Berpuasa di perantauan mungkin merupakan sesuatu yang mengujakan bagi mereka yang tidak pernah melaluinya.

Namun begitu pastinya ada terselit perasaan rindu kepada suasana berbuka bersama keluarga. Apatah lagi di kebanyakan negara luar tiada pasar Ramadhan sebagaimana yang terdapat di Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya berpeluang menghubungi 12 individu berikut yang kini sedang mengembara dan berpuasa di luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka. Susunan adalah secara rawak. Jom.

1. Khairul Jamain

traveller-berpuasa-di-perantauan-4

traveller-berpuasa-di-perantauan-1

traveller-berpuasa-di-perantauan-3

Bagi pemuda yang lebih dikenali sebagai KJ di kalangan rakan-rakan, ini merupakan kali pertama beliau merasai pengalaman berpuasa di perantauan dan amat teruja untuk melalui Ramadhan tahun ini dalam suasana berbeza.

KJ yang telah mengembara di Jepun selama 3 bulan dengan cara hitchhiking ini baru saja tiba di Busan, Korea beberapa minggu lepas. Beliau juga sempat merasai suasana berpuasa di Jepun selama beberapa hari sebelum berlepas ke Korea.

Cabaran berpuasa

Tempoh berpuasa yang agak panjang sewaktu di Jepun iaitu selama 17 jam. Sahur pada jam 2 pagi dan berbuka puasa jam 7 petang.

Juadah berbuka

Waktu berbuka tu rasa nak menangis bila dapat makan Ayam Masak Kurma Yeos yang diberikan oleh traveller Malaysia yang saya temui sewaktu di airport Busan. Bila dapat tahu saya dah travel 3 bulan dan rindukan masakan Malaysia, mereka berikan saya beberapa tin makanan Malaysia. Rasa terharu sangat masa tu.

Sewaktu di hostel pula kebetulan ada seorang gadis Malaysia turut tinggal di sini. Kami masak masakan Malaysia bersama-sama. Yang bestnya owner hostel ni nama dia Mr.Kim pun ikut makan bersama sebab dia cakap masakan Malaysia sedap. Kami masak nasi goreng, telur dadar, ikan bakar dan pisang goreng. Hehehe.

Juadah menyedihkan rasanya maggi cup la. Hahahaha.

Beraya di mana tahun ni?

Beraya di Korea sebab nak selesaikan misi mengembara di seluruh Korea menggunakan basikal. Teruja rasanya pertama kali nak sambut raya di luar negara tapi agak sedih sebab tak dapat bersama keluarga dan kawan-kawan di Malaysia semasa raya dan yang paling sedih rindu lemang, rendang, kuih siput. Hahahaha.

2. Jeroong Wia

traveller-berpuasa-di-perantauan-5

traveller-berpuasa-di-perantauan-6

traveller-berpuasa-di-perantauan-8
Tandas orang Nomad.

traveller-berpuasa-di-perantauan-10

Pemuda dengan nama penuh Wan Irfayuim Azim, lebih dikenali sebagai Jeroong Wia di kalangan rakan Facebook, tetapi gemar memperkenalkan diri sebagai Wan sewaktu mengembara dengan alasan mudah untuk diingati dan kedengaran ‘catchy’.

Wan yang telah keluar mengembara sejak 1 Oktober 2015 kini sedang  dalam misi kembara solo Trans- Siberia. Perancangan kembara Wan adalah dari Malaysia ke Rusia sebelum menyambung perjalanan beliau ke Eropah. Terkini beliau telah pun tiba di Kazakhstan.

Pemuda yang sudah berada di jalanan selama hampir 9 bulan ini mempunyai misi untuk mengumpul wang sebaik saja tiba di Eropah dengan cara melakukan kerja sambilan sambil mengembara. Wang simpanan itu kemudiannya akan beliau gunakan untuk mengerjakan umrah sebelum Wan kembali ke tanahair.

Cabaran berpuasa

Berpuasa selama 17 jam sewaktu di China dan di Mongolia. Pertama kali berpuasa di tempat orang menjadikan perasaan bercampur gaul. Paling paling mencabar adalah ketika teringatkan bazar ramadhan di Malaysia di mana segala juadah dijual.

Cabaran yang paling getir adalah waktu puasa yang amat panjang di kala musim panas. Dan ketika mengembara ke Gurun Gobi, duduk dalam van 8 jam tanpa buat apa-apa dengan keadaan tanah yang tidak rata dan panas terik membuatkan perut lapar sangat dan tekak amat dahaga. Tapi itulah cabarannya.

Juadah berbuka

Juadah berbuka yang paling unik adalah nasi dengan daging kuda (agaknya daging kuda) yang di sajikan oleh keluarga nomad Muslim di Gobi Desert. Sebenarnya saya tak tahu sama ada kuda tu boleh di makan atau tidak.

Tetapi disebabkan ianya disediakan oleh keluarga Muslim jadi saya belasah je. Dan kebiasaanya juadah berbuka dan bersahur adalah hanya dengan oat campur gula sahaja. Ianya dah lebih memadai asalkan perut kenyang.

Beraya di mana tahun ni?

Mungkin di Rusia. Selamat berpuasa diucapkan dari bumi Mongolia.

3. Mencari Utopia Bijan & Kim

berpuasa-di-perantauan-1
Wild camping at Laguna 69, Peru

berpuasa-di-perantauan-2

berpuasa-di-perantauan-3

berpuasa-di-perantauan-4

2 gadis bersahabat baik Bijan M Baki dan Kim Eng ini telah mengembara hampir 2 tahun dan sewaktu artikel ini ditulis mereka sedang mengembara di hutan Amazon, Amerika Selatan dengan cara mengambil cargo boat menyusuri sungai Amazon.

