Tomato merupakan sejenis buah, bukannya sayur. Tetapi sering dihidangkan dalam menu sayur-sayuran seperti salad. Teringat lagi makan tomato-tomato saiz kecil dengan kuah rojak, sedap! Masam-masam manis gitu.

Kalau tomato saiz besar pula, sedap juga dimakan ala-ala buah epal. Lebih-lebih lagi sebahagian besar berat tomato mengandungi air, iaitu lebih kurang 94.5%. Dah macam jus jadinya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Selain itu, hanya potong atau hiris tomato semasa mahu makan sahaja untuk rasa yang lebih segar. Tapi tomato yang dipotong lebih awal boleh mengurangkan rasanya.

Jika digunakan dalam masakan, cara mudah menikmati tomato melalui sos piza, salsa atau jus tomato ke dalam diet. Juga boleh masukkan hirisan tomato ke dalam sandwic atau salad, atau tomato yang didadu ke dalam hidangan pasta.

Baiklah, kali ini nak kongsi 13 fakta menarik berkaitan tomato yang mungkin anda tidak tahu sebelum ini.

1. Tomato tidak perlu disimpan dalam peti sejuk kerana boleh merosakkan rasa dan teksturnya. Melainkan tomato yang hampir atau sudah masak ranum sahaja, itu pun untuk beberapa hari sahaja. Simpan tomato pada suhu bilik sahaja.

2. Tomato adalah sumber terbaik potasium, vitamin A dan C. Juga kaya dengan likopena, yang memberi warna merah pada tomato. Sedikit tentang likopena, ia merupakan antioksidan yang membantu menghalang kerosakan sel dalam tubuh.

3. Tomato yang melalui proses pemanasan seperti memasak dan proses tertentu yang melibatkan haba memudahkan likopena diserap ke dalam tubuh. Jadi tambahkan tomato ke dalam hidangan kari, kurma, asam pedas atau pindang untuk menikmati khasiat tomato ini.

4. Bagi sebiji tomato bersaiz sederhana, jumlah kalorinya sebanyak 24. Tiada kandungan lemak dan bebas kolesterol. Ia juga membekalkan sebanyak 1 g protein dan fiber masing-masing. Kandungan vitamin A pula sebanyak 1025 iu, vitamin C sebanyak 15 mg, potasium sebanyak 292 mg dan karotenoid sebanyak 3992 mg.

5. Sos tomato sering dijadikan asas kepada pelbagai jenis hidangan. Contohnya piza, pasta, ayam dan ikan. Sos tomato paling asas dihasilkan daripada bawang besar, lobak merah dan batang saderi yang dimasak bersama sedikit minyak zaitun.

Kemudian ditambah dengan bawang putih, tomato dan sedikit garam. Bahan lain yang boleh dimasukkan mengikut menu yang mahu disediakan, adalah seperti cendawan, sosej, buah zaitun atau apa saja jenis sayuran terutamanya yang sedikit keras seperti kobis bunga.

6. Dikatakan terdapat 25, 000 jenis tomato di dunia. Namun, antara lima jenis tomato yang utama ialah jenis glob, ceri, heirloom, roma dan pear.

● Tomato jenis glob adalah varian tomato yang standard yang dikenali sebagai tomato ‘beefsteak’ atau ‘slicing’. Tomato jenis ini mudah dicam kerana sifatnya yang besar, bulat dan berwarna merah.

● Tomato ceri pula tergolong dalam varian ‘Cluster’. Ia lazimnya bersaiz hampir sama dengan buah ceri, berasa lebih manis dan berjus berbanding tomato glob.

● Tomato heirloom pula terkenal dalam kalangan chef gourmet. Uniknya, tomato jenis ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna. Namun, satu kelemahannya adalah ia masak dalam tempoh singkat sahaja.

● Tomato roma yang juga dikenali sebagai tomato ‘plum’, adalah tomato yang paling kurang jus berbanding tomato lain. Disebabkan isinya yang tebal dan biji yang kurang berbanding tomato lain, tomato roma sering dijadikan pilihan untuk menghasilkan sos pasta.

● Tomato pear pula mendapat namanya daripada bentuknya sendiri yang seakan-akan buah pear. Saiznya hampir sama dengan tomato ceri, namun kurang berjus.

7. Tomato boleh disimpan lebih lama jika disimpan dengan batangnya menghala ke bawah.

8. Kandungan vitamin C dalam tomato mudah hilang jika cahaya matahari mengenainya semasa dalam penyimpanan.

9. Adakalanya tomato dipetik semasa masih lagi hijau, lalu di’gas’ dengan etilena dalam perjalanan ke pasar raya. Sewaktu tiba di pasar raya, tomato sudah pun masak.

10. Tomato dipanggil “tomate” dalam bahasa Perancis dan Sepanyol, “tomaat” dalam bahasa Dutch and “pomodoro” dalam bahasa Itali.

11. Tomato hijau akan masak jika disimpan bersama buah epal. Gas etilena yang dibebaskan akan memberi persekitaran yang sesuai untuk tomato masak lebih cepat. Tiada epal? Balut tomato dengan surat khabar secara longgar dan biarkan selama satu hingga dua minggu.

12. Tomato mempunyai ciri perubatan yang bagus. Ia mampu bantu menurunkan risiko kanser, elak penyakit kardiovaskular, menulenkan karsinogen dalam asap rokok, mengandungi banyak mineral dan vitamin, mengurangkan hipertensi, mengurangkan keradangan dan pelbagai kebaikan lain.

13. Walaupun tomato baik untuk kesihatan, anda tidak digalakkan makan dengan berlebihan kerana ia mengandungi potasium yang boleh mengganggu buah pinggang sekiranya diambil terlalu banyak.