Jepun bukanlah destinasi pelancongan yang asing di kalangan rakyat Malaysia. Malahan jika dilihat kepada respon pembaca kami terhadap beberapa artikel dan perkongsian tips bercuti di Vocket, artikel percutian ke Jepun selalu mendapat sambutan.

Ini secara tidak langsung membuktikan Jepun adalah salah satu destinasi popular di kalangan rakyat negara ini.

Namun begitu, selalunya lokasi yang dikunjungi adalah di sekitar Tokyo dan Osaka sahaja. Sedangkan hakikatnya masih banyak lokasi lain di Jepun yang bukan saja menarik tetapi juga kaya dengan keindahan alam semulajadi dan keunikan warisan seninya.

Salah satu destinasi yang ingin saya kongsikan adalah Kepulauan Okinawa. Meliputi lebih daripada 150 pulau kecil, 3 pulau utama dan paling dikenali adalah Pulau Okinawa, Pulau Miyako dan Pulau Yaeyama. Okinawa terletak paling selatan di negara Jepun.

Untuk ke sini, cara termudah adalah dengan mengambil penerbangan terus dari Tokyo ke Okinawa yang memakan masa selama 3 jam. Dan jika anda rasa Hawaii terlalu jauh untuk anda pergi, ditambah perlu dapatkan visa US, maka Okinawa adalah pilihan terbaik.

Berikut 11 perkara best yang anda boleh buat jika berkunjung ke sini:

1. Berjalan dan berkunjung ke lokasi bukan tumpuan pelancong

Sikap penduduk Okinawa yang peramah dan mudah mesra dengan orang asing menjadikan anda rasa seperti dialu-alukan di sini. Okinawa juga terkenal sebagai pulau yang mana penduduknya memiliki jangka hayat yang panjang kerana mengamalkan gaya hidup positif.

Oh ya, senibela diri Judo yang terkenal itu sebenarnya berasal dari sini.

2. Hitchhike

Tambang bas agak mahal di sini. Maka hitchhike adalah pilihan terbaik dan mudah. Ingat, penduduk Okinawa peramah. Memang senanglah nak tumpang kereta mereka.

3. Berkhemah di pantai

Ye. Okinawa bukan saja damai dan tenang tapi juga selamat. Yang penting jangan lupa bawa khemah. Bayangkan pagi anda disapa oleh tiupan angin segar dari Lautan Pasifik, deburan ombak di pantai dan sinaran matahari naik yang indah.

4. Mencuba makanan laut dan shushi Okinawa

Perikanan laut dalam merupakan industri utama penduduk di sini dan pastinya ia menawarkan berbagai jenis makanan laut yang segar. Shushi dari Okinawa adalah sesuatu yang berbeza dan mesti anda cuba.

5. Mencuba makanan tradisi Okinawa

Ia bukan hanya sekadar makanan tradisi tetapi juga adalah rahsia bagaimana penduduknya mampu hidup dan memiliki jangka hayat yang panjang. Bila ke Okinawa jangan lupa mencuba beberapa hidangan tradisi mereka.

Antaranya adalah Goya iaitu sejenis sayuran yang menjadi kegemaran penduduk di sini. Penduduk Okinawa juga lebih gemar memakan sayuran yang mereka tanam sendiri.

6. SUP di Pulau Kerama atau snorkeling dan selam skuba

Air laut di kepulauan Okinawa memang terkenal dengan jernihnya. Standing Up Paddleboarding (SUP) , snorkeling dan selam skuba adalah aktiviti wajib jika anda ke Okinawa terutama bagi pencinta hidupan laut.

7. Merentasi Irabu Bridge

Mengambil masa selama 9 tahun untuk siap, jambatan ini dibuka pada tahun 2015 dan merupakan yang terpanjang di Jepun, dan ia bebas toll. Jambatan ini menghubungkan Pulau Miyako dan Pulau Irabu.

Anda juga berpeluang melihat keindahan pemandangan serta laut yang membiru di beberapa hentian yang disediakan di atas jambatan ini.

8. Berkunjung ke lokasi bersejarah dan UNESCO World Heritage site

Nakagusuku Castle
Najikin Castle.

Okinawa pada asalnya berada di bawah empayar Ryukyu selama 450 tahun. Sehingga kini istana Shirujo yang merupakan warisan daripada empayar ini masih dijaga dengan baik. Malahan terdapat lebih daripada 15 istana yang berserakan di kepulauan ini yang dibina sewaktu di zaman empayar tersebut.

Selain daripada itu terdapat 9 lokasi UNESCO World Heritage di pulau ini. Pilih saja mana satu anda nak pergi.

9. Melihat hasil kraftangan unik

Bashofu adalah tenunan kraf menggunakan benang yang diperbuat daripada serat tumbuhan. Ia dijalankan di kampung Kijoka, Ogimi dan tenunan bashofu diletakkan sebagai sebagai salah satu Important Intangible Cultural Property oleh kerajaan Jepun.

Jika berkunjung ke sini anda boleh lihat bagaimana tenunan bashofu dihasilkan. Sekali imbas macam menenun songket, tapi mereka gunakan serat tumbuhan dan aktiviti kraftangan tradisional ini hanya ada di Okinawa.

Bukan ini sahaja. Banyak lagi hasil kraftangan tradisional lain yang diusahakan oleh penduduk di kepulauan Okinawa ini.

10. Alam semulajadi yang unik dan menarik

Selain daripada pantai dan laut, Okinawa juga ada hutan dan air terjun yang boleh anda kunjungi. Terdapat 3 air terjun di kepulauan Okinawa iaitu Tadake Falls, Fukugawa Falls dan Hiji Waterfalls. Memang menarik buat kaki hiking.

11. Melihat dan turut serta dalam sambutan perayaan unik

Penduduk Okinawa juga mempunyai berbagai perayaan dan pesta sepanjang tahun. Antaranya adalah Perayaan Tarian 10,000 Eisa (Dance Parade) yang disambut setiap ahad pertama di bulan Ogos.

Sepanjang pesta ini berlangsung, Kokusai Street yang merupakan jalan utama di Bandar Naha dibanjiri oleh pasukan EISA dari seluruh pulau itu. Di sini anda berpeluang melihat kedua-dua tarian tradisional dan tarian original Eisa dipersembahkan.

Di sebalik semua ini, saya percaya Okinawa juga menawarkan stress-free environment. Dengan air lautnya yang jernih membiru, pantai yang bersih dan hutan yang mendamaikan ia pasti memberikan anda satu pengalaman yang menyeronokkan.

Jika anda pernah ke Jepun pasti sudah tahu bagaimana budaya dan adat penduduk di negara ini. Namun begitu, suasana dan persekitaran di Okinawa jauh berbeza daripada lokasi lain di Jepun.

Ikuti video pendek pengalaman unik Tracy, seorang usahawan dari Singapura yang telah berpeluang bercuti di Okinawa.

 

Dapatkan info lanjut tentang aktiviti menarik dan apa yang boleh anda lakukan di Okinawa di laman web beokinawa-pr.jp. Koniciwa!

Baca juga itinerari ringkas dan tips yang dikongsikan oleh traveller Malaysia yang telah berkunjung ke Okinawa