Kembara mereka di Amerika Selatan kini memasuki fasa berbeza (mungkin juga pengakhiran kepada pengembaraan epik mereka selama 2 tahun) kerana perjalanan mereka ini menuju ke Leticia di Colombia sebelum meneruskan perjalanan ke Manaus di Brazil dan akhirnya ke Belem, sebuah bandar di pesisir lautan Atlantik.

Sebelum memasuki Amazon 2 gadis ini berada di Iquitos selama beberapa hari. Untuk pengetahuan Iquitos hanya boleh diakses melalui jalan udara dan jalan air sahaja. Tiada jalan darat yang menghubungkan bandar ini dengan bandar-bandar lain.

Cabaran berpuasa

Ini adalah tahun kedua saya berpuasa di luar negara. Tahun lepas saya berada di Namib Desert di negara Namibia ketika pengembaraan saya di Afrika. Tahun ini ditakdirkan saya berada di Amazon pula.

Saya sampai di Iquitos sehari sebelum Ramadan bermula. Iquitos dan hutan Amazon berada beberapa kilometer di selatan garisan Khatulistiwa.

Jadi ia beriklim tropika sama seperti Malaysia, panas dan lembab tapi tahap kelembapan di sini sangat tinggi mencapai sehingga 90%. Seperti di Malaysia, saya berpuasa sekitar 13 jam sahaja.

Juadah berbuka

Breaking the fast with dates is a Ramadan tradition but since we are in the jungle, the only fruit available apart from banana is ‘cocona’ (Amazonian tomatoes ). Taste like a mix between tomato and a kiwi.

Hari pertama puasa saya bangun seawal jam 4 pagi untuk bersahur. Hanya roti dan tuna perisa salsa Mexico dengan sekotak air coklat saja menjadi menu sahur saya pagi itu. Simple saja makanan saya tapi sudah lebih dari cukup.

Selalunya sarapan saya ialah scramble egg bersama roti dan teh panas. Saya mempunyai stove kecil yang saya guna untuk memasak makanan yang mudah-mudah. Tapi ketika sampai di Iquitos, 2 tin butane gas saya masih dalam perjalanan dari Pucallpa.

Memandangkan tiada jalan darat ke Iquitos dan gas butane dilarang dalam penerbangan, saya kirim gas butane tersebut menggunakan cargo boat yang mengambil masa 4 hari untuk sampai ke Iquitos.

Tahun lepas merupakan kali pertama saya berpuasa di perantauan. Tak dinafikan perasaan sedih berpuasa tanpa keluarga dan sahabat handai dengan keadaan tak menentu begitu. Tapi kali ini saya dah terbiasa. Perjalanan jauh sebegini memang mematangkan dan menjadikan kita kental.

Seperti tahun lepas, Kim temankan saya berpuasa. Dia yang selalu gigih memasak makanan sahur kami. Dan juga orang paling gembira bila sampai waktu berbuka. Laju saja nak makan aiskrim. Walaupun jauh dari keluarga, masih ada juga orang nak berbuka bersama-sama. Tidaklah berbuka seorang diri.

Kami tak kisah pun berbuka tanpa juadah yang sedap-sedap seperti di Malaysia. Selalunya kami berbuka di mana sempat saja. Kadang-kadang di tepi jalan pun boleh.

Memandangkan kami berada di kawasan tropika, puasa juga dapat minum air kelapa. Kalau nasib baik dapat air tebu tapi agak sukar nak jumpa. Setakat air kelapa senang sangat nak dapat.

Kemudian kami akan pergi makan di gerai-gerai tepi Sungai Amazon. Selalunya menu biasa kami ialah nasi goreng dengan ikan goreng dan telur goreng. Semuanya goreng belaka.

Dan jangan pelik kalau saya kata, masyarakat di sini sangat suka makan pisang goreng dengan nasi. Mula-mula kami berdua rasa pelik juga tapi lama-lama rasa lazat bila ada rasa manis buah ketika makan nasi goreng.

Air kegemaran saya di sini ialah Cicha Morada. Air ini di buat dari jagung hitam yang direbus. Jadi warnanya ungu kehitaman. Sangat sedap diminum dengan sedikit perahan limau!

Hari kedua berpuasa, kami dah masuk ke hutan Amazon, berada hampir 50km dari bandar Iquitos. Saya agak risau nak melakukan aktiviti di bulan puasa dengan keadaan cuaca yang panas dan lembab. Memang sangat sukar! Baru berjalan tak sampai 500 meter, peluh dah mencurah-curah.

Menjelang tengahari memang saya lembik terus. Tapi mujur aktiviti di hutan dihentikan hingga pukul 3 petang barulah di sambung semula. Beberapa hari pertama berpuasa memang berbuka entah di mana. Kadang-kadang dalam boat, kadang-kadang dalam hutan. Terpaksa guide kami bekalkan buah-buahan untuk berbuka.

Saya sampai rasa kami mendapat layanan istimewa dari tour company. Sampai saja ke lodge, makanan dengan segera dihidangkan khas untuk kami berdua walaupun sepatutnya dinner bermula jam 7.30 petang.

Masing-masing mahu kami segera makan kerana risau kami tidak makan seharian, dicampur lagi dengan aktiviti yang kami lalui sepanjang hari. Rakan traveler dari UK dan USA kerap kali berkata betapa hebatnya kami tidak makan dan minum seharian.

Sebelum mengambil tour, saya terangkan kepada tour company keperluan saya.  Dan mereka tidak kisah untuk sediakan sarapan untuk kami seawal jam 4 pagi walaupun sarapan sebenarnya bermula pukul 8 pagi.

