed Fantastic Four.

Lawati media sosial rasmi Carleed di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

2. Eza Faizaty Nor Rezan (GRAMP’S ASIA)

GRAMPS

Buat Eza Faizaty yang mengasaskan rangkaian jenama Gramp’s Asia pula, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah untuk mengubah fikiran pengguna terhadap keberkesanan produk yang dihasilkan mereka adalah sama dengan apa yang tersedia di pasaran.

Eza Faizaty dan jenamanya Gramp’s Asia mengeluarkan produk kelengkapan rumah seperti pembersih udara yang menggunakan bahan 100% semulajadi. Menyedari kesukaran untuk bersaing dengan jenama tersedia, mereka pada 2019 kemudiannya cuba menembusi pasaran farmasi dan juga pasar raya besar dalam negara.

“Farmasi mempunyai pengguna yang lebih peka kepada kesihatan dan produk kami fokus kepada mereka yang peka mengenai perkara itu dan tidak hanya melihat kepada harga tetapi lebih menumpukan kepada kualiti sesuatu produk,” jelasnya yang kini sudah berjaya memasukkan produknya ke rangkain farmasi terkenal seperti Watsons.

Lawati laman sesawang rasmi Gramp’s Asia di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

3. Salini Idris (PAULINI)

Menembusi pasaran adalah satu perkara tetapi mempunyai modal yang cukup bagi menjalankan perniagaan juga adalah salah satu lagi cabaran seperti yang berlaku kepada Salini Idris, pengusaha jenama kraf tangan PAULINI.

Menurut beliau, cabaran terbesar yang dihadapinya ketika bermula dalam perniagaan seni logam halus adalah modal pusingan yang agak terhad dimana beliau terpaksa membuat pinjaman bersama TEKUN hanya untuk membeli bahan mentah membuat piuter.

Sikap tidak putus asa dan transformasi penjualan atas talian bagaimanapun berjaya membawa perniagaannya ke hadapan sehingga pernah mewakili negara untuk mempromosi jualan piuter bersama agensi kerajaan tempatan.

Lawati laman sesawang rasmi PAULINI di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

4. Mohd Khairul Haniff Mohd Hanifiah (Mahkota)

IMG_5593 – Oxichem ResourcesJika keluarga anda di rumah menggunakan sabun mencuci pakaian berjenama Mahkota, tahniah kerana inidividu seterusnya ini adalah pengasas produk dan jenama berkenaan.

Sama seperti kisah pengasas Gramp’s Asia tadi, beliau juga menghadapi cabaran dengan keyakinan pengguna terhadap rangkaian produk mereka memandangkan jenama dan produk mereka yang masih baru. Bukan itu sahaja, Mohd Khairul turut memberitahu mereka turut berdepan cabaran untuk mendapatkan bahan mentah dan juga pengedaran, juga kerana mereka masih baru dalam industri ini.

Bagaiamanapun, ia tidak menghalang Mahkota untuk terus berkembang dan semakin dikenali ramai hasil daripada pendidikan berterusan dan penjenamaan melalui ejen yang dilantik.

Lawati media sosial rasmi Mahkota di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

5. Rohaya Leman (FARMASI ALANG)

logo – FARMASI ALANG

Dikala ramai yang berdepan dengan cabaran kekurangan modal dan persaingan sengit dalam perniagaan diceburi, pengasas jenama FARMASI ALANG ini pula berkongsikan cabaran yang sedikit berbeza dan jika anda mampu menyelesaikan cabaran ini, kemungkinan besar anda tidak akan menghadapi masalah dalam perniagaan.

Menurut Rohaya Leman, cabaran yang dihadapinya ketika memulakan perniagaan adalah ‘ilmu bisnes’, selain daripada cabaran lain seperti kekangan modal.

Menyedari perkara berkenaan, beliau menasihatkan kepada sesiapa sahaja di luar sana agar sentiasa peka dengan perkembangan ilmu perniagaan terutama sekali yang melibatkan teknologi sejajar dengan kehendak pelanggan masakini.

Lawati kedai rasmi Shopee FARMASI ALANG di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

6. Khairul Anuar Ishak (MENAAMI)

Memasuki tahun baru tidak sah tanpa sebuah buku planner bagi merancang dan mencatatkan kehidupan harian yang berlaku. Menyedari kekurangan buku planner yang memberikan mood menyeronokkan untuk menulis, Khairul Anuar Ishak tampil dengan idea Buku Cantik MENAAMI pada 2018.

