Berdasarkan penyelidikan bermula Januari hingga Julai tahun lalu, didapati Malaysia menjadi lambakan sisa plastik haram yang diimport dari negara lain dan berikutan perkara tersebut, kerajaan membuat keputusan untuk menghentikan permit import (AP) untuk mengelakkan lebih banyak sisa plastik haram memasuki Malaysia.

Pada masa ini, pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di peringkat ibu pejabat dan negeri dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu di negeri masing-masing telah mengenalpasti sejumlah 97 kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram di seluruh negara.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata bahawa beliau yakin pihak yang dipertanggungjawabkan untuk operasi penguatkuasaan bersepadu ini dapat menutup sepenuhnya operasi 100 buah kilang di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dalam masa yang sama, pengusaha kilang kitar semula plastik yang berlesen juga akan dikenakan tindakan tegas sekiranya mereka tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan terdapat 20 kilang yang berlesen telah dikenakan tindakan kerana  mereka tidak mematuhi akta yang ditetapkan.

Yeo juga berkata bahawa kawasan Selangor merupakan rangkaian utama kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram kerana sehingga kini sebanyak 61 kilang dikenakan tindakan penguatkuasaan dan ianya paling banyak dikesan dan dikenalpasti di sekitar kawasan Parlimen Kuala Langat dan Klang.

eight_col_plastics
SUMBER: KEADAAN SEKITAR KILANG HARAM YANG BERADA DI JENJAROM. SUMBER: RADIONZ

Manakala kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram juga dikesan di negeri-negeri lain seperti Johor yang mempunyai enam kilang, 10 kilang di Kedah dan Negeri Sembilan, tujuh kilang di Perak, dua kilang di Pulau Pinang dan satu kilang di Kelantan.

Diharapkan penutupan operasi untuk kilang-kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram di seluruh negara dapat dilakukan dengan secepat yang mungkin supaya alam sekitar di negara ini dapat terjamin.