Saya rasa tak selesa sebenarnya bila terpaksa bergantung dengan orang lain untuk menyediakan makanan di waktu sebegitu. Tapi saya tiada pilihan kerana tiada tempat untuk saya mendapatkan makanan di tengah hutan. Untuk melakukan aktiviti di sini mestilah melalui tour company dan bukan secara independent.

Hutan Amazon ini terlalu tebal dan luas, dan hanya boleh dimasuki melalui sungai-sungai. Sangat berbahaya untuk kita mengembara sendirian di sini.

Lagi beberapa hari kami akan memulakan perjalanan ke Leticia dengan cargo boat yang akan mengambil masa selama 3-4 hari untuk sampai.

Kami masih belum pasti bagaimana mahu bersahur dan berbuka walaupun makanan adalah termasuk dalam harga tiket cuma waktu makan kami tidak selari dengan waktu makanan disediakan.

Tapi kami yakin ianya tidak sukar. Mungkin kami akan bawa beberapa buku roti dan tuna. Juga sedikit buah-buahan. Setakat ini masih belum lagi kami tinggalkan puasa atas sebab musafir kerana masih mampu rasanya untuk berpuasa.

Beraya di mana tahun ni

Tahun ini saya akan menyambut hari raya dengan Kim dan mungkin beberapa orang tempatan dari puak-puak yang menghuni hutan Amazon. Cuma tidak pasti beraya di darat atau di sungai. Tapi berkemungkinan besar akan beraya di atas bot, dalam perjalanan menuju ke Manaus. Ianya akan menjadi pengalaman yang tak mungkin akan saya lupakan.

4. Anita Yusof

anita-yusof-2

anita-yusof-1

anita-yusof-3

anita-yusof-4

anita-yusof-5

Seorang ibu, pensyarah dan juga traveller bernama Anita Yusof ini sedang melaksanakan impian menunggang motorsikal secara solo bagi Global Deam Ride beliau. Anita yang memulakan perjalanan beliau di USA sejak tahun lepas telah berada di jalanan sejauh lebih daripada 46,000km.

Sehingga kini Anita telah pun berjaya menghabiskan hampir 3/4 daripada seluruh perjalanan beliau dan menjejaki 31 negara. Kini berbaki 9 negara lagi untuk beliau habiskan dalam masa 3 bulan.

Sewaktu artikel ini ditulis Anita baru saja memasuki negara Stans. Seterusnya beliau akan melewati Mongolia, Rusia, Thailand hingga ke Malaysia. Sebelum itu beliau sempat berpuasa di Turki selama beberapa hari dan berikut adalah pengalaman Anita sewaktu berpuasa di negara ini.

Cabaran berpuasa

Puasa 18 jam. Pertama kali puasa di luar negara. Saya teruja tapi pada waktu yang sama agak risau sama ada badan kuat atau tidak. Maklum la, menunggang motor ni banyak pakai tenaga.

Sekarang pun dah musim panas. Cuaca agak panas kat sini dan akan lebih panas bila rentas gurun di Iran, Turkmen dan Uzbek nanti. Takut nak membayangkan. Tahun 2013 dulu masa ride di Stans bulan Jun, suhu cecah 50’C.

Oleh sebab kena puasa 18 jam, berbuka 8.30pm, nanti 2.30am dah subuh. Nak sahur tak selera. Perut kenyang lagi sebab baru lagi berbuka. Tapi kalau tak makan, jenuh nak tunggu 18 jam.

Bila atas motor, memang terasa penat sangat. Tak dapat makan tu tak kesah, tapi tak boleh minum tu memang agak mencabar la dengan suhu pun dah cecah lebih 30’C.

Bawa motor bukan macam pandu kereta. Kadang-kadang rasa hilang fokus kat atas jalan sebab dah dehydrated dan low sugar. Bila nak lawan side wind, terasa macam dah tak ada tenaga. Melelong-lelong dah motor tapi kena gigih kawal jugak la. Selalu peringatkan diri, besar pahala puasa ketika musafir ni.

Satu lagi nak share. Ni bukan cabaran tapi saja nak kongsi. Semasa di Turki walau pun Ramadan, kedai makan tetap meriah siang-siang hari. Kat sini tak ada penguatkuasaan kalau orang Islam tak puasa.

Jadi pemandangan perempuan bertudung tapi makan di restoran siang-siang hari bukan satu perkara yang pelik.

Juadah berbuka

Setakat ni sebab tinggal dengan host Melayu, Fida Zek, jadi hari-hari makan masakan Melayu la. Fida is a great cook. Apa saja yg dia masak semua sedap. Paling best Fida buat beriyani gam kambing dan gulai tempoyak daun kayu. Memang la to die for.

Semalam dah start sambung ride, host Airbnb belanja makan Turkish cuisine (tapi dia nya tak puasa pun. Hihihi. Sup dhal cicah dengan roti, kacang kuda + ayam, masak macam sambal tapi tak pedas, jem anggur tapi rasa macam skaya untuk cicah dengan roti, terung dan kentang masak kicap. Sedap jugak.

Ada sekali tu menu kelakar. Sebenarnya bukan menu la, tapi nasi. Ralit sangat layan FB, tak sedar nasi yang dimasak dah kering air nya. Dah hangus sikit. Sebab nasi tu tak dikacau, ada sesetengah bahagian yang mentah.

Jadi cepat-cepat la tambah air. Tapi terlebih la pula air nya. So berbuka la dengan nasi yang rentung + lembik + mentah. Sedap jugak. Nanti boleh cuba masa travel ok. Janji kenyang sudahlah.

Menu paling sedih belum lagi. Bagi saya selagi ada makanan untuk berbuka, walau pun biskut atau megi, tetap alhamdulillah.

