Penarikan dan larangan jualan produk kosmetik daripada pasaran oleh pihak berkuasa bukanlah perkara baru di negara ini. Semalam (12 April 2017) National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) telah mengeluarkan senarai produk yang didapati mengandungi bahan larangan, termasuk racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Penggunaan produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan bahan kimia seperti yang telah dikesan boleh menyebabkan kesan sampingan serius kepada kesihatan penggunanya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Produk kosmetik yang mengandungi merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyumbang kepada kerosakan kepada buah pinggang dan sistem saraf. Bagi ibu hamil yang menggunakan produk mengandungi merkuri pula, ia boleh menjejaskan perkembangan otak bayi di dalam kandungan. Merkuri juga turut boleh menjejaskan otak kanak-kanak kecil.

Tretinoin yang digunakan untuk produk merawat jerawat boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan kulit menjadi sangat sensitif kepada cahaya matahari.

Hydroquinone pula boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan sekaligus meningkatkan risiko kanser kulit. Selain daripada itu kulit yang disapu dengan hydroquinone menjadi kemerahan, tidak selesa, dan bertukar menjadi sangat sensitif.

Menurut Azwadi Kamarudin, Pegawai Farmasi KKM, kawalan kosmetik di Malaysia sebenarnya telah dijalankan dengan baik oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM.

Namun begitu ujar beliau, “kami perlukan kerjasama anda para pengguna untuk sama-sama bertindak dalam membanteras kegiatan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab ini.”

Menurut Azwadi, antara situasi yang sering terjadi dan dialami oleh beliau dan rakan-rakan adalah:

1. Kadang-kadang kami ambil sampel kosmetik dari pasaran secara rawak. Random sampling namanya. Untung sabut, timbul. Bila diuji, sampel itu didapati OK, tak ada masalah. Tapi yang tak OK, berleluasa. Pengguna yang guna dan ditimpa masalah kulit, tak nak buat aduan. Diam membisu.

2. Peniaga pula bijak. Satu produk didapati tak OK, dan dirampas oleh KKM, dia buat pula produk baru. Tukar nama, tukar bungkusan, kemudian jual. Jual tanpa mohon notifikasi daripada KKM.

3. Yang lagi parah, dua atau tiga pemilik produk berlainan, tapi guna kandungan yang sama. Jadi kalau produk A bermasalah, produk B pun bermasalah.

4. Kandungan yang diisytihar kepada KKM pula tak ada racun. Tapi yang dijual berlainan pula. Dicampur dengan racun nak bagi cepat berkesan. Tapi tak semua kosmetik macam tu. Ada yang OK. Cuma kita sebagai pengguna, perlulah bijak memilih.

Daripada senarai yang dikeluarkan oleh NPRA, berikut merupakan antara produk yang tidak lagi dibenarkan sama ada diimport, dikilang, diedar dan dijual di negara ini. Pihak berkuasa juga telah mengarahkan supaya semua stok produk berkenaan dikeluarkan dari pasaran.

1. Adel Miracle Flawless Serum.
Racun Berjadual yang dikesan : Merkuri

2. Adel Miracle Flawless Serum
Racun Berjadual yang dikesan : Merkuri

3. Ah Beauty Night Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Merkuri

4. Dnars Nar Cream – Sensitif
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone dan Tretinoin.

5. Ellfie Night Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone dan Tretinoin.

6. Moleek Day Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Merkuri.

7. NDZ UV Whitening
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone.

8. Dnars Snow Cream Normal
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone dan Tretinoin.

9. Tati Skincare Night Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Merkuri.

10. Tati SkincareTreatment Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone dan Tretinoin.

11. Moleek Anti Pigment Cream
Racun Berjadual yang dikesan : Hydroquinone dan Tretinoin.

Azwadi sempat berpesan, “jika anda pakai sesuatu produk dan kemudiannya mengalami masalah kulit, janganlah diam-diam. Buatlah aduan kepada Cawangan Penguatkuasa Farmasi setiap negeri. Sekurang-kurangnya anda membantu orang lain daripada turut terkena kesan negatif penggunaan kosmetik ini.”

Untuk pengetahuan, penjual dan pengedar kosmetik di atas telah diarah agar menghentikan penjualan produk mereka. Individu yang didapati masih melakukan jualan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang mengeluarkan produk pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sebarang pertanyaan tentang produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected] atau call  03-78835400. Anda juga boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/.

Anda boleh rujuk senarai penuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi radun berjadual bagi tahun 2017 di npra.moh.gov.my.