Bunyinya mungkin agak mengejutkan, namun itulah yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Bangsar di Kuala Lumpur hari ini apabila 100 peratus muridnya untuk sesi persekolahan pagi dilaporkan tidak hadir ke sekolah.

Perkara itu disahkan sendiri Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Yazid Mohd Yasin seperti dilaporkan Berita Harian tengah hari tadi.

“Ketika ini, jumlah keseluruhan murid SK Bangsar ialah hampir 1,800 orang dan dijangka semua murid tidak akan hadir ke sekolah untuk dua sesi persekolahan ini sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya.

Ketidakhadiran para murid pada hari ini difahamkan susulan daripada perkembangan semasa di mana dua orang murid sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19 pada semalam.

Kakitangan sekolah dan guru bagaimanpun menurutnya masih hadir ke sekolah pada hari ini.

Saringan dilakukan

Kementerian Kesihatan bagaimanapun menurutnya telah pun menjalankan ujian calitan (swab test) kepada guru dan murid yang hadir pada semalam dan akan terus disambung pada hari ini.

Manakala murid dan guru yang menjalani saringan berkenaan juga sedang menjalani tempoh kuarantin.

Terdahulu, dua pelajar sekolah berkenaan pada semalam dilaporkan positif COVID-19 yang difahamkan mendapat jangkitan daripada ahli keluarga mereka.

Susulan daripada itu, kira-kira 80 murid dari dua kelas Tahun Empat dan Lima, serta 26 guru yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dua murid yang positif COVID-19 itu telah pun menjalani swab test bermula jam 2 petang semalam.

Sesi persekolahan petang semalam juga ditangguhkan namun menurut mereka tiada arahan penutupan sekolah yang diberikan sehingga semalam.

Baca juga perkembangan semasa COVID-19 dalam negara yang pernah kami kongsikan di pautan di bawah. 

Tiga Pusat Beli Belah Di Kuala Lumpur Beri ‘Amaran’ Kepada Pengunjung Selepas Catat Kes COVID-19

1 Utama Jadi Pusat Membeli-Belah Terbaru Catat Kes Positif COVID-19

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Disahkan Positif COVID-19

Sumber