Beraya di mana

Inshaa Allah beraya di Bishkek, Kyrgyzstan dengan keluarga Zahariz Khuzaimah. Kecuali kalau tiba-tiba ada perubahan. Mana la tau kot tetiba rasa syahdu nak balik beraya dengan anak-anak ke.

5. Muhamad Safwan

puasa-di-perantauan-1

puasa-di-perantauan-2

puasa-di-perantauan-3

puasa-di-perantauan-4

puasa-di-perantauan-5

Bagi Muhamad Safwan, Ramadhan kali ini pastinya sesuatu yang indah untuk dikenang. Berpeluang merasai suasana berpuasa sewaktu travel solo buat kali pertama, menurut Safwan, pada mulanya beliau agak berdebar untuk melalui pengalaman pertama ini.

Safwan telah mengembara solo selama 16 hari ke 3 buah negara iaitu Vietnam, Kemboja dan Thailand. Pada dasarnya beliau teruja untuk mengembara dan berpuasa di bumi asing.

Meskipun ia bukanlah destinasi yang melangkau ribuan batu dari tanah air, namun berpuasa tanpa rakan dan keluarga di sisi serta Bbzar Ramadhan yang menanti merupakan satu pengalaman baru buat pemuda ini.

Ujar pemuda ini lagi suasana Ramadhan itu agak berbeza tanpa laungan azan di corong masjid dan bazar Ramadhan kerana destinasi yang beliau kunjungi tidak menampakkan Islam sebagai penganut majoriti.

Cabaran puasa

Ini merupakan pengalaman saya yang pertama berpuasa seorang diri di bumi yang tiada saya ketahui selok-beloknya. Namun ia bukanlah satu pengalaman yang sukar dari segi tempoh berpuasa kerana saya masih berpuasa selama 13 hingga 14 jam sehari.

Mencari makanan halal merupakan satu isu yang yang meruntun sepanjang perjalanan saya di bulan Ramadhan. Kebanyakkan restoran di Vietnam dan Cambodia tidak memegang status halal kerana peniaga bukanlah terdiri dari umat Islam.

Namun, itu tidak menjadi penghalang kerana Islam itu mudah. Saya selalunya berbuka dengan makanan berasaskan sayuran. Seebenarnya saya tidak pernah makan sayur sepanjang 25 tahun. Dan saya penggemar tegar ayam, buah-buahan dan makanan berasaskan laut seperti nasi goreng udang dan sotong.

Selain itu, bermusafir dan mengembara di bulan Ramadhan itu sendiri merupakan satu cabaran.

Juadah berbuka

Di Vietnam, saya amat bertuah kerana diberi rezeki untuk berbuka bersama host (couchsurf) yang bukan beragama Buddha, Ha. Beliau dengan hormatnya memahami agama yang dianuti saya dan menjamu saya dengan seleksi makanan vegetarian seperti nasi goreng telur & bawang, tauhu goreng dan timun black pepper.

Di Cambodia, saya terpanggil untuk berbuka di salah sebuah masjid di Siem Reap. Suasana dewan makan yang daif dan tiada bekalan elektrik memaksa kami untuk berbuka dalam kegelapan dan kepanasan.

Kami dijamu dengan nasi putih dan sup ikan yang dicampur nenas. Itu merupakan pengalaman berbuka paling ringkas yang pernah saya lalui bersama saudara seIslam, lantas mengajar saya erti syukur.

Di Thailand pula pengalaman berbuka merupakan satu saat yang dinanti kerana saya berkesempatan berbuka di Erawan National Park yang mendamparkan suasana yang maha cantik dan tenang.

Taraweh di tepi sungai, berbumbung langit dihiasi kerdipan bintang dan berlantaikan bumi beserta nyanyian unggas merupakan pengalaman yang mengasyikkan.

Di Thailand juga, pernah saya berbuka hanya dengan meneguk air hujan dek kerana kedegilan sendiri. Tekad untuk mendaki Tiger Cave Temple pada jam 6.15pm, saya akhirnya tiba di puncak seorang diri bertemankan seekor anjing dan patung Buddha itu sendiri.

Hari semakin gelap dan hujan lebat yang datang dari 2 arah memaksa saya untuk bergerak turun secara perlahan sambil meneguk air hujan yang mencurah. Makanan pertama, saya jama selepas jam 9 malam.

Beraya di mana

InsyaAllah tahun ini saya sempat beraya bersama keluarga sebab Ibu saya sudah acap kali bertanya; “Angah bila nak balik Seremban?”

6. Siti Fatimah Zaharah

puasa-di-perantauan-6

puasa-di-perantauan-8

puasa-di-perantauan-9

puasa-di-perantauan-7
puasa-di-perantauan-7 Ramadhan bukanlah bulan untuk berhenti mengembara. Lakarkanlah pengembaraan epic anda di bulan Ramadhan! Lokasi : Stairway to Nothingness, Dachstein Glacier, Austria.

Bagi graduan perubatan dari sebuah universiti di Republik Czech ini, berpuasa di perantauan bukanlah sesuatu yang baru. Menurut gadis yang lebih mesra dengan panggilan Akiey ini, kali terakhir beliau merasai suasana Ramadhan di Malaysia adalah pada tahun 2013.

Akiey yang berada di Jerman di sepanjang Ramadhan kali ini memaklumkan tempoh berpuasa di Jerman berbeza. Secara amnya, tempoh puasa bahagian utara Jerman lebih panjang. Oleh kerana beliau berada di di Frankfurt, beliau perlu berpuasa sekitar 18 jam 45 minit.

Tempoh masa ini meningkat hari demi hari memandangkan bulan Ramadhan jatuh pada musim panas.