Sama seperti usahawan lain, beliau juga mengamali cabaran di awal perniagaannya. Namun ia sedikit berbeza apabila dia mempunyai cabaran tidak mempunyai cukup pengedar ejen untuk memenuhi permintaan bukannya masalah untuk menembusi pasaran dan sebagainya.

Penyelesaiannya? Beliau menambah ahli pasukan untuk mengatasi masalah tersebut dan hasilnya mereka kini mempunyai pelanggan setia yang menunggu keluaran buku setiap tahun daripada MENAAMI.

Lawati media sosial rasmi MENAAMI di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

7. Stella Huang (Pearlcryst)

9C1E2DBC-24CE-474C-83B8-038EB6E58A01 – JC Kwek

Walaupun bermula dengan hobi merekabentuk aksesori wanita dan kursus dalam talian dari luar negara, Stella Huang juga mempunyai cabaran untuk memahami citarasa pelanggan pada mulanya.

Ditambah pula dengan persaingan produk-produk dari luar negara, pemilik Pearlcryst ini bagaimanapun mampu mengenepikan cabaran itu dengan mewujudkan produk-produk kreatif dengan idea baru serta kualiti tinggi yang dijual dengan harga mampu milik.

Hasilnya, produk hiasan wanita yang dihasilkan beliau dan jenamanya kini sudah pun berjaya dieksport ke luar negara.

Lawati kedai rasmi Shopee Pearlcryst di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

8. Rosni Mat Isa (NANEES TELEKUNG)

photo6127538376035904146 – nanees telekung

Menyedari wanita layak untuk mendapatkan telekung yang lebih baik dan selesa, bekas akauntan Rosni Mat Isa pada 2013 akhirnya memperkenalkan Nanees Telekung. Bagaimanapun, perjalanannya tidak mudah kerana seperti kita ketahui memang sudah terlalu ramai usahawan yang menceburi perniagaan ini.

Untuk bersaing, beliau kemudiannya memperkenalkan nilai tambah dengan menawarkan perkhidmatan mengubah saiz permukaan muka secara percuma yang tidak dilakukan syarikat lain.

Selain itu, mereka juga mengekalkan kualiti dalam penghasilan dan membina jenama dengan menggunakan pekerja tempatan serta harga yang lebih tinggi bagi menggambarkan kualiti yang dibawa mereka.

Lawati laman sesawang rasmi Nanees Telekung di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

9. Muhammad Syahid Abdul Aziz (Zombie Cookies)

ZOMBIE COOKIES

Biasanya kita akan ke Watsons dan melihat pelbagai kelengkapan diri atau pun ubat-ubatan. Tetapi siapa perasan di sana juga terdapat biskut Zombie Cookies. Ya, biskut, makanan. Tambah menarik, ia adalah air tangan anak tempatan Muhammad Syahid Abdul Aziz.

Bagaimana mereka melakukannya? Adakah tiada persaingan daripada jenama biskut-biskut tempatan yang lain?

Jawapannya, mereka sering memposisikan diri mereka dalam keadaan terbaik dan sentiasa mengkaji cara-cara baru dalam menambahbaik produk mereka daripada segi rasa, pembungkusan dan jenama itu sendiri.

Kalau anda nak tahu juga, Zombie Cookies ini didatangi pihak Watson terlebih dahulu untuk meminta agar biskut mereka dijual di cawangan Watsons di seluruh negara.

Lawati media sosial rasmi Zombie Cookies di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

10. Wan Saiful Hafez Amran (Profez)

Mahu membekalkan pengusaha dobi dan pengguna harian dengan produk cucian pakaian tempatan, graduan akaun Wan Saiful Hafez membangunkan jenama Profez.

Bapa kepada seorang anak ini menganggap cabaran terbesar yang dihadapinya adalah untuk mengekalkan pelanggan yang menggunakan produk mereka dan pada masa sama mengekalkan kualiti produk pada tahap terbaik.

Walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran ini, beliau bagaimanapun menganggap ianya adalah satu persaingan secara sihat dan hasilnya beliau berjaya mengembangkan perniagaan dengan menambah bilangan premis.

Lawati laman sesawang rasmi Profez di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk yang ditawarkan.

Baca juga perkongsian bisnes yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Buat ‘Post-Mortem’ Selepas Sambal Habis Terjual, Cara Khairulaming Dipuji Netizen

6 Tips Berbelanja Ketika Musim Perayaan Atau ‘Year End Sale’