Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 11 individu membabitkan empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam selepas berjaya membongkar aktiviti rasuah membabitkan sindiket pengurangan saman trafik dari beberapa negeri sejak 2016 hingga kini transaksi wang berjumlah lebih RM5 juta.

Memetik Harian Metro, sumber berkata, sembilan daripada individu-individu itu sudah direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang lebih rendah daripada nilai saman.

“Selepas menerima wang itu, sebahagian jumlah berkenaan akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan beberapa suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.

“Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” ujarnya.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 7 Oktober 2022 itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Jelas beliau lagi pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.