Bagi Ramadhan tahun ini, Akiey bersama rakan beliau telah mengambil inisiatif dengan menjalankan projek mini ‘Fütterung der Obdachlos‘ (memberi makan kepada gelandangan).  Melalui projek ini, Akiey berharap ia sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi masyarakat tempatan tentang Islam.

Cabaran puasa

Di Jerman, dianggarkan seramai 4 juta umat Islam meraikan bulan Ramadhan. Kebanyakan bandar-bandar di Jerman, tiada tanda jelas menandakan kedatangan Ramadhan.

Menurut rakan-rakan saya, di sesetengah tempat kerja orang ramai tidak dibenarkan untuk berbuka puasa secara berjemaah.

Di sini juga sukar untuk menentukan hari pertama Ramadhan kerana ketiadaan badan-badan kesatuan Islam yang membuat keputusan seperti Jabatan Agama Islam di Malaysia.

Namun secara amnya, penduduk Islam di sini lebih selesa bersedia untuk berbuka mengikut cara masing-masing berdasarkan perbezaan budaya dan pilihan makanan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga masjid-masjid besar di komuniti Islam menyediakan hidangan juadah berbuka secara terbuka untuk masyarakat bagi menggalakkan berbuka secara berjemaah di masjid-masjid.

Dalam soal ibadat pula, lagilah bergantung kepada diri sendiri, tiada ibu bapa atau keluarga yang akan ingatkan kita soal tarawikh. Berada di perantauan ini, sememangnya up to us, nak buat atau tak nak sahaja.

Juadah berbuka

Di sini, tiada air kegemaran iaitu cendol, atau 58 jenis air pelbagai warna seperti di bazar Alor Gajah. Kalau nak, kena pandai-pandai sediakan sendiri. Nak buat, barang-barang asas leceh nak cari pula. Jadi, paling senang adalah masak makanan simple. Meriah jugalah jika berbuka bersama rakan-rakan. Ada 2-3 lauk tambahan.

Jika seorang, makan dua keping roti dan air kosong pun sangat bersyukur. Kebiasaannya, saya cuma masak makanan simple dan cepat siap seperti pasta. Bagi saya, kesederhanaan pada bulan puasa ini adalah sesuatu yang paling saya hargai kerana tiada pembaziran, dan tidak terlalu mengenyangkan.

Beraya di mana tahun ni.

Insya Allah saya beraya di Jerman tahun ini bersama rakan-rakan.

7. Bella Azemi

puasa-di-perantauan-16

“Esok kawan-kawan saya ni semua nak cuba puasa selama 17 jam. Hari-hari dorang tanya macam mana saya boleh tahan tak makan tak minum selama 17 jam. Dah la kerja tengah panas naik turun tangga berpeluh-peluh mestilah dahaga.

Lagi la depa terasa pelik macam mana lah orang Muslim boleh tahan puasa selama sebulan. Esok kami masak juadah berbuka bersama-sama. Seronok pulak rasa. Semoga di bulan baik ni sesuatu yang baik lah Allah tunjukkan untuk dorang dan saya. Insyallah.” – Bella.

puasa-di-perantauan-17

Sebelum ke Korea, gadis ini telah mengembara selama beberapa bulan di Eropah.  Kini beliau dalam misi mengembara di negara Kimchi ini selama 3 bulan, bermula dari Seoul hingga ke Jeju.

Mengikut perancangan gadis yang telah 8 bulan menjadi traveller sepenuh masa ini, beliau mungkin akan cuba travel secara ‘overland’ dari China hingga sampai ke kampung beliau di Pulau Pinang selepas ini.

Namun semua ini masih dalam perancangan kerana beliau perlu menunggu status permohonan visa ke China dahulu.

Berkenaan pengalaman puasa di perantauan pula, menurut Bella tahun ini merupakan kali pertama beliau berpuasa di luar negara. Apatah lagi tempoh berpuasa di Korea selama 17 jam di musim panas turut memberi pengalaman berbeza.

Perasaan teruja kerana berpuasa di rantau bertukar sayu dan sedih apabila tibanya waktu berbuka terutama di saat teringat kepada keluarga di tanah air. Ditambah bila beliau perlu berbuka puasa seorang diri dengan makanan Korea yang pelik-pelik (tapi halal ye).

Cabaran berpuasa

Terpaksa berpuasa selama 17 jam dengan keadaan cuaca di Korea yang panas dan kering membuatkan kita rasa cepat dahaga. Selain itu terpaksa hadap dengan orang sekeliling yang tak puasa dan paling perit orang Korea ni tak faham pun puasa tu macam mana dan untuk apa. So dorang asyik nak hulur makan dan minum je.

Sekarang ni saya buat workaway iaitu jadi helpers dan volunteers kat guesthouse di Seoul. Setiap hari saya perlu buat kerja membersihkan guesthouse selama 3 jam.

Dalam sehari hampir 6-10 bilik yang saya perlu  kemas dari tukar cadar hinggalah ke laundry. Guesthouse pulak 4 tingkat jadi bepeluh-peluh naik turun tangga usung cadar, blanket dan tuala. Inilah cabaran yang paling sukar buat masa ni saya kena hadap dan tempuh di bulan puasa ini.

Juadah berbuka

Menu paling unik rasanya nasi pulut Korea tu. Nasi kat Korea tak macam kat Malaysia sebab sini nasi melekat macam pulut jadi sangat-sangatlah pelik bila nak berbuka.

Makan nasi macam pulut tu dengan ikan bakar Korea, kimchi, seaweed dan wasabi. Pada saya tersangatlah pelik dan unik.

Satu lagi menu paling unik berbuka nasi digaul bersama tuna dan jagung dan disumbatkan di dalam tauhu mentah dan dicicah dengan sos soya.

Menu paling menyedihkan berbuka dengan maggie cawan, roti dan jem bersama air kosong. Bila tengok kawan-kawan upload juadah berbuka dorang kat FB terasa macam nak terbang balik Malaysia pulak.

Beraya di mana tahun ni.

Saya akan beraya mungkin di Busan atau Jeju, Korea Selatan.

8. Abudi Al Sagoff

abudi-al-sagof-1

abudi-al-sagof-2

abudi-al-sagof-3

abudi-al-sagof-4

abudi-al-sagof-5

Pemuda yang bekerja sebagai professional freerunner di Dubai ini sedang berehat dari kecederaan lutut yang beliau alami sejak April tahun ini.

Menurut Abudi beliau tidak merancang untuk ke Bosnia tapi akhirnya menghabiskan masa selama sebulan di negara ini bersama kedua ibubapanya sambil menjalankan kerja-kerja dakwah di negara ini.

Cabaran puasa

Puasa selama 18 jam disamping mengutip pengalaman berdakwah di negara ini bersama ibubapa saya merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan.

Cabaran di sini disebabkan waktu malam mereka terlalu singkat, jadi waktu rehat pun kurang. Tapi saya gembira sebab dapat tambah pengalaman dan dapat tau macam mana rakyat negara ini raikan Ramadhan.

Juadah berbuka

Kat sini makan masakan Malaysia jugak. Hahaha. Jadi taklah rasa rindu sangat dengan masakan mak.

Beraya di mana tahun ni

Saya dah puasa dan raya di luar negara sejak 2011. Tahun ni je dapat peluang balik Malaysia untuk raya 2016.

9. Hadhinah Felice

puasa-di-perantauan-21

puasa-di-perantauan-22

puasa-di-perantauan-19
Gambar: Antara menu makanan sejukbeku halal keluaran Saffron Road yang boleh didapati di banyak pasaraya di seluruh USA.
puasa-di-perantauan-20
Pisang goreng dan ubi kayu goreng cara Mexico. Jangan risau, ini digoreng dengan minyak kelapa.

Bagi Hadhinah Felice atau lebih senang dipanggil Hannah pula, beliau baru saja menghabiskan jelajah ke 50 negeri di USA. Negeri ke 50 yang telah beliau jejaki adalah Alaska. Pengembaraan ini dilakukan oleh Hannah bersama suami beliau yang merupakan seorang warga Amerika dan ia mengambil masa selama 2 tahun.

Sebelum tiba di Alaska, Hannah berpuasa di Las Vegas dan sewaktu di sana beliau dan suami perlu berpuasa selama 17 jam.  Dari Las Vegas Hannah akan ke New York untuk penerbangan beliau ke Eropah pada tanggal 29 Jun ini.

Menurut Hannah oleh kerana mereka perlu merentas banyak negeri di USA dalam perjalanan ke New York, tempoh berpuasa dan waktu berbuka di setiap negeri juga akan berbeza.

Semakin mereka menghampiri ke pantai timur tanah besar USA, semakin cepat sampai waktu berbuka. Ini kerana di musim panas masa matahari terbit dan terbenam berbeza di setiap negeri.

Cabaran puasa

Perasaan masih tetap sama seperti berpuasa di Malaysia. Cuma tiada suasana bazar, dan tiada azan didengar berkumandang melainkan yang tinggal berdekatan masjid dan rumah solat.

Bila jauh begini sudah tentu saya merindui suasana berpuasa dan berbuka dengan keluarga. Itu juga antara beza puasa di perantauan dan di Malaysia.

Di Las Vegas suhunya 40-42 darjah Celcius di waktu siang, serta kering dan tidak berawan. Maka cuaca ialah cabaran utama. Tekak kering, kulit kering, dalam rumah ada pendingin udara pun kering.

Berbeza dengan sangkaan ramai, berpuasa dikelilingi majoriti bukan Muslim bukanlah cabaran. Pada tahun pertama, untuk sesuaikan diri dengan waktu berpuasa yang panjang merupakan cabaran utama buat sesetengah orang. Tapi masuk tahun kedua, semuanya rasa seperti biasa.

Juadah berbuka

Menu paling unik ada 3:
Pertama ialah tamales daging, iaitu sejenis makanan yang berasal dari Mexico yang dibalut dengan kulit jagung yang kemudiannya dikukus. Resepi tamales daging ada di sini.

Kedua ialah ‘knish’ yang boleh didapat di sesetengah kedai roti. Knish ialah sejenis pai yang samada dibakar, dipanggang, atau goreng, dengan isi kentang lecek dan sayur-sayuran seperti lobak, kacang peas, atau bayam. Untuk menu lain boleh semak di sini.

Ketiga ialah ‘hominy grits’ atau ‘grits’ dari jenama Quaker Oats, iaitu serbuk butir jagung yang diair-abukan/dialkalikan yang jika ditambah air panas akan kelihatan seperti bubur nasi cuma ia rasa seperti ‘pop-corn‘.

Sangat mudah disediakan, cuma perlu tambah air panas, kemudian tambah tuna dalam paket atau sardin atau apa-apa sebagai perisa. Grits ini juga enak dimakan tanpa ditambah apa-apa.

Memandangkan kami sekarang sedang di jalanan, kebanyakan masa kami makan makanan sejuk beku halal jenama Saffron Road yang boleh didapati di pasaraya seperti Walmart.

Di setiap motel pasti ada pemanas gelombang mikro. Maka segalanya mudah. Di setiap pasaraya juga ada jual kurma Medjool. Maka kami memang simpan stok kurma dalam kereta.

Di USA ini terlalu banyak kedai makanan dari Mexico dan El Salvador, kami selalu singgah untuk beli pisang goreng dan ubi kayu goreng cara Mexico atau El Salvador.

