Kementerian Pengangkutan telah membuka 1,000 permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa kepada individu awam di bawah perniagaan milikan tunggal dan perkongsian bermula hari ini, 18 April sehingga 30 Jun 2022.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata keputusan membuka permohonan lesen teksi dan kereta sewa selepas dibekukan sejak 2016 itu dibuat susulan permintaan daripada orang awam dan pemandu teksi sedia ada yang berhasrat memiliki lesen teksi sendiri.

“Dalam usaha merancakkan lagi industri teksi, maka Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah bersetuju supaya permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa dibuka kepada individu awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber Gambar: Facebook Wee Ka Siong

Tambah beliau lagi, sekiranya jumlah permohonan yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan melebihi kuota, maka pihak APAD akan mempertimbangkan kuota tambahan yang sewajarnya.

Manakala syarat-syarat permohonan kali ini juga berbeza yang mana APAD telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) sebelum ini.

Bagaimanapun, syarat-syarat lain masih lagi dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penumpang.

Bagi sesiapa yang ingin membuat permohonan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat-syarat permohonan, anda boleh berbuat demikian melalui laman portal rasmi APAD di sini.

Sementara itu, Menteri Kewangan mengesahkan pembayaran ‘Pengeluaran Khas KWSP’ dipercepatkan bermula 18 April ini. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Diminta Cepatkan Pembayaran, Tengku Zafrul Umum Pengeluaran Khas KWSP RM10,000 Dibayar Mulai Hari Ini

Menjelang Aidilfitri, Harga Tiket Bas Ekspres Naik Sehingga 20%

Duta Besar Indonesia Ke Malaysia Mahu Gaji Pembantu Rumah Dinaikkan Kepada RM1,500 Sebulan