Menu paling menyedihkan ialah roti dan mentega kacang!

Beraya di mana tahun ni.

Tahun ini kami beraya di Eropah, InshaAllah.

10. Zahariz Khuzaimah

zahariz-khuzaimah-1

zahariz-khuzaimah-2

zahariz-khuzaimah-3

zahariz-khuzaimah-4

Terkenal dengan kisah pengembaraan ‘Dengan Basikal Aku Menjelajah’, kini Zahariz sedang mengembara di pergunungan Himalaya. Pengembaraan beliau kali ini kebanyakannya juga dengan cara berbasikal.

Menurut Zahariz pengembaraan beliau kali ini telah dirancang selama beberapa bulan dan akhirnya berjaya dilaksanakan bermula dari bulan April yang lalu bermula di Bhutan, iaitu sebuah negara kecil di bahagian selatan banjaran Himalaya.

Sewaktu perkongsian ini ditulis Zahariz sedang berada di Gangtok, Sikkim Province, India tapi beliau akan bertolak ke Kathmandu, Nepal dengan menaiki bas. Dan terkini beliau telah pun tiba di Slovenia.

Cabaran berpuasa

Puasa di sini adalah sekitar 15 jam, subuh lebih kurang jam 3 pagi dan maghrib dalam 6.30 petang. Saya memang selalu berpuasa di luar sejak mula berbasikal pada tahun 2010 kecuali pernah sekali berpuasa di Malaysia pada tahun 2013.

Rasa seronok berpuasa di tempat orang kerana kadang-kadang boleh jumpa komuniti muslim yang kebanyakannya adalah golonagn minoriti di banyak tempat yang saya lawati, kecuali di Kyrgyzstan di mana 90% populasinya adalah muslim.

Cabaran mengembara di bulan puasa adalah jangkamasanya yang panjang kerana musim panas dan juga cuacanya yang begitu panas dan kering. Setakat ini saya ada tinggal puasa selama 6 hari di mana saya berbuka awal semasa berbasikal di kawasan berbukit bukau di wilayah Sikkim.

Juadah berbuka

Setakat ni berbuka puasa di India amat menyelerakan kerana saya memang sukakan makanan India seperti nasi beriani dan kari ayam. Jadi tiada masalah mencari makanan kegemaran saya dan juga yang halal kerana komuniti Muslim ada di mana-mana di India.

Beraya di mana tahun ni

Insya Allah beraya di satu lokasi terpencil di Slovenia.

11. Menk Mahawangsa

pengalaman-berpuasa-di-rantau-1

pengalaman-berpuasa-di-rantau-2
Bertemu dengan Abudi Alsagoff
pengalaman-berpuasa-di-rantau-3
Berbuka puasa bersama jemaah dakwah Malaysia yang datang ke Bosnia.
pengalaman-berpuasa-di-rantau-4
Sewaktu memberi sumbangan kepada ibu tunggal Bosnia. Program anjurana pelajar Malaysia yang belajar di UK, USA dan Turki yang telah datang ke Bosnia.

pengalaman-berpuasa-di-rantau-5

Bagi Muazammil Mamat atau lebih dikenali sebagai Menk di kalangan rakan-rakan, tahun ini merupakan kali ke 5 beliau beraya di luar negara. Menk yang kini sedang mengembara sambil memerhati peluang bisnes di dunia Balkan telah berada di Bosnia sejak 2 bulan lepas.

Peluang merasai suasana terawih di Bosnia juga merupakan sesuatu yang mengujakan bagi Menk. Oleh kerana waktu isyak pada jam 10.30 malam, kebanyakan terawih di masjid di negara ini dipercepatkan dan dipendekkan bacaan surahnya.

Contohnya kebanyakan masjid akan melakukan solat terawih 4 rakaat selama 5 kali dan bacaan surah selepas surah Alfatihah hanya dibaca 1 atau 2 ayat sahaja.

Cabaran puasa

Cabaran berpuasa sepanjang 18 jam semasa musim panas dimana ada harinya cuaca sangat panas dan mudah dihidrasi. Dan saya cuma ada 6 jam waktu makan seleps berbuka. Di waktu sahur perut saya masih kenyang lagi dari hidangan semasa berbuka puasa.

Disebabkan waktu subuh pada 2.30 pagi, jika tertidur, mungkin saya akan terlepas waktu bersahur. Ada harinya saya tidak tidur sehingga waktu subuh dan hanya tidur selepas itu (dan ia tidak digalakkan dalam agama).

Selain daripda itu saya juga telah berpeluang menghubungkan pelajar Malaysia yang sedang belajar di Turki, UK dan USA dengan penduduk di sini. Para pelajar ini telah mengutip derma dan datang ke Bosnia untuk menghulurkan sedekah kepada penduduk di kampung Podlugovi.

Penerima derma ini terdiri daripada ibu-ibu tunggal yang telah membesarkan anak-anak mereka sendiri, kerana suami mereka telah dibunuh di Srebrenica semasa Perang Bosnia.

Kami juga telah mengadakan program berbuka puasa dengan penduduk tempatan di Masjid Malaysia Malaysia (ya, memang nama dia Masjid Malaysia kerana dibina oleh negara kita sendiri).

Amalan berpuasa di Bosnia juga lebih kepada personal dan yang mempraktiskan agama boleh dikatakan hanya 5-10% daripada 50% muslim yang berada di Bosnia Herzegovina.

Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan jika terdapat kedai-kedai makanan yang dibuka pada waktu siang dan terdapat mereka yang makan minum seperti hari biasa. Ini kerana agama hanya adalah sebagai sekular di negara ini dan tiada undang-undang syariah yang dilaksanakan.

Juadah berbuka

Alhamdulillah saya berpeluang rasai menu yang berbagai sepanjang berpuasa di sini. Selain daripada berbuka dengan traveller dari Malaysia, saya juga telah dijemput berbuka puasa bersama jemaah tabligh dari Malaysia yang sedang berdakwah di Bosnia selama sebulan.

Dan saya telah bertemu dengan Freerunner terkenal Malaysia, Abudi Alsagoff  yang telah datang berdakwah bersama mereka.

Ada juga hari yang saya berbuka puasa bersendirian dengan bermenukan makanan Bosnia kegemaran saya Cevapi dan Burek. Dan ada malam yang saya bersahurkan magi yang telah diberikan oleh traveller Malaysia yang berkunjung dan menemui saya di sini.

Beraya di mana tahun ni

Saya masih tak pasti di mana saya akan beraya kerana saya pernah beraya di Bosnia tahun lepas. Mungkin di negara Balkan yang lain. Mungkin di Kyrgystan dan mungkin di Bosnia lagi.  Selamat Hari Raya Malaysia!

12. Muhamad Che Rameli

puasa-2
Pemandangan di Gurun Taftan

puasa-4
Sewaktu di Iran

puasa-5

Kembara pemuda bernama Muhamad bin Che Rameli ini sedikit berbeza berbanding yang lain. Beliau kini dalam perjalanan menuju ke Mekah bagi menunaikan umrah dengan cara solo backpacker melalui jalan darat.

Pengembara beliau bermula dari Kuala Lumpur pada 7 Mei 2016 melalui beberapa negara antaranya Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, UAE dan seterusnya Saudi. Kini sudah lebih daripada 40 hari beliau berada di jalanan dan telah pun sampai ke Dubai.

Ini juga merupakan pengalaman pertama Muhamad berpuasa di rantauan. Sewaktu di Pakistan, Iran dan Dubai purata jam beliau berpuasa adalah 15 jam berbanding di Malaysia sekitar 12 jam.

Menurut Muhamad juga sewaktu beliau melewati gurun Taftan yang panas, didapati masyarakat Pakistan dan Iran di sepanjang peralanan beliau tanpa segan silu makan dan minum.

Bila masa berbuka semua sibuk untuk berbuka. Sikap ini membuatkan beliau rasa sedih dengan sikap mereka, tetapi beliau cuba bersangka baik. Mungkin mereka semua adalah musafir atau berada dalam keadaan yang membenarkan mereka berbuka puasa.

Cabaran puasa

Cabaran yang dilalui sangatlah banyak kalau nak diceritakan. Antaranya semasa saya keluar dari India dan telah disoal siasat oleh pegawai khas kerana  mempunyai sim kad India yang bukan didaftarkan atas nama saya. Di sini sama macam di Malaysia, setiap pembelian im kad mesti di sertakan dengan ID pengenalan.

Semasa di Lahore, saya telah dijangkiti cholera dan kehilangan air yang banyak dari badan. Cuaca sangat panas di Lahore menyebabkan badan saya menjadi sangat lemah dan tidak bermaya. Syukur setelah mendapat rawatan, saya sembuh sepenuhnya.

Cabaran lain adalah terpaksa menahan lapar dan dahaga semasa melalui kawasan gurun taftan yang panas dan kering. Ini kali pertama saya berada di kawasan yang cukup panas bagi.

Gurun Taftan dibahagikan kepada 2, satu disebelah Pakistan dan satu lagi disebelah Iran. Tempoh berada di Iran juga terpaksa saya singkatkan kerana kad ATM saya tiak boleh digunakan di negara ini atas faktor sekatan ekonomi antarabangsa.

Cabaran yang lain pula semasa di India. Saya mendapat info pihak penaja utama masih belum dapat memberikan wang tajaan hingga menyebabkan segala perancangan terpaksa diubah kembali.

Memang agak berat kerana pengembaraan ini masih lagi di peringkat awal. Masih banyak negara yang perlu dilalui. Syukur atas pertolongan serta doa semua sahabat, saya dapat sampai ke Dubai.

Juadah berbuka

Menu yang unik adalah dapat merasa kari ikan versi Malaysia yang dimasak oleh Ibnu Batthuthah (rakyat Malaysia yang bekerja di sini). Setalah sebulan, rasa rindu kat masakan Malaysia membuak–buak.

Semasa hari pertama puasa (sewaktu di Pakistan) hingga puasa ke 5 di Iran, saya hanya bersahur dengan air mineral, kurma dan 2 kapsul Nuprep Lelaki.

Waktu berbuka pula, hanya buah-buhan dan meggi mentah tanpa air panas menjadi menu berbuka. Faktor masih fobia dengan cholera serta untuk menjimatkan wang menjadi faktor saya memilih untuk makan makanan yang dimasak sendiri.

Beraya di mana tahun ni

Kalau tiada rintangan dan diizinkan Allah, saya akan beraya di Madinah. Rasa rindu nak melawat penghulu segala nadi. Ini mungkin kali pertama saya beraya jauh dari keluarga. Harap semua dipermudahkan dan selamat.

puasa-1

Begitulah perkongsian daripada 12 traveller yang dapat saya hubungi kali ini. Ramadhan bukan hanya bulan untuk beribadah, bersama kedatangan bulan ini turut terselit berbagai pengajaran dan pengertian buat mereka yang menghayatinya.

Andai mengembara dapat mendekatkan diri kita selangkah kepada yang maha Esa, maka keluarlah mengembara. Dekat atau jauh bukan persoalannya. Tetapi pengalaman dan pengajaran yang diperolehi, itulah yang paling berharga.

Salam Ramadhan dan selamat hari raya dari saya dan seluruh warga Vocket